Showing posts with label JT. Show all posts
Showing posts with label JT. Show all posts

Saturday, June 29, 2013

Manusia Berjubah Putih 4


Salam w.b.t.

"Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.

Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti.."


..........................................................................................................................................................

"Kita akan ke Mawargiri malam nie." Kata amir kepada kami semasa sedang mengemas barang yang dibawa sepanjang perjalanan itu. Mawargiri merupakan salah satu kawasan yang terletak berdekatan, kurang lebih dalam 10-15 minit perjalanan seingat saya. Perjalanan waktu malam itu agak thrill juga, ditambah pula dengan kesejukan malam yang menemani kami. Travel malam dengan motosikal sememangnya satu pengalaman yang best bagi sesetengah orang. 

Sampai di Mawargiri, kami pun menunaikan solat Maghrib di situ dan menyiapkan diri selepasnya sebelum makan malam bermula. Setiap masjid di sini ada menyediakan peralatan memasak seperti periuk dan gas. Jadi jemaah selalunya akan memasak sendiri di masjid dan tak perlu beli makanan dari kedai luar. Cuma mungkin perlu beli barang-barang basah untuk masak saja.

Malam itu setelah Isyak, masing-masing merehatkan diri lebih awal supaya esoknya kami ada bekal tenaga yang cukup untuk bergerak lagi ke destinasi terakhir, iaitu tempat diadakan Ijtimak tersebut.

**************************************************************************************
Hari berganti hari. Subuh pun menjelma. Setelah siap menjamah sarapan atau 'menyorok', kami mula berkemas sekali lagi untuk berangkat ke Wagiri pula. Ia terletak agak jauh dari Mawargiri walaupun bunyinya seakan serupa.

Perjalanan ke Wagiri diteruskan sebelum tengahari disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan pastinya memenatkan dan mengeluarkan peluh jantan yang sudah lama tersimpan. Kalau lewat bertolak, bimbang pula kami akan terlepas aktiviti yang barangkali sudah pun dijadualkan di situ.

Wagiri, akhirnya berjaya juga kami jejak buminya dan ia pertama kali bagi saya berada di situ. Pada mulanya ingatkan ia sebuah kawasan yang kurang penduduk disebabkan kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman. Namun di situ berdirinya sebuah madrasah pengajian dan sebuah masjid melambangkan wujudnya aktiviti agama yang akan melahirkan ilmuan-ilmuan Islam suatu hari nanti. InsyaAllah.

Ketibaan kami disambut oleh pihak penganjur yang sudah menunggu kehadiran para peserta program. Beberapa khemah sudah pun didirikan. Kami mula bergerak ke khemah penempatan yang disediakan. Untuk pengetahuan, penempatan para peserta adalah di dalam satu khemah yang besar di mana semuanya 'berlangitkan' bumbung yang sama. Ia sama keadaannya semasa di Padang 'Arafah sewaktu musim haji atau umrah. Semuanya dilayan serupa dan setaraf, tiada siapa yang dilebihkan.

Kebanyakan masa diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh para ilmuan dan pengetua madrasah yang mantap dan hebat pengisiannya. Semua hadirin mendengar kuliah dengan penuh minat dan khusyuk. Bagi saya yang masih bertatih untuk memahami bahasa Urdu, agak susah juga la. Namun ada juga beberapa perkataan dan point penting yang dapat saya tangkap sikit-sikit. Secara tak langsung dapatlah belajar bahasa tempatan. Dapat sikit lagi baik daripada tak dapat langsung kan.

Makanan bagi peserta disediakan juga, dan kami harus mendapatkan kupon-kupon makanan yang dijual. Murah-murah harganya. Makanannya pula sedap-sedap belaka. Inilah salah satu keistimewaan mereka di mana makanan yang dimasak berkawah-kawah itu ternyata suatu yang harus dirasai oleh sesiapa yang berkunjung ke sini. Ada satu kumpulan yang ditugaskan memasak dan mengendalikan makanan. Kalau tak cukup, akan ada yang tambahkan nasi atau lauk pada kita. Macam kenduri kahwin la waktu tu.




Siang dan malam diisi dengan kuliah agama berkisarkan persoalan keimanan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk berdakwah. Kadang-kadang ada juga diselitkan kisah dan pengalaman yang mencuit hati kami semua. Mereka yang menjadi penyampai pada perhimpunan itu begitu hebat ketika menyampaikan nasihat-nasihat agama. Nampak benar betapa banyak pengalaman yang mereka ada.

Program selama dua hari satu malam itu padat dengan perkongsian dan pertemuan dengan peserta yang datang dari pelbagai tempat. Masing-masing pasti ada cerita setiap kali berjumpa satu sama lain. Ada antara mereka yang tidak punya masa untuk bertemu semasa bekerja dan ijtimak ini memberi peluang kepada mereka mengeratkan hubungan silaturrahim yang sudah terbina.

******************************************************************************

Sabtu petang, pada tarikh yang saya sudah tak ingat, selepas Asar, tamatlah program Ijtimak tersebut. Salam perpisahan kami ucapkan kepada penganjur dan semua yang terlibat sepanjang program. Perjalanan diteruskan kembali ke Karad, kerana masih ada tugas yang menanti di sana. Semoga perjumpaan kali ini memberi semangat kepada kami semua untuk terus menyambung perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat. InsyaAllah..

p/s : Ini merupakan edisi terakhir siri kembara saya di bumi Al-Hind. (Macamlah selalu sangat travel sampai nak bersiri-siri kan..) Ini pun merupakan ringkasan sebenarnya. Ada lagi detail yang terpaksa di'cantas' untuk mengelakkan ia terlalu panjang sampai ke negeri China..hehe

Peace to all!

Tuesday, March 26, 2013

Manusia Berjubah Putih 3


Salam w.b.t.

Pada artikel sebelum ini, ada saya katakan yang kami perlu melakukan suatu tugasan selepas solat Asar. Apa tugasan tu ya? Hmmm... Mesti kalian tertanya-tanya kan.

Pada petangnya selepas Asar, kami ditugaskan untuk melakukan aktiviti Mulaqat. Kalau tak salah saya, ia ada persamaan dengan kalimah Mulaqah yang kita pernah belajar dalam subjek Sejarah. Maksudnya, Pertemuan. Ini merupakan asal-usul perkataan Melaka, di mana ia adalah tempat pertemuan pedagang seantero dunia.

Kami pun mula bergerak untuk mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Patan. Tujuannya cuma satu, untuk memberitahu mereka mengenai program Ijtimak (perhimpunan) yang akan diadakan di satu tempat yang bernama Wagiri. Kalau kalian hendak tahu, Patan merupakan kawasan yang berbukit-bukau dan sangat mencabar perjalanan. Kawasannya yang penuh dengan gaung membuatkan diri ini berasa sedikit gementar dan bersyukur; gementar dek bahayanya perjalanan pada waktu malam dan bersyukur sebab saya diberikan tempat tinggal yang lebih baik kawasan geografinya. Pun begitu, saya turut berharap pada masa depan akan ada kemajuan di kawasan tersebut untuk kemudahan ramai.

Semasa dalam perjalanan, ada juga kami berselisih dengan lori-lori muatan yang besar dan 'menggerunkan'. Maka kami perlu lebih berhati-hati di situ kerana banyak tempat yang harus dikunjungi untuk menyelesaikan misi tersebut.

Ada satu kawasan penduduk tu, perlu lalu kawasan bukit yang sangat curam dan jalannya juga penuh berbatu sampaikan motosikal yang dinaiki hampir-hampir semput untuk mendaki kawasan itu. Setelah berhempas pulas, kami sampai juga di kawasan tersebut. Masyarakatnya bekerja sebagai petani. Ada sebuah surau kecil yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang. Kami pun bertemu dengan penduduknya dan memberitahu program yang bakal diadakan keesokan harinya. Mereka juga sempat menjamu kami dengan teh panas sebelum kami bertolak pulang.

Setelah habis satu destinasi, kami pun bergerak ke destinasi seterusnya. Selagi malam belum melabuhkan tirainya, selagi itulah Mulaqat perlu diteruskan. Dari satu kampung ke kampung yang lain. Inilah yang dikatakan sebagai 'turun padang', tengok sendiri bagaimana kehidupan masyarakat setempat. Mungkin melalui mereka, kita akan belajar sesuatu dalam hidup ini. Betapa sifat bersyukur dengan nikmat yang sedia ada perlu dizahirkan dan diamalkan selalu.

Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.

Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti..

Wassalam..

p/s : Setelah lama menyepi, maka keluar juga akhirnya artikel ini. Ingatkan nak habiskan terus, tapi rupanya banyak lagi nak diceritakan...
p/ss : Al-Fatihah kepada arwah Asy-Syahid Dr. Mohamed Said Ramadan al-Buti dan arwah Dr Muhammad Uthman El-Muhammady...2 tokoh besar, 2 permata agama.... 

Friday, November 30, 2012

Manusia Berjubah Putih 2


Salam w.b.t.

Baru aku mengerti apa tujuan mereka bersusah payah sedemikian rupa. Kenapa mereka begitu bersemangat sekali untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat di luar sana.

Rupanya, usaha mereka yang pernah aku lihat suatu masa dulu, aku juga tidak terkecuali untuk menyertainya setelah Tuhan menyediakan jalan ke arah itu. Berada di bumi al-Maududi ini, rasanya satu kerugian kalau tidak merasai sendiri pengalaman tersebut kerana di sinilah markaz (pusat) kegiatan dakwah itu.

....................................................................................................................
3 minggu lalu

Saya mendapat jemputan daripada seorang penduduk Muslim tempatan seminggu sebelumnya, mengenai suatu perhimpunan ilmu yang akan dianjurkan oleh jemaah tabligh. Ia menghimpunkan tokoh-tokoh yang hebat serta kehadiran yang agak ramai. Memandangkan exam masih belum bermula, saya menerima tawaran tersebut untuk merasai sendiri pengalaman berada di majlis tersebut.

Kira-kira jam 10 pagi, kami mula bertolak dari Masjid Usmaniyah. Sebelumnya semua yang terlibat berkumpul terlebih dahulu di masjid untuk diperiksa kehadiran oleh amir saab (ketua jemaah). Perjalanan dimulakan setelah dipastikan bilangan yang hadir. Konvoi motosikal pun mula bergerak ke destinasi yang pertama iaitu Patan.

Patan merupakan satu kawasan tanah tinggi yang terletak kira-kira 30 km dari Karad. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam lebih untuk sampai ke sana. Bayangkan bermotosikal selama 2 jam itu ditambah pula dengan beg pakaian yang dibawa. Sangat-sangat menguji daya tahan diri ini. Semangat yang tinggi memungkinkan perjalanan yang jauh itu. Kami berhenti minum di salah sebuah kedai makan untuk melepaskan penat. Selepas itu, perjalanan disambung semula.

Kira-kira pukul 12.30 tengahari, kami tiba di salah satu masjid di Patan. Masing-masing mula mengambil wuduk terlebih dahulu kerana waktu Zohor dah nak masuk pun. Kami menggunakan pam air secara manual untuk mendapatkan bekalan air. Seorang akan mengepam manakala yang lain akan menahannya dalam bekas. Agak memenatkan juga namun itulah norma kehidupan masyarakat di sini.

Usai solat Zohor, makanan tengahari dihidangkan sesama kami. Hampir semua orang membawa bekal makanan kecuali saya. Kami berkongsi makanan sebagai salah satu cara menguatkan ukhuwah sesama kami. Setelah itu semuanya merehatkan diri sebelum melakukan tugas penting pada petangnya selepas Asar.

Apa tugasnya? InsyaAllah akan saya ceritakan pada entri akan datang.

p/s: Entri kali ini sudah lama berstatus draft dalam mindaku. Cuma kali ini sahaja dapat kutukarkan draft itu kepada published post. Entri sambungan bakal menyusul. (",)

Monday, November 12, 2012

Manusia Berjubah Putih 1


Salam w.b.t.

Pernah suatu masa dahulu, aku berasa aneh melihat gelagat manusia-manusia itu. Entah apalah yang mereka sedang perjuangkan. Ke hulu ke hilir secara berjemaah. Dari rumah ke rumah mereka berjalan kaki tanpa kenal erti penat. Entah apalah yang mereka lakukan itu.

Semacam tiada maknanya saja. Sebab apa aku kata begitu?

Kerana ada antara manusia yang cuba mengelak dari bertemu dengan kelompok ini.

Kenapa mereka jadi begitu?

Satu lagi persoalan bermain di minda.

Hari demi hari di negeri orang, persoalan itu mula terjawab dan terungkai satu demi satu.

Baru aku mengerti, maksud sebenar tindakan mereka yang pernah kulihat suatu masa dahulu itu.

"Allah Taala ne asman paida kiya.."
"Allah Taala ne zamin ko paida kiya.."

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...