Showing posts with label MeDiK. Show all posts
Showing posts with label MeDiK. Show all posts

Wednesday, April 5, 2017

Doktor lelaki dan bersalin 1

Salam w.b.t.

Apa khabar? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat.

Syukur alhamdulillah diberi kesempatan untuk menghadiri Konvensyen Obstetrik & Ginekologi peringkat kebangsaan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini. Ini merupakan satu peluang yang baik untuk kami menambah ilmu mengenai perbincangan fiqh berkaitan perawatan pesakit wanita oleh doktor lelaki.


Bersama Prof Zainur Rashid


Antara isu menarik yang dikupas adalah berkenaan persoalan di manakah daruratnya seorang doktor lelaki menyambut kelahiran bayi. Bolehkah seorang doktor lelaki, melakukan pemeriksaan kepada ibu mengandung dan menyambut kelahiran? Adakah ia dibolehkan dalam Islam?

Saya kira, isu ini bukanlah terhad kepada sub kepakaran jabatan O&G. Kita boleh lihat berlaku isu yang sama di jabatan pembedahan. Sebagai contoh, seorang pesakit wanita yang didiagnosa menghidapi kanser payudara dan memerlukan pemeriksaan oleh doktor lelaki. Adakah ini suatu yang berbeza? Tidak bukan.

Seorang doktor lelaki, dibolehkan memeriksa pesakit wanita dalam keadaan darurat sahaja. Sekiranya pada waktu itu terdapat doktor wanita, maka doktor tersebut harus melakukan pemeriksaan ke atas pesakitnya. Terdapat beberapa dalil yang akan saya kongsikan kemudian.

Selain itu, isu vaksinasi yang sudah timbul beberapa tahun yang lalu. Dalam ilmu fiqh, sekiranya ada 2 keburukan (mafsadah), maka sebaiknya ditinggalkan keburukan yang lebih besar.

Sekiranya anak tidak divaksin, akan berlaku musibah yang lebih besar. Anak ini sudah pasti akan menjadi punca penyebaran penyakit berjangkit kepada rakan yang lain, Ia suatu yang boleh dielakkan sedari awal lagi sekiranya dicegah.

Saya rasa, setakat itu dahulu buat kali ini. Semoga berjumpa lagi pada coretan yang seterusnya.

Wassalam...

Saturday, March 4, 2017

Tanggungjawab

Salam w.b.t.

Apa khabar semua? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat.

Sedar tak sedar, sudah 4 bulan saya bekerja di Perlis. Pada mulanya berasa sungguh berat untuk bekerja di jabatan yang majoritinya kaum hawa. Namun saya kuatkan juga semangat memikirkan amanah yang diberikan apabila berada dalam bidang ini. Tanggungjawab yang diberikan perlu dilakukan sebaik mungkin, sebab tidak semua orang yang mendapat peluang seumpama ini. Ia suatu tugas yang tidak mudah dan memerlukan minat serta kesungguhan.

Ia suatu bidang yang susah kerana 2 nyawa yang harus dijaga dan perlu dipastikan selamat. Sedikit kelalaian pasti mengundang mudarat yang boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi.

Pengalaman kali pertama oncall suatu yang agak menakutkan bagi saya. Semuanya berharap supaya tiada berlaku sebarang komplikasi semasa proses kelahiran. Doa kami, supaya semua bakal ibu dapat melahirkan anak dengan selamat. Tangisan pertama bayi selepas lahir merupakan suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Macam mana pula perasaannya kalau menyambut anak sendiri..hehe

Apabila telefon berdering, dan ia datang dari labour room, pasti ada sesuatu sedang berlaku di sana. CTG tak elok, air ketuban berwarna hijau (petanda bayi sudah berak dalam kandungan) perlu diberikan perhatian yang serius. Pernah juga terjadi di mana bukaan jalan ibu sudah fenuh (os full), tapi disebabkan ibu keletihan untuk meneran (baca:push), maka proses kelahiran memakan masa yang lama sehingga bayi lemas. Akhirnya, pembedahan kecemasan perlu dilakukan (emergency LSCS).

Sangat banyak cerita yang menyebabkan adrenaline berlari keluar dalam badan saya (adrenaline rush). Itu baru cerita di labour room, belum lagi di PAC (pregnancy assessment centre). Belum lagi isu nakkan doktor perempuan, isu tak mau vaksin, tak mau bersalin secara normal dan pelbagai kisah lagi.

Saya pun masih dalam proses latihan, perlu banyak belajar lagi untuk menambah pengalaman. Risau juga kalau saya tidak dapat menjalankan amanah ini dengan baik.

Saya rasa setakat itu dahulu. Semoga berjumpa lagi.

Wassalam..

CTG: cardiotocography, alat yang digunakan untuk merekod denyutan jantung bayi dan kadar kontraksi rahim ibu.
Emergency LSCS: Emergency lower segment Caesarean section. Pembedahan kecemasan yang dilakukan atas sebab-sebab tertentu seperti bayi lemas.

Tuesday, November 15, 2016

Branula setting: Tips


Salam w.b.t. to all.

Today I would like to share something which is really important in medical practice. It looked simple, but it could be a 'disaster' to the patient if we take it for granted.

Blood taking and branula setting are like bread and butter in medicine. We do it almost everyday in the hospital or any health institution. It is just a simple procedure we can say, but we have to practise as many as possible. Only then we would be more confident in doing so.

The very first step in every procedure, is we should pray to Allah, so that our job will be easier. Ask Him to ease the branula setting or blood taking so that our work will be smooth without much problem. This is very important.

Then comes next:

- Make sure tourniquet is applied tightly. The vein will be more prominent and visible.
- Ensure adequate exposure and lightening.
- Search for a straight vein.
- Say 'Bismillah' upon starting the procedure.
- Be confident. Don't hesitate to poke the patient.
- Upon seeing the backflow, remove the needle and push the branula gently.
- Remove the tourniquet.
- Say 'Alhamdulillah' upon successful setting of branula.

And lastly, keep practising again and again.

It could be a bit harder for beginner. But don't give up. Once you got the proper technique, apply it for all patient. Everybody has their own skills.


Wassalam and thank you.

Saturday, November 12, 2016

Takdir Ilahi

Salam w.b.t.

Apa khabar sahabat semua? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat wal'afiat.

Sewaktu saya menulis artikel ini, sudah seminggu lebih saya menjadi sebahagian daripada kakitangan Hospital Tuanku Fauziah, Perlis. Sebelumnya, saya mendapat tawaran untuk bekerja di Sarawak yang mana saya sendiri tidak bersedia untuk ke sana. Mungkin disebabkan status saya, maka saya antara mereka yang bertuah untuk bekerja di sana. :p

Alhamdulillah, rayuan untuk bertukar diterima dan saya telah ditempatkan di Perlis. Rasa syukur yang amat sangat sebab masih berpeluang bekerja di semenanjung. Namun, ada sesetengah rakan yang menasihati supaya bekerja terlebih dahulu di Sarawak, nanti mintalah tukar tempat. Pengalaman di sana semestinya berbeza daripada tempat-tempat yang lain.

Maka berhijrahlah saya ke negeri jiran, dengan harapan ditempatkan di jabatan yang diingini. Namun, perancangan Tuhan tiada siapa yang tahu. Saya telah ditempatkan di jabatan O&G. Maka bermulalah khidmat saya di jabatan tersebut sebagai pegawai.

Memang pada mulanya, saya seakan tidak percaya, dan susah untuk menerima kenyataan itu. Memang tak pernah terlintas langsung untuk bekerja di jabatan ini. Balik saja ke rumah, saya berfikir panjang. Mampukah aku? Masihkah ada peluang untuk bertukar jabatan? Memang susah untuk menerimanya, ia seakan mimpi ngeri yang datang tiba-tiba..haha

Ada orang yang minat surgical, namun tak berpeluang untuk bekerja di tempat yang diinginkan itu.
Ada yang tak minat di satu tempat, namun takdir Allah mengatakan dia harus ke situ.
Ini semua, pasti ada hikmahnya.

Teringat kata-kata seorang pakar O&G, Dr Zainol, sewaktu kami sedang bersarapan pagi di cafe hospital.

"Kalau Tuhan dah takdirkan hang jadi pakar, jadilah hang.."

Ya ini semua takdir Allah, yang kita sendiri tak boleh nak tafsirkan maksud yang tersirat. Kita hanya merancang, namun Dia sebaik-baik Perancang.

Doakan saya dan teman seperjuangan yang lain dapat menjalankan tugas kami dengan baik, untuk menjaga 2 nyawa yang sangat bernilai. Setiap kerjaya ada risikonya sendiri. Untuk meminimumkan risiko itu, perlu ada pergantungan pada Dia, mohon supaya Allah mudahkan kerja-kerja kita yang akan datang.

Wassalam...

Thursday, October 6, 2016

Strok dan Urut Tradisional

Salam w.b.t.

Apa khabar semua?
Alhamdulillah Allah masih beri peluang untuk terus bernafas sehingga ke hari ini.

Buat masa ini, saya sedang menghabiskan hari-hari terakhir cuti, sebelum kembali bekerja seperti biasa. Badan kita juga ada hak, dan rehat merupakan salah satu hak yang harus kita penuhi.

Pada cuti kali ini, saya berkesempatan menemani ayah untuk mendapatkan rawatan urut tradisional di Kedah. Serangan strok kali kedua menyebabkan tangan kanannya lemah untuk melakukan kerja harian di rumah. Tetapi beliau masih boleh berjalan dengan baik di rumah.

Lokasi di mana terdapatnya khidmat urut tradisional yang saya maksudkan terletak di Teluk Tenggiri, Jitra, Kedah. Senang saja kalau nak ke sana. Petuanya, ia berdekatan dengan SMS Kubang Pasu. Depan sikit dari sekolah (pastikan sekolah di sebelah kanan kita), kita akan bertemu simpang tiga. Belok kanan di situ dan teruskan perjalanan. Lebih kurang 500m, kita akan jumpa sebuah jambatan. Rumahnya terletak betul-betul selepas jambatan tersebut, di sebelah kanan.

Negara kita sememangnya kaya dengan makanan, syurga makanan. Apa saja kita boleh dapat. Tapi, beringatlah, di situ juga kita akan menemukan pelbagai jenis penyakit. Strok merupakan salah satu penyakit yang banyak kita boleh jumpa di hospital dalam kalangan golongan muda.

Puncanya, darah tinggi (hipertensi, hypertension). Ya darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik boleh mengakibatkan strok atau angin ahmar. Sebab itu, rawatan dengan ubat-ubatan harus diambil untuk tempoh yang lama. Tak boleh sendiri-sendiri nak berhenti.

Oh ya, lupa pula saya nak bagitau nama tuan yang berkebolehan mengurut tradisional ini. Namanya Haji Lah, sudah banyak pengalamannya mengurut orang. Beliau sememangnya pandai berurut dan tahu tempat yang sesuai untuk dilakukan urutan. Cuma, kalau kes patah, beliau akui tidak memiliki kepakaran untuk mengurutnya.


Mai try dulu..


Strok, memang perlukan bekalan ubat yang berterusan. Perlu selidik, apa punca yang menyebabkan strok. Kalau strok haba, perlukan air yang mencukupi dan elakkan berada di bawah terik mentari.
Kalau puncanya darah tinggi, maka perlulah dikawal tekanan darah. Hatta tekanan pun perlu dikawal dengan baik. Ini sangat penting.

Dan berurut bagi pesakit strok, merupakan salah satu cara rawatan yang saya fikir, baik untuk para pesakit. Dengan berurut, pengaliran darah dapat berlaku dengan lebih lancar dan ini boleh membolehkan pesakit melakukan aktiviti harian dengan lebih yakin. Anggota badan dapat kembali berfungsi, tangan dapat memegang, kaki dapat melangkah. Tidakkah ini suatu yang penuh nikmat bagi pesakit strok?

Setiap penyakit itu, ada penawarnya. Bagi pesakit strok, mereka perlu lebih bersemangat dan mempunyai minda yang positif. Cuba usahakan untuk berjalan tanpa bantuan tongkat, dan lakukan fisioterapi setiap hari. Sekiranya ini dapat dilakukan, insyaAllah mereka dapat berdikari dan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Sekian dulu daripada saya kali ini. Panjang pula saya berceloteh. Ingatkan nak kongsi sikit saja.

Semoga bermanfaat.

Wassalam..

Friday, September 9, 2016

Selamat Tinggal Houseman..

Salam w.b.t.

Apa khabar semua? Sudah lama kita tak bersua. Semoga semuanya sihat-sihat dan dalam lindungan Allah.

Syukur alhamdulillah, saya telah pun berjaya menamatkan latihan housemanship di Hospital Sultanah Bahiyah pada Rabu lepas. Semua ini tak lain hanya dengan izin Allah yang Maha Kuasa.

Sesungguhnya, ia penuh dengan cabaran, suka dan duka sepanjang bekerja dalam latihan ini. Ada masanya gembira, ada masa jatuh dan kecewa. Semua itu menuntut pengorbanan dan kerjasama sesama rakan sekerja.

Apa jua kerja yang kita lakukan, perlulah buat sebaik yang mungkin. Saya sendiri pun, masih ada yang kurang dan perlukan teguran dari semua orang. Ya, ada masanya kita rasa agak berat untuk melakukan sesuatu tugasan. Namun, kita perlu berubah dan bertanggungjawab terhadap setiap pesakit yang dijaga. Kalau kita tak mampu untuk melakukan sesuatu, perlulah diberitahu kepada rakan yang lain setelah kita mencubanya. Saya sendiri pun terkadang berasa malu dengan diri, andai ada beberapa kerja yang ditinggalkan kepada rakan lain.

Namun, saya akan tebus kesalahan itu dengan cuba menolong mereka yang memerlukan bantuan. Sehingga hari ini pun, saya akui yang diri ini juga perlu banyak belajar lagi lantaran ilmu dalam bidang perubatan ini sangatlah luas.

Sehingga kita bertemu lagi di lain masa. Akan saya kongsikan coretan kisah suka duka sepanjang perjalanan seorang houseman pada pertemuan yang lain.

Salam dan selamat berhujung minggu semua!

Friday, February 13, 2015

Zon kuning punya cerita

Salam w.b.t.

Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Cuma kita tak tau bila dan di mana nyawa kita akan diambil.

Malaysia dikejutkan dengan pemergian 2 orang figur yang hebat dalam bidang masing-masing.

Sama-sama kita doakan kesejahteraan mereka di alam sana.

.........................................................

Lokasi: Zon Kuning
Masa: Petang tadi

Kulihat seorang wanita dalam lingkungan umur 30an terlantar di atas sebuah katil. Lemah. Nasal prong dipasang untuk memberikan bantuan oksigen kepadanya. Di sisinya, seorang ibu setia menemani, memberi semangat kepada si anak.

Wujud rasa ingin tahu, lantas aku log masuk akaun di komputer untuk membaca rekod perubatannya.

'Problem: Advanced Midrectal Carcinoma, with liver, lung and bone metastasis.'

Aku: "............"

Aku bergerak mendekati mereka. Kulihat si ibu, matanya merah berair, sedih melihat anaknya sedemikian rupa. Sugul riak yang terpancar di wajah.

Aku meminta izin dari ibu untuk memeriksa keadaan anaknya. Perutnya nampak tegang dan kembung, seolah ada sesuatu yang besar saiznya. Hatinya sudah membengkak.

"Mengucap banyak-banyak.." pesan si ibu kepada anaknya. Air-air jernih mengalir keluar dari sepasang mata itu, yang menjadi saksi kepahitan hidup seorang anak.

"Sabar banyak-banyak ya mak cik. Ini semua ujian dari Tuhan.." aku cuba memujuknya.

Rasa sayu melihat keadaan mereka yang sedang diuji nie. Tapi apalah dayaku untuk melawan takdir Tuhan.

Doktor hanya perantara.
Yang menyembuhkan, hanya Allah Tuhan sekalian alam.

Sungguh kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Itu nasib mereka.

Bagaimana pula dengan kita?

Setiap orang ada ujiannya di dunia ini. Sakit itu ujian, bahagia dan nikmat pun boleh jadi ujian juga, kalau diri semakin jauh dari-Nya.

Jadi sementara kita masih sihat, marilah kita ingat Tuhan banyak-banyak, sebab ibadah semasa sihat, lebih berkualiti dan lebih kita hayati berbanding semasa kita sakit dan tiada upaya.

Wassalam...

Monday, December 1, 2014

Neurosurgeri

Salam w.b.t

Semoga kalian sihat-sihat belaka. Maafkan saya sebab dah lama tak update cerita pengganti bicara di sini. Niat nak update tu selalu ada, tapi action tu yang tak berapa nak ada.

Alasannya tak cukup masa sebab kerja. Tapi bila cuti dan ada banyak masa, tak buat2 jugak kan.

Sekarang saya bekerja di jabatan pembedahan, unit neurosurgeri. Makanya, segala apa yang berkaitan dengan pembedahan kepala merupakan bidang tugas saya buat masa ini.

Antara yang common termasuklah SDH (subdural hemorrhage), SAH (subarachnoid hemorrhage) dan ketumbuhan dalam kepala. Neurosurgeri salah satu subkepakaran yang sangat mencabar sebab nak operate kepala orang, memang suatu yang berisiko.

Common prosedur yang selalu dilakukan termasuklah decompressive craniectomy (buang sebahagian tengkorak untuk mengurangkan tekanan dalam kepala), dan cranioplasty (membentuk semula tengkorak).

Selalunya kes2 yang ada di wad melibatkan kes kemalangan jalan raya yang mana kepala selalu menjadi 'mangsa' keadaan. Ia memberi kesan yang sangat besar kepada pesakit.

Bayangkan pesakit yang terlantar di atas katil dan tidak mampu menguruskan diri sendiri dengan baik dan perlu dibantu oleh orang lain. Melihatnya saja nampak suatu beban, apatah lagi bagi yang menanggung cubaan tersebut.

Setiap pesakit neuro perlu diperiksa tahap kesedaran mereka (conscious level), menggunakan Glasgow coma scale. Skala ini menentukan tahap kecederaan otak yang dialami oleh seseorang pesakit. Ia suatu yang wajib diperiksa kepada setiap pesakit di wad neuro.

Baiklah, setakat ini dulu perkongsian dari saya yang masih bertatih dalam dunia perubatan.

Wassalam..

Friday, August 15, 2014

Cantik sinar matahari di pagi hari

Salam w.b.t.

Hari nie saya bersyukur sebab Allah bagi saya peluang untuk tengok matahari terbit di ufuk timur (ayat nak sastera ja..haha). Sebabnya, hari nie saya off. Yeahh! Boleh la nak tune balik nafas saya jadi normal..

Sudah lebih sebulan saya di Jabatan Pediatrik. Memang tiap-tiap hari asyik tengok baby atau budak-budak kecil. Kalau kat NICU tu, memang kena tahan la dengar baby menangis. Kalau sorang dah mula, maka yang lain-lain pun akan menangis juga. Macam depa dah pakat pulak nak 'kenakan' kita..hehe

Kerja sebagai HO nie memang la letih dan selalu stress. Kadang-kadang terlupa nak ambik darah adik tu, kadang-kadang blur bila nak present case kat pakar/MO. Itu semua norma hidup seorang HO. Bila balik rumah, esok nak kena pi hospital lagi. The cycle is repeating again and again.

Salah satu cara nak kurangkan stress: sembang dengan rakan HO yang lain. Setiap orang ada pengalaman masing-masing. Bila kita dengar cerita orang lain yang nasibnya hampir sama dengan kita, pasti kita takkan kisah sangat dengan masalah kita tu.

Yang lebih penting, kita jangan give up dan usaha untuk improve diri kita.

Monday, July 14, 2014

Posting pertamaku

Salam w.b.t.

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian? Sudah lama kita tak bersua. Lama jugak la saya tak update apa-apa di sini.

Mungkin disebabkan kesibukan bekerja, masa yang ada memang cukup terbatas. Bila habis kerja, balik rumah rasa nak rehat dan tidur terus saja. Masa yang ada kena guna betul-betul sebab itu saja la masa yang ada untuk berehat di rumah.

Sekarang saya ditempatkan di Jabatan Pediatrik sebagai posting pertama. Lebih spesifik lagi, di bahagian NNJ (neonatal jaundice) & sepsis.

Di sini, kami harus menjaga bayi-bayi yang mengalami sakit kuning dan yang mempunyai jangkitan kuman.

Ia suatu kerja yang mencabar jugak la sebab kita kena tahu paras bilirubin dalam darah, dan bila kita nak mulakan rawatan fototerapi. Memang selalu la jugak kena ambil darah untuk diperiksa paras bilirubin yang menyebabkan jaundis.

Pediatrik salah satu bidang kepakaran yang saya minat. Namun apabila mula bekerja di sini, ia suatu tanggungjawab yang berat sebenarnya (semua posting pun sama ja susahnya).

Apa yang lagi penting, minat kita untuk belajar dan kita tak mudah give up walaupun selalu kena marah, kena tengking. Mula-mula kerja dulu pun saya selalu saja rasa tertekan, tapi lama-lama dah ok. All is well la orang kata..

Itu dulu la...lain kali saya update lagi..

Salam...

P/s : Rasa marah juga dengan tindakan rejim Zionis yang membabi-buta serang rakyat Palestin. Operasi perlindungan kononnya, padahal saja nak cari pasal dengan negara lain.. Semoga Allah hancurkan mereka sang penindas....

Thursday, June 12, 2014

Aku Seorang Bekas Pelajar

Salam w.b.t.

Alhamdulillah PTM dah nak habih pun. Esok last day kat Adamson Hotel nie. Minggu depan dah start kerja InsyaAllah..

Macam-macam ilmu yang dikongsi sepanjang berkursus di sini. Semuanya berkaitan dengan tugas seorang penjawat awam yang wajib kami semua ambil tahu. Kami sekarang telah pun dilantik untuk berkhidmat di tempat masing-masing. Gaji pun katanya dah jalan, so memang tak boleh skip la kursus induksi nie.

Alhamdulillah, dapat jugak hospital yang dipohon. Lepas nie kena la prepare mental betul-betul, be positive and enjoy the work. =)

Untuk pengetahuan semua, Adamson Hotel terletak berdekatan dengan Stesen Monorel Chow Kit. Jalan kaki pun bole kalau nak ke sana. Hotel nie pun berhampiran dengan Hospital Kuala Lumpur. So nak ke Kamal Book Store pun dekat la jugak kan..

Itu la serba sikit update kali nie. Need to sleep now after our sketsa performance..hehe..

Doakan saya dan kawan-kawan yang bakal bekerja nanti ya. Banyak benda nak kena setel balik rumah nanti..

Wassalam....

Saturday, May 31, 2014

Program Transformasi Minda katanya...


Salam w.b.t.

Minggu demi minggu berlalu. Rupanya, sudah 2 bulan lebih saya bercuti dan memegang jawatan sebagai penanam anggur yang berjaya seterusnya menjadi contoh kepada pekebun-pekebun yang lain..haha

Tidak lama lagi, saya bakal menamatkan kerjaya sementara ini kerana panggilan kerja yang lebih utama telah pun saya terima. InsyaAllah dalam masa seminggu lagi, saya akan ke KL pula untuk mengikuti kursus induksi atau bahasa modennya, Program Transformasi Minda (PTM) selama 5 hari. Selepas itu, barulah kami akan memulakan tugas di tempat dan suasana yang baru. Ini bermakna saya punya masa dalam seminggu saja lagi untuk berehat dan bersantai di rumah sambil bergelak ketawa bersama ahli keluarga. Selepas ini, mungkin saya sudah tidak punya waktu untuk berehat memandangkan tugas dan amanah yang menanti.

Kursus induksi akan diadakan di Adamson Hotel, KL. Dengar nama pun dah grand semacam kan. Entah kat mana la nak cari hotel nie. Lalu saya pun bertanya yang arif Mr. Google mengenai lokasi hotel yang dimaksudkan. Hotel nie letaknya berdekatan dengan Stesen Monorail Chow Kit, dalam 5 minit berjalan kaki untuk ke sana. So, kalau pandai guna public transport (dan memang wajib kena tau guna pun), memang mudah la nak ke sana kan. Memang jimat kos pun.

Ingatkan ada la geng satu universiti yang dapat hotel yang sama. Ada la teman jugak ye. Sekali depa pulak dapat hotel yang lain. Yang bestnya, depa ada teman pulak tu. Makanya, saya kena la bawak diri sorang-sorang dan cari kawan baru. Tak pa, itu semua akan jadi pengalaman dan asam garam dalam hidup. Kita berkawan kena la ramai. Pada masa yang sama, mungkin boleh develop a new network plus practise my interpersonal skills yang saya saya masih kurang kat situ.

Semasa cuti nie jugak, saya ada la bersembang dengan beberapa orang senior dan bertanyakan mengenai apa persediaan yang perlu ada sebelum masuk bekerja. Kata mereka, kena prepare fizikal dan mental sebab tempoh 2 tahun housemanship merupakan suatu tempoh yang sangat mencabar. Banyak yang perlu dipelajari dan diasah semasa tempoh itu. Apa yang lebih penting, niat asal kita apabila bekerja. Kalau kita ikhlas nak tolong orang, insyaAllah urusan kita akan dipermudahkan.

Satu lagi, kena positif sewaktu bekerja nanti. Be positive. Ada kalanya apabila kita bekerja tu, tiba-tiba saja pesakit A sesak nafas padahal sebelum tu dia ok sewaktu kawan kita sedang bertugas. Pesakit Y yang sedang berbaring tiba-tiba pengsan sedangkan waktu sahabat kita bekerja, dia baik saja siap bersembang lagi dengan orang lain. Ini kalau orang hospital depa akan cakap, hang dah kena cop jonah. Orang kita kata bala. Ada yang mengatakan bahawa istilah ini tidak sesuai dijadikan sebagai label kepada seseorang kerana ia ada kaitan dengan seorang Nabi. Apa-apa pun, bagi saya personally, orang yang jonah nie dia akan banyak belajar kerana kes2 kecemasan nie bukan semua orang akan dapat merasainya. Hanya mereka-mereka yang terpilih sahaja. Memang tak dinafikan, semakin banyak kes kecemasan yang diuruskan, semakin cekap seseorang dokto itu dengan syarat, dia serius hendak belajar dan sentiasa bersemangat untuk melakukan apa jua prosedur yang diperlukan. InsyaAllah, kalau berlaku apa saja kes yang mana orang biasa akan cepat gelabah pada masa depan, dia dengan coolnya dapat handle situasi tersebut dengan baik. Sebab apa? Sebab latihannya cukup dan dia tahu apa yang perlu dilakukan pada masa itu.

Kata senior itu lagi, sebaiknya jangan masuk posting OnG (Obstetric n Gynecology) kalau baru masuk kerja sebagai first poster. Saya pun dapat mengagak kenapa dia berkata demikian. Tekanan kerja di jabatan tersebut memang tinggi dan kesabaran juga diperlukan di situ. Kalau tahu dan dah pernah buat prosedur asas seperti ambil darah, masukkan IV line, saya rasa mungkin boleh survive kut. Mereka cadangkan supaya masuk Medical atau Surgery dahulu. Harap-harap dapat la.

Eh, panjang dah rupanya saya bercerita nie. Al maklumlah, orang yang dah lama tak share apa-apa sepanjang cuti, bila dapat peluang tu, memang susah nak berhenti..haha

Saya harap dapat la kerja di hospital yang saya mintak iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah. Entah mana la yang saya kena hantar nanti. Mohon doanya dari semua ya.

Wassalam.... (",)


Saturday, February 22, 2014

Berakhirnya Satu Fasa

Salam w.b.t.

Syukur alhamdulillah. Selesai sudah majlis konvo batch pertama KIMS University di Karad nie. Walaupun suasananya sedang-sedang saja, rasa puas hati la jugak sebab dapat pakai jubah konvo plus topi empat segi tu.

Sebelum nie asyik tengok gambar kawan-kawan saja yang dah grad. Kali nie, giliran kita la pulak. Pagi hari konvo tu, rasa macam pagi raya pun ada sebab nak kena bersiap-siap la dulu apa yang patut.


Dah macam kenduri kahwin la pulak..

Akhirnya, perjuangan kami selama hampir 6 tahun berakhir sudah. Selepas nie, kami akan menghadapi suasana kerja di tempat yang baru pulak.

Gembira ada, sedih pun ada. Orang putih kata, mixed feeling.

Rasa best sebab segala usaha kita sepanjang tempoh pengajian yang lama tu membuahkan hasil akhirnya. Ia suatu perjalanan yang sangat mencabar, suatu tempoh yang cukup lama. Ujian demi ujian mendatang, hidup sentiasa tak tenang, ada masa suka, ada masanya duka, dan macam-macam lagi la.

Semua itu menjadi suatu pengalaman hidup yang cukup bermakna buat saya.



Sedihnya, sebab tak tahu la bila pulak akan menjejakkan kaki di sini lagi lepas nie. Ada seorang pak cik kedai nie, apabila dapat tahu saya akan pulang terus ke Malaysia selepas nie, terus mengingatkan saya untuk tidak melupakannya..

"Don't forget me ok?"


Rakan sekerja..

Dr. Usgaonkar, pensyarah FMT (Forensic Medicine & Toxicology).
 
Walaupun dah habis study di sini, saya tetap kena teruskan belajar dan tambah ilmu sampai la saya dijemput menghadap Ilahi suatu masa nanti. Proses belajar tu takkan berhenti sampai bila-bila.

Terima kasih saya ucapkan kepada mama, abah, serta ahli keluarga dan saudara-mara yang telah mendoakan kejayaan saya ini.


Dinner with Puan Ann Sabrina, JPA Officer based in Chennai.. Thanx puan sebab sudi datang ke Karad..



Tidak lupa juga kepada pihak JPA (our sponsor), cikgu-cikgu di Tadika Al-Watan, SK Tun Hussein Onn, SK Beseri, SMS Tuanku Syed Putra, para pensyarah Kolej Teknologi Timur, Sepang yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

Last but not least, kepada semua pensyarah Krishna Institute of Medical Sciences University (KIMSU) yang telah gigih mendidik kami sehingga ke tahap ini.



Syukran Jazilan !
Bohot Shukriya !
Abhari Ahe !
Arigatou Gozaimasu !
Spasiba Balshoi !

Buat adik-adik junior KIMS, all the best in your study! Semoga korang semua dapat buat yang lebih baik dari kami. Have faith and you will succeed in your life... (",)

Wassalam w.b.t.

 




Friday, January 24, 2014

12 Bulan yang Sepantas Kilat



Salam w.b.t.

Syukur Alhamdulillah, dengan izin dari Allah, tamatlah sudah fasa praktikal (internship) pada Isnin yang lepas. Tempoh masa setahun itu dirasakan begitu cepat berlalu meninggalkan kita semua. Banyak kenangan pahit manis sepanjang tempoh itu yang telah saya lalui.

Saya sendiri selalu berfikir mengenai apa yang telah saya lakukan sepanjang tempoh setahun ini. Banyak kerjanya, atau banyak masa rehatnya.

Adakah saya telah memanfaatkan setiap ruang masa yang ada untuk berkhidmat kepada masyarakat di sini? 

Adakah semangat untuk bekerja dan berbakti itu sentiasa bertambah sepanjang tahun, atau ia kekal flat ibarat garisan lurus ECG pesakit yang sudah meninggal dunia.

Adakah semangat yang berkobar-kobar semasa posting pertama dahulu, masih saya rasakan sehingga posting yang terakhir?

Adakah selepas ini, saya boleh berdikari apabila datang seorang pesakit diabetes atau pesakit darah tinggi yang inginkan nasihat daripada saya?

Itulah yang kembali bermain di fikiran setelah habisnya internship di sini.

Pernah suatu ketika, seorang senior kami di Jabatan Obstetrik & Ginekologi mengatakan bahawa "it's a shame for u guys if u don't know how to give injections. The internship is almost over for u all.." huhu

Kata-katanya masih saya ingat sampai sekarang. Ya benar, apabila sudah habis belajar, kita merasakan nikmatnya hidup dan ingin rehat seketika mungkin. Namun, apabila kita mula menggalas tanggungjawab sebagai seorang pekerja yang kerjanya deal dengan nyawa orang lain, maka kita perlu ambil serius mengenainya. Setiap kerjaya yang berbeza ada responsibilitinya masing-masing.

Setelah kita bekerja, kita kena pastikan kita betul-betul bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan itu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, bak kata orang kita.

Sewaktu saya masih seorang interns dahulu (dan masih lagi belajar sampai sekarang), saya selalu berdoa supaya Allah pelihara kesihatan saya supaya dapat saya berikan khidmat yang terbaik kepada pesakit di sini. Kadang-kadang tu, ada la juga perasaan malas bertandang dalam diri yang serba kurang ini. Namun saya sentiasa harap saya dapat tolong para pesakit meringankan beban yang mereka sedang tanggung. 

Salah satu cara, adalah dengan berkomunikasi dengan mereka sendiri. Biarlah cakap broken sekali pun, sembang-sembang yang sedikit itu walau sekadar bertanya khabar, mungkin dapat meringankan beban mereka yang sedang diuji. Selalunya pesakit pasti tidak akan melupakan doktor yang merawat mereka andai mereka terserempak dengan kita di mana-mana.

Suatu masa dulu, semasa saya bertugas di Jabatan Perubatan, ada seorang pesakit lelaki ini dalam 20-an umurnya kalau tak silap saya, menghidap kencing manis. Paras gula dalam darahnya agak tinggi juga, dan dia mempunyai masalah pundi kencing di mana ia tidak dapat berfungsi untuk mengeluarkan urine (atonic bladder).

Untuk mengatasi masalah tersebut, satu tiub kencing (Foley's catheter) harus dimasukkan untuk mengeluarkan urine yang berkumpul dalam pundi kencingnya. Itu merupakan hari pertama saya di jabatan tersebut dan saya diajar bagaimana untuk memasukkan tiub tersebut. Itulah prosedur ringkas pertama yang saya belajar. Walaupun ia nampak mudah, ia tetap perlukan latihan dan keyakinan untuk melakukannya.

Beberapa hari selepas itu, saya lihat pesakit yang sama sedang berkemas untuk keluar dari wad. Mungkin keadaannya sudah semakin stabil. Dia pun memanggil saya,

“Doktor, doktor. Nak nombor telefon..”

Pintanya dengan penuh harapan, sambil menghulurkan sebuah buku nota kecil kepada saya. Saya ambil dan tuliskan nombor sebagaimana yang diminta olehnya. Saya juga menasihatkannya supaya mengambil ubat mengikut waktunya. Dia cuma mengangguk dan tersenyum lebar, tidak menampakkan sebarang riak kesakitan yang pernah ditanggungnya sebelum ini.

Terdetik dalam diri, bagaimanakah nasibnya sekarang. Apakah dia sudah semakin sihat atau sebaliknya. Hanya Tuhan yang tahu. Semoga dia semakin sembuh seperti biasa...

Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsikan di sini. Setiap satu daripadanya, manis mahu pun pahit akan menjadi bekal untuk saya pada masa hadapan.

Daripada perasaan yang berdebar-debar ketika mengambil darah bayi sampai berpeluh tangan (hahaha), sampailah sedikit konfiden untuk mengambil darah orang dewasa, pengalaman itu semua akan saya kenang sampai bila-bila.

Sekurang-kurangnya, kalau orang tanya, saya boleh la katakan yang saya pernah buat beberapa prosedur yang mudah. Paling tidak pun, saya boleh katakan yang saya pernah tengok beberapa kali sampai berpinar-pinar kepala jadinya. (ini hiperbola..)

Salah seorang pensyarah subjek FMT (Forensic Medicine & Toxicology) saya, Dr. Usgaonkar pernah memberikan nasihat kepada saya sebelum saya mula berpraktikal di sini. Katanya,

“Mal, hang ambik peluang waktu internship nie belajaq macam2. Apa2 kerja atau prosedur yang ada, hang buat ja. Bagi biasa n cekap... Baru la ada pengalaman bro..”

Ok, lebih kurang macam tu la, kecuali part bro tu...hehe

 Waktu tu punya la semangat nak belajar macam-macam. Bukan apa, kawan-kawan semua dah mula praktikal lagi awal dari saya. Mana boleh kalah kan..haha

“What do you want to learn here?” Tanya seorang senior kepada saya sewaktu hari pertama di Jabatan Perubatan.

“I want to learn about the procedures...”

Itulah serba sedikit apa yang saya dapat setelah habis kontrak kerja di sini. Semoga ia boleh menjadi pengajaran kepada kita semua. Semoga adik-adik junior KIMS yang baca celotehku ini (kalau ada la), dapat jadi lebih baik daripada saya.

Ok la, setakat ini dulu. Terima kasih sebab sudi baca sampai habis..

Ciao!


Wassalam.... (",)

Monday, December 30, 2013

Angin Merah


Salam w.b.t.

"BUZZZzzz..."

Hensetku bergetar menandakan ada mesej baru masuk. Lalu aku pun keluarkan henset dari poket dan membaca mesej yang dihantar oleh adikku.

"Nak tanya nie..tiba2 badan abah sebelah kanan semua krem x leh gerak..cakap pun x boleh..pasaipa hah??

Sebaik saja aku baca mesej itu, satu saja diagnosis yang mula bermain-main dalam fikiran. Stroke, atau orang kita panggil 'angin ahmar'.

Abah memang mempunyai tekanan darah yang sangat tinggi sebelumnya dan bergantung kepada ubat hospital untuk menstabilkan tekanan darahnya. Mungkin disebabkan ubat yang tidak diambil mengikut masa, maka berlakulah komplikasi stroke tersebut. Tekanan darah melampau yang tidak dikawal memang menjadi sebab kepada berlakunya stroke attack.

Beliau juga mempunyai simptom sebelah badan yang tidak boleh digerakkan. Ini juga merupakan salah satu ciri serangan angin ahmar.

Aku terus menasihatkan mereka supaya membawa abah melakukan pemeriksaan kesihatannya itu. Aku kira, pemeriksaan ketika berlakunya apa jua penyakit yang datang mengejut (acute) lebih afdhal dilakukan tanpa sebarang penangguhan kerana simptom ketika itu lebih reliable. Dan diagnosis sudah pasti akan lebih tepat berdasarkan simptom yang ada.

Setelah pemeriksaan dilakukan, memang benarlah ia merupakan serangan angin ahmar yang sering berlaku kepada mereka yang berada dalam usia emas.

Doktor menasihatkan abah dimasukkan ke wad untuk beberapa hari supaya pemantauan boleh dilakukan oleh pakar. Aku yakin dengan keputusan itu kerana abah sememangnya perlukan rehat yang cukup. Perlu ada suasana yang tenang untuk membantu penyembuhan dirinya itu.

Hari ini, kesihatan abah sudah semakin baik. Tangan dan kakinya sudah boleh digerakkan semula. Namun, beliau masih tidak cukup kuat untuk berjalan sendiri dan perlu dipimpin oleh orang lain. Setiap hari, fisioterapi perlu dilakukan untuk mengembalikan fungsi otot kaki dan tangan seperti sediakala.

Syukur alhamdulillah..

Aku hanya mampu mendoakannya dari jauh sahaja. Mahu sahaja aku pulang ke tanahair, namun masih ada lagi tugas di sini yang belum selesai. Ada lagi jiwa-jiwa yang terlantar di sini yang memerlukan khidmat aku. Semoga aku dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan penuh komitmen terhadap pesakitku.

Pun begitu, aku tetap bersyukur sebab aku punya adik yang setia menjaga abah di rumah. Terbit juga rasa cemburu di hati kerana mereka dapat peluang untuk berbakti kepada orang tua, sesuatu yang wajib ada dalam rutin hidup seorang anak.

Aku juga punya sanak saudara yang tidak jemu meringankan beban keluargaku di sana. Sahabat handai abah pun ada datang melawat juga, baik yang jauh mahu pun yang dekat. Terima kasih aku ucapkan kepada kalian. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.

Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi yang ingin pergi berperang bersama Baginda. Permintaannya ditolak memandangkan dia masih punya ibu dan ayah yang lebih utama untuk dijaga. Ini membuktikan betapa tanggungjawab menjaga mak ayah itu lebih tinggi prioritinya.

Kata Kak Fynn, tengok wajah kita di cermin pasti akan ingatkan kita pasal mak ayah
Kata aku, tengok saja steto nie pasti akan ingatkan aku pasal asal-usulku.. hehe
 

Mungkin medan amalku adalah kepada ibu-ibu atau bapa-bapa di sini. Jadi aku juga perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka sebagaimana aku inginkan layanan yang terbaik buat ibu dan abahku daripada orang lain.

Akhir kalam, kepada yang masih ada ibu dan ayah, kepada yang masih boleh menatap wajah mereka secara live, layanlah mereka sebaik yang mungkin. Hidup kita ini tidak lama sebenarnya dan sentiasa akan ada kejutan. Jadi buatlah persiapan kerana hidup ini bukan sekadar untuk berseronok melainkan ia tempat untuk kita diuji dengan bermacam ujian. Dunia ini medan ujian, keputusannya akan diketahui suatu masa nanti.

Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Wassalam...

Saturday, December 28, 2013

Rumahku, Bilik bersalinku...


Salam w.b.t.

Saya pernah memberitahu sebelum ini bahawa saya akan berkongsi cerita-cerita suka duka dunia medik di Aku & Stetoskop sahaja. Namun, sejak akhir-akhir ini, banyak pula isu yang timbul yang saya kira saya cukup sedih dan marah apabila membaca mengenainya. Entah kenapa, pada zaman yang serba moden ini, masih ada segelintir daripada masyarakat yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat daripada golongan yang lebih ahli dalam bidang itu.

Maka, saya kira perlu untuk saya kongsikan pendapat saya di sini mengenai isu yang dibangkitkan tersebut supaya masyarakat dapat membuat pilihan yang lebih bijak pada masa akan datang.


Ibarat kain putih yang membaluti tubuh mereka di saat mereka lahir ke dunia.


Apa yang akan saya kongsikan sedikit sebanyak telah pun dihuraikan secara panjang lebar oleh doktor-doktor yang sedang bekerja sebagai HO di tanahair. Banyak kisah pengalaman mereka yang saudara/saudari boleh baca dan ambil iktibar daripada kisah tersebut.

1. Isu doktor lelaki di bilik bersalin.

Salah satu isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan bakal ibu di negara tercinta. Saya tidak kata semua bakal ibu, cuma sebahagian dari mereka. Oh, isu vaksin itu pun cuma sebahagian dari masyarakat juga, bukan semua ibu bapa yang menentangnya. Takut pula disalah tafsir kemudian hari.

Kebetulan saya sedang dalam posting di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology/OBG). Maka saya rasa terpanggil untuk turut berkongsi sesuatu di sini mengenai isu 'haramnya' doktor lelaki di bilik bersalin.

Setiap doktor, baik lelaki mahu pun perempuan harus menguasai semua disiplin ilmu yang ada dalam bidang perubatan, termasuklah bidang yang berkaitan wanita. Tiada alasan yang boleh diberi. Sekurang-kurangnya, setiap doktor perlu ada kemahiran untuk assist kelahiran bayi. Dan semasa assist tu, mestilah kita akan dapat tengok macam mana doktor senior sambut bayi tu. Dari situ pun kita dah boleh belajar sesuatu mengenai kelahiran bayi secara normal.

"Maaflah, den tak pernah pun sambut baby.."

"Macam mana ghupa crowning tu ek?.."

Habis caca merba satu bilik bersalin tu bila doktor lelaki yang bakal menamatkan zaman HOnya pun tak tahu macam mana nak manage pesakit di bilik bersalin. Ada sebahagiannya yang request nak doktor perempuan saja la sewaktu bersalin, tapi aurat di wad pula yang tak dijaga. Apa ceritanya nie?

Kalau nak request doktor perempuan juga, simpanlah duit cukup-cukup pastu pergilah bersalin di hospital swasta ka. InsyaAllah boleh dapat. Kalau di hospital kerajaan tu, kenalah banyakkan berdoa minta Allah bagi doktor yang terbaik semasa bersalin tu.

Boleh baca di sini untuk kes-kes kecemasan semasa bersalin.


2. Isu bersalin di rumah. (Natural birth, AMANI birth, lotus birth)

Ini pun satu lagi isu yang buat saya panas hati dan sedih. Tambahan pula, minggu lepas berlaku satu kes kematian ibu yang melahirkan anaknya di rumah tanpa pengawasan doktor yang berpengalaman. Cuma pemantau (doula) yang menjadi peneman saat melahirkan anak tersebut. Berlaku komplikasi, akhirnya ibu pergi meninggalkan anaknya untuk menghadap Ilahi..huhu..

Si doula boleh pula kata setiap kematian itu sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Ini qada' dan qadar. Ini memang statement untuk melepaskan diri. Padahal kita ada dua pilihan, pilihan yang baik (yakni memelihara nyawa) untuk kita ikut dan pilihan yang buruk untuk dijauhi. Memang saya marah dengan kenyataan si pemantau yang nampak sangat nak lepaskan dirinya dari segala tanggungjawab. Haish...

Tempat yang paling selamat untuk bersalin, semestinya di hospital/klinik. Sebab apa? Kemudahan ubat, alat-alatan yang di hospital tanahair, saya kira sudah serba cukup. Doktor yang bertugas pula pasti mempunyai ilnu yang cukup, paediatrician yang standby untuk handle bayi yang dilahirkan, atau resuscitate bayi yang bermasalah. Semuanya sudah ada. InsyaAllah, ibu dapat melahirkan anak tanpa sebarang komplikasi.

Kalau tak reti bersyukur jugak, datanglah ke sini. Mai tengok macam mana keadaan wad dan bilik bersalin di sini, tempat saya sedang bertugas ini. Pastinya kalian akan rasa bersyukur dengan hospital di tempat kita. 

Namun, ada sebahagian daripadanya yang memilih kaedah bersalin di rumah sahaja. Ada antaranya yang sudah berpengalaman melahirkan anak di rumah. Jadi, mereka rasa di rumah lagi selesa. Kot la. Tak payah ke hospital pun tak apa. Kat rumah sebelum nie ok ja.

Saya pun tak tahu la macam mana nak hadapi golongan macam nie sebab saya belum lagi bekerja di tanahair. Setakat yang saya tahu, di sini kalau kita suruh pesakit admit di wad, mereka tidak akan membantah.

Pernah suatu masa dahulu, semasa practical exam untuk subjek Paediatrik (Kanak-kanak), saya ditakdirkan Allah mendapat kes Cerebral Palsy. Ini berkaitan sistem saraf (Nervous System) yang mana tiada siapa pun mahu mengambil risiko untuk membentangkan kes tersebut, namun Allah telah pilih saya akhirnya untuk kes itu.

Daripada history pesakit, rupanya dia dilahirkan di rumah dan dibantu oleh bidan sahaja. Semasa kecil, berlaku jangkitan pada dirinya sehingga menyebabkan kecacatan otak yang kekal. Seingat saya juga, ibunya sudah meninggal dunia ketika itu (tahun lepas) dan ibu saudaranya yang menjaganya di wad. Sedih pula dengan kisah hidup pesakit itu. Entah bagaimana nasibnya ketika ini.

Untuk info lebih lanjut tentang hukum home birth, boleh rujuk di sini.

Panjang pulak coretan kali nie. Itulah serba sedikit apa yang saya rasa tentang isu yang melibatkan para doktor di OBG Department. Semoga segala pencerahan oleh doktor-doktor yang pakar tersebut boleh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengubah persepsi mereka terhadap isu bersalin ini.

Kita kena sedar, betapa tabahnya pakar OBG wanita yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka demi menyelamatkan nyawa ibu yang segender dengan mereka serta nyawa bayi dalam kandungan. Nak handle pesakit sama gender nie, terkadang boleh jadi emosi jugak tau sebab mereka faham apa perasaan pesakit itu, keperitan dan kesakitan ketika melahirkan anak.

Itulah dia pengorbanan para doktor di bilik bersalin di Hospital, baik kerajaan mahu pun swasta. Jangan kita ego, dan tidak menghargai jasa mereka itu.

Sekian sahaja buat kali ini.

Saya memohon maaf andai ada terkasar bahasa kepada sesiapa yang berkenaan. Tiada niat untuk menyindir siapa-siapa, cuma untuk meluahkan apa yang terbuku di hati setelah sekian lama. Saya cuma manusia biasa, yang masih sedikit ilmunya, yang masih bertatih untuk menyambut bayi, yang masih perlu banyak belajar lagi. Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.. (",)

Wassalam....

Thursday, December 19, 2013

Seorang Ibu Yang Tabah


Salam w.b.t.

Katanya pada zaman sekarang, ramai yang memilih untuk melakukan pembedahan Caesarean ( Caesarean section/ C-sec/CS) semasa hendak bersalin. Ibu saudara saya turut mengatakan benda yang sama juga. Kerana apa? Sebab ibu atau bakal ibu tersebut tidak tahan dengan kesakitan ketika melahirkan anaknya itu. Lalu, mereka lebih rela memilih alternatif pembedahan untuk mengelakkan rasa sakit ketika bersalin.

Bersalin memang suatu yang sangat menyakitkan. Saya yang sedari awal berada di Labour Room sebelum bayi keluar pun kesian tengok para ibu yang terpaksa mengerah tenaga untuk meneran (bear down/push) semasa proses kelahiran itu.

Namun percayalah wahai ibu-ibu sekalian, terutamanya yang Muslim, betapa banyak pahala yang ibu-ibu dapat disebabkan ketabahan dan kesabaran ibu semasa bersalin. Lelaki belum tentu dapat menahan kesakitan yang sama.

Memanglah bersalin melalui pembedahan tu tak la sakit mana pun. Namun, komplikasi selepas pembedahan lebih banyak berbanding bersalin secara normal. Luka yang perlu dijaga juga kecil dan cepat sembuh kalau kebersihan diri dijaga sebaik mungkin.

Apa-apa pun, pilihan di tangan masing-masing. Buatlah pilihan yang bijak. Buat ibu yang memilih kelahiran secara normal, anda sememangnya seorang yang sangat kuat dan gagah kerana, pain threshold anda sangatlah tinggi (kata seorang rakan saya di fb) hehe


Wednesday, October 16, 2013

Eid Mubarak : A story of sacrifice


Salam w.b.t.

Tomorrow will be the celebration of Bakri Eid or Hari Raya Aidiladha in India, one day after the celebration in Malaysia. This is the 6th time I celebrate the festival here in this foreign land. As I've been here for almost 5 years already, I think this land is no more foreign or alien to me. This part of world where I stay right now is like a hometown to me.

The people of this place, the culture of those people and the different environment here are something that give a lot of sweet memories for me. Eventhough sometimes I do miss my homeland, my friends here are like my own family. The local people here are like my parents and my relatives although we are from different background. The different race and religion doesn't mean that we cannot develop the bond with each other. Those are only external factor while what matters most is the value that is nurtured within that person.

During my medical posting before this, there was this one female patient in her 50s who came with paralysis of the right side of her body due to subarachnoid hemorrhage (SAH). That problem of SAH arose from chronic severe hypertension as the precipitating factor.

One of her son, a mechanical engineer happened to know English a bit, and we talked for a while. I knew that he is a good son based on the information that I extracted from him. He said that, his monthly income is just sufficient for his family. He could get more salary if he works overseas but, he resists considering of her mother's condition and nobody is going to take care of her.

A big amount of money sometimes doesn't guarantee a happy life. This is what he feels, and it is such a good thought. Really an astounding thought.

Every son and daughter should have this kind of attitude. I really really hope that I can still spend quality time with my family when I am working in the future.

He even invite me to his house anytime I'm free.

"There is one culture of Indian people. When you met someone and talked with them, you already make a relationship with them. So you have to come to their house and have a cup of chay (tea) at least.."

What a nice gesture he has. I promise that I'll come to his house one day.

And last time I heard from him, his mother got dysentery upon returning home. huhu. If the condition worsen, they have to come back to the hospital and get the proper treatment.

Every patient has their own story. And we should know that one day maybe we will become that patient, and by that time only do we realise how important is a good health to us.

As long as we are healthy, let's do our best in everything that we are doing.

And the above line marks the end of this posting for this time.



EID MUBARAK to all my fellow Muslims wherever you are!

Wassalam...

p/s : Congratulations to all my friends in Bangalore who passed their final year MBBS. May Allah eases their upcoming duty in Malaysia to serve the ummah. InsyaAllah... (",)

Tuesday, October 1, 2013

Monolog


"Akmal, now you can go back. Get a good rest. Tomorrow I'll be shifted to Casualty. Inform me when you have finished medicine posting. We'll celebrate.. " kata seorang senior kepadaku.

Tiba-tiba diri ini berasa sebak.

"Ok.." aku membalas sambil senyum sekadar yang mampu.

Terus aku halakan pandangan ke arah case paper pesakit di hadapan sambil membaca nota yang dicatatkan di situ.

Sedih kerana senior unitku ini akan bertukar ke unit baru iaitu casualty selama sebulan. Begitu cepat masa berlalu.

Banyak juga yang aku belajar daripadanya, walaupun cuma seminggu lebih bekerja dengannya. Tetapi apabila beliau akan bertukar unit, rasa hiba la jugak sebab pernah bekerja sekali di bawah unit yang sama.

Bak kata seorang kawanku, PG datang dan pergi. Pasti akan ada yang menjadi pengganti.

Hidup perlu diteruskan, kerja perlu jalan. Bertemu dan berpisah itu adat.

Bagaimanalah rasanya apabila orang yang paling kita sayang akan pergi meninggalkan kita suatu hari nanti. Atau pun kita dulu yang kan dijemput pergi.

Thursday, September 26, 2013

Perginya Seorang Bekas Menteri Besar


Salam w.b.t.

Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Kematian itu suatu yang pasti dalam hidup manusia. Kalau sudah tertulis saat kematian seseorang itu, tidak akan dipercepat atau dilewatkan walau sesaat. Hatta sepakar mana pun doktor itu, segempak mana pun seorang bomoh moden itu, pasti dia tidak boleh melawan takdir yang sudah tertulis itu.

Pada hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang pemimpin yang cukup hebat dan disanjungi oleh kawan mahupun lawan, iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak. Bekas Menteri Besar Kedah ini telah pulang ke rahmatullah setelah mengalami komplikasi jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.



Seorang pemimpin yang boleh masuk dengan semua orang berdasarkan apa yang diceritakan oleh orang ramai. Bahkan Allahyarham juga disenangi oleh semua orang disebabkan sifatnya yang boleh bercampur dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik.

Melihatkan beliau, teringat pula diri ini kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden Pas. Sungguh hebat qudwah yang ditunjukkan oleh mereka berdua. Namun hari ini, Allah lebih menyayangi Ustaz Azizan.

Seluruh rakyat negeri Kedah berasa sedih dengan pemergian beliau. Cuaca dikatakan mendung pada siang tadi, seolah-olah alam turut meratapi kehilangan seorang tokoh hebat ini. huhu

..................................................................

Masalah jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Serangan jantung yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ia suatu yang serius.

Sekiranya ada antara ahli keluarga anda yang telah lanjut usianya mengadu sakit dada, sukar untuk bernafas dan mengalami bengkak di bahagian kaki, segeralah membawanya berjumpa doktor kerana ia antara simptom jantung yang bermasalah.

Keadaan di ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak kurang sibuknya apabila ada kemasukan baru (new admission). Keadaan bertambah tegang sebentar tadi apabila tiba-tiba salah seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru (pneumonitis) berhenti bernafas. Dia turut mengalami masalah buah pinggang dan mesin dialisis digunakan untuk mengatasi masalah kegagalan buah pinggang tersebut.


ICU

Seorang doktor senior segera melakukan chest compression namun kadar denyutan nadi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Dan akhirnya setelah pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan. Di luar ICU, kelihatan beberapa orang ahli keluarga menangis dan meratapi kematiannya. Sedih.

Doktor juga manusia biasa. Doktor bukannya Tuhan.

.....................................................................

Bagaimanalah agaknya saat nyawa dicabut. Kata arwah tok saya, ada sekumpulan malaikat yang akan turun dan memegang tangan serta kaki kita saat nyawa ditarik keluar oleh malaikat Izrail. Kalau tidak, melompatlah manusia itu. Wallahua'laam. 

Teringat pula suasana ketika doktor sedang cuba melakukan intubation kepada pesakit yang baru mati itu. Dia meronta-ronta. Kami terpaksa memegang tangan dan kakinya untuk memudahkan prosedur tersebut dilakukan.

Hidup dan mati silih berganti.

Hari ini sebahagian nyawa diambil kembali.

Esok lusa akan ada nyawa baru yang dilahirkan.

Akhir kalam, apa persiapan kita dan saya lebih-lebih lagi untuk menghadapi kematian yang bakal datang menjemput.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan yang Dia redha.

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...