Wednesday, August 10, 2011

Mamlakah Sulaiman A.S.



Salam w.b.t.

Peranan hati yang bersih mencerminkan keperibadian yang unggul. Insan yang hatinya dekat pada Rabbnya sentiasa merasakan hidupnya tenang sekalipun pelbagai masalah sedang dihadapinya.

Hati yang tulus, hati yang penuh dengan kefahaman tentang sifat-sifat Pencipta menyedarkan insan betapa kerdilnya sebaik-baik makhluk ini.

Menjaga hati bukan sahaja melalui ibadah fardhu atau sekadar zikir-zikir yang dilakukan berulang kali.

Hati itu juga perlu dididik untuk meninggalkan sifat-sifat mazmumah yang sering menjadi barah dan boleh merosakkan jiwa insan. Contohnya, sikap menjaga amanah dan berlaku adil sesama insan.

Apabila hati insan sentiasa mengingati Allah di mana saja, ke mana saja, pasti hidupnya selamat dan dia akan dilindungi dari pengaruh iblis dan syaitan.

Hal ini berlaku pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. Baginda diutuskan untuk memimpin Bani Israil yang sebelumnya pernah dipimpin oleh Nabi Musa A.S. Anakanda kepada Nabi Daud A.S. ini menghadapi tentangan oleh sebahagian dari Bani Israil yang mengamalkan ilmu sihir dan pemujaan syaitan.

Hal ini ada disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 102 di mana Allah menegaskan bahawa Nabi Sulaiman tidak pernah mengamalkan sihir sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian orang Yahudi (Bani Israil) pada masa itu.

Pada masa pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman A.S., Baginda mengingatkan mereka supaya menguatkan semangat dalam diri serta bersatu untuk menentang pengaruh syaitan. Mereka yang tidak teguh imannya akan terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk menjauhkan insan dari agamanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, Baginda menasihatkan mereka supaya berlaku amanah dalam perniagaan, meninggalkan hasad dengki, menjauhi riba dan berlaku adil sesama manusia.

Itulah kunci untuk menewaskan syaitan yang dilaknat Allah. Namun masih terdapat golongan yang mendewakan syaitan dengan mempelajari sihir dan melakukan aktiviti pemujaan syaitan.

Kingdom of Solomon adalah problem solver kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana agaknya situasi pada zaman itu. Macam mana Nabi Sulaiman bertindak untuk memberi peringatan kepada umatnya akan bahaya besar yang bakal tiba. Sesuatu yang menggerunkan bakal bermaharajalela, di mana iman dan jiwa yang teguh sebagai benteng dari segala ancaman.

Apa tunggu-tunggu lagi tu. Boleh la mengelik butang play di bawah untuk melihat trailer movie Kingdom of Solomon, buah tangan dari Iran. Untuk memuaskan hati, bolehlah memuat turun cerita penuh dari laman-laman yang sewaktu dengannya. (",)

Tuesday, August 9, 2011

Pemimpin Berjiwa Seni 1



Salam w.b.t.

Di sebuah bilik gerakan bawah tanah sebuah istana :

"Tuanku, musuh nampaknya sudah memulakan langkah mereka. Beberapa orang kita sudah pun mereka temui secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan kita. Mereka cuba membasuh pemikiran orang-orang kita dengan segala propaganda dan dakyah yang bertujuan memburuk-burukkan tuanku di mata rakyat." lapor pegawai kanan 1, Laksamana Ho Chi Ming.

"Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang tuanku ? Takkan kita hendak berdiam diri sahaja." kata pegawai kanan 2, Laksamana Fong Tai Chi sambil mengetap giginya yang tersusun cantik itu.

Maharaja kelihatan memikirkan sesuatu sambil mengusap-usap janggutnya yang berjuraian dan berkilat itu.

Dengan raut muka yang sedikit pun tiada rasa bimbang, baginda mula bertitah,

"Bawa bertenang wahai pembesar sekalian. Kalian usah bertindak terburu-buru kerana sifat terburu-buru itu langsung tidak membawa keuntungan apa pun. Ia hanya menampakkan sifat amarahmu, menonjolkan kelemahanmu sehingga musuh begitu mudah menyerang dan menewaskan kalian."

Para pembesar mula menumpukan perhatian. Suasana senyap seketika.

"Ingatlah, setiap apa yang kita hendak lakukan perlu adanya perancangan yang teratur. Perlu tersusun setiap gerak langkah kita. Perlu ada rancangan yang teliti supaya usaha kita membuahkan hasil dan memberikan kejayaan yang kita mahukan. Jangan bertindak mengikut hawa nafsu namun buatlah perancangan yang teliti dengan pertimbangan yang rasional."

"Maksud tuanku ? Kita biarkan dahulu mereka bertindak sesuka hati. Begitu ?" tanya Yap Jin Seng, merangkap ketua hulubalang diraja.

"Begini." sambung maharaja. "Membiarkan mereka bertindak dahulu merupakan salah satu perancangan awal beta. Itu tanda mereka berasakan kedudukan mereka hampir tergugat. Maka untuk mengelakkan kekalahan yang teruk, mereka fikir dengan cara itu mereka berhasil melemahkan kesatuan kita. Melemahkan nilai moral kita. Sedangkan usaha mereka itu menggambarkan ketakutan mereka yang sebenarnya."

"Segala pergerakan kita perlu dilakukan secara halus dan penuh muslihat. Kita buatlah seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tidak perlu gelabah." kata maharaja setenang air di laut.

"Apabila tiba masanya, barulah kita lancarkan serangan. Jika kita boleh menyerang, kita hendaklah kelihatan seolah-olah kita tidak berupaya menyerang. Apabila menggunakan sepenuh tenaga kita, lakukan seperti kita pasif di mata mereka. Jika kita berdekatan, buatkan mereka percaya kita berada jauh dari mereka dan apabila kita berjauhan, bertindaklah seolah-olah kita dekat dengan mereka."

Sebahagian hadirin yang ada kelihatan mengangguk-anggukkan kepala. Tidak kurang juga yang mencatat nota ringkas sebagai rujukan pada masa hadapan. Begitu tekun sekali gayanya.

Sambungnya lagi, "Letakkan umpan untuk menarik perhatian mereka. Berpura-pura kita punya kelemahan supaya mereka berasa yakin dapat mengalahkan kita. Jika mereka bersenang-senang, jangan bagi mereka berehat langsung. Jika mereka bersatu, kucar-kacirkan kesatuan mereka. Serang mereka di mana-mana penjuru yang lemah, muncul di tempat yang tidak mereka jangkakan. Apabila punya peluang, hancurkan mereka sehabis-habisnya."

"Patik bersetuju dengan apa yang tuanku katakan itu." Laksamana Fong Tai Chi mula bersuara. Beliau kelihatan kembali tenang. "Kita rancang sebaik-baiknya apa yang hendak dilakukan terlebih dahulu. Kemudian baru kita gempur. Cermat dan teratur dalam bertempur. Pasti musuh akan menggelupur." tambahnya seraya menggenggam penumbuk tangan ke udara. Sungguh puitis kata yang dilontarkan.

Semuanya tersenyum penuh bersemangat. Selepas ini mereka akan melakukan perancangan yang rapi kerana itulah satu-satunya kunci kejayaan yang hakiki.

Kecil-kecil sudah mengaji. (sumber)


Sunday, August 7, 2011

Hikam 3 - Tidak Mampu Melawan Qadar Allah


Salam w.b.t.

Qadar Allah sesuatu yang di luar kawalan manusia.


* Sila senyapkan playlist di bawah sekali sebelah kanan untuk mendengar kuliah ini.

Saturday, August 6, 2011

Petua Mengelakkan Sakit Jantung



'Hati' diibaratkan sebagai raja yang berupaya mengawal seluruh anggota badan manusia. Raja yang baik menjadi tauladan yang baik untuk rakyatnya.

Sekiranya raja atau pemerintah mengamalkan prinsip amar makruf dan nahi mungkar, nescaya rakyat akan mengikuti jejak langkah sang pemerintah lalu melahirkan masyarakat yang sejahtera mulia pekertinya. Begitu hebat kuasa yang ada pada raja. Baik raja maka baiklah rakyat yang diperintah.


Melatih diri memiliki jantung sebegini.

Prinsip ini bertepatan dengan diri kita manusia selaku makhluk ciptaan-Nya. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab tulisannya, Tibb an-Nabawi (Perubatan Nabi) ada menyebutkan bagaimana hebatnya perubatan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan kaedah menjaga hati itu sebaik yang mungkin.
Menurutnya, hati (jantung) menjadi lebih baik apabila ia mempunyai pengetahuan tentang Tuhannya, Penciptanya serta Asma'-Nya, Sifat-sifat dan Suruhan-Nya.

Hati itu juga boleh menjadi baik apabila ia cenderung untuk berusaha mendapatkan kasih sayang Allah, melakukan apa yang disukai-Nya dan berusaha untuk menjauhi segala larangan-Nya dan perkara yang menjurus kepada kemurkaan-Nya.

Serta hati yang begini. Pasti tubuh badan sentiasa kekal sihat.

Apabila jiwa insan dan hatinya kuat secara spiritual, ia boleh menangkis segala macam penyakit, baik penyakit lahiriah atau penyakit yang berkaitan rohani. Hati insan dididik dengan cara mendekatkan diri kepada Allah, mengingati-Nya, menyayangi-Nya, bergantung kepada-Nya dan memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Apabila hati kita dihubungkan dengan Allah, sudah pasti kita akan memiliki hati yang bersih dan suci.

Jadi marilah kita berusaha meraih cinta Ilahi pada bulan yang diberkati ini. Sentiasa ingat kepada al-Khaliq walau di mana kita berada. Jika kita sentiasa ingat kepada-Nya sudah pasti Dia akan selalu mengingati dan memelihara kita. Nasihat ini untuk sahabat semua terutama kepada yang menaip entri ini juga.

Memetik lirik lagu sebuah nasyid,

Jagalah hati...
Jangan kau kotori...


Kerana setiap penyakit itu puncanya hati yang tidak dijaga, hati yang terabai, hati yang lalai dari mengingati-Nya. Moga kita sentiasa menggilap hati dengan mengingati Allah kerana dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.

"Dalam hati mereka (golongan munafik) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta."

(Al-Baqarah : ayat 10)

Thursday, August 4, 2011

Hikam 2 - Berusaha Atau Bertawakkal ?


Salam w.b.t.

Usaha dan tawakkal dalam merintis kehidupan.



* Sila senyapkan playlist di bawah sekali sebelah kanan untuk mendengar kuliah ini.

Wednesday, August 3, 2011

Legasi Tinggalan Nabi


Salam w.b.t.

Bulan Ramadan sememangnya cukup dinanti-nantikan oleh penggemar makanan serata dunia. Betulkah apa yang saya katakan ini ? Mungkin ada benarnya sebab bulan puasa cukup sinonim dengan Bazar Ramadan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Sebut sahaja Ramadan pasti terbayangkan bazarnya yang menjual pelbagai jenis makanan saujana mata memandang.

Syukurlah di tempat saya ini tiada bazar Ramadan. Maka tiadalah duit yang senang-senang melayang mengikut hawa nafsu yang tidak akan pernah berhenti menyerang insan yang lemah ini. Terkadang teringin juga hendak merasai suasana bazar, melihat seribu satu perangai manusia semasa dalam ujian seharian.

Ada satu lagi sinonim dengan bulan Ramadan.

Apa ? Ya. Bijak. Bijak. Bulan Ramadan juga tidak boleh dipisahkan dengan rancangan Jejak Rasul, sebuah rancangan yang memaparkan sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Sebuah rancangan ilmiah yang bagi saya wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Mesti tengok.

Jejak Rasul, rancangan yang saya minati sepanjang Ramadan, diri ini sentiasa menantikan pengisian terbaru Jejak Rasul yang begitu bermakna untuk dihayati. Siapa yang tidak kenal dengan Haji Zainal Ariffin yang ibarat isi dengan kuku dengan rancangan ini. Suaranya yang menjadi latar penceritaan begitu memukau sesiapa yang mendengarnya bahkan mereka yang pertama kali menontonnya pasti tertanya-tanya milik siapakah suara itu. Ada karismanya yang tersendiri. =)

Walaupun berada jauh dari tanahair, saya usahakan juga untuk mencari siri rancangan ini supaya suasananya seolah-olah saya berada di rumah apabila menontonnya. Sementara menunggu waktu berbuka tu memang terbaik la kalau dapat tengok Jejak Rasul. Sekurang-kurangnya masa kita terisi dengan sesuatu yang berfaedah, sesuatu yang membuka minda kita.

Musim terbaru Ramadan kali ini bertajuk "Legasi Muhammad s.a.w. di Eropah Timur". Krew Jejak Rasul menjelajah ke negara-negara bekas komunis seperti di Moscow, Tatarstan, Dagestan, Chechnya dan Ukraine.

Bagi yang berminat untuk mendownload rancangan ini, boleh ke link ini :
http://www.jiwang.ws/tv-show-malaysia-59/jejak-rasul-2011-update-episod-3-a-130449/

Setakat ini sudah pun 3 episod dan ia akan diupdate setiap hari. Maka bolehlah download di link tersebut.

Semoga kita menjadi umat yang berilmu dengan ilmu-ilmu Islam, sejarah Islam yang cukup membanggakan umat Islam suatu masa dahulu. Kini menjadi tanggungjawab kita untuk membangkitkan semula kegemilangan Deen ini, satu-satunya Deen yang diredhai di sisi Allah.

Monday, August 1, 2011

Ramzan Yang Diberkati


Salam w.b.t.

Syukur alhamdulillah dengan rahmat dan kasih-Nya kita diberikan peluang sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Bulan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada umat manusia.

Kalau di Karad masyarakatnya menyebut Ramadan sebagai Ramzan. Di sini tiada berkumandang lagu-lagu raya atau apa jua jenis muzik untuk menyambut Ramadan. Sekadar berkumandangnya azan di masjid tatkala masuk waktu solat atau diselangi dengan bunyi gendang jalanan atau penyanyi jalanan yang hadir bermusim.

Ramzan ayega !
Ramzan aya !
Ramadan dah nak datang...
Ramadan dah nak datang...

Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat menambah amal ibadah.

Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga ada penambahbaikan dalam ibadah kita sehari-hari.

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...