Saturday, July 14, 2012

Ana Akan Berperang di Jalan Allah. Antum?


Salam w.b.t.

Selain musim hujan yang sudah melebarkan sayapnya di segenap ceruk wilayah Bollywood ini, warga Karad sedang berhadapan dengan satu lagi musim yang sangat tinggi aura pembunuhnya ---> musim peperiksaan. Exam mode diaktifkan sejak berminggu-minggu yang lalu dek keberatan subjek yang bakal diuji nanti.

Adik-adik Tahun 1 bakal menghabiskan ujian akhir mereka tidak lama lagi. Ada antara mereka yang sudah pun bebas merdeka ibarat burung-burung yang berterbangan di langit pada waktu petang, bebas lepas tidak terikat dengan sebarang ikatan mahu pun simpulan. Gembira tidak terkata.

Bermula isnin ini, abang-abang dan kakak-kakak pula yang bakal menghadapi 'peperangan' di atas kertas. Debaran sudah makin terasa kerana hari itu bakal tiba jua. Maka sindrom tidur tidak lena pasti akan terjadi walaupun pada zahirnya nampak normal, disebabkan pembacaan yang masih banyak sedangkan masa semakin suntuk.

"Banyak dowh nak study..."


"Tak larat aku nak cover semua..aku tengok yang penting-penting je.."


"Yang nie penting tak? Hang baca tak dulu?"

Dunia perubatan, kalau sedikit memang pelik dan ajaiblah... Sebab itu bukunya tebal-tebal belaka, kerana mereka yang berada dalam bidang ini, merupakan insan terpilih. Pekerjaan yang melibatkan nyawa ini, bukan tugas yang suka-suka dan dipandang ringan.

Berada di tahun akhir bunyinya menyeronokkan kerana bakal menamatkan zaman belajar, namun kesusahan dan cabarannya menggunung tinggi. Pertama, silibusnya yang tersangat banyak dan mengelirukan. Kedua, harapan yang disandarkan kepada kita oleh junior dan ahli keluarga yang ingin melihat kejayaan kita.

Walaupun begitu, diri ini kembali merenung dan berfikir, sebab apa aku study banyak-banyak? Sebab nak lulus periksa? Atau sebab nak amalkan apa yang aku dapat di sini supaya orang lain juga boleh dapat manfaatnya. Dan jawapan kedua itulah pilihanku.

Kata seorang akhi sewaktu pertemuan kami dahulu, kita penuntut ilmu ini kena tetapkan niat kita belajar ini kerana apa. Sudah tentunya untuk mendapat keredhaan Allah. Untuk menjadi hamba yang bersyukur. Bukan untuk dapat markah yang tinggi, walaupun itu menjadi idaman tetapi ia bukanlah prioriti. Ada orang, markah sudah tinggi namun disebabkan tiada rasa syukur, diminta guru memeriksa semula jawapannya dan meminta pertambahan markah lagi. Pening dibuatnya guru tersebut.

Sepatutnya, kita perlukan redha guru tersebut supaya ilmu yang diperolehi lebih berkat, lebih lama di ingatan. Bukannya angka yang tinggi di kertas. Kalau guru redha, ilmu lebih berkat dan perjalanan kita sebagai pelajar menjadi lancar dan mudah. Kalau Allah redha dengan usaha kita, bagaimana agaknya. Sudah pasti Dia akan memudahkan urusan kita sebaik mungkin. Percayalah...

Konklusinya, dalam apa jua yang kita lakukan, niatkan sebagai ibadah kepada Allah. Apa yang dibaca, bukan sebab peperiksaan tetapi sebagai bekalan pada masa akan datang..sebagai bekalan kepada ahli keluarga yang bakal memberi persoalan kepada kita mengenai kesihatan mereka.

Teringat salah satu post di muharikah, kalaulah hidup ini, tiada kesedaran untuk memikirkan Pencipta dan hari akhirat, sudah tentu belajar itu menjadi keutamaan di atas keutamaan di mana sepanjang masa didekasikan kepada belajar, kerja, belajar, kerja yang akhirnya membawa mudarat kepada diri sendiri.

Wallahua'laam....

(latar masa : suatu petang tatkala tidak pergi bermain bola di padang....)

Sunday, July 8, 2012

Saya Tak Akan Membenci Mereka


Salam w.b.t.

Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..."
(Surah Ar-Ra'd : ayat 11)

Ayat di atas merupakan ayat yang menjadi modal kepada Irshad Manji, seorang penulis kontroversi yang selalu diulang dalam bukunya yang diharamkan penerbitannya di Malaysia iaitu Allah, Kebebasan dan Cinta. Pada mulanya saya agak berminat untuk menghabiskan pembacaan buku tersebut untuk melihat sejauh mana daya pemikiran dan hujahnya yang mengatakan umat Islam harus berubah kerana masalah Islam pada peringkat global adalah pada masyarakat Muslim itu sendiri berasaskan ayat di atas.

Irshad Manji cuba mengetengahkan idea supaya umat Islam melakukan perubahan dengan kebebasan berfikir supaya masyarakat mendapat menfaat dan boleh maju ke hadapan. Antara isu yang dibincangkan adalah soal perkahwinan antara berlainan agama (interfaith marriage) yang menurut beliau dibolehkan setelah mendapat restu salah seorang ulama rujukannya.

Malangnya, saya semakin keberatan untuk menghabiskan pembacaan karyanya itu yang saya anggap agak membuang masa sebenarnya. Kalau ada kelapangan masa, saya akan cuba habiskan juga.

Pengganti
Sebenarnya, ada satu lagi karya yang sangat menarik minat saya untuk membaca dan menghabiskannya secepat mungkin berbanding karya Irshad Manji yang satu itu.

Buku yang saya maksudkan bertajuk : 

"I Shall Not Hate : A Gaza Doctor's Journey on the Road to Peace and Human Dignity."

First published in Great Britain 2011
Paperback edition published 2012

Kemiskinan Bukan Penghalang
Bagi mereka yang ingin mengetahui bagaimana kehidupan di Palestin, buku ini sesuatu yang wajib dimiliki. Ia merupakan catatan kehidupan seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Izzeldin Abuelaish yang dilahirkan di Gaza. Beliau merupakan salah seorang pelarian Gaza di Kem Jabalia yang kurang bernasib baik semasa zaman kecilnya.

Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan semasa kecil di mana beliau sanggup melakukan apa jua pekerjaan demi mendapatkan wang untuk membantu keluarganya. Memandangkan beliau anak sulung dalam keluarga, segala harapan disandarkan kepadanya oleh ibu dan ayahnya.

Berkat sokongan dan harapan oleh guru-gurunya yang ingin melihat beliau berjaya, beliau menguatkan semangat untuk meneruskan pembelajaran dan mengubah nasib keluarganya kepada keadaan yang lebih baik dan secara tidak langsung membuktikan bahawa anak Palestin juga boleh berjaya walau hidup serba kekurangan.

Membaca kisah hidupnya semasa kecil, saya berasa kagum dengan semangatnya yang tidak pernah luntur untuk terus maju ke hadapan walaupun kadang-kadang, beliau dalam dilema sama ada hendak meneruskan persekolahan atau ponteng kelas dan terus bekerja. Sungguh kuat dan tabah diri beliau.

Terus Menempa Kejayaan
Setelah menunjukkan prestasi yang bagus di sekolah, akhirnya beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan. Pada ketika itu, jumlah kuota kepada pelajar Palestin tidak banyak, sekitar 20 orang sahaja merangkumi pebagai bidang.

Selesai menamatkan pengajian di sana, atas minatnya yang mendalam terhadap bidang sakit puan, beliau menyambung pengajian peringkat Diploma di London dalam bidang pengkhususan O&G (Obstetric & Gynaecology).

Doktor Palestin Yang Bekerja di Israel
Beliau merupakan doktor Palestin pertama yang berjaya mendapatkan tempat untuk bekerja di Israel. Kenapa Dr. Izzeldin sanggup bersusah payah mengambil risiko untuk bekerja di negara yang rakyatnya dikatakan tidak berperikemanusiaan itu. Jawapannya, beliau percaya dan optimis, rakyat Palestin dan rakyat Israel boleh bekerjasama dan hidup secara harmoni dan penuh rasa kepercayaan antara satu sama lain.

Maka, beliau sanggup berkorban masa dan tenaga, sekalipun banyak dugaan yang dilalui semasa hendak menyeberangi sempadan Gaza-Israel. Hendak tahu apa dugaannya, kena dapatkan buku ini kerana beliau ada menceritakannya secara terperinci dan menginsafkan sesiapa yang membacanya.

Dugaan Hidup
Ujian demi ujian menimpa Dr. Izzeldin apabila beliau kehilangan 3 orang anak perempuannya dan seorang anak saudaranya apabila kereta kebal Israel membedil rumahnya pada 16 Januari 2009. Tarikh yang mungkin tidak akan dilupakannya sepanjang hayatnya. Kira-kira 4 bulan sebelumnya, beliau kehilangan isterinya akibat leukemia akut.

Sedikit bingkisan ketika kejadian 16 Januari tersebut.



Anak-anaknya yang terkorban ialah Bessan, 21; Aya, 15; dan Mayar, 14. Manakala anak saudaranya pula bernama Noor, 17 tahun. Apabila saya melihat wajah Mayar, saya berasa sedih dan sayu kerana menurut Dr. Izzeldin, Mayar seorang yang cemerlang dalam matematik dan bercita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang doktor. Namun takdir Allah melebihi perancangan manusia yang lemah.

Mari Berlapang Dada
I Shall Not Hate, boleh saya kategorikan sebagai priceless item saya kerana Dr. Izzeldin tetap yakin dengan perdamaian yang antara Palestin dan Israel yang disifatkannya 2 kumpulan yang boleh menjalinkan hubungan persahabatan yang akrab. Menurutnya, "Musuh kita adalah sifat sombong kita sendiri. Palestin dan Israel bukanlah musuh antara satu sama lain."

Beliau sendiri sudah membuktikan kerjasama antara Palestin dan Israel tidak mustahil untuk direalisasikan apabila keberadaannya di Hospital Soroka disambut baik oleh doktor-doktor di Israel yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan melayannya seperti manusia yang lain, tidak fanatik kepada agama atau etnik tertentu.

Semoga kebebasan yang diinginkan oleh Palestin akan kunjung tiba suatu hari nanti. InsyaAllah....

p/s : maaf kalau post kali ini sangat panjang. huhu
p/ss : kalau Allah panjangkan umur, teringin hendak berjumpa dengan Dr. Izzeldin Abuelaish suatu hari nanti.

Friday, July 6, 2012

The Reasons


Salam w.b.t.

Sesuatu yang jarang-jarang kita dapat akan menyebabkan kita teruja apabila memperolehinya secara sedar atau pun tidak. Contohnya apabila kita berjaya memenangi peraduan teka bilangan kacang soya anjuran Sinaran Matahari Sdn. Bhd. Walaupun hanya mendapat saguhati, kita berpuas hati kerana segala penat lelah yang dicurahkan selama ini membuahkan hasil dan memotivasikan diri ini pada masa hadapan.

Pengalaman atau peristiwa yang kedatangannya secara berkala juga menyebabkan kita berasa tidak sabar untuk melaluinya. Sambutan hari lahir antara peristiwa yang ditunggu-tunggu dengan perasaan yang berbunga-bunga dan berbuah-buah.

Madrasah Ramadan yang akan datang, bagaimana perasaan anda ketika ini? Adakah skala keterujaan anda berada pada tahap maksimum? Jikalau masih belum, jom kita tengok video di bawah ini dahulu supaya tiada alasan untuk tidak teruja pada bulan Ramadan yang bakal menjengah kehidupan kita. (",)



Thursday, July 5, 2012

Hikam - Hidup Disibukkan Dengan Taat 2


Salam w.b.t

Rejab mencatatkan sejarah Israk dan Mikraj.

Syaaban pula terdapat di pertengahannya malam pengampunan iaitu malam Nisfu Syaaban.

Tidak lama lagi, kita akan menyambut suatu bulan yang penuh barakah, iaitu Ramadan.

Bagaimana persediaan kita sekarang? Sudah bersedia untuk menjadi tetamu pada bulan yang mulia itu?

Sebagaimana seorang penuntut yang melakukan persediaan yang rapi sebelum peperiksaan, maka kita hendaklah ada persediaan yang cukup sebelum menempuh madrasah Ramadan akan datang.

Justeru, bermula dari sekarang, mari sama-sama menanam azam untuk melakukan perubahan pada bulan yang mulia itu, supaya perubahan itu dapat dikekalkan pada bulan-bulan yang mendatang.

Mari hidup dalam ketaatan kepada Allah!




Wednesday, July 4, 2012

Naik Minyak, Naik Darah


Salam w.b.t.

Secara logik akal, negara yang mempunyai hasil petroleum semestinya mampu menjana pendapatan negara yang lumayan dan berupaya menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Kenapa? Hari ini kadar penggunaan kenderaan bermotor sangat tinggi di seluruh dunia lalu penggunaan minyak petrol mahupun diesel turut meningkat.

Pembukaan
^ Perubahan harga minyak dunia, menurut seorang senior yang ahli dalam kejuruteraan kewangan, dipengaruhi oleh spekulasi-spekulasi yang diadakan hasil peristiwa-peristiwa besar di dunia. Contohnya, peperangan, bencana alam yang berlaku menyebabkan keluar gosip panas (baca:spekulasi) atau andaian yang sedikit sebanyak mempengaruhi harga minyak di pasaran dunia.

^ Apabila minyak naik harga, maka barang-barang keperluan lainnya turut terkena tempiasnya juga. Bukan sahaja harga barang yang naik, tahap kesabaran para pengguna juga meningkat naik sehingga menyumbang kepada fenomena bom atom yang tunggu masa untuk meledak.

^ Menyentuh isu minyak petrol yang menjadi nadi kepada sesebuah kenderaan, saya kira rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan harga semasa 1 liter minyak yang dijual. Ada 3 sebab kenapa saya berkata demikian, setelah membuat perbandingan harga dan situasi di India.

1. Harga semasa di Malaysia lebih murah berbanding India.

--> 1 liter petrol yang dijual di sini agak mahal berbanding di tanah air sendiri. Namun rakyatnya masih tetap 'sabar' dan tidak merusuh atau berdemo menuntut itu dan ini. Mungkin mereka berkumpul untuk sebab-sebab yang lain. Maka apabila harga sedikit naik, kumpulan pelajar asing selalu diberikan alasan harga minyak yang tinggi oleh pakcik auto yang mengenakan caj yang mahal untuk perkhidmatannya.

Ingin saya kongsikan harga seliter minyak petrol di beberapa tempat di sini untuk rujukan bersama.


Bangalore    RS 76.40                                           Delhi              RS 67.78
Mumbai       RS 73.35                                           Pune              RS 73.70
Chandigarh  RS 69.66                                          Ahmedabad    RS 72.65
Dehradun     RS 69.10                                          Jammu            RS 71.73
Gandhinagar RS 72.65                                          Kolkata          RS 72.74
Lucknow      RS 72.5                                           Panjim (Goa)   RS 57.47
Pondicherry  RS 67.41                                         Trivandrum      RS 69.53                  
Chennai        RS 72.2                                            Hyderabad     RS 74.89
Jaipur           RS 71.52

*1 Rupee = RM 0.058


2. Harga berbeza mengikut tempat.

--> Memandangkan India sebuah negara yang sangat besar, maka untuk menjangkakan keseragaman harga minyak di semua tempat adalah sesuatu yang agak mustahil. Setiap negeri mempunyai pemerintahannya sendiri, bahasa dan sistem tulisan tersendiri yang ternyata berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Senarai harga di atas sudah membuktikan perbezaan mengikut tempat atau negeri. Jadi kalau berada di negeri yang agak maju dan membangun, kenalah sanggup bayar lebih sedikit. 

3. Harga yang tidak stabil untuk jangka masa yang panjang.

--> Harga minyak di sini tidaklah begitu stabil dan sentiasa berlaku kenaikan harga. Kalau minggu ini harganya RS(x), dalam 2-3 minggu kemudian ada kemungkinan harganya berubah kepada RS (x+10). Lebih kurang begitulah pola perubahannya. Namun beberapa hari lepas saya ada terbaca satu kenyataan mengatakan pembekal minyak akan mengurangkan harga minyak sebanyak 2.46 rupee bermula Jumaat, 29 Jun lepas. Harap-harapnya ia boleh membantu mengurangkan beban masyarakat di sini.

Penutup
Bagaimana? Ada rasa tidak percaya? Terkejut? Keliru?
"Believe It..", bak kata abang Dean Cain, hos Ripley's Believe It or Not.

Itulah realiti yang sedang berlaku di sini. Kita sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kita. Di Karad, wujud segolongan penduduk yang masih menggunakan kayu api untuk memasak lantaran tidak mampu untuk membeli gas yang mahal. Mereka sanggup bersusah payah mencari kayu api di mana-mana sahaja demi survival keluarga mereka.

Ingatlah, jika kita mensyukuri nikmat yang ada, Allah akan menambah nikmat itu dari jalan yang tidak disangka-sangka. Mensyukuri nikmat bertambah rahmat.

p/s : Ini hanyalah kajian kasar yang masih memerlukan penelitian. Segala kesilapan fakta harap diberitahu.

Saturday, June 30, 2012

Ar-Rais Al-Jadid

Salam w.b.t.

Kemenangan calon Ikhwanul Muslimin (IM), Dr. Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir yang diumumkan pada 24 Jun 2012 yang lalu merupakan satu berita yang cukup menggembirakan buat dunia amnya dan buat penduduk Mesir khususnya. Setelah hampir setahun revolusi yang berlaku di sana, keputusan pilihanraya Presiden baru-baru ini memberi petanda baik akan pemulihan negara dari pelbagai aspek selepas ini.

Rakyat Mesir sudah boleh menarik nafas lega dengan kemenangan Dr. Morsi kerana beliau sememangnya layak dan berkebolehan untuk membawa perubahan dan keamanan kepada rakyatnya. Saya percaya sokongan yang padu masih diberikan kepada Ikhwanul Muslimin walaupun mereka ditentang oleh golongan yang tidak mahu melihat kebangkitan Islam di bumi piramid tersebut.



Majoriti masyarakat di luar sana begitu yakin bahawa Dr. Morsi dapat mentadbir negara dengan adil lebih-lebih lagi beliau seorang hafiz Al-Quran. Keluarganya juga turut menghafaz Al-Quran dan ini merupakan nilai tambah kepada pelantikannya sebagai presiden. Semoga roh Islam terus mekar dalam dirinya dan menteri-menteri di bawahnya ketika memerintah negara kelak.

Melihatkan situasi politik yang semakin stabil, berhajat juga hendak ke sana suatu hari nanti. Abah mengatakan bahawa beliau pernah menjejakkan kaki di Dataran Tahrir ketika menuntut di sana dahulu. Melalui cerita sahabat-sahabat yang pernah berkelana ke Mesir, perasaan untuk merasa sendiri bagaimana kehidupan di sana membuak-buak bagaikan air dalam cerek yang sudah lama mendidih. Sungguh bersemangat dan tidak sabar rasanya.

Beruntung buat mereka yang berpeluang belajar di sana kerana di bumi Anbia itu, mereka sentiasa berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah yang dikaitkan dengan Nabi-Nabi terdahulu. Tengok Sungai Nil, teringat kisah Saidina Umar dan Nil yang pernah kering suatu ketika dahulu.

Seorang junior yang beragama Hindu turut bimbang dengan keadaan politik Mesir yang tidak stabil kerana katanya, Mesir itu ibarat pusat kepada ilmu Islam sedunia. Apabila sebut Mesir, orang pasti akan terbayang pengajian Islamnya. Begitu juga apabila sebut Vatican City, maka orang tahu itu pusat Kristian yang sangat penting.

Diharapkan Dr. Morsi dan ahli kabinetnya yang baru dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab seterusnya menjadi contoh kepada Presiden negara lain. Beliau bukan sahaja membawa imej keluarganya dan Ikhwanul Muslimin bahkan imej Islam turut diwakili olehnya.

Mari kita sama-sama mendoakan kesejahteraan beliau dalam mentadbir Mesir pasca revolusi. Semoga bumi Anbia kembali damai dengan pemerintahan yang baru ini.

p/s : Sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin yang adil...

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...