Friday, June 21, 2013

Lintasan Hati Bukan Libasan Mati

Insan itu sering lupa
Ketika dia diberi nikmat yang banyak dari Tuhannya

Nikmat kesihatan yang sementara
Dia tak manfaatkan ke jalan yang Allah redha

Nikmat masa lapang yang ada
Banyak yang disia-siakan macam tu sahaja

Selalu mengeluh hidup yang tak ceria
Tidak berwarna-warni
Tidak berseri-seri

Sungguh tertipu rupanya diriku
Setiap hari lalai yang aku pilih
Dan ia menjauhkan aku dari mengenal Rabb yang Satu
Sedang Dia selalu sahaja bersamaku
Tidak mengira waktu

Tidak lama lagi aku bakal memasuki universiti paling berprestij
Bakal tidak semestinya ia pasti
Harapnya Allah bagi kesempatan lagi kali ini
Aku, dan kita semua sudah boleh menghitung hari
Supaya kita sama-sama berjaya melaluinya

Jadi apa tunggu lagi
Ganjaran besar sedang menanti
Dari sekarang mulalah sikit-sikit
Supaya kita tidak semput di pertengahan jalan nanti

Ini sekadar satu peringatan buat semua
Lebih-lebih lagi untuk diriku ini
Akhir kalam
Moga kita semua dalam redha Ilahi..

Thursday, June 13, 2013

Kita Semua Pelakon yang Berkarisma


Salam w.b.t.

Kehidupan di dunia ini hanya sekadar satu lakonan dan medan ujian bagi setiap insan. Kita semua merupakan pelakon yang sangat berbakat dan bakal diberi ganjaran suatu hari nanti oleh 'Pengarah Besar'. Hari Anugerah Cemerlang itu suatu hari penentuan nasib masing-masing, apakah lakonannya di dunia ini berjaya atau gagal.

Setiap orang ada peranannya tersendiri bagaimana dia harus menjalani kehidupan ini supaya ia selaras dengan apa yang dikehendaki oleh sang Pengarah. Skrip-skrip lakonan sudah pun diberikan sebagai panduan hidup zaman-berzaman. Tinggal lagi, adakah setiap insan itu mahu mengikut segala panduan yang telah diberikan itu.

Sememangnya dunia ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ia punya Pencipta yang Agung yang berkuasa mentadbir alam ini. Setiap apa yang terjadi di dunia ini diketahui oleh sang Pencipta merangkap Pengarah Besar.

Firman Allah s.w.t. :

"Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih, dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu." (Surah Ar-Ra'd : ayat 8)

Pengetahuan Allah sebagai Al-Khaliq melebihi kepandaian yang ada pada Albert Einstein si pencipta teori Relativiti itu dan siapa saja tokoh ilmuan yang paling hebat. Ilmu yang dipelajari sepatutnya menjadikan manusia itu lebih dekat dan mengenali sang Penciptanya.

Jadi, kehidupan yang beragama itu merupakan satu fitrah bagi kita semua. Ia suatu yang diperlukan di kala manusia ingin mencari kebenaran dan menidakkan kebatilan dalam kehidupannya. Agama memberikan panduan kepada penganutnya mengenai bagaimana cara mengenal Pencipta yang Agung ini. Dengan mengenali Pencipta, insyaAllah ia akan membuahkan ketenangan dalam hidup.

Ya, ketenangan setelah mengenal siapa Pencipta dan sifat-sifatNya serta mengamalkan apa yang dituntut oleh agama itu. Hidup beragama membuahkan ketenangan yang tidak dapat digambarkan oleh sesiapa pun. Tiada kata yang mampu diucapkan selain senyuman yang lahir tulus dari hati yang ikhlas.

Ada orang yang tidurnya beralaskan tilam yang empuk dalam bilik yang berdingin hawa, namun dek hati yang tidak tenang maka musnah harapannya untuk mendapatkan tidur yang lena aman. Ada orang yang rumahnya bertingkat-tingkat umpama mahligai, namun sunyi sepi dan tiada keseronokan lantaran tiada roh agama diisi di dalamnya.

Pernah seorang sahabat saya yang berbangsa India, mengatakan betapa dia mendapatkan ketenangan setelah menganut agama Kristian walaupun dia lahir dari keluarga yang beragama Hindu. Setiap agama hatta Islam pernah dipelajarinya, namun ketenangan itu datang setelah dia menganut Kristian. Pernah juga dia mempersoalkan setiap perlakuan yang dilakukan oleh mereka yang beragama ketika beribadat. Semoga suatu hari nanti dia mendapat hidayah kepada Islam.

Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah beroleh ketenangan dalam agama Islam yang kita anuti? Kalau belum, kita harus mencarinya dan terus mencari. Kalau kita tak menjumpai tempat yang tenang, maka carilah Pencipta kepada ketenangan itu.

Sebelum menduduki peperiksaan pun, antara pesanan yang selaaalu kita dengar adalah dapatkan ketenangan sebelum menjawab soalan. Nescaya kita boleh berfikir dengan tenang untuk menjawabnya dengan baik.

Sama-sama kita muhasabah diri ini, sudah di tahap manakah agaknya gred penilaian lakonan kita ini. Adakah sudah memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh sang Pengarah. Selagi hayat masih berbaki, kita masih punya masa untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik supaya apabila kita menemui tuan Pengarah, Dia berpuas hati dengan kualiti lakonan yang kita lakonkan di dunia dahulu.

Tuesday, June 11, 2013

Apa Khabar Tok Wan di Sana?

Salam w.b.t.

Rumahku syurgaku. Kata-kata yang ringkas namun tak mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Setiap keluarga hari ini sudah pasti berdepan dengan cabaran yang sangat besar untuk mendidik anak-anak mereka.
Dengan kemajuan teknologi yang serba canggih, dikhuatiri hubungan antara ahli keluarga sekadar bermesej di henfon atau di MukaBuku saja. Tiada gelak tawa riang bercerita pengalaman masing-masing dalam hidup. 

Kalau ada pun, dan ia mungkin melalui Skype di MukaBuku, ia tetap tak sama secara live di depan mata.
Arghh, rindunya aku suasana sewaktu kecil dulu. Boleh bersalam-salaman dengan arwah tok wan dan tok sambil bersembang dengan mereka. Entah apalah yang pernah aku bualkan dengan mereka. Semua tu sudah pun berlalu.

Kalau mereka masih hidup, ingin aku berkongsi kejayaan yang telah aku dapat sepanjang hidup ini. Kalau mereka masih ada, mahu saja aku tanyakan pengalaman hidup mereka zaman dahulu supaya dapat aku jadikan bekalan menghadapi cabaran hari ini.

Tapi..itu semua sudah pun berlalu...

Aku harap, walaupun aku hidup di zaman yang serba moden ini, aku masih sempat bersalaman dengan anak-anak mereka, mahupun cucu cicit mereka. Aku harapkan hubungan keluarga ini tidak sekadar bermesej di alam maya saja, bahkan ia harus diterjemahkan kepada 'syurga di dunia' yakni melalui pertemuan dan pergaulan untuk merapatkan hubungan itu. Kerana Allah itu bersifat Ar-Rahim, jadi hubungan silaturrahim itu perlulah dipelihara sebaik mungkin.

Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kejayaan yang kita peroleh, hubungan kekeluargaan janganlah kita lupakan. Kerana apa gunanya berLamborghini kalau di rumah tiada seri. Apa gunanya duit berguni-guni kalau di rumah tiada ketenangan yang dicari.

Setinggi-tinggi Gunung Everest telah kutawan, cakap mak ayah jangan dilawan. Nanti hidup tiada keberkatan. Hidup sehari-hari merana dan meroyan.

Maka, marilah kita menjadi hamba yang bersyukur dengan apa saja yang kita ada. Seburuk-buruk keluarga kita, mereka tetap darah daging kita yang harus kita jaga dan beri perhatian. Selagi kita punya datuk, nenek, opah, tok ayah atau apa saja gelarannya, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Sebab kita pun tak boleh menduga, siapa yang bakal menyahut seruan Ilahi terlebih dahulu.


Sunday, June 2, 2013

Cabaran Seorang Pekerja


Salam w.b.t.

Apabila kita meningkat dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul. Peningkatan umur tahun demi tahun sepatutnya menjadikan kita insan yang matang dan dapat membuat keputusan yang bijak dan rasional. Tahun demi tahun, zaman berganti zaman. Cabaran yang mendatang juga semakin berbeza dan pelbagai.

Usai meninggalkan alam persekolahan, kita mula masuk ke alam universiti. Bermacam jenis manusia yang boleh kita jumpa dan kenali. Di sini satu lagi cabaran yang menanti, iaitu dengan siapa kita menjalinkan hubungan persahabatan. Kalau silap pilih kawan, susah jadinya kelak. Ada yang di zaman sekolahnya hebat, namun hanyut di alam universiti yang sentiasa menguji iman seseorang itu.

Apabila kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, kita mula menjadi seorang mahasiswa atau mahasiswi yang lebih berdikari berbanding semasa kita berada di asrama di zaman persekolahan dahulu. Kehidupan kita ketika ini, kita sendiri yang harus rancang. Tiada siapa yang akan memberi arahan apa yang patut kita buat dan bagaimana. Ia terserah bagaimana kita menghargai setiap minit dan waktu yang berlalu dalam hidup ini.

Pernah suatu masa, semasa zaman sekolah dulu, seorang sahabat saya ada mengeluarkan suatu kenyataan bagaimana seorang siswazah keluaran sebuah universiti yang terkemuka akhirnya menjadi seorang tenaga pengajar di sekolah rendah sahaja. Mungkin pada pendapatnya ia suatu yang tidak sesuai dengan kelayakan saudara tersebut dan dia harus bekerja di tempat yang selayaknya.

Namun apabila saya sendiri berada di alam universiti dan hampir menamatkannya tidak lama lagi, saya belajar sesuatu mengenai alam pekerjaan usai pertemuan di dalam program-program yang ada.

Negara kita mempunyai lambakan siswazah yang menamatkan pengajian mereka setiap tahun. Zaman ini menunjukkan persaingan yang sangat hebat antara semua bangsa, Melayu, Cina mahupun India. Trend sesebuah syarikat atau majikan pula adalah mahukan mereka yang benar-benar layak untuk bekerja dan memegang suatu jawatan. Sudah tentu mereka akan mengambil kumpulan yang terbaik untuk bekerja. Dan semestinya mereka tidak memerlukan ramai orang, kerana hanya sebilangan kecil yang terpilih diambil bekerja, menyebabkan ramai yang masih mencari-cari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Salah satu lagi sebabnya, adalah keikhlasan dan prinsip 'rezeki tu Allah yang bagi' menyebabkan mereka sanggup bekerja di mana-mana sahaja tanpa meminta sesuatu (baca:demand) supaya sesuai dengan kelayakan mereka. Ini juga mungkin sebab yang kukuh kenapa perkara tersebut berlaku.

Golongan ini seharusnya mendapat penghormatan yang tinggi daripada masyarakat kerana mereka tidak memilih kerjaya yang ada. Mungkin mereka pernah mendapat tawaran bekerja yang lumayan tetapi atas sebab-sebab yang mungkin boleh mengehadkan mereka mengamalkan kehidupan sebagai seorang Muslim, ianya tidak diterima. Apa yang penting, keberkatan dan kerja yang dilakukan itu menjadi sumber rezeki yang halal.

Pernah seorang sahabat menceritakan kepada saya, dia ada mendapat tawaran bekerja yang menjanjikan gaji yang sangat lumayan. Tetapi, dia harus bekerja untuk tempoh berbulan-bulan, dan ia bukan di daratan.

"Macam mana hang nak hidup kalau selama kat sana hang takkan jumpa masjid langsung.."

Lebih kurang itulah komennya selepas dia memberitahu peluang pekerjaan yang terhidang di depannya.

Sungguh besar cabaran yang datang, dan sehebat itulah pengorbanan yang harus dilakukan. Kalaulah seseorang itu hanya mengejar kesenangan dunia, sudah tentu peluang yang ada dia akan sapu habis sampai licin. Sebaliknya, kalau dia tidak terlalu mengejar wang ringgit, mungkin tawaran itu akan dipertimbangkan semasak-masaknya.

Bukanlah kita tidak boleh menjadi orang yang senang. Bukanlah saya hendak menidakkan kita menolak semua peluang yang ada.

Cuma, kalau peluang yang ada itu tidak menjadikan kita seorang manusia yang lalai dari mengingati akhirat, maka boleh saja kita ambil peluang itu. Yang menjadi masalah, takut suatu masa nanti, kita sudah mula lupa untuk meluangkan masa mengingati Pencipta seluruh alam ini disebabkan bebanan kerja yang ada.

Selagi mana kita sentiasa memperuntukkan masa untuk melakukan ibadah, insyaAllah Dia akan memudahkan segala urusan kerja kita. Dia akan membantu kita tanpa kita sangka, dan Dia akan mengadakan bagi kita jalan keluar dari segala masalah yang ada seperti maksud ayat seribu dinar. Kuncinya, bertakwa kepada Allah s.w.t.

Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kita, ingatlah ada yang lebih tinggi dan lebih berkuasa. Kalau Allah ingin tarik segala kelebihan yang kita punya, bila-bila masa sahaja Dia boleh melakukannya. Jadi, selama kita belajar dan bekerja, berapa kerap kita ingat akan Allah dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah kita dapat. Sama-samalah kita renungkan dan buat penilaian sendiri.

Friday, May 31, 2013

Menjelang Tibanya Penghulu Segala Hari


Salam w.b.t.

Apabila tibanya Jumaat, diri ini sentiasa berasa seolah-olah seminggu yang berlalu tiada makna. Sepertinya baru saja melalui Jumaat yang lepas, datang pula hari yang baru yang bakal habis beberapa jam saja lagi.

Tempoh masa 7 hari itu boleh dikatakan lama jugak. Banyak benda yang berfaedah yang boleh dilakukan sepanjang seminggu itu.

Tetapi, andai karat-karat Jahiliah masih berbaki dalam diri, alangkah ruginya masa yang ada itu dibazirkan sewenang-wenangnya.

Sepatutnya masa yang berkualiti harus diluangkan dengan cara menggunakannya semaksima yang mungkin ke arah kebaikan.

Baca dan tadabbur ayat-ayat Allah.

Habiskan bacaan buku-buku yang membina dan mendidik jiwa.

Melakukan ibadah-ibadah sunat di samping ibadah fardhu.

Dan banyak lagi benda yang lebih utama dan perlu ada dalam hidup seorang Muslim dan Mukmin.

Semoga Allah memanjangkan umur kita untuk bertemu Jumaat depan, dan mudah-mudahan kita penuhkan ruang waktu yang ada dengan perkara yang lebih berguna buat diri kita.




Wednesday, May 15, 2013

Semanis Kurma


Salam w.b.t.

Setiap orang ada minat atau kesukaan masing-masing dalam hidup mereka. Minat tersebut boleh jadi sudah ada sejak kecil lagi dan boleh jadi ia mula dipupuk sejak seseorang itu berada di alam remaja.

Apabila seseorang itu ada minat dan kecenderungan terhadap sesuatu, dia akan melakukannya secara suka dan rela tanpa ada paksaan oleh orang lain. Dia akan melakukannya dengan ikhlas dan berterusan serta serius sehingga tugas tersebut selesai dengan jayanya. Inilah salah satu faktor yang memberi motivasi kepada kita, iaitu minat yang hidup mekar dalam diri.

Kalau kita bercakap pasal minat itu kepada orang lain, sudah tentu kawan yang mendengar itu akan terlopong sambil menggeleng-geleng kepala melihatkan kesungguhan kita bercerita. Ya, kalau bercerita pasal minat, kita pasti akan menjelaskan kepada orang lain sebaik dan sejelas yang mungkin dengan riak yang penuh energi (baca:bertenaga nuklear).

Haa..kenapa jadi macam tu agaknya?

Sebabnya, kita sudah pun merasakan kemanisan iman, eh silap. Kita sudah merasakan nikmatnya apabila kita melakukan apa yang kita minat dan suka. Nikmat dan minat, hampir serupa dan ada hubungkait antara satu sama lain. Oleh sebab nikmatnya kita menjamu selera di Restoran Ayam Terpenyek, kita mahu orang lain turut merasa kesedapan makanan yang ada di situ. Kita mula menceritakan kepada yang lain, apa menu yang wajib dibeli di situ sambil mereka mendengar dengan penuh khusyuk dan penuh rasa tidak sabar untuk menjamahnya suatu hari nanti.

Begitulah yang sepatutnya kita rasakan apabila menjadi seorang yang beragama Islam dan berstatus Muslim. Kita sepatutnya merasakan kemanisan dan keseronokan menjadi seorang Muslim dan menyampaikannya kepada orang lain. Sudah semestinya, prioriti harus diberikan kepada mereka yang seagama dengan kita terlebih dahulu.

Betapa ramai mereka yang di luar sana lahir dalam keluarga yang sudah beragama Islam, mempunyai nama Islam yang indah-indah sebagai identiti namun dirinya masih penuh dengan nilai-nilai Jahiliyyah. Ini tidak sepatutnya berlaku, kerana identiti harus selari dengan amalan dalam kehidupan kita. Identiti harus seiring dengan akhlak Islami.

Persoalannya, sudahkah kita merasakan kehebatan, kenikmatan sebagai seorang Muslim dan Mukmin? Adakah kita mahu orang lain turut merasakan perasaan sedemikian?

Baru-baru ini movie Iron Man terbaru sudah pun keluar di panggung wayang. Semuanya begitu teruja untuk pergi menontonnya secara berjemaah di mana-mana sahaja yang ada menawarkan perkhidmatan skrin jalur lebar dengan sistem suara yang mantap. Apabila selesai cerita, semuanya berpuas hati dan teruja buat kedua kalinya dengan jalan cerita yang begitu menarik dan penuh dengan unexpected events.

Semuanya bercerita mengenai movie itu. Rancak dan penuh girang sambil melakonkan sedikit babak yang ada. Mereka-mereka yang masih belum menontonnya mula berasa tidak senang duduk dan mula merancang bilakah agaknya dapat diluangkan masa untuk melihat Lelaki Besi tersebut.

Jadi sahabat-sahabat yang dimuliakan, marilah kita sama-sama berusaha mencari keseronokan dan kehebatan yang ada pada agama kita supaya kita juga lebih bersemangat untuk menceritakannya kepada orang lain. Walaupun ia hanya sepotong ayat, kalau kita faham betul-betul maksud yang hendak disampaikan, tidak mustahil akan ada yang mungkin terkesan dengan penyampaian kita itu.

Wallahua'laam...

Selamat beramal! =)

Sunday, May 5, 2013

Hidayah Itu Tiada Nilainya di Sempoa

Salam w.b.t.

Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam kalendar tahun 2013 Masihi. Hari di mana rakyat Malaysia akan menentukan siapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan kelak.

Dan sekarang, meniti detik-detik pilihan raya, pasti ramai yang sudah pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi.

Setiap calon yang bertanding mula mempamerkan pelbagai strategi untuk meraih undi rakyat. Salah satu caranya adalah dengan menunjukkan kebaikan calon yang bertanding untuk menarik hati para pengundi memilih mereka sebagai pemimpin.

Tak salah hendak jadi baik. Ia sangat dianjurkan oleh semua agama di dunia ini.

Tapi, nak jadi baik ni, janganlah ia baik yang bermusim semata-mata. Bila ada sebab yang tertentu saja, barulah mula hendak jadi sebaik malaikat. Persoalan kebaikan yang bermusim nie bukanlah hanya terhad kepada politik bahkan meliputi segala aspek hidup kita.

Seseorang pelajar itu perlu menjaga adab dengan guru-gurunya. Keberkatan ilmu itu sangat penting. Kalau cikgu pun tak hormat, macam mana ilmu nak berkat. Apabila ilmu berkat InsyaAllah jalan kejayaan akan dipermudahkan.

Semuanya bermula dari diri sendiri. Menjadi seorang yang sukakan kebaikan bagi saya bersifat individualistik. Bukanlah bermaksud pentingkan diri, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memandu diri sendiri ke arah jalan yang selamat dan bermanfaat.

Suasana ketika zaman sekolah dan zaman universiti berbeza tiga ratus enam puluh darjah tahu? Ada orang zaman sekolahnya cukup menonjol, namun dia hanyut di universiti.

Sebabnya? Dia tak berjaya mengekalkan nilai-nilai yang pernah dia ada suatu masa dulu. Dia tewas dengan cubaan dunia.

Untuk berubah ke jalan yang selamat, jalan yang lurus itu banyak dugaan dan cabaran. Namun menjadi manusia yang berakal dan beramal dengan ilmu yang ada itu tidak mustahil. Ia mungkin, kalau kita menghadirkan rasa insaf dan mahu berubah.

Hidayah itu milik Allah. Kalau Dia nak berikan kepada hamba-Nya, bila-bila masa Dia boleh bagi. Sekali kita mendapat petunjuk-Nya, genggamlah ia erat-erat. Jangan pernah sekali lepaskan ia.

Makanya, jangan tunggu bulan Ramadan saja baru nak mula bertadarus Al-Quran. Kena buat dari sekarang la. Tak lama lagi kita akan sambut Ramadan. Jadi bolehlah mula buat azam dari sekarang perubahan apa yang kita mahukan.

Ramadan yang bakal kunjung tiba, tiada siapa yang tahu adakah dia masih hidup untuk beramal di dalamnya. Masa yang kita ada sekarang itulah kepunyaan kita.

Memetik kata nasihat Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam bukunya La Tahzan, Hari Ini Adalah Milik Anda, esok belum tentu lagi milik kita.

Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia! :-)

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...