Saturday, March 4, 2017

Tanggungjawab

Salam w.b.t.

Apa khabar semua? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat.

Sedar tak sedar, sudah 4 bulan saya bekerja di Perlis. Pada mulanya berasa sungguh berat untuk bekerja di jabatan yang majoritinya kaum hawa. Namun saya kuatkan juga semangat memikirkan amanah yang diberikan apabila berada dalam bidang ini. Tanggungjawab yang diberikan perlu dilakukan sebaik mungkin, sebab tidak semua orang yang mendapat peluang seumpama ini. Ia suatu tugas yang tidak mudah dan memerlukan minat serta kesungguhan.

Ia suatu bidang yang susah kerana 2 nyawa yang harus dijaga dan perlu dipastikan selamat. Sedikit kelalaian pasti mengundang mudarat yang boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi.

Pengalaman kali pertama oncall suatu yang agak menakutkan bagi saya. Semuanya berharap supaya tiada berlaku sebarang komplikasi semasa proses kelahiran. Doa kami, supaya semua bakal ibu dapat melahirkan anak dengan selamat. Tangisan pertama bayi selepas lahir merupakan suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Macam mana pula perasaannya kalau menyambut anak sendiri..hehe

Apabila telefon berdering, dan ia datang dari labour room, pasti ada sesuatu sedang berlaku di sana. CTG tak elok, air ketuban berwarna hijau (petanda bayi sudah berak dalam kandungan) perlu diberikan perhatian yang serius. Pernah juga terjadi di mana bukaan jalan ibu sudah fenuh (os full), tapi disebabkan ibu keletihan untuk meneran (baca:push), maka proses kelahiran memakan masa yang lama sehingga bayi lemas. Akhirnya, pembedahan kecemasan perlu dilakukan (emergency LSCS).

Sangat banyak cerita yang menyebabkan adrenaline berlari keluar dalam badan saya (adrenaline rush). Itu baru cerita di labour room, belum lagi di PAC (pregnancy assessment centre). Belum lagi isu nakkan doktor perempuan, isu tak mau vaksin, tak mau bersalin secara normal dan pelbagai kisah lagi.

Saya pun masih dalam proses latihan, perlu banyak belajar lagi untuk menambah pengalaman. Risau juga kalau saya tidak dapat menjalankan amanah ini dengan baik.

Saya rasa setakat itu dahulu. Semoga berjumpa lagi.

Wassalam..

CTG: cardiotocography, alat yang digunakan untuk merekod denyutan jantung bayi dan kadar kontraksi rahim ibu.
Emergency LSCS: Emergency lower segment Caesarean section. Pembedahan kecemasan yang dilakukan atas sebab-sebab tertentu seperti bayi lemas.

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...