Tuesday, March 26, 2013

Manusia Berjubah Putih 3


Salam w.b.t.

Pada artikel sebelum ini, ada saya katakan yang kami perlu melakukan suatu tugasan selepas solat Asar. Apa tugasan tu ya? Hmmm... Mesti kalian tertanya-tanya kan.

Pada petangnya selepas Asar, kami ditugaskan untuk melakukan aktiviti Mulaqat. Kalau tak salah saya, ia ada persamaan dengan kalimah Mulaqah yang kita pernah belajar dalam subjek Sejarah. Maksudnya, Pertemuan. Ini merupakan asal-usul perkataan Melaka, di mana ia adalah tempat pertemuan pedagang seantero dunia.

Kami pun mula bergerak untuk mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Patan. Tujuannya cuma satu, untuk memberitahu mereka mengenai program Ijtimak (perhimpunan) yang akan diadakan di satu tempat yang bernama Wagiri. Kalau kalian hendak tahu, Patan merupakan kawasan yang berbukit-bukau dan sangat mencabar perjalanan. Kawasannya yang penuh dengan gaung membuatkan diri ini berasa sedikit gementar dan bersyukur; gementar dek bahayanya perjalanan pada waktu malam dan bersyukur sebab saya diberikan tempat tinggal yang lebih baik kawasan geografinya. Pun begitu, saya turut berharap pada masa depan akan ada kemajuan di kawasan tersebut untuk kemudahan ramai.

Semasa dalam perjalanan, ada juga kami berselisih dengan lori-lori muatan yang besar dan 'menggerunkan'. Maka kami perlu lebih berhati-hati di situ kerana banyak tempat yang harus dikunjungi untuk menyelesaikan misi tersebut.

Ada satu kawasan penduduk tu, perlu lalu kawasan bukit yang sangat curam dan jalannya juga penuh berbatu sampaikan motosikal yang dinaiki hampir-hampir semput untuk mendaki kawasan itu. Setelah berhempas pulas, kami sampai juga di kawasan tersebut. Masyarakatnya bekerja sebagai petani. Ada sebuah surau kecil yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang. Kami pun bertemu dengan penduduknya dan memberitahu program yang bakal diadakan keesokan harinya. Mereka juga sempat menjamu kami dengan teh panas sebelum kami bertolak pulang.

Setelah habis satu destinasi, kami pun bergerak ke destinasi seterusnya. Selagi malam belum melabuhkan tirainya, selagi itulah Mulaqat perlu diteruskan. Dari satu kampung ke kampung yang lain. Inilah yang dikatakan sebagai 'turun padang', tengok sendiri bagaimana kehidupan masyarakat setempat. Mungkin melalui mereka, kita akan belajar sesuatu dalam hidup ini. Betapa sifat bersyukur dengan nikmat yang sedia ada perlu dizahirkan dan diamalkan selalu.

Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.

Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti..

Wassalam..

p/s : Setelah lama menyepi, maka keluar juga akhirnya artikel ini. Ingatkan nak habiskan terus, tapi rupanya banyak lagi nak diceritakan...
p/ss : Al-Fatihah kepada arwah Asy-Syahid Dr. Mohamed Said Ramadan al-Buti dan arwah Dr Muhammad Uthman El-Muhammady...2 tokoh besar, 2 permata agama.... 

Thursday, March 21, 2013

Ukhwah dan Silaturrahim tu Ibarat Kacang Dal dan Kacang Kuda


Salam w.b.t.

Hubungan silaturrahim merupakan hubungan yang terhasil melalui persaudaraan sesama ahli keluarga. Contohnya, hubungan antara ayah, ibu dan anak-anaknya. Hubungan antara datuk dan cucunya, ayah saudara dan anak saudaranya.

Ada satu kata-kata Arab yang antara lain bermaksud, "Tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan hubungan silaturrahim.." Allah sendiri bersifat dengan sifat Ar-Rahim.

Ukhwah pula, suatu hubungan yang terhasil antara saudara yang tiada pertalian kekeluargaan. Contohnya, hubungan antara Samir Bachik dan Zainal Zaidi yang tinggal berjiran sebelah-menyebelah. Mereka bukanlah saudara yang mempunyai pertalian darah, namun 'diikat' oleh hubungan ukhwah sesama Muslim.

Dari situlah wujud istilah seperti akh (saudara lelaki) dan ukht (saudara perempuan). Ikhwah pula merujuk kepada muslimin manakala akhawat merujuk kepada muslimat. Sungguh cantik dan indah bahasa Arab nie kalau kalian nak tau.. =)

Orang-orang dahulu (sekarang tak pasti masihkah diamalkan), apabila ditanya siapakah gerangan diri mereka. Maka jawapan yang akan diberikan, "Akhuuka fil Islam.." (Saudara engkau dalam Islam).

Pernah dengar pertubuhan Ikhwanul Muslimin? Nah, di situ pun ada digunakan perkataan saudara. Tapi di sini, maksudnya adalah "Persaudaraan Muslim". Bukankah Muslim itu bersaudara?

Biasanya kita akan menambah "I" pada kata dasarnya. Akh akan digunakan sebagai Akhi manakala Ukht disebut Ukhti. Metod ini juga ada digunakan dalam bahasa orang putih. Tak percaya? Apa yang kalian sebut dalam bahasa orang putih untuk "makcik". Aunt @ auntie? Ya, saya rasa sudah jelas apa yang cuba saya sampaikan di sini.

Itulah dia serba sedikit perkongsian dari saya mengenai Akhi dan Ukhti. Apa maksud sebenar, di mana lagi ia digunakan. Kalau kalian ada sesuatu yang nak dikongsikan, jangan pura-pura malu. Sudi-sudilah berkongsi sebaris dua...

Wallahua'laam...

Monday, March 18, 2013

Marathi Sikna Parega


Salam w.b.t.

Kaise ho? Harap anda semua sihat walafiat. Kalau ada yang selesema tu, cepat-cepat la ambil ubat. Jangan biarkan ia melarat sampai anda nak bangun pun tak larat. Bila kena selesema, maka barulah kita sedar betapa besarnya nikmat bernafas yang kita ada.

Kenapa saya mulakan perkongsian kali ini dengan bahasa hindi? Sila teka. Ok yang kat belakang tu, berkaca mata berbaju belang nak jawab. Yap, betul. Sebab hari nie saya nak bicara mengenai topik bahasa asing. Bahasa asing ya, bukan makhluk asing atau orang asing.

Apa yang bestnya belajar bahasa asing nie? Banyak kelebihan sebenarnya kita belajar lebih dari 1 bahasa. Kalaulah ada pelancong luar macam pak syeikh dari Jordan datang ke tempat kita, dan tanya kita macam mana nak ke Giant, maka bolehlah kita tolong mereka sekadar yang mampu. Memanglah kebanyakan pelancong boleh cakap BI, tapi kalau yang datang tu cuma tahu Arab saja, tak ke fening nanti kita dibuatnya. Sebab tulah belajar bahasa asing nie satu kelebihan dan nilai tambah untuk kita.

Kali nie saya nak kongsikan sikit mengenai bahasa di tempat saya belajar, iaitu Hindi dan Marathi. Kata orang, kalau nak belajar bahasa asing, pergilah ke tempat di mana bahasa tu merupakan bahasa rasmi penduduknya. Kalau nak belajar bahasa Parsi, pergilah ke Iran. Berterbanganlah ke Mesir atau Yaman kalau nak belajar Arab. Kerana di sana kita boleh belajar bahasa tersebut secara lebih mendalam. Praktikal pun ada sekali, tak lah cuma study buku-buku bahasa saja. Mu'amalah dan pergaulan dengan masyarakat tempatan pun kena ada. Barulah bahasa tu melekat betul dalam ingatan kita.

Satu lagi, kalau pergi ke negara luar, jangan rasa kekok untuk beramah mesra dengan penduduk tempatannya. Walaupun anda pasti akan ada masalah komunikasi dengan mereka, jangan pernah rasa mengalah atau fobia untuk bersembang dengan mereka sebab, bila kita dengar mereka bercakap, secara tak langsung kita tahu macam mana nak berkomunikasi dengan cara dan sebutan yang betul. Lama-kelamaan kita akan tahu struktur dan susunan ayat yang digunakan. Mana tahu vocab pun turut bertambah juga.

                                                      Hindi                                              Marathi
1. Pagi                                           Subah                                              Sakari
2. Tengahari                                   Dopahar                                          Dupari
3. Petang                                        Sham                                            
4. Malam                                        Rat                                                 Sandiakali
5. Nama siapa?                          Tumhara nam kya hai?                      Tuzha naw kay?
6. Umur berapa ek?                   Tumhara umur kitna hai?                         Way kiti?

Perkataan pagi, tengahari, petang dan malam, salah satu kegunaannya adalah waktu nak beritahu pesakit berapa kali kekerapan makan ubat. Pagi saja ka. Pagi dan petang ka. Atau malam saja. Sekurang-kurangnya pesakit ambil ubat tepat pada masanya.

Alhamdulillah, pengalaman menyertai aktiviti jemaah tabligh di sini banyak membantu saya untuk menguasai sedikit sebanyak bahasa pertuturan masyarakat di sini. Muslim di sini kebanyakannya berkomunikasi dalam bahasa Urdu. InsyaAllah akan saya kongsikan catatan bahasa tersebut kelak. Kalau anda hendak tahu, bahasa Urdu merupakan bahasa puisi, bahasa sastera, bahasa yang punya irama dan maksud tersirat.

Satu tips untuk menguasai bahasa asing : selalulah berkomunikasi dengan masyarakat tempatan. Walaupun ayat yang digunakan ringkas, setidak-tidaknya ada sesuatu yang kita belajar. Dari situ kita akan ada keyakinan untuk bertutur dengan mereka.

Setakat itu dulu catatan kali ini. Moga ada manfaatnya.

Salam. Chalo! (Jom!)

Sunday, March 17, 2013

Kematian Itu Lebih Baik Baginya


Salam w.b.t.

Semalam (Sabtu), salah seorang saudara kita dalam Islam telah pun dijemput menghadap Ilahi.

Akh Muhammad Nur Iman Shafieq, seorang ikhwah yang sangat komited dengan dakwah dan tarbiah, bekas pelajar di salah sebuah universiti di London dalam bidang perguruan, telah terlibat dalam satu kemalangan. Arwah tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar belakang sebuah Alphard yang menukar laluan secara tiba-tiba.

Walaupun saya tidak kenal sangat dengan arwah, tapi melalui update status di wall-wall facebook, saya kira arwah seorang yang sangat baik dan sentiasa bersemangat dalam gerak kerja dakwah. Betapa ramai yang menyuarakan rasa kehilangan dan kesedihan apabila kematian itu lebih baik baginya. Sungguh, saya cemburu dengan arwah melalui cerita-cerita dari sahabatnya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Apabila bayi dilahirkan, hukum untuk bayi itu menangis adalah wajib. Ia bukannya sunat atau harus. Sebaliknya, ibu ayah dan orang di sekeliling akan bergembira dengan kelahiran anak yang dinanti-nantikan itu.

Apabila manusia meninggalkan dunia ini, orang di sekeliling pula yang akan bersedih dan diharapkan kita pula yang akan bergembira saat pertukaran ke alam barzakh suatu hari nanti.

Itulah 2 situasi yang berbeza. Satu, saat kita datang ke dunia. Kedua, saat kita meninggalkan dunia ini.

Kehidupan kita di dunia ini cuma sementara. Betapa masa kita cuma sekejap, tak lama.

Bukanlah nilai hidup ini ditentukan melalui pangkat, harta mahupun aset berjuta. Tetapi hidup itu sangatlah bermakna andai, kita gunakannya dengan melakukan perkara kebajikan dan saling mengenali saudara seagama. Nilai kepada hidup kita itu, salah satu kayu ukurnya adalah berapa ramai saudara seMuslim yang telah kita kenal, jumpa dan berurusan dengan mereka. Semakin ramai sahabat, semakin banyak ukhwah yang terjalin. Semakin kita menghayati maksud sebenar kalimah Ar-Rahman (Yang Maha Penyayang), salah satu Nama-nama Allah yang Mulia.

Inilah salah satu tazkirah yang pernah disampaikan oleh salah seorang akhi ketika saya pulang bercuti suatu masa dulu. Kita hidup di dunia ini, cubalah untuk kenal ramai orang supaya kita boleh belajar dari mereka. Banyak contoh terbaik yang boleh kita ikut dan amalkan.

Manusia mati meninggalkan nama. Selagi hayat dikandung badan, buatlah amal kebaikan sebanyak mungkin. Sebab kita tak tahu bila pula giliran kita untuk dipanggil menghadapNya.

Muda atau tua, baik atau kurang baik, bukanlah indikator kepada kematian yang sudah pasti. Yang paling penting, apa persiapan yang telah kita buat untuk menyambut kedatangan sakaratul maut kelak.

Jom muhasabah...

Sunday, March 10, 2013

Sulu Yang Popular


Salam w.b.t.

Menjelang pilihan raya yang bakal tiba, negara digemparkan dengan isu pencerobohan Sabah oleh Kesultanan Sulu. Mereka mendakwa bahawa Sabah sebenarnya merupakan hak milik kerajaan Sulu. Berlaku juga konflik antara Sulu dan Filipina apabila Filipina didakwa gagal melindungi keluarga diraja Sulu suatu masa dulu.

Apabila rumah kita diceroboh oleh orang lain, maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk mempertahankannya. Kita ada hak terhadap tanah atau rumah yang telah mejadi milik kita sejak bertahun-tahun lamanya.

Kes pencerobohan Sabah ini ada similaritinya dengan pencerobohan Palestin oleh Israel. Tanah Palestin merupakan hak milik orang Islam secara amnya dan milik orang Palestin secara khususnya dan ia wajib dipertahankan sekiranya diceroboh atau dirampas. Takkanlah nak dibiarkan saja.

Israel pula mendakwa kononnya mereka ada hak terhadap Palestin seperti yang telah diberikan oleh Tuhan kepada mereka. Itu cuma dakwaan, tiada bukti konkrit untuk menyokongnya. Kalau ada pun, boleh jadi ia cuma rekaan semata-mata.

Melihat kepada nama Sultan Sulu tersebut, tidak syak lagi mereka beragama Islam dan mengamalkan hidup sebagai Muslim.

Tetapi kenapa sampai perlu berperang dan bersengkata sesama Muslim?

Mungkin inilah yang dikatakan kebimbangan oleh malaikat kepada Allah bilamana Allah hendak mencipta khalifah di muka bumi ini seperti yang tercatat dalam Surah Al-Baqarah. Malaikat mempersoalkan, kenapa Allah hendak menciptakan suatu golongan yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Allah membalas, Dia tahu apa yang tidak mereka ketahui.

Sememangnya kita manusia ini dikurniakan akal oleh sang Pencipta. Makanya kita gunakanlah ia untuk membuat kebaikan di dunia ini.

Permusuhan itu tak membawa apa-apa erti.

Dalam ajaran Kristian juga ada ditekankan mengenai kasih sayang Tuhan (God's Love). Mereka percaya bahawa kasih sayang Tuhan perlu disebarkan untuk keharmonian masyarakat.

Semoga, para pejuang negara mendapat kejayaan dalam misi mereka mempertahankan bumi Sabah. Doa kita sumber kekuatan bagi mereka. Teruskan berdoa kepada Allah. Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.

Wassalam...

Friday, March 8, 2013

Dasvidaniya Paeds And CUte Babies~~


Salam w.b.t.

Hampir bertahun-tahun lamanya blog tak diupdate. (Hiperbola gila setahun tak update hang nie..) Hari-hari terakhir saya di Jabatan Pediatrik menuntut tulang 4 kerat bekerja melebihi kemampuan manusia biasa. Apabila selalu dalam zon selesa, datang sikit ujian terus rasa down, give up. Itulah yang pernah saya lalui dan akan saya ingat sampai bila-bila.

Sebab apa terlalu sibuk? Sebab tak ramai interns di jabatan tersebut. Maka bebanan kerja meningkat sehingga saya sendiri pun dah tak jadi macam manusia lagi. Bila jadi macam tu, konsentrasi pun kurang sampaikan prestasi kerja pun agak membimbangkan. Namun, saya terus dan terus berdoa pada Allah mohon dipermudahkan semuanya. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Hari-hari terakhir saya adalah di NICU (Neonatal Intensive Care Unit), unit yang memerlukan tahap konsentrasi yang tinggi kerana bayi-bayi di situ berada pada tahap kesihatan yang kritikal. Jadi, close monitoring sangat diperlukan. NICU bagi saya suatu unit yang penuh dengan ujian dan tekanan di mana doktor-doktor yang bertugas di dalamnya harus sentiasa tenang dan cepat bertindak. Yalah, dah nama pun ICU. Macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

Mula-mula di NICU, rasa blur dan lambat juga buat semua kerja. Biasanya 2 orang interns perlu bertugas di situ. Tapi hanya saya seorang ditempatkan di situ disebabkan kekurangan interns. Bila kita lambat trace report dari lab atau lambat buat kerja, maka bersedialah untuk ditegur oleh doktor senior. Diherdik dan disoal bagaikan pesalah tu lumrah la bagi seorang doktor junior. Sampaikan pernah sampai satu tahap di mana diri ini dirasakan macam tak berguna langsung di situ. Rasa down. Rasa macam tak pernah belajar apa-apa langsung.

Namun saya muhasabah balik apa silapnya. Apa yang harus diimprove. Bagaimana saya harus keep in track dengan doktor2 senior kalau ada new admission dari wad bersalin contohnya. Sentiasa saya reflek diri, soal kenapa saya jadi macam tu. Dan saya berazam untuk jadi lebih baik pada hari esok dan hari-hari seterusnya.


"Sister, can you take my picture?"
"Yes"

Alhamdulillah, hari demi hari ada la perkembangan jugak. Walaupun tak juga memuaskan setelah berhari-hari di NICU, saya kuatkan semangat dan sentiasa tanya itu dan ini pada doktor senior. Dan mereka sentiasa berkongsi ilmu dan pengalaman yang mereka ada. Itu yang sangat saya hargai sepanjang di jabatan ini.

Bagi yang berminat dalam bidang medik, kena betulkan niat dan kena kuatkan semangat. Sebab tekanan kerja tu boleh datang tanpa kita sangka. Walaupun ada yang kata internship tu sebagai honeymoon year, bagi saya ia benar tapi hasilnya di penghujung tahun, satu benda apa pun tak tau nak buat. Hatta nak buat suction kat bayi pun tak pandai buat. Sangat2 rugi.

Sepanjang berada di NICU, kena marah tu benda biasa bila kerja tak dibuat dengan sempurna. Sebab bayi di situ perlukan penjagaan yang rapi. Tak boleh buat kerja sambil lewa saja. Kenalah buat betul2 dan penuh sabar. Semudah-mudah bagi susu pada bayi pun sudah dikira pahala kalau kita niatkan untuk menyembuhkan bayi tersebut. Kita dah pun mudahkan urusan orang lain. Allah pasti mudahkan urusan kita pula.

Banyak lagi nak dikongsi. Lain kali saja saya ceritakan pada anda. Semoga apa yang kita lakukan ini, menjadi saham kepada kita di akhirat nanti. InsyaAllah..

p/s : Hari ini, bermulalah tugasku di Jabatan Orthopedik. Posting yang agak relax. Banyak benda yang boleh belajar. Selamat tinggal Paeds dan bayi-bayi yang comel lote! (",)

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...