Tuesday, January 29, 2013

Aku Bukannya Penghibur Jalanan



Salam w.b.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

"Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat."

Sepotong hadis yang ringkas dan popular sebagai dalil untuk melakukan dakwah kepada orang lain. Ia menunjukkan betapa tugas dakwah itu sesuatu yang penting bagi kita semua tak kira apa taraf akademik, warna kulit atau apa juga jurang perbezaan. Semua orang ada peranannya masing-masing.

Skil untuk berdakwah itu harus dipelajari dan diasah dengan betul supaya maklumat yang kita nak bagi tu sampai kepada orang lain. Jadi, kenalah turun padang juga untuk latih kemahiran tersebut.



Street Dakwah merupakan salah satu aktiviti yang boleh mengasah kemahiran untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Bunyinya pun dakwah jalanan, makanya ia bukanlah terhad di kawasan masjid, sekolah atau surau semata bahkan ia lebih syumul dan liberal (liberal dalam erti kata tiada had tempat).

Alhamdulillah, diri yang kerdil ini berpeluang juga untuk menyertainya pada sambutan Maulidur Rasul minggu lepas. Kita dah biasa berdakwah pada rakan seagama. Jadi target kali nie adalah untuk memberitahu kepada non-Muslim siapakah yang dikatakan Nabi Muhammad s.a.w. itu. Bagaimana caranya untuk memberi dakwah kepada mereka mengenai Nabi kita, cukup sekadar mereka tahu figur hebat ini. Bunyinya agak mencabar sebab kita kena gunakan bahasa yang mereka boleh faham sewaktu bercerita. Kita mengharapkan mereka dapat sedikit maklumat mengenai kenapakah hari tersebut merupakan cuti umum satu Malaysia, dan barulah kita sampaikan serba sedikit sebab musababnya.

Komunikasi merupakan salah satu cara untuk menyampaikan dakwah. Kalau yang pandai bercakap tu, gunakanlah kebolehan anda untuk menyampaikan sesuatu kepada orang di sekeliling anda. Setiap orang ada kelebihan masing-masing.

Sebelum program bermula, kami berkumpul terlebih dahulu di Pasaraya Giant Alor Setar, bersebelahan Masjid Al-Bukhary pada paginya dalam pukul 9 untuk sesi taklimat ringkas. Taklimat pagi itu bertujuan untuk memberikan sedikit panduan bagaimana caranya untuk mendekati golongan bukan Muslim sebelum kita memulakan dakwah kepada mereka.

Ada cara dan adab-adabnya untuk menarik minat mereka mendengar apa yang kita mahu cakapkan. Bukan main terjah saja tak tentu fasal. Bak kata orang, kena ada seni untuk menarik dan bukannya menolak.

Setelah taklimat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan diberikan bahan-bahan souvenir untuk dihadiahkan kepada mereka yang bertuah. Setiap kumpulan ditugaskan di tempat-tempat yang berbeza di sekitar Alor Setar.


Penulis bersama cikgu Bukhari a.k.a. ketua kumpulan..

Setibanya kami di tempat praktikal, kami mula menunggu siapakah yang bakal menjadi mangsa. Penantian yang sungguh menguji kesabaran kerana perniagaan baru saja hendak bermula. Jadi masing-masing kelihatan sibuk untuk memulakan perniagaan mereka.

Setelah bersiar-siar di sekeliling pasaraya, kami mula menunggu dan melihat sesiapa saja yang dirasakan sesuai untuk ditemuramah buat seketika. Setelah meminta izin, kami mula bertanyakan sebab hari itu sebagai cuti umum lalu member sedikit penerangan mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w. dan tujuan Baginda dilahirkan di dunia ini. Baginda bukan saja prihatin dengan masyarakat Muslim, masyarakat bukan Muslim juga sentiasa diingati Baginda kerana Baginda diutuskan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.

Setelah selesai aktiviti, kami berkumpul semula di Pasaraya Giant sebelum bersurai. Kami bertukar-tukar cerita dengan kumpulan yang lain mengenai pengalaman masing-masing ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

Bagi saya, ada antara mereka (non-Muslim) yang tahu mengenai peristiwa Maulid Nabi ini. Ini menunjukkan bahawa mereka juga concern dengan setiap agama yang diamalkan di Malaysia. Mudah-mudahan suatu hari nanti mereka mendapat sinar hidayah dari Allah s.w.t. InsyaAllah.

Setelah mendengar ucapan ringkas dari pihak penganjur, kami pun bersurai. Kami dinasihatkan untuk meneruskan kerja-kerja dakwah kerana ia merupakan satu tugas yang mulia untuk menyebarkan keindahan agama Islam ini. Kami juga diberi kata-kata perangsang semoga usaha yang dilakukan ini mendapat balasan yang setimpal dari Allah s.w.t.

Akhir kalam, manusia itu ibarat logam. Masing-masing ada peranan tersendiri dalam agama. Masing-masing ada kelebihan. Tinggal lagi, bagaimana nak asah kelebihan itu untuk dimanfaatkan di jalan Allah s.w.t.

p/s : Jumpa ramai ikhwah yang sangat berkaliber dalam dakwah...

Wednesday, January 23, 2013

Jom Hebah-hebahkan...


Salam w.b.t.

Hari ini merupakan hari bersejarah bagi umat Islam kerana ia merupakan tarikh di mana junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan di dunia ini. Saat kelahiran manusia yang mulia ini mencatatkan pelbagai peristiwa yang menarik dan ajaib bagi membuktikan kedatangan penutup segala Nabi dan Rasul ini.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ingin saya kongsikan beberapa aktiviti menarik sepanjang minggu ini. Mudah-mudahan kita dapat melapangkan masa untuk menghadiri majlis tersebut supaya dapat kita buktikan rasa kasih dan sayang kita kepada Baginda Rasul.

1. Street Dakwah.
 Antum seorang pendakwah? Kalau ya, jom sertai program ini untuk menceritakan kepada non-Muslim siapakah figur hebat yang bernama Muhammad bin Abdullah.

 Tarikh : 24 Januari 2013.
 Tempat : Pasaraya Giant Alor Setar.
 Masa : 9.00 pagi - 12.00 tengahari.

Walaupun rasa macam lewat pulak hebah kat sini, tapi harapnya masih ada yang sempat join jugak.

Berkumpul di sana pada pukul 8.30 pagi untuk sesi taklimat ringkas terlebih dahulu.

2. Majlis Lantunan Mahabbah Rasulillah 2013.

 Tarikh : 24-26 Januari 2013.
 Tempat : Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, Alor Setar.

Itu saja buat masa nie. Semoga Allah melapangkan masa Tuan/Puan/adik2/abang2/kakak2 untuk turut serta memeriahkan program di atas. InsyaALLAH.

ALLAHUMMA SOLLI 'ALAA MUHAMMAD,
WA 'ALAA AALIHI WASOHBIHI WASALLAM.


Wassalam...

Wednesday, January 9, 2013

5 Ugama


Salam w.b.t.

Segala Puji bagi Allah yang telah memberi kita peluang untuk terus bernafas setiap hari di dunia ini. Setiap kali kita bangun tidur, jangan dilupakan perasaan syukur kepada Allah yang telah menghidupkan kita kembali setelah kita 'dimatikan' buat seketika. Siapa tahu tidur kita itu merupakan tidur yang terakhir. Peluang untuk terus diberi nyawa ini menunjukkan bahawa Allah masih membuka tawaran kepada hamba-hambaNya untuk bertaubat.

Sewaktu menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, suasananya begitu tenang sekali sebab akhirnya dapat juga kembali ke tanahair. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai pagi itu, menjadikan suasana lebih dramatik.

Sedang menunggu keluarga datang, datang seorang wanita berbangsa Cina dalam lingkungan umur 40-an bertanyakan adakah boleh untuk dia menumpang kereta balik ke rumahnya. Saya tiada masalah dengannya sebab apa salahnya menolong sesama manusia, mungkin ini salah satu cara untuk mempraktikkan sifat bertoleransi tidak mengira agama seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Dia pun memulakan bicaranya setelah duduk di sebelah saya. Katanya :

"Kalau saya cakap dengan lu pun, takut lu marah.. Saya jumpa itu Tuhan oo..."

Itulah buah bicara yang dikatakannya kepada saya. Sedikit terkejut, saya mula menumpukan perhatian dan mendengar segala yang cuba disampaikannya. Bukan apa, jarang saya berjumpa dengan manusia yang begitu teruja dengan agama yang diamalkan dalam kehidupan untuk diceritakan kepada orang lain.

Menurutnya, dia baru saja pulang dari Bangalore, India di mana ia dibanjiri oleh masyarakat yang datang dari seluruh dunia untuk melakukan pilgrimage (semacam dengan ibadah haji/umrah oleh Muslim). Ada yang beragama Hindu, ada yang Kristian malahan ada juga yang beragama Islam turut menyertai aktiviti di sana. Sewaktu berada di Indialah, dia mendakwa berjumpa dengan Tuhan dalam bentuk cahaya putih yang turun dari langit.

Dia juga ada menceritakan pelbagai lagi kisah ajaib yang pernah berlaku kepadanya sehingga menguatkan lagi pegangannya bahawa ada satu kuasa yang agung iaitu Maha Kuasa (Allah). Ceritanya penuh semangat dan keterujaan, mungkin setelah dia mengalami pelbagai pengalaman aneh sebelum ini.

Semasa dalam perjalanan untuk memasuki kereta, saya bertanyakan kepadanya, apa agama yang dianutinya. Dia menjawab, "Kita 5 ugama punya olang..." Rupanya, mereka tidak mengamalkan satu-satu agama secara khusus, sebaliknya mengakui kebenaran 5 agama yang berbeza. Apa yang penting bagiinya, setiap orang harus melakukan kerja-kerja amal dalam hidup mereka. Ia tidak harus dibatasi oleh perbezaan warna kulit, bangsa mahupun agama.

Sewaktu dalam kereta, dia masih rancak bercerita itu dan ini. Dia sangat kagum dengan Sai Baba yang kononnya ada bermacam-macam kelebihan dan keajaiban. Dia juga ada mononton rancangan Tanyalah Ustaz yang ditayangkan di TV9 dan tahu mengenai Nabi Muhammad S.A.W., syurga dan neraka. Pendek kata, dia seorang yang ada pengetahuan tentang agama Islam.

Terkesima juga saya dibuatnya.

Dia juga mengatakan yang dunia ini hanya mainan. Dunia perlu dilepaskan saat kita hendak berangkat keluar dari dunia. Kerja-kerja amal yang kita lakukan itu sangat baik dan perlu menjadi amalan kita.

Mungkin ada sebab kenapa Allah mempertemukan saya dengannya. Saya kira mungkin ada antara kita yang pernah mengalami situasi yang serupa. Ramai orang bukan Muslim yang sudah lama mengkaji agama Islam. Mereka tahu hukum-hakam Islam dan segala yang berkaitan dengannya. Terkadang, ilmu mereka melebihi apa yang kita tahu.

Tapi,

Kalau tiada hidayah dari Allah, ilmu itu setakat ilmu sahaja, tiada amalan dan penghayatan. Tiada amal yang dapat memanfaatkan ilmu yang ada. Ibarat pohon yang tidak berbuah.

Apabila dia mengatakan dia percaya dengan kebenaran 5 agama, saya pun tidak tahu macam mana mereka boleh ada pendirian sebegitu.

Semoga suatu hari nanti, dia diberikan petunjuk oleh Allah untuk menerima kebenaran agama Islam sahaja sebagai agama yang diredhai Allah...

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...