Thursday, June 30, 2011

Bola Itu Bulat


Salam w.b.t.

Akhirnya dapat juga kami beriadah setelah sekian lama berhibernasi di bilik. Disebabkan adik-adik Tahun 1 baru sahaja habis exam teori maka diajaknya kami berentap di padang bola ala-ala Old Trafford itu. Maka aktiviti riadah petang tadi sekurang-kurangnya menjadi pengubat tekanan mereka di kala exam memuncak. Cuaca pun nampaknya agak baik.

Keadaan padang yang menunjukkan sedikit kemajuan dari segi zahirnya seolah-olah merangsang nafsu kami untuk bermain. Mana taknya, musim hujan sudah pun bermula. Segala jenis flora yang sebelumnya kekontangan menagih setitis air kini mendapat limpahan kasih sayang yang tidak terhingga dari alam. Kehijauan flora yang memenuhi (erm, hampir memenuhi sebenarnya) padang itu menyejukkan mata yang memandangnya. Walaupun ianya tidak segah Old Trafford tetapi bukan standard yang tinggi menjadi ukuran. cewah...

Bersukan bukan sahaja menyihatkan badan malah mengeratkan ukhwah dan persahabatan sesama kami. Kalau selalunya masa yang ada banyak diperuntukkan untuk belajar dan membaca buku (plus aktiviti2 lain), waktu riadah petang kami boleh berjumpa dan bergelak ketawa sama-sama sambil melupakan dunia perubatan buat seketika.

Masa inilah masanya untuk diaplikasikan ilmu yang dipelajari. Apabila kita melakukan aktiviti riadah, nadi kita akan bergerak dengan cepat. Denyutan jantung akan semakin laju dan peluh mula keluar. Ini berlaku disebabkan rangsangan sistem saraf dalam badan yang menyebabkan jantung akan bekerja dengan lebih keras untuk membekalkan darah kepada anggota-anggota badan. Nafas akan tercungap-cungap dan bertambah laju juga, untuk menambah kadar pengambilan oksigen ke dalam badan.

Setelah sekian lama tidak bermain, semuanya kelihatan letih walaupun baru sekejap sahaja bermain. Mula-mula pergerakannya laju dan agresif. Lama kelamaan rentak semakin perlahan dan perlahan. Tercungap-cungap dan tidak bermaya. Semangat itu kembali naik apabila ada antara kami yang melakukan sepakan tepat ke gawang penjaga gol. Gol ! Serentak dengan itu juga semangat yang pudar kembali lagi dan permainan mula menjadi rancak dengan kedua-dua kumpulan melancarkan serangan untuk membolosi gawang gol lawan. (",)

Dan kegelapan malam mula menyelubungi tanda masa untuk pulang ke asrama sudah sampai. Masing-masing sudah keletihan dan berpuas hati. Andai ada kesempatan yang lain, sudah pasti kami akan berentap lagi untuk mengeluarkan peluh dan memanaskan badan serta menghasilkan jantung yang sihat dan rajin bekerja. (n_n)

p/s : Malaysia menang 2-1 dengan Taiwan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia. Baguih la hampa... =)

Sunday, June 26, 2011

Pokok Itu Melambai-Lambai Kepadaku


Salam w.b.t.

Sebelum turunnya hujan beberapa petanda akan berlaku sebagai satu peringatan supaya kita bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Apa persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi situasi tersebut. Begitu juga sebelum seseorang itu mendapat sesuatu penyakit, badannya akan menunjukkan tanda-tanda yakni simptom penyakit tersebut sebagai langkah berjaga-jaga kepadanya. Demam tidak berlaku serta-merta tetapi dimulai dengan simptom seperti sakit kerongkong dan lemah badan contohnya.

Tanda-tanda yang berlaku sebelum hujan membasahi bumi menunjukkan bahawa alam pun tahu berinteraksi dengan kita secara tidak langsung. Ia seolah-olah ingin memberitahu kita : "Berjaga-jaga kalian. Sebentar lagi hujan rahmat akan turun membasahi bumi-Nya. Boleh jadi ia membawa rahmat dan boleh jadi ia turut membawa musibah tanpa disangka-sangka." Begitu halus sekali bagaimana alam cuba 'bercakap' dengan kita.

Tengok langit, sudah pun kelam gayanya. Awan besar berwarna hitam kelihatan memenuhi dada langit. Semakin perlahan awan itu bergerak.

Kemudian kedengaran bunyi guruh berdentum-dentam. Kilat sabung-menyabung. Seringkali berasa terkejut dengan bunyi guruh yang sangat kuat. "Dunia sudah hendak kiamatkah ?"

Angin pula memainkan peranannya membawa mesej dari seberang sana. Berderu bunyi angin yang ditangkap oleh gegendang telinga untuk ditafsirkan oleh otak. Pokok-pokok kelihatan menari rancak mengikut rentak sang angin. Meliuk lentuk ditiup angin.

Tiba-tiba sesuatu bermain di fikiran :

وَأَمَّا عَادٌ۬ فَأُهۡلِڪُواْ بِرِيحٍ۬ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٍ۬ (٦)
Surah Al-Haqqah, ayat 6. (69:6)

Maksudnya : Adapun 'Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.

Inilah dia angin yang suatu masa dahulu pernah menghancurkan kaum yang ingkar dengan suruhan Allah. Kaum yang mendustakan ayat-ayat-Nya dan menolak ajaran Rasul-Nya. Angin ini yang disangka manusia begitu nyaman dan menenangkan jiwa, namun ia pernah menghancurkan umat yang lalai suatu ketika dahulu. Bagaimanakah kalau angin ini berubah angin lalu membinasakan umat yang sedang lalai pada zaman ini pula. Lagipun, sudah banyak malapetaka yang dibawa oleh angin sebelum ini sebagai suatu bentuk hukuman dan peringatan dari Allah.

Dan angin ini juga pernah berkhidmat kepada Nabi Sulaiman A.S. Angin inilah yang setia membawa Baginda ke mana sahaja tempat yang ingin dijejaki. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana bentuk perjalanan Baginda menggunakan angin.

Suatu sunnah yang boleh kita amalkan apabila berlaku angin kencang ialah dengan mengamalkan doa yang pernah diamalkan Nabi Muhammad S.A.W.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikannya & aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya".
(HR. Abu Dawud 4/326, Ibnu Majah 2/1228 dan lihatlah kitab Shahih Ibnu Majah 2/305)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيْهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيْهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini, dan kebaikan yang ada padanya, dan kebaikan apa yang dibawanya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari kejelekannya, dan kejelekan yang ada padanya, dan kejelekan apa yang dibawanya.”

(HR. Muslim 2/616 dan Al-Bukhari 4/76)


Semoga setiap apa yang kita lakukan itu menjadi ibadah dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menghargai serta mengambil pengajaran dari setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita. InsyaAllah...


Saturday, June 25, 2011

Mensyukuri Nikmat Yang Sementara


Salam w.b.t.

Entah apa pula perayaan yang disambut ketika ini sehingga kedengaran bunyi pukulan gendang secara berterusan dari pagi tadi lagi. Memandangkan bangunan asrama terletak berdekatan dengan kuil, maka jelaslah kedengaran bunyi gendang seolah-olah mereka sedang mengadakan raptai untuk majlis yang besar. Sebenarnya dari semalam lagi latihan bermula sehingga lewat malam.

Selain musim hujan, satu lagi musim yang tidak kurang pentingnya sedang berlaku di sini. Musim peperiksaan akhir bagi budak-budak Tahun 1 yang mana mereka harus melepasinya untuk masuk ke Tahun 2. Bukan senang tetapi tidak susah kalau rajin study dan yakin dengan kemampuan diri untuk berjaya. Teringat pula bagaimana keadaannya kami pada 2 tahun lepas. Tiada senior, tiada sebarang rujukan untuk dijadikan panduan dalam pelajaran. Namun itu semua bukanlah alasan untuk meneruskan langkah ke hadapan. Apa yang penting ? Kerjaasamaa. Ya, kerjasama sesama rakan banyak membantu dan memberi kekuatan untuk sama-sama mendapat kejayaan.

Selain itu, cuaca yang agak cool disebabkan mentari tersipu malu untuk memunculkan dirinya seakan membantu mereka yang sedang bergelut dengan ujian di atas kertas. Perasaannya agak tenang dan selesa mungkin, disebabkan alam pun seolah-olah mengerti bahawa mereka sedang berjuang dengan ujian yang besar.

Sebesar mana pun ujiannya, tidak akan pernah sama dengan apa yang pernah dilalui oleh para Nabi dan Rasul itu. Ujian mereka lebih berat dan sangat menguji kesabaran. Ujian yang menguji kesabaran mereka dalam berdakwah. Sehinggakan Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menerima ancaman bunuh oleh mereka yang memerangi dakwah Baginda.

Sangat kecil ujian yang kita hadapi sekarang. Kalau kita rasa ujian yang kita hadapi sangat berat, ada lagi manusia yang diuji lebih berat dari kita. Kita sudah pun hidup dalam zaman yang serba selesa. Ada tempat tinggal, makanan yang serba cukup, kesihatan yang baik. Apa lagi yang kita inginkan dalam hidup ini. Terkadang nikmat yang banyak itu sentiasa melekakan. Saya sendiri mengalaminya dan entah berapa banyak lagi nikmat yang ada yang kita anggap itu anugerah dari Allah namun hakikatnya satu bentuk ujian kepada kita.

Dalam zaman yang serba canggih ini, di mana taraf hidup manusia sudah semakin bertambah baik, tiba-tiba ada sebahagian orang yang hidup merempat di jalanan, di bawah jambatan dan sebagainya sedangkan kita hidup mewah di rumah atau asrama atau di mana saja. Pada masa yang sama kita tidak bersyukur dan mengambil pelajaran dari golongan tersebut. Maka adakah relevan untuk kita bersikap tidak puas hati dengan ujian hidup yang sedang kita alami ?

Bolehkah dikatakan sesebuah negara itu semakin membangun dengan pelbagai kemajuan yang ada sedangkan ada sekelompok manusia yang lain yang nasibnya bergantung harap kepada orang lain demi menjalani hidup sehari-hari.

Jadi sebaiknya kita harus banyak bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik dan nikmat itu belum ditarik lagi. Seharusnya bersyukur dapat peluang untuk belajar dalam keadaan yang selesa dan aman tanpa peperangan. Bagaimana agaknya nasib para remaja di Palestin sana. Adakah suasana pembelajaran mereka sekondusif suasana kita belajar ?

Allah boleh menguji kita hamba-Nya dalam pelbagai bentuk yang datangnya tanpa disangka-sangka. Salah satunya ialah melalui hiburan dalam apa jua bentuk yang nampak menyeronokkan dan menggembirakan walhal ia secara perlahan-lahan membawa manusia jauh dari mengingati Allah. Na'udzubillahi min dzalik.

Sunday, June 12, 2011

Oh Ayah Oh Ibu


Salam w.b.t.

Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih ayah tiada bandingan. Kedua-duanya merupakan insan yang terpenting dalam hidup kita. Tanpa mereka maka tidak mungkin kita dilahirkan di dunia yang sementara ini. Sejak dalam kandungan lagi sudah ada perjanjian antara ruh dan sang Pencipta. Ruh itu sendiri mengakui Allah sebagai Pencipta dan dimeterai perjanjian antara mereka di mana ruh berjanji untuk menyembah-Nya sebagai Khaliq.

Ruh semasa dalam kandungan itu berasa sedih dan berat hati untuk berpisah dengan Tuhan. Disoalnya siapa yang akan menjaganya apabila ia dilahirkan ke dunia nanti. Bagaimana nasibnya di dunia kelak. Apakah ada yang akan memberi sepenuh perhatian kepadanya. Lantas Tuhan menjawab, Dia akan memberikannya seorang malaikat yang akan setia menjaganya dengan penuh kasih sayang. Malaikat itu bernama Ibu.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w. pernah ditanya siapakah yang lebih berhak selepas Allah dan Rasul. Jawab Baginda, "ibumu" sebanyak tiga kali sebelum "ayah". Betapa ibu itu lebih berhak diberi keutamaan dalam kehidupan kita.

Namun ayah turut memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ayah juga harus dihormati selayaknya kerana ayah juga banyak berkorban untuk kita. Namun cara bagaimana ayah menunjukkan kasih sayangnya ternyata berbeza dengan ibu. Walaupun caranya agak keras, hatinya sentiasa lembut dan ingin melihat kita mendapat yang terbaik dalam hidup.

Salah satu filem yang bertemakan pengorbanan ayah adalah Pedar (Father) arahan Majid Majidi iaitu seorang pengarah filem dari Iran. Pedar menceritakan konflik seorang anak, Mehrollah yang tidak dapat menerima hakikat kehadiran ayah tiri dalam hidupnya. Dia begitu sedih apabila mendapati ibunya berkahwin lagi setelah kematian ayah yang disayanginya. Si anak mula memberontak terhadap ayah dan ibunya kerana dia menganggap dirinya mampu menyara hidup mereka sekeluarga tanpa perlu ibunya berkahwin semula.


Macam-macam yang dilakukan oleh si anak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap ayah tirinya yang dituduh sengaja mengambil kesempatan terhadap keluarganya. Namun ayahnya tetap bersabar dan sentiasa berusaha membaiki hubungan mereka yang tegang itu. Bagi saya, babak yang paling menarik ialah ketika ayahnya berusaha mencari si anak yang melarikan diri dari rumahnya dan sanggup pergi ke bandar yang sangat jauh dari rumahnya semata-mata untuk menjemput si anak ya
ng nakal itu. Dalam perjalanan pulang pun terdapat babak yang menunjukkan betapa kerasnya hati si anak untuk bekerjasama dengan ayahnya walaupun ayah cuba memujuknya dengan tindakan yang lembut. Babak yang saya kira memberi kekuatan dalam filem ini.


Jangan cuba nak lari ya! Sumber

Di akhir cerita hubungan antara anak dan ayah semakin baik setelah pelbagai dugaan yang menimpa mereka membuatkan terbuka hati si anak untuk menerima ayah tirinya itu. Nak tahu macam mana dia yang pada mulanya membenci ayah tirinya tetapi kemudiannya berdamai dengan si ayah kenalah tengok cerita ini dahulu. Sesuatu yang agak menyentuh hati dalam cerita ini adalah bagaimana sifat sabar seorang ayah dalam menghadapi kerenah anak-anaknya. Kalau ada sesuatu musibah yang berlaku si ayah rela mengorbankan dirinya demi keselamatan anaknya. Tiada sifat penting diri sekalipun si anak banyak berbuat zalim pada ayahnya.

Hati manusia itu sentiasa berbolak-balik. Suatu hari seseorang itu boleh jadi nakal pada pandangan mata kita. Namun suatu hari kalau hidayah Allah sampai padanya nescaya Allah akan memberi kefahaman agama padanya. Sepertimana dalam filem Pedar, si anak yang pada mulanya memberontak terhadap si ayah akhirnya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Sungguh besar peranan hati manusia dalam menentukan perihal baik buruk akhlak dalam dirinya.

Friday, June 10, 2011

Bagaikan Mutiara Ditagih Manusia


Salam w.b.t.

Perasaannya pada bulan Rejab begitu tenang sekali. Sungguh mendamaikan jiwa. Bumi seolah-olah mengerti akan kehadirannya apabila tumbuh-tumbuhan subur menghijau menyegarkan pandangan. Bunyi unggas silih berganti.

Bumi Karad sebelumnya sangat panas dan begitu menguji iman. Pancaran matahari yang terik ditambah dengan jumlah awan yang sedikit menyebabkan musim panas yang melampau. Tanahnya kering dan tandus. Ke mana sahaja pergi manusia akan membawa bekal air minuman. Kepanasan dunia yang tidak setara dengan api neraka itu pun boleh menjadikan manusia resah gelisah.

Sinaran mentari menyinari bumi.

Kini hujan turun sebagai rahmat dari-Nya. Betapa Allah menyayangi hamba-hamba-Nya itu dengan pelbagai cara baik cepat mahu pun lambat. Hampir setiap hari hujan rahmat itu turun membawa kedinginan kepada manusia, seiring dengan datangnya bulan Rejab. Maka seharusnya manusia bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehinya.

Firman Allah dalam Surah Al-Hajj, ayat 5 :

".......Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai."


Keindahan alam ciptaan Tuhan.

Dengan kedatangan bulan Rejab menandakan persiapan diri untuk menghadapi Ramadan dari segi rohani perlu ditingkatkan dan dinaiktaraf. Takkan hendak berada di takuk lama juga kan ? Sekurang-kurangnya ada penambahbaikan dalam segala amalan yang dilakukan dan kekal istiqamah.


Di sebalik kehijauan buminya, ada makhluk yang memenuhi alam ini selain manusia.




Ibarat kain putih yang suci murni

Salam w.b.t.

Al-insaan ashraful makhluuqaat. Manusia ialah sebaik-baik kejadian yang diciptakan oleh Allah sebagai khalifah di dunia ini. Manusia itu sendiri dikurniakan akal fikiran supaya digunakannya untuk membuat pertimbangan yang waras dan membezkannya dengan haiwan yang hanya memiliki otak tanpa akal. Namun betapa ramai yang yang kurang atau tidak menggunakan akal langsung sehingga merendahkan martabat manusia serendah-rendahnya.

Manusia bukanlah berasal dari golongan monyet, beruk atau yang sekufu dengannya. Sangat tidak tepat teori Charles Darwin itu. Kita semua berasal dari Adam. Anak cucu Adam sejak zaman-berzaman.

Perkembangan manusia dari bayi sehingga dewasa merupakan sesuatu yang unik dan ada diceritakan dalam Al-Quran. Sebelum dilahirkan di dunia, kita semua berada dalam sebuah kegelapan iaitu kegelapan rahim ibu kita selama 9 bulan 10 hari. Perubahan demi perubahan berlaku dari segumpal daging kepada makhluk iaitu insaan.


وَ
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬ (١٢) ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬ (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤)
Surah Al-Mukminuun : ayat 12-14

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami jadikan air benih itu sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikn tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami menjadikannya makhluk yang lain sifat keadannya. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik.

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (٧٨)

Surah An-Nahl : ayat 78

Maksudnya : Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati nurani agar kamu bersyukur.

Apabila melihat golongan kanak-kanak, kenangan semasa kecil menjelma kembali. Teringat bagaimana betapa nakalnya saya semasa kecil dahulu dan suka berperang antara adik-beradik. Lucu pula apabila difikir-fikirkan telatah semasa kecil yang selalu menyebabkan kemarahan orang tua.

Semasa kecil yakni ketika masih bayi, kita semua mempunyai rabun dekat (hypermetropia). Hal ini disebabkan saiz bebola mata yang terlalu kecil sehingga menyumbang kepada terjadinya rabun dekat tersebut. Semakin bertambah umur, semakin bertambah saiz bebola mata sehingga pembesaran mata berada pada tahap yang optimum dan seseorang itu dikatakan mempunyai penglihatan yang normal jika saiz bebola mata bertambah secara normal dengan peningkatan umur. Sekiranya pertambahan saiz bebola mata sangat perlahan, saiznya akan kecil dari saiz yang sepatutnya lalu rabun dekat akan terjadi dan sebaliknya kalau saiz bebola mata meningkat secara mendadak, rabun jauh (myopia) akan berlaku. Semasa tempoh pembesaran, makanan yang berkhasiat harus diberikan kepada bayi supaya perkembangan bayi tersebut berada pada tahap yang memberangsangkan.

Bercakap soal kanak-kanak, mereka boleh dikategorikan sebagai golongan 'diktator'. Haaa. Kenapa ? Sebab mereka suka kalau orang mendengar cakap mereka. Mereka suka mengarah itu dan ini, begitu dan begini supaya kemahuan mereka dipenuhi. Sesetengahnya tidak mahu memberi kerjasama untuk dilakukan pemeriksaan ke atasnya mungkin gerun dengan manusia yang berkot putih agaknya. Mereka lebih selesa berada dalam pangkuan si ibu atau nenek.

Ada yang menggeleng-geleng kepala dan sentiasa berpaut pada ibunya saat didekati oleh manusia berkot putih. Ada juga yang cool sewaktu diperiksa badannya tanpa banyak soal sambil mengukirkan senyuman di bibir seolah-olah mengatakan "Saya rela diperiksa.."

Itulah antara cabaran yang perlu dihadapi ketika ingin merawat kanak-kanak. Perlu ada kemahiran untuk menjadi kanak-kanak juga supaya mereka selesa berdamping dengan manusia berkot putih. Ada disebutkan bahawa antara peralatan yang perlu dibawa ketika bertemu dengan mereka adalah alat permainan atau gula-gula. Kanak-kanak akan lebih percaya dan memberikan kerjasama disebabkan mereka mendapat apa yang mereka suka dan selesa dengan rakan yang dianggap sebaya itu.

Kanak-kanak ialah golongan yang bersih dari sebarang dosa. Ibu bapa mereka yang mencorakkan kehidupan mereka, sama ada hendak jadi baik atau buruk. Alam si kecil sentiasa penuh dengan gelak tawa dan permainan. Pada waktu ini, penjagaan kesihatan harus dititikberatkan kerana mereka mudah mendapat jangkitan dek sistem imun yang masih lemah. Proses untuk menjadi insan yang berakal bermula dari kecil. Bak kata peribahasa, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

p/s : Wad pediatrik ketika ini begitu lengang. Tidak ramai pesakit sangat, tetapi kes yang ada cukup menarik.

Monday, June 6, 2011

Kalau nak bergurau pun


Salam w.b.t.

Ada satu video yang ingin dikongsikan berkenaan Yisrayel. Saja-saja menaip Yisrayel (ai-es-ar-ey-ee-el) di youtube, terjumpa video ini yang saya kira patut kita tahu. Ia disiarkan oleh stesen TV Yisrayel iaitu Eretz Nehederet (A Wonderful Country), sebuah rancangan TV yang bersifat satira. Kurang lebih macam lawak yang bersifat mengejek la.

Dan banyak isu yang dimainkan oleh rancangan ini, salah satunya adalah berkenaan isu Palestin dan keamanan.


Comelnya mereka. Tapi sayang kecil-kecil lagi sudah diajar ideologi yang salah. Maka pemahaman mereka pun akan terbias dari yang sepatutnya mereka tahu.

Lagi satu video.


Melihat sambil berfikir itu bijak


Salam w.b.t....

Musim cuti sekolah sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh adik-adik kita. Apabila datangnya cuti sekolah maka ia ibarat menemui sebotol air mineral setelah seminggu di padang pasir Moab.

Walaupun secara umumnya cuti bermaksud berehat di rumah tapi cikgu-cikgu pasti tidak akan lepas tangan sepenuhnya lalu memberikan kerja atau latihan yang perlu dihabiskan semasa cuti. Dalam erti kata yang lain, cuti sambil bekerja: dalam cuti masih bekerja untuk menyiapkan kerja rumah. Saya tahu sebab saya yang lampau pun ada mengalami nasib yang sama.. =D Semakin lama tempoh cuti, semakin banyak latihan yang diberikan. Hipotesis musim cuti yang masih perlukan kajian mendalam lagi. huhu

Maka banyaklah jemputan kenduri kahwin yang diterima. Lepas seorang, datang seorang lagi untuk memberikan jemputannya. Terkadang dalam sehari adalah 3 ke 4 kenduri yang perlu dihadiri. Rezeki katanya.Dapur di rumah pula tidak perlu diperasapkan untuk sementara waktu. Kenduri itu harus didahulukan. Kalau tidak membazir pula lauk kenduri. (eh?) Iya lah, selalunya mereka akan memasak secara pukal supaya bekalan makanan cukup untuk dijamu kepada tetamu yang datang. Namun apabila umur menginjak naik, komitmen untuk ke majlis walimah semakin berkurang. Mungkin benar mungkin juga salah.

Musim cuti juga waktu yang sesuai untuk aktiviti makan angin atau melancong. Kalau waktu belajar, masa yang ada diperuntukkan untuk mencari maklumat dahulu tentang tempat-tempat yang menarik. Selepas itu idea itu diketengahkan dan dibincangkan dengan mak ayah. Apabila sudah setuju maka berangkatlah mereka sekeluarga atau sekawan mahupun sekumpulan ke tempat yang dijanjikan. Dalam situasi ini adanya prinsip teori dan praktikal. Ilmu dan amal. Ilmu itu perlu bersesuaian dengan amal, kalau tidak ia hanya sekadar pengetahuan am sahaja. Apabila mendapat maklumat itulah dipanggil ilmu dan amalnya diterjemahkan dengan perbuatan makan angin itu sendiri.

Ramai yang hanya makan angin sahaja tanpa ada tujuan kenapa dia keluar berjalan, sampaikan perutnya dipenuhi angin sepoi-sepoi bahasa lalu menjadikannya lena dan asyik dengan segala bentuk hiburan. Bagi mereka yang ada kesedaran, mereka punya tujuan dan alasan untuk melihat alam yang luas ini. Keluar bukan untuk bersuka ria sampai tidak ingat akhirat bahkan lebih dari itu.(selalunya orang menggunakan istilah dunia dan bukannya akhirat)

Memang boleh saja bergelak tawa namun perlu diingat suka lawannya duka. Apabila terlebih suka maka dikhuatiri duka pula yang menimpa.

Tiba-tiba teringat firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat, ayat 13 :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

" Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Itulah tujuan utama setiap perjalanan dalam hidup ini, untuk mencelikkan mata yang hampir kuyu, membuka minda yang sebelumnya terbelenggu supaya mengenal bangsa dan agama lain yang Allah ciptakan. Dengan mengenal segala macam orang yang ada itu seharusnya merendahkan lagi diri ini dan mendekatkan kita pada-Nya betapa hebatnya Allah sebagai Pencipta. Setiap orang ada hidung masing-masing tetapi berbeza darjah kemancungannya. Ada yang berkulit cerah dan ada yang kurang cerah. Ada tinggi dan ada rendahnya. Ada yang bermata hitam dan tak kurang yang bermata biru tiruan. Itulah dia pelbagai jenis bangsa yang ada. Berbagai-bagai suku yang wujud sehingga masyarakat itu merupakan sesuatu yang unik.

Dengan mengenal masyarakat yang lain, maka kita akan sedar di tahap mana pencapaian kita sekarang. Kalau setakat jaguh kampung atau sekolah, ramai lagi yang lebih hebat bahkan mereka lebih 'tawaduk' dari kita sendiri.

Kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Pengalaman hidup itu sesuatu yang sangat bernilai. Melihat ragam manusia yang pelbagai yang kadang-kadang boleh mewujudkan seribu satu tanda tanya dan persoalan. Persoalan itulah yang mencorakkan pemikiran dan perbuatan kita. Ia hanya berlaku apabila setiap pelancongan itu disertai dengan fikir dan lebih cantik lagi kalau ditambah dengan zikir. Subhanallah.

Betapa tersusunnya hidup ini kalau ia tidak disia-siakan. Antara berseronok-seronok tanpa tujuan dengan berseronok yang bertujuan dan mendapat pahala, mana satu yang kita pilih ? Semoga cakap kita serupa dengan apa yang dibikin.

Wallahua'laam...



Friday, June 3, 2011

Akidah dan sunnah dalam kehidupan



Salam w.b.t.

Sedar tak sedar, sudah hampir separuh tahun berlalu. Masa-masa yang berlalu itu sudah jauh meninggalkan kita seperti kata Imam al-Ghazali, yang paling jauh adalah masa yang telah berlalu dan tak akan kembali lagi.

Memasuki bulan Jun semestinya boleh dikaitkan dengan cuti sekolah yang agak panjang bagi yang sedang bersekolah. Bagi yang sudah berkerjaya atau sudah khatam zaman sekolahnya sudah tentu merindui saat-saat untuk bercuti sebab ruang untuk bercuti dan tafsiran terhadap cuti itu berbeza mengikut zaman belajar. Apabila seseorang itu telah berubah dari amatur ke profesional dalam pelajarannya maka ruang untuk bercuti semakin berkurang yang mana cuti yang singkat itu lebih bermakna daripada tiada cuti langsung.

Eh, boleh pulak macam tu.



Bercakap pasal cuti, sekarang pun saya tengah bercuti namun bukanlah bermakna saya sedang bersiar-siar di Pulau Pangkor atau Pulau Payar. Macam yang saya katakan tadi, tafsiran cuti bagi setiap orang adalah berbeza. Walaupun saya tengah bercuti atau kata mat solehnya on holiday, saya masih ada aktiviti posting di bilik yang menempatkan kanak-kanak yang terpilih.

Kalau difikir-fikir balik, saya banyak juga keluar berjalan dan mengembara ke banyak tempat dengan harapan ada mutiara yang dapat saya bawa balik untuk dijadikan inspirasi dalam hidup. Eh, ada unsur-unsur satira di situ. Dan hampir setiap minggu akan mengikut program di luar stesen yang agak jauh jaraknya saujana mata memandang. Kata orang kalau kita tak berkorban, kita tak akan dapat merasa nikmatnya kehidupan. Cewah... Maka kalau nak tahu kenalah rasa sendiri barulah ada pengalaman untuk diceritakan kepada orang lain.

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti program PERMISI a.k.a. Perhimpunan Mahasiswa Islam Seluruh India di Bangalore. Perjalanan dari Karad ke Bangalore mengambil masa kurang lebih 12 jam secara teori dalam kitab pelancongan. Praktikalnya boleh berubah mengikut keadaan dan kecekapan pemandu bas sebab trip saya pun cuma 8-9 jam sahaja. Mungkin jalan sudah makin elok dan lebuh raya pun sudah ada menyebabkan perjalanannya semakin cepat dan efektif. Walaupun jauh, alang-alang ada masa lapang lebih baik diringankan kaki melangkah pergi sebelum diri dijemput pergi. Lapang sebelum datangnya sempit.

Penceramah yang dijemput pun hebat-hebat belaka. Bunyinya macam ramai pula yang datang padahal hanya seorang sahaja penceramah iaitu Prof Madya Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin atau dikenali sebagai Dr. MAZA. Beliau merupakan pensyarah tetap di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.

Banyak ilmu dan idea yang dikongsikan oleh Dr. MAZA sepanjang program tersebut. Antaranya berkenaan Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, perubatan Islam dan beberapa salah faham atau kekeliruan yang wujud dalam kalangan orang melayu Muslim di Malaysia.

Apabila disebut akidah ia bermaksud pegangan atau fahaman yang menjadi amalan dan asas dalam kehidupan beragama. Apa saja hukum akan diambil mengikut fahaman sesebuah negara itu. Contohnya di negara kita majoritinya mengamalkan mazhab Syafi'e. Segala bentuk ibadah, muamalat dalam kehidupan adalah berdasarkan mazhab Syafi'e. Persoalannya, adakah kita benar-benar punya alasan kenapa kita mengikut mazhab tersebut. Adakah ia hanya sekadar ikutan mengkhinzir buta atau pengamalannya adalah berdasarkan hujah-hujah yang diyakini kesahihannya.

Di sinilah letaknya peranan untuk kita kembali kepada pengamalan sunnah yang sahih. Mazhab yang empat itu berasal atau merupakan kesinambungan daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Semuanya mempunyai persamaan dari segi akidah Islamiah dalam erti kata mengakui tiada Ilah selain Allah s.w.t. cuma dari segi ibadah saja yang ada perbezaan. Akidah merupakan hal yang melibatkan semua Muslim, tak kira siapa pun. Selagi dia beragama Islam dia harus mempunyai akidah yang sejahtera dan jelas. Kita harus berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana Ahlus Sunnah wal Jamaah dan cuba mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan. Sunnah yang sahih dan bukan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sedangkan Nabi tidak pernah mengamalkannya atau mengiakan amalan itu.



Selain itu, ustaz juga ada berkongsi mengenai Ruqyah, atau dalam Layman termsnya (bahasa mudah) bermaksud jampi. Jampi ini bukan saja boleh digunakan untuk menghalau makhluk halus atau mengubati orang histeria bahkan boleh juga digunakan untuk berubat penyakit yang tidak melibatkan unsur mistik. Contohnya, kita bole menjampi air dengan doa yang tertentu untuk mengubat pesakit dan pada masa yang sama kita tanamkan nilai akidah dalam diri pesakit dengan mengatakan usaha itu hanya sejenis ikhtiar, yang berkuasa menyembuhkan hanya Allah s.w.t.

Nampak tak bagaimana Islam itu merupakan agama yang praktikal, senang untuk diamalkan. Ia bukanlah hanya terhad kepada masa atau tempat tertentu. Bukanlah perlu tunggu dapat sijil tauliah atau kelulusan baru boleh menjadi da'ie atau pak imam. Nabi pernah sebut,"Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." Nak kata bagaimana pentingnya untuk kita beramal dengan sebenar-benar amal dalam kehidupan dan menyampaikan pada orang lain. Maka kita harus rasa dahulu kemanisan dalam beramal. Perlu ada akidah yang mantap supaya kita tak mudah goyah kalau ada anasir kat luar sana yang cuba memberi paracetamol secara berlebihan untuk melegakan sakit kepala kita kononnya sedangkan ia tidak lain hanya mendatangkan toksik pada pemikiran kita.

Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan program tersebut. Seronok sebab dapat jumpa ramai kenalan baru dan dapat berkongsi pengalaman serta bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Rasanya masa program perlu dipanjangkan sebab saya lihat para peserta begitu teruja dan khusyuk ketika mendengar ceramah. Rasa berbaloi datang dari jauh sebab antara mendengar secara hidup (baca:live) dan mendengar di youtube, perbezaannya sangat ketara. Kalau tengok secara hidup, secara berdepan dengan guru kita, akan menimbulkan satu perasaan yang susah untuk digambarkan. Tiada kata-kata mahu pun ayat yang boleh menggambarkan situasi itu melainkan ia dizahirkan melalui perbuatan. Saat mendengar kuliah secara hidup, bulu roma dirasakan meremang secara tiba-tiba dan jiwa dirasakan bergetar apabila mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Fuh.. Sungguh perasaan itu hanya dapat dirasakan apabila kita belajar secara berdepan dengan guru kita kerana kita sendiri dapat merasakan betapa manisnya ilmu yang dituntut itu dan lebih manis lagi kalau ianya diamalkan.



Contoh yang lain, antara tengok final Champions League Manchester United vs Barcelona secara live dengan tengok siaran tertunda, mana satu yang lebih nikmat agaknya.. =)

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan membuka minda kita semua. Sekiranya ada kecacatan atau kesalahan maklumat harap diberitahu. Mereka yang hebat ialah yang sentiasa belajar dari kegagalan dan berusaha membaikinya.

-Yang masih berusaha membaiki diri-

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...