Thursday, May 24, 2012

Allah, Liberty and Love.


Salam w.b.t.

Peredaran zaman memperlihatkan kepada kita akan perubahan sesuatu hukum yang telah ditetapkan dalam Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. Segala peraturan dan hukum-hakam Islam berubah-ubah mengikut zaman menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang rigid sebaliknya ia agama yang memberi kemudahan kepada penganutnya berlandaskan syariat Islam.

Selagi sesuatu yang dilakukan itu masih mengikut syariat Islam, ia boleh dilakukan walaupun pada zahirnya nampak sangat mudah pelaksanaannya. Tiada masalah di situ.

Pada satu-satu masa, hukum-hakam yang telah ditentukan oleh ulama silam kemungkinannya dilihat tidak bertepatan dengan masalah yang timbul dewasa ini lalu memerlukan perbincangan (musyawarah) sesama ilmuan Islam dalam menentukan hukum yang baru.

Kaedah penentuan hukum yang baru berdasarkan usaha seseorang ulama itu yang menganalisa sesuatu masalah lalu mengeluarkan hukum berdasarkan ilmunya, disebut sebagai ijtihad. Inilah yang biasa kita dengar sebagai ijtihad ulama. Mereka ini merupakan golongan yang tinggi ilmunya lagi tsiqah (dipercayai) dan tidak diragui mengenai keupayaan mereka mengeluarkan hukum atau pendapat.

Ijtihad atau reformasi bukannya boleh dilakukan sesuka hati. Ia perlukan ketinggian ilmu dan kemahiran dalam disiplin ilmu tersebut. Seseorang itu harus punya pengetahuan yang luas mengenai perkara yang ingin diperkatakan sebelum sesuatu perkara itu diputuskan demi kemaslahatan masyarakat.

Jika diri sendiri tidak mempunyai ilmu yang cukup, dikhuatiri akan muncul pula insan-insan persis Salman Rushdie yang mentafsirkan agama mengikut pemahaman sendiri sehingga mendapat tentangan hebat dari masyarakat Muslim. Ia contoh bagaimana akal didahului oleh pengaruh hawa nafsu.

Alkisahnya
Mutakhir ini muncul pula seorang reformis wanita yang semakin dikenali iaitu Irshad Manji. Beliau merupakan seorang penulis dan wartawan Kanada yang lantang bersuara dan giat mempromosikan idea 'moral courage' yang menurutnya sesuatu yang perlu dalam masyarakat hari ini.

Antara buku tulisannya termasuklah The Trouble With Islam Today dan Allah, Liberty and Love. Ada yang dapat menerima segala idea yang cuba disampaikan melalui 2 buku tersebut namun tidak kurang juga yang mengkritik dan mengecam karyanya itu.

Suratan atau kebetulan, saya turut memiliki bukunya yang bertajuk Allah, Liberty and Love. Sewaktu mula-mula membeli, saya langsung tidak mengenali penulisnya. Cuma tertarik dengan tajuk buku tersebut yang nampak macam sedikit subversif atau offensive barangkali. Setelah hampir sebulan, barulah dikenali siapa penulisnya setelah mendapat maklumat di atas talian. Rupa-rupanya buku tersebut hendak diharamkan di tanahair yang tercinta. Fuh, ganas juga penangan buku tersebut.

Di sebalik buku medik...


Dalam bab pengenalan ada diceritakan pengalaman penulisnya sendiri yang sentiasa dikecam melalui ugutan bunuh lewat e-mail. Ada yang menuduhnya dengan pelbagai gelaran dan ada juga yang bersetuju dengan buah fikiran yang dilontarkan.

Irshad Manji juga ada menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'moral courage' yang dijaja olehnya kepada orang ramai. 'Moral courage' bermaksud kesanggupan untuk bercakap mengenai kebenaran untuk mengukuhkan masyarakat demi kebaikan yang lebih besar. (The willingness to speak truth to power within the community for the sake of greater good).

Melalui 'moral courage', seseorang itu digalakkan untuk sentiasa bertanya mengenai sesuatu. Lebih banyak soalan lebih bagus. Dan pertanyaan itu lebih berkisar mengenai segala tindak-tanduk Muslim itu sendiri. Kenapa lelaki sahaja yang boleh jadi imam? Kenapa undang-undang ini wujud? Adakah ia masih relevan? Tidakkan ia harus dikaji dan diteliti semula demi imej Islam di mata bukan Muslim?

Kalau dari sudut pembelajaran ilmu-ilmu sains atau apa jua cabang ilmu, rasanya 'moral courage' wajar dipraktikkan. Ia suatu yang harus digalakkan kepada pelajar-pelajar.

Namun dalam bidang yang melibatkan soal agama, mungkin ia kurang sesuai kerana tidak semua persoalan agama itu boleh dijangkau melalui akal yang terbatas. Segala peraturan yang telah ditetapkan itu, memerlukan orang yang betul-betul arif dan dipercayai untuk melakukan sebarang perubahan, dan tidak ramai yang memenuhi kriteria yang sepatutnya.

Usahanya itu lebih kepada menyeru masyarakat supaya memberi ruang yang luas kepada kebebasan. Kebebasan individu untuk bersuara dan kebebasan mempersoalkan perkara yang berkaitan hak asasi manusia yang mungkin dirasakan tidak ramai yang tampil untuk memperkatakannya secara terbuka.

Meniti hari-hari pada akhir zaman, kelihatan semakin banyak usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk memberi definisi baru terhadap agama Islam. Mereka ini begitu aktif bekerja supaya apa yang dicita-citakan itu tercapai.

Jadi, mari sama-sama kita tambah ilmu asas mengenai agama supaya kita termasuk dalam golongan yang menepati ciri-ciri akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah berbanding 72 kumpulan lain yang nyata terpesong dari pemahaman Islam yang sebenarnya.

p/s : Sedang berusaha menghabiskan Allah, Liberty & Love.




Sunday, May 20, 2012

Ikraamul Waalidain


Salam w.b.t.

Sewaktu kita masih kecil, mereka begitu gembira dan sabar melayan kerenah kita yang kadangkala begitu susah untuk dikawal. Sedari bangun tidur, tangisan kita yang nyaring dan tinggi pitch itulah yang setiap waktu dan setiap masa harus mereka dengar dan hadapi dengan penuh kasih sayang.

Bunyi tangisan itu bukanlah sesuatu yang menjemukan buat mereka bahkan mereka sentiasa berusaha untuk memuaskan hati kita yang menangis kerana kelaparan atau ketika dalam kesedihan. Naluri mereka yang sentiasa betul dalam menunaikan segala kemahuan kita, di mana kepentingan kita didahulukan daripada kepentingan mereka.

Sewaktu kita bersedih, mereka setia menemani kita, menenangkan jiwa-jiwa yang rapuh dengan cubaan dan ujian dunia ini. Mereka sentiasa memberi semangat kepada kita untuk terus maju ke hadapan menghadapi segala ujian dengan tabah.

Itulah dia insan yang bergelar ibu dan ayah, mak dan ayah, papa dan mama, pak dan mak, ibu ayah dan pelbagai lagi gelaran yang kita berikan kepada insan istimewa dalam hidup ini.

Kalau mereka sanggup bersusah payah dan bersengkang mata untuk menjaga kita dengan baik, kita sepatutnya membalas pengorbanan mereka setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan sewaktu kita masih belum tahu menulis dan membaca lagi.

Memberi layanan yang sebaiknya kepada ibu ayah adalah sesuatu yang mulia. Kita hendak mereka berbangga dan senang hati dengan kehadiran kita di sisi mereka. Maka kita perlu fikir bagaimana caranya untuk sentiasa menggembirakan hati mereka walau di mana pun kita berada, jauh atau dekat.

Banyak ayat Al-Quran yang menyebut perihal menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, menunjukkan betapa memuliakan ibu bapa adalah suatu amalan yang sangat disukai oleh Allah.

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin....." - Surah Al-Baqarah, ayat 83.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa..." - Surah Al-Isra', ayat 23.

Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu dan ayahnya melebihi seruan untuk berperang di jalan Allah. Pernah satu ketika Rasulullah menyuruh seorang lelaki yang ingin pergi berperang supaya menjaga ibu dan ayahnya yang masih hidup terlebih dahulu. Walaupun berperang itu sesuatu yang hebat dan gah dalam pandangan manusia, namun berbakti kepada ibu ayah ternyata lebih besar ganjarannya.

Banyak cara yang boleh dilakukan supaya ibu ayah sentiasa tersenyum dengan kehadiran kita di samping mereka. Setiap orang ada usahanya masing-masing bagaimana hendak menambat hati ibu dan ayah sebagaimana mereka menambat hati pasangan masing-masing. Eh, ke situ pula. 

Kita sebagai anak-anak perlu kreatif dan sensitif dengan apa sahaja yang berlaku kepada mereka. Setiap kejayaan mahu pun kesedihan perlulah dikongsi dan diraikan bersama. Paling penting, bertolak ansur dan berlapang dada dengan mereka kerana setiap pandangan mereka sangat berharga untuk dijadikan panduan hidup.

Mereka yang lebih dahulu makan garam daripada kita, bukan bermakna mereka yang mula-mula tahu betapa masinnya garam itu atau mereka sukakan garam. Garam itu simbolik kepada ujian hidup, di mana dari dulu sampai sekarang garam itu tetap sama masinnya, ujian dan cabaran hidup itu tetap tidak berubah dan pernah mereka lalui suatu masa dulu.

Kita golongan muda sendiri sedar betapa pemuda pemudi hari ini sebahagiannya lebih mementingkan keseronokan yang sementara berbanding nilai-nilai kehidupan yang sepatutnya diambil pengajaran daripadanya. Setiap tindakan itu kadang-kadang tidak dirasionalkan pelaksanaannya sehingga memberikan kesan buruk.

Nah, di sinilah wujudnya hubungkait antara peranan seorang anak dan keprihatinan ibu dan ayah terhadap anaknya. Apabila kita mengasihi dan menjaga hubungan baik dengan ibu ayah, Allah akan memudahkan urusan kita di dunia ini. Ibu dan ayah akan berasa diri mereka dihargai dan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada kita walaupun kita sudah menginjak dewasa. Kata orang, dah besar panjang. Apabila kita sendiri berasa dipedulikan oleh ahli keluarga, maka kemungkinan untuk menyertai kumpulan-kumpulan luar bermotor tayar satu atau bertatu tidak akan terjadi.

Semuanya bermula dari rumah. Rumah yang cuma berdindingkan papan, beratapkan rumbia, tidak mustahil akan lahirnya seorang Ibnu Sina atau seorang Muhammad Al-Fateh sekiranya setiap ahlinya mempunyai ikatan kekeluargaan yang kukuh.

Teringat salah satu kata-kata : Rumahku Syurgaku. Kita mahu rumah yang kita tinggal bersama ibu dan ayah itu seperti syurga, selesa dan tenang di dalamnya. Jadi, penghuninya kenalah menghidupkan suasana syurga yang diidam-idamkan itu dengan melakukan amal kebaikan. Salah satu daripadanya, berbuat baik dan taat kepada ibu dan ayah selagi mereka tidak menyekutukan Allah. (",)

p/s : Berdoa juga salah satu cara berbuat baik kepada ibu dan ayah. Jangan dilupakan mereka dalam setiap doa kita ya...

Saturday, May 12, 2012

Sekawan Awan Hitam Mirip Awan Nano


Mode : Hujan turun dengan lebatnya ketika dia sedang khusyuk menggoreng lagu Thank You Allah nyanyian Maher Zain.

Salam w.b.t.

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian ? Semoga semuanya sentiasa berada dalam rahmat Allah tak kira di mana anda berada ketika ini. Kita hidup di dunia ini bukanlah semata-mata untuk berseronok melainkan untuk berusaha mendapatkan keredhaan Allah.

Rasanya sudah lama saya tidak mengupdate mengenai Karad. Mungkin ada yang tertanya-tanya dan ingin tahu cerita dan perkembangan semasa bandar yang terletak sejauh 6 jam dari Mumbai ini.

Alhamdulillah setelah lebih 4 tahun berada di sini, bandar Karad mula mendapat perhatian dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia di sini. Rata-ratanya mula sedar dan tahu bagaimana keadaan bandar ini sehinggakan tetamu yang berkunjung tidak putus-putus. Walaupun jarak perjalanan yang jauh, namun atas dasar keimanan dan ukhwah sesama kami, ianya bukanlah satu alasan untuk mengatakan tidak kepada pengembaraan yang semestinya memerlukan pengorbanan dan ketabahan tersebut.

Sekarang ini, Karad sedang mengalami musim panas yang melampau (baca : ekstrem). April sudah mula menunjukkan peningkatan suhu yang drastik dan ianya maksimum pada Mei. Sungguh menguji diri yang lemah ini.

Kalau ke kelas atau posting, mesti akan ada rakan-rakan yang membawa bekal air kosong sebagai teman bagi menghilangkan dahaga. Sebotol air dikongsi oleh beberapa orang. Sungguh berharga nilai air ketika itu.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata. Kusangkakan panas sepanjang Mei, rupanya hujan di pertengahan.

Sejak akhir-akhir ini, 2-3 hari kebelakangan, hujan mula turun membasahi bumi yang kering kontang. Alhamdulillah. Itulah, kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Tiada Daya dan Kekuatan melainkan hanya dengan Kekuatan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Petang tadi hujan turun dengan lebatnya memberi nikmat kepada hamba-hambaNya yang mendiami bumi Allah ini.

"Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Dia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya). - Surah An-Nahl : 65.

Tidak kiralah panas atau sejuk, kedua-duanya ada hikmah. Dan kedua-duanya juga tidak terlepas dari cakap-cakap manusia yang agak kurang sedap didengar.

Teringat pula salah satu bait lirik lagu Hujan oleh Sudirman : Hujan yang turun bagaikan mutiara menunjukkan betapa mahalnya harga setitis air hujan yang turun itu.

Selain perubahan cuaca, Karad juga pernah menerima gegaran gempa bumi yang cuma berskala rendah pada skala Richter. Ketika sedang membuat tugasan pada pagi Sabtu itu, tiba-tiba kedengaran bunyi bising seperti bunyi bulldozer dan sejurus itu dinding bilik bergoyang ke atas dan ke bawah. Itulah pengalaman pertama berhadapan dengan kejadian gempa bumi. Entahlah bagaimana rasanya mereka yang berada di Jepun yang sentiasa mengalami gegaran setiap masa.

Itulah serba sedikit coretan mengenai keadaan semasa di salah satu kawasan dalam negeri Maharashtra. Semoga ianya dapat menjadi iktibar kepada semua. Ujian yang mendatang itu sebenarnya merupakan teguran dari Tuhan supaya manusia sentiasa beringat dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini.

p/s : berhenti menggoreng setelah hujan turun dan suasana bertukar menjadi agak nyaman.

Thursday, May 10, 2012

Bicara Anak Pejuang Syria

Salam w.b.t.

Sedari kecil, mereka sudah dilatih dengan sifat sabar terhadap segala ujian yang mendatang.

Ujian yang mereka hadapi boleh jadi sangat besar bagi kita. Namun mereka berjaya menghadapinya dengan tabah.

Ujian ini, pada mulanya ia besar tetapi lama-kelamaan ia akan mengecil..dan mengecil..sekiranya seseorang itu bersabar dengan ujian. Awalnya ia nampak hebat, garang, 'merampas' kebahagiaan kita. Bagi mereka yang berjiwa besar, sedikit demi sedikit ia berkurangan dan berupaya melatih diri supaya menjadi lebih sabar untuk melalui hari esok yang mungkin lebih menguji fizikal dan mental.

video

Wednesday, May 9, 2012

Tata Tertib Ketika Bertunang

Salam w.b.t.

Sudah hampir separuh tahun berlalu bagi tahun ini. Terasa begitu cepatnya masa berlalu meninggalkan kita begitu saja.

Biasanya apabila masuk bulan-bulan pertengahan ini, maka budak-budak sekolah kelihatan kembang kempis hidungnya tanda gembira cuti sekolah akan bermula. Yeah...

Musim cuti sekolah ini selalunya akan diisi dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang sama ada oleh budak itu sendiri atau pun oleh mak atau ayah budak tersebut. Salah satu aktiviti yang berstatus wajib ialah..apa lagi..kenduri kahwin la..atau yang dicetak di kad-kad sebagai walimatul'urus.

Bukan saja di alam nyata, di alam maya ini pun banyak juga jemputan menghadiri perutusan raja sehari yang kelihatannya rancak dan mendapat sambutan. Buka saja laman Kulit Buku, maka akan ada la notification yang mengatakan si fulan atau si fulanah ini mengajak anda ke sekian sekian majlis. Bagi yang akan menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, tahniah saya ucapkan buat mereka.

Kali ini ingin saya berkongsi serba sedikit mengenai salah satu adab iaitu adab bertunang sebelum berkahwin. (ada yang tak sabar tu..hehe) Iyalah, sekarang ini pun majlis bertunang itu kelihatannya sudah hampir menyamai majlis berkahwin pula. Kosnya memakan belanja yang banyak seolah-olah walimah yang sedang dilangsungkan pada ketika itu. (mungkin segelintir saja, tapi itulah realiti sekarang)

Bertunang atau 'khitbah' dalam bahasa Arab merupakan satu tempoh untuk pasangan itu berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing. Bukanlah apabila sudah bertunang, segalanya halal. Boleh keluar minum sama-sama, boleh pi Mydin sama-sama. Salah konsepnya kalau itu yang difahami dan diamalkan.

Seperkara lagi, perkara bertunang ini sesuatu yang harus disembunyikan dahulu. Makna kata hanya orang-orang terdekat saja yang perlu diberitahu mengenainya. Apabila sudah confirm untuk akad nikah, barulah diberitahu kepada orang ramai. Sebabnya, ia sesuatu yang pasti bahawa pasangan itu akan mendirikan rumahtangga. Lain dengan kes sewaktu proses khitbah tersebut di mana si teruna dan dara masih belajar untuk mencari keserasian atau mengenal pasangannya sambil menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh agama. Bukankah cantik di situ ? Boleh berjumpa tapi kenalah jaga akhlak dengan pasangan tersebut.

Video di bawah mungkin boleh membantu kita (anda terutamanya) untuk lebih memahami bagaimana konsep bertunang dan berkahwin yang dianjurkan dalam Islam. (",)



video


Salah satu lagi video oleh Ustaz Don di sini.

Sekian..selamat beramal..

Saturday, May 5, 2012

Hujan Panas Sanggup Kuredah

Salam w.b.t.

Alhamdulillah dapat juga connect internet nie setelah tak ada signal langsung untuk beberapa hari nie. Walaupun mula-mula tu rasanya macam tertekan juga, tapi ini mungkin tarbiyah dari Allah untuk melatih sifat sabar. Selalunya asyik cakap kat orang lain, sabar, sabar. Bila kita sendiri diuji, maka kenalah bersabar juga sepertimana kita hendak orang lain ikut apa yang kita cakapkan itu.

Oh ya, genap seminggu sudah selepas perhimpunan Bersih 3.0 (Duduk dan Bantah) di Dataran Merdeka. Ada yang menyokong dan ada juga yang membantah. Biasalah mesti akan ada pro dan pembangkang. Positif dan negatif.

Ia suatu fenomena yang agak menarik kerana berpuluh-puluh ribu (mungkin ratusan ribu) manusia yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap perhimpunan tersebut. Ia menjadi bukti bahawa manusia yang super ramai boleh digerakkan andai hati-hati mereka tersentuh lalu mewujudkan rasa percaya untuk turut serta walaupun jarak yang harus ditempuh beratus-ratus kilometer jauhnya.

Saya tak ingin ulas lebih lanjut tentang perhimpunan tersebut memandangkan saya bukanlah ahli dalam bidang politik. Walaupun saya ada pendapat tersendiri namun biarlah ia sekadar monolog dalaman saya sebagai pengajaran untuk diri ini.

Apa yang ingin saya tanyakan adalah bagaimana sejumlah manusia yang ramai itu dapat digerakkan dan dikumpulkan pada satu-satu masa di tempat yang dijanjikan. Pada hari itu, semuanya bersatu hati (hati lagi..) untuk menjayakan program yang dirancang oleh penganjur.

Kuncinya cuma satu. Hati-hati mereka semua telah disentuh sehingga menyebabkan timbul rasa kebersamaan untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Hati-hati itu telah diikat supaya tujuan yang ingin dicapai dapat dilaksanakan. Itulah dia kuasa 'hati'. Bukanlah hati yang bisa dilihat oleh mata kasar. Ianya bahkan lebih daripada itu.

Bagi yang faham sesuatu perkara itu dengan hati, dia dapat merasakan (feel) sesuatu yang lebih hebat dari apa yang ditafsirkan oleh akal.

Kesimpulannya, tafsir dengan akal, fahamkan dengan hati ketika hendak melakukan sesuatu kerana hati itu berupaya merangsang jasad dan roh supaya bersatu sebagai satu entiti yang hebat lalu menghasilkan sesuatu yang hebat juga.



Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...