Showing posts with label DeEn. Show all posts
Showing posts with label DeEn. Show all posts

Sunday, December 23, 2018

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t.

Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan dalam bentuk penulisan maya.

Apa khabar kalian? Semoga semuanya sihat.

Sejak kebelakangan ini, kita lihat sudah banyak bencana alam yang melanda dunia. Kerosakan yang berlaku juga sangat teruk dan mengubah muka bumi yang sedia ada. Terkini, kejadian tsunami yang berlaku di Indonesia sehingga mengorbankan banyak nyawa. Ia suatu yang tidak dapat dijangka sama sekali. Seingat saya, tsunami yang paling dahsyat dalam sejarah berlaku pada hujung Disember juga.

Benarlah kata Allah dalam Al-Quran, jika ajal sudah tertulis, ia takkan dilewatkan atau dicepatkan walau sesaat. Segalanya sudah ditetapkan.

Selagi kita masih bernafas, siapkanlah bekalan untuk menuju dunia akhirat. Kita takkan tahu bila masa kita akan tiba.

Segala yang berlaku itu, ada hikmahnya, untuk kita ambil pengajaran.

Ok la, semoga diri kita semua dalam jagaan Allah. Ingatlah, setiap ujian yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, untuk kita sama-sama ambil iktibar.

Wallahua'laam..

Saturday, March 4, 2017

Tanggungjawab

Salam w.b.t.

Apa khabar semua? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat.

Sedar tak sedar, sudah 4 bulan saya bekerja di Perlis. Pada mulanya berasa sungguh berat untuk bekerja di jabatan yang majoritinya kaum hawa. Namun saya kuatkan juga semangat memikirkan amanah yang diberikan apabila berada dalam bidang ini. Tanggungjawab yang diberikan perlu dilakukan sebaik mungkin, sebab tidak semua orang yang mendapat peluang seumpama ini. Ia suatu tugas yang tidak mudah dan memerlukan minat serta kesungguhan.

Ia suatu bidang yang susah kerana 2 nyawa yang harus dijaga dan perlu dipastikan selamat. Sedikit kelalaian pasti mengundang mudarat yang boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi.

Pengalaman kali pertama oncall suatu yang agak menakutkan bagi saya. Semuanya berharap supaya tiada berlaku sebarang komplikasi semasa proses kelahiran. Doa kami, supaya semua bakal ibu dapat melahirkan anak dengan selamat. Tangisan pertama bayi selepas lahir merupakan suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Macam mana pula perasaannya kalau menyambut anak sendiri..hehe

Apabila telefon berdering, dan ia datang dari labour room, pasti ada sesuatu sedang berlaku di sana. CTG tak elok, air ketuban berwarna hijau (petanda bayi sudah berak dalam kandungan) perlu diberikan perhatian yang serius. Pernah juga terjadi di mana bukaan jalan ibu sudah fenuh (os full), tapi disebabkan ibu keletihan untuk meneran (baca:push), maka proses kelahiran memakan masa yang lama sehingga bayi lemas. Akhirnya, pembedahan kecemasan perlu dilakukan (emergency LSCS).

Sangat banyak cerita yang menyebabkan adrenaline berlari keluar dalam badan saya (adrenaline rush). Itu baru cerita di labour room, belum lagi di PAC (pregnancy assessment centre). Belum lagi isu nakkan doktor perempuan, isu tak mau vaksin, tak mau bersalin secara normal dan pelbagai kisah lagi.

Saya pun masih dalam proses latihan, perlu banyak belajar lagi untuk menambah pengalaman. Risau juga kalau saya tidak dapat menjalankan amanah ini dengan baik.

Saya rasa setakat itu dahulu. Semoga berjumpa lagi.

Wassalam..

CTG: cardiotocography, alat yang digunakan untuk merekod denyutan jantung bayi dan kadar kontraksi rahim ibu.
Emergency LSCS: Emergency lower segment Caesarean section. Pembedahan kecemasan yang dilakukan atas sebab-sebab tertentu seperti bayi lemas.

Tuesday, November 15, 2016

Branula setting: Tips


Salam w.b.t. to all.

Today I would like to share something which is really important in medical practice. It looked simple, but it could be a 'disaster' to the patient if we take it for granted.

Blood taking and branula setting are like bread and butter in medicine. We do it almost everyday in the hospital or any health institution. It is just a simple procedure we can say, but we have to practise as many as possible. Only then we would be more confident in doing so.

The very first step in every procedure, is we should pray to Allah, so that our job will be easier. Ask Him to ease the branula setting or blood taking so that our work will be smooth without much problem. This is very important.

Then comes next:

- Make sure tourniquet is applied tightly. The vein will be more prominent and visible.
- Ensure adequate exposure and lightening.
- Search for a straight vein.
- Say 'Bismillah' upon starting the procedure.
- Be confident. Don't hesitate to poke the patient.
- Upon seeing the backflow, remove the needle and push the branula gently.
- Remove the tourniquet.
- Say 'Alhamdulillah' upon successful setting of branula.

And lastly, keep practising again and again.

It could be a bit harder for beginner. But don't give up. Once you got the proper technique, apply it for all patient. Everybody has their own skills.


Wassalam and thank you.

Saturday, November 12, 2016

Takdir Ilahi

Salam w.b.t.

Apa khabar sahabat semua? Semoga semuanya dalam keadaan yang sihat wal'afiat.

Sewaktu saya menulis artikel ini, sudah seminggu lebih saya menjadi sebahagian daripada kakitangan Hospital Tuanku Fauziah, Perlis. Sebelumnya, saya mendapat tawaran untuk bekerja di Sarawak yang mana saya sendiri tidak bersedia untuk ke sana. Mungkin disebabkan status saya, maka saya antara mereka yang bertuah untuk bekerja di sana. :p

Alhamdulillah, rayuan untuk bertukar diterima dan saya telah ditempatkan di Perlis. Rasa syukur yang amat sangat sebab masih berpeluang bekerja di semenanjung. Namun, ada sesetengah rakan yang menasihati supaya bekerja terlebih dahulu di Sarawak, nanti mintalah tukar tempat. Pengalaman di sana semestinya berbeza daripada tempat-tempat yang lain.

Maka berhijrahlah saya ke negeri jiran, dengan harapan ditempatkan di jabatan yang diingini. Namun, perancangan Tuhan tiada siapa yang tahu. Saya telah ditempatkan di jabatan O&G. Maka bermulalah khidmat saya di jabatan tersebut sebagai pegawai.

Memang pada mulanya, saya seakan tidak percaya, dan susah untuk menerima kenyataan itu. Memang tak pernah terlintas langsung untuk bekerja di jabatan ini. Balik saja ke rumah, saya berfikir panjang. Mampukah aku? Masihkah ada peluang untuk bertukar jabatan? Memang susah untuk menerimanya, ia seakan mimpi ngeri yang datang tiba-tiba..haha

Ada orang yang minat surgical, namun tak berpeluang untuk bekerja di tempat yang diinginkan itu.
Ada yang tak minat di satu tempat, namun takdir Allah mengatakan dia harus ke situ.
Ini semua, pasti ada hikmahnya.

Teringat kata-kata seorang pakar O&G, Dr Zainol, sewaktu kami sedang bersarapan pagi di cafe hospital.

"Kalau Tuhan dah takdirkan hang jadi pakar, jadilah hang.."

Ya ini semua takdir Allah, yang kita sendiri tak boleh nak tafsirkan maksud yang tersirat. Kita hanya merancang, namun Dia sebaik-baik Perancang.

Doakan saya dan teman seperjuangan yang lain dapat menjalankan tugas kami dengan baik, untuk menjaga 2 nyawa yang sangat bernilai. Setiap kerjaya ada risikonya sendiri. Untuk meminimumkan risiko itu, perlu ada pergantungan pada Dia, mohon supaya Allah mudahkan kerja-kerja kita yang akan datang.

Wassalam...

Tuesday, October 25, 2016

Sabarlah Saat Diuji

Salam w.b.t.

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmat kesihatan kepada kita semua sampai hari ini.

Pagi tadi, kita dikejutkan dengan berita kebakaran di salah sebuah hospital di Johor. Tempat berlakunya kebakaran adalah di ICU (Unit Rawatan Rapi) di mana pesakit-pesakit yang kritikal ditempatkan di sana. Ini termasuklah para pesakit yang koma dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (intubated and ventilated).

Terdapat kehilangan jiwa daripada insiden tersebut sepertimana yang dilaporkan. Hal ini merupakan suatu yang sungguh menyedihkan dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Semuanya sudah pun ditakdirkan oleh Allah. Kita sebagai manusia biasa, tidak boleh lari daripada ketentuan-Nya.

Ibarat seorang pesakit yang sudah tidak ada harapan untuk sembuh. Seorang doktor atau pengamal perubatan itu, tidak punya kuasa untuk menyembuhkan si pesakit. Beliau cuma boleh usaha untuk mengubati pesakit. Hasilnya, Allah yang tentukan, sembuh atau pun sebaliknya.

Ujian datang silih berganti dalam hidup seorang insan. Ustaz Zainul Azri, dalam salah satu kuliahnya ada menyebut, ujian ini pada mulanya besar dan berat bagi kita. Namun, jika kita sabar dengan ujian, insyaAllah ia akan berubah menjadi kecil sahaja dan kita pasti boleh menghadapinya dengan baik.

Ujian hidup, tanda Allah sayangkan hamba-hambaNya. Tanpa kesusahan, kita kan terus leka dan lena tanpa ada sebarang perubahan dalam hidup.

Semoga hari esok lebih baik dari hari-hari yang sebelumnya.


Wassalam…

Saturday, July 18, 2015

Selepas Ramadan..

Salam w.b.t.

Selamat hari raya aidilfitri..
Maaf zahir batin..

Sebulan Ramadan telah pun berlalu. Sungguh cepat rasanya ia berlalu.

Itulah akhir zaman, masa dirasakan sangat pantas berlalu..

Dan jalan-jalan raya pun semakin dipenuhi dengan kereta rakyat kota mahu pun desa. Masing-masing punya perancangan untuk menziarahi sanak saudara dan rakan taulan..

Beberapa hari sebelum raya, warga kota mula pulang ke kampung. Jalan pun mula sibuk seperti mana tahun-tahun sebelumnya. Ada yang sabar, ada yang rakus di jalanan. Macam-macam kerenah sang pemandu.

Hari raya merupakan hari yang dinantikan oleh setiap yang bergelar Muslim. Ia hari kemenangan dan hari yang sungguh indah.

Persoalannya, bagaimana amal kita selepas Ramadan?

Aku juga selalu tertanya-tanya mengenainya.

Thursday, June 25, 2015

Ramadan Kareem

Salam Ramadan..

Bulan Ramadan, atau Ramzan bak kata orang Karad merupakan satu bulan yang begitu istimewa. Muslim harus memanfaatkan masa yang ada pada bulan ini sebaiknya kerana di dalamnya ada banyak kelebihan dan ganjaran pahala bagi hamba-Nya.

Meniti hari demi hari, tiba-tiba aku berasa rindu dengan suasana Ramadan di perantauan. Seolah-olah baru saja aku berterawih di salah satu masjidnya.

Ini semua gara-gara rancangan 'Ramadan Around The World' yang ditayangkan di tv yang menyebabkan aku berasa ingin ke sana menyambut Ramadan sekali lagi. Sungguh tidak patut.. :p

Rindu rasanya untuk berbuka puasa beramai-ramai di masjid menikmati nasi briyaninya yang lazat. Mereka penduduk tempatan pasti akan menjemput kami untuk turut sama berbuka di masjid. Kemeriahannya dapat dirasakan saat makan bertalam beramai-ramai sambil senyuman terukir di bibir sementara tangan menyuap nasi dengan rancaknya.

"More rice?"

Pelawa mereka sekiranya nasi tidak mencukupi untuk santapan berbuka.

Sungguh rindu bertamu di hati.

Usai berbuka, maghrib pula secara berjemaah sebagaimana biasa. Jaa diiringi solat isyak pabila tiba waktunya seterusnya terawih pula.

Suasana terawih juga suatu yang istimewa. Sungguh sayu hati ini mendengar bacaan imamnya. Ada yang laju, ada yang sederhana. Macam-macam cara bacaannya. Sungguh tenang dengan kuasa-Nya yang mencipta manusia dengan pelbagai jenis suara dan bahasa yang indah.

Entah bila pula agaknya dapat aku ke sana lagi.

Mungkin suatu hari nanti..

Wassalam..

26/06/15, 9 Ramadan 1435H
0215H

Monday, April 7, 2014

Cuti musim panas


Salam w.b.t.

Maafkan saya kerana sudah lama tidak update di sini. Bukan tidak ada cerita, banyak sebenarnya yang nak dicoretkan. Bukannya tidak ada masa sebab masa tu pun banyak juga. Mungkin diri sendiri yang sentiasa bermalas-malasan agaknya.

Dah 3 minggu rupanya saya 'bercuti' di rumah setelah habis belajar di India. Cuti-cuti Malaysia la katakan..hehe.. Di rumah, rasa masa tu cepat sangat berlalu. Kalau zaman belajar dulu, satu hari pun rasa lama yang amat sebab selalu dok mengadap buku..kut..

Alhamdulillah kami sudah pun selesai mendaftarkan diri dengan JPA, KKM dan MMC. Borang SPA online pun semua dah isi. Tinggal menunggu panggilan temuduga SPA dan kursus induksi (PTM) sahaja.

Banyak dokumen yang perlu disediakan dan disahkan terlebih dahulu sebelum urusan pendaftaran tersebut. Kena la fotostat sijil dan dokumen banyak-banyak buat bekalan masa depan.

Bagi sesiapa yang akan menamatkan pengajian, saya sarankan untuk isi borang SPA online terlebih dahulu. Buat awal-awal lagi bagus sebab bukan kita saja yang grad. Ada ramai lagi graduate dari tempat lain yang pastinya 'memeriahkan' senarai menunggu (waiting list).

Genap sebulan pesawat MH370 hilang dan tidak ditemui sehingga ke hari ini. Ia ghaib terus dan tidak dapat dikesan langsung. Misteri kehilangan kapal tersebut mengundang pelbagai persoalan dan teori serta spekulasi yang pelbagai dari masyarakat kita.

Saya pun hairan, tiba-tiba MH370 hilang terus daripada radar. Mulanya ingatkan pesawat dirampas dan kalau ia benar, memang terbaik la perancangan mereka sampai boleh menghilangkan kapal yang besar tu.

Hari demi hari, macam-macam teori yang keluar. Sampaikan kita pun tak tahu mana satu yang betul. Ia satu konspirasi? Mungkin.

Kalau ditakdirkan Allah penumpang MH370 masih hidup, mereka saja yang boleh memberi jawapan mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Itu satu kisah.

Kita juga sedang menghadapi satu lagi ujian, iaitu perubahan cuaca yang melampau. Suhu panas yang ekstrem menjadi petanda supaya kita kembali ingat kepada-Nya. Sama juga seperti insiden MH370, ia suatu teguran dari Allah kepada kita yang semakin leka dan selesa.

Kita kena muhasabah balik apa yang telah kita lakukan. Semua yang berlaku adalah hasil perbuatan manusia itu sendiri.

Berat rupanya tanggungjawab seorang khalifah ini kan?

Semoga para pemimpin kita dapat menguruskan negara dengan lebih baik. Macam mana la agaknya tidur seorang pemimpin itu. Zahirnya nampak gempak, namun isi hatinya tiada siapa yang tahu.

Wassalam...

Saturday, November 23, 2013

Meneladani hidup seorang Ammar

Salam w.b.t.

كيف حالكم ؟

Semoga kita dikurniakan kesihatan yang baik untuk kita gunakan ia ke jalan yang Allah redha.

Saya pasti kita semua tahu perihal saudara seagama kita iaitu saudara Ahmad Ammar Ahmad Azam yang telah dijemput Ilahi pada awal bulan ini. Arwah meninggal dunia ketika mana kita sedang menyambut awal Muharram, sesuatu yang pasti ada sebab kenapa ia berlaku.

Perancangan Tuhan itu pasti ada hikmahnya...

Arwah, satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya merupakan seorang anak yang taat kepada ibu bapanya di samping begitu cintakan sejarah Islam terutamanya sejarah Turki Uthmaniyyah. Disebabkan minat yang mendalam terhadap sejarah Islam serta bercita-cita menjadi sejarawan Muslim, arwah telah berkelana ke bumi Turki untuk mendalami ilmu tersebut.

Bermula tahun ini, arwah telah pun merancang untuk mengembara di bumi Turki dan mencari nilai sejarah yang ada di sana. Ini semua diteladani daripada Imam Syafie yang telah merantau ke pelbagai tempat untuk menuntut ilmu.

Arwah juga aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Itulah serba sedikit latar perjalanan hidup seorang Ahmad Ammar. Kalian boleh tengok sendiri vidéo mengenai perjalanan hidupnya dengan lebih lanjut  di YouTube.

Nah, bagaimana pula dengan kita? Apakah yang telah kita sumbangkan kepada orang lain? Apakah sumbangan kita terhadap Islam sehingga hari ini?

Kita patut sedar yang mubaligh-mubaligh Kristian di luar sana begitu giat menyebarkan fahaman mereka. Jadi kita sebagai seorang Islam harus sedar dan turut sama mempromosikan keindahan Islam kepada orang lain.

Setiap orang mesti suka kalau diajak pergi berjalan ke mana-mana. Orang putih kata travel, orang Arab pula sebut safar atau jaulah. Ya, itu perkara wajib dalam kalendar tahunan kita.

Dan apabila kata hendak travel, mestilah nak berseronok dan release tension. Itulah sebab utama kita keluar berjalan makan angin. Selalunya ia suatu aktiviti yang penuh dengan gelak ketawa dan tidak lupa jua penuh dengan makanan yang sedap-sedap.

Adakah ia suatu yang osem? Ya semestinya. Tambah-tambah kalau berkerjaya sebagai seorang doktor.

Ada nilaikah kalau keluar semata-mata untuk berseronok?

Ia tidak salah, namun janganlah kita berlebih-lebihan sampai lalai dari ingat kepada Allah. Seperti kes arwah Ammar, beliau mengembara ke banyak tempat untuk mengambil ibrah (pengajaran) yang ada di situ. Beliau travel bertujuan untuk menambah pengalaman hidup serta ilmu yang hanya diperoleh melalui kesusahan merantau sahaja.

Jadi, kita pun perlu menjadikan sesuatu perjalanan itu bukan sahaja ada hilai tawa, malah turut diisi dengan muhasabah diri serta sesuatu yang boleh mendekatkan kita kepada Pencipta.

Contohnya tengok awan di langit, lalu terus berfikir betapa agungnya kuasa Tuhan menjadikan segala sesuatu.

Selagi kita boleh menghirup udara yang segar tanpa sebarang bayaran, marilah kita bersama tetapkan azam untuk menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Caranya, dengan menjadi Muslim dan Mukmin yang sempurna dan bukannya Muslim yang pasif.

Kita harus segera bertindak dan keluar dari zon selesa.

InsyaAllah, dengan niat yang baik, Allah pasti permudahkan dan lancarkan urusan kita.

Wallahua'lam..

Saturday, October 19, 2013

Suatu hari di hari raya


Salam w.b.t.

Alhamdulillah selesai sudah satu bab yang tak kurang pentingnya dalam kamus hidup saya. Ia merupakan hari yang istimewa dan meletihkan namun banyak yang saya belajar di samping kepuasan yang saya dapat sepanjang hari itu.

Ia banyak mengajar erti kesabaran dan bertolak ansur sesama manusia. Ramai orang yang hadir pada waktu tersebut untuk menyaksikan event penting pada hari itu.

Apakah dia bab penting tu?? Jeng3..

Apa lagi, sembelih binatang korban la yang saya maksudkan tu. Bukan benda lain ya..hehe

Semalam merupakan hari terakhir binatang korban disembelih di Karad nie. Ramai juga yang datang untuk menyaksikan acara kemuncak tersebut.

Ini sebahagian gambar yang sempat saya ambil sebagai kenang-kenangan. Ya lah, tinggal beberapa bulan lagi di sini..huhu..tahun depan beraya di tanahair la pula.


Dalam perjalanan ke Eidghah, tempat solat sunat Hari Raya di satu kawasan lapang.


Sempat lagi berfoto-fotoan tu..


Rider di jalanan sepi..


Suasana perumahan di tempat sembelihan.

 Kali ini juga saya berpeluang melakukan sembelihan yang dilakukan di tempat tertutup di sini. Sekurang-kurangnya dapat juga pengalaman menyembelih binatang yang boleh saya kongsikan pada orang lain nanti.

Selalu tengok orang buat macam senang. Rupanya memang mudah pun. Pisau akan diasah setajam mungkin supaya proses sembelihan dapat dijalankan dengan pantas. Maka binatang korban pun kurang terseksa.

Cuba bayangkan kalau pisaunya tumpul. Sangat kejam oooo....



Adik nie namanya Ahmad. Comel kan? =)


Bukan senang sebenarnya hendak tumbangkan kerbau atau lembu sebelum disembelih. Perlukan kudrat yang banyak. Di sini, cuma 2 orang diperlukan untuk menumbangkan binatang-binatang tersebut seterusnya kaki mereka diikat untuk memudahkan proses sembelihan.





Daging yang sedang dipotong di tempat tertutup tersebut.

Setelah siap dilapah, daging-daging mula diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kami juga turut mengambil sedikit bahagian daging untuk dimasak di asrama. Banyak juga jumlah yang diberikan kepada kami. Sampai penuh peti sejuk dibuatnya..hehe





Inilah hasilnya. Daging korban yang akan diagih-agihkan kepada orang lain.


Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah s.w.t. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya yang mana begitu banyak nama Baginda disebut di dalam Al-Quran.

Wassalam...



Wednesday, October 16, 2013

Eid Mubarak : A story of sacrifice


Salam w.b.t.

Tomorrow will be the celebration of Bakri Eid or Hari Raya Aidiladha in India, one day after the celebration in Malaysia. This is the 6th time I celebrate the festival here in this foreign land. As I've been here for almost 5 years already, I think this land is no more foreign or alien to me. This part of world where I stay right now is like a hometown to me.

The people of this place, the culture of those people and the different environment here are something that give a lot of sweet memories for me. Eventhough sometimes I do miss my homeland, my friends here are like my own family. The local people here are like my parents and my relatives although we are from different background. The different race and religion doesn't mean that we cannot develop the bond with each other. Those are only external factor while what matters most is the value that is nurtured within that person.

During my medical posting before this, there was this one female patient in her 50s who came with paralysis of the right side of her body due to subarachnoid hemorrhage (SAH). That problem of SAH arose from chronic severe hypertension as the precipitating factor.

One of her son, a mechanical engineer happened to know English a bit, and we talked for a while. I knew that he is a good son based on the information that I extracted from him. He said that, his monthly income is just sufficient for his family. He could get more salary if he works overseas but, he resists considering of her mother's condition and nobody is going to take care of her.

A big amount of money sometimes doesn't guarantee a happy life. This is what he feels, and it is such a good thought. Really an astounding thought.

Every son and daughter should have this kind of attitude. I really really hope that I can still spend quality time with my family when I am working in the future.

He even invite me to his house anytime I'm free.

"There is one culture of Indian people. When you met someone and talked with them, you already make a relationship with them. So you have to come to their house and have a cup of chay (tea) at least.."

What a nice gesture he has. I promise that I'll come to his house one day.

And last time I heard from him, his mother got dysentery upon returning home. huhu. If the condition worsen, they have to come back to the hospital and get the proper treatment.

Every patient has their own story. And we should know that one day maybe we will become that patient, and by that time only do we realise how important is a good health to us.

As long as we are healthy, let's do our best in everything that we are doing.

And the above line marks the end of this posting for this time.



EID MUBARAK to all my fellow Muslims wherever you are!

Wassalam...

p/s : Congratulations to all my friends in Bangalore who passed their final year MBBS. May Allah eases their upcoming duty in Malaysia to serve the ummah. InsyaAllah... (",)

Thursday, September 26, 2013

Perginya Seorang Bekas Menteri Besar


Salam w.b.t.

Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Kematian itu suatu yang pasti dalam hidup manusia. Kalau sudah tertulis saat kematian seseorang itu, tidak akan dipercepat atau dilewatkan walau sesaat. Hatta sepakar mana pun doktor itu, segempak mana pun seorang bomoh moden itu, pasti dia tidak boleh melawan takdir yang sudah tertulis itu.

Pada hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang pemimpin yang cukup hebat dan disanjungi oleh kawan mahupun lawan, iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak. Bekas Menteri Besar Kedah ini telah pulang ke rahmatullah setelah mengalami komplikasi jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.



Seorang pemimpin yang boleh masuk dengan semua orang berdasarkan apa yang diceritakan oleh orang ramai. Bahkan Allahyarham juga disenangi oleh semua orang disebabkan sifatnya yang boleh bercampur dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik.

Melihatkan beliau, teringat pula diri ini kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden Pas. Sungguh hebat qudwah yang ditunjukkan oleh mereka berdua. Namun hari ini, Allah lebih menyayangi Ustaz Azizan.

Seluruh rakyat negeri Kedah berasa sedih dengan pemergian beliau. Cuaca dikatakan mendung pada siang tadi, seolah-olah alam turut meratapi kehilangan seorang tokoh hebat ini. huhu

..................................................................

Masalah jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Serangan jantung yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ia suatu yang serius.

Sekiranya ada antara ahli keluarga anda yang telah lanjut usianya mengadu sakit dada, sukar untuk bernafas dan mengalami bengkak di bahagian kaki, segeralah membawanya berjumpa doktor kerana ia antara simptom jantung yang bermasalah.

Keadaan di ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak kurang sibuknya apabila ada kemasukan baru (new admission). Keadaan bertambah tegang sebentar tadi apabila tiba-tiba salah seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru (pneumonitis) berhenti bernafas. Dia turut mengalami masalah buah pinggang dan mesin dialisis digunakan untuk mengatasi masalah kegagalan buah pinggang tersebut.


ICU

Seorang doktor senior segera melakukan chest compression namun kadar denyutan nadi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Dan akhirnya setelah pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan. Di luar ICU, kelihatan beberapa orang ahli keluarga menangis dan meratapi kematiannya. Sedih.

Doktor juga manusia biasa. Doktor bukannya Tuhan.

.....................................................................

Bagaimanalah agaknya saat nyawa dicabut. Kata arwah tok saya, ada sekumpulan malaikat yang akan turun dan memegang tangan serta kaki kita saat nyawa ditarik keluar oleh malaikat Izrail. Kalau tidak, melompatlah manusia itu. Wallahua'laam. 

Teringat pula suasana ketika doktor sedang cuba melakukan intubation kepada pesakit yang baru mati itu. Dia meronta-ronta. Kami terpaksa memegang tangan dan kakinya untuk memudahkan prosedur tersebut dilakukan.

Hidup dan mati silih berganti.

Hari ini sebahagian nyawa diambil kembali.

Esok lusa akan ada nyawa baru yang dilahirkan.

Akhir kalam, apa persiapan kita dan saya lebih-lebih lagi untuk menghadapi kematian yang bakal datang menjemput.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan yang Dia redha.

Sunday, August 11, 2013

Salam Syawal

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua..
Eid Mubarak ho..
Semoga semua amalan kita diterima oleh Allah S.W.T.

P/s : sudah masuk hari raya kelima nampaknya..cepat betul masa..huhu

Thursday, July 25, 2013

2nd Half : Macam Mana Nak Skor Balik...


Salam w.b.t.

Kalau dalam permainan bola sepak, apabila wisel penamat separuh masa pertama ditiup, para pemain akan berhenti bermain dan berehat setelah puas menendang dan mengejar bola yang satu. Waktu rehat itu akan digunakan oleh mereka untuk merancang strategi yang lebih mantop untuk menebus kubu mahupun tembok besar pihak lawan supaya mereka dapat menjaringkan gol lalu meraih kemenangan.

Si jurulatih akan menilai kembali prestasi anak buahnya, apa yang patut dilakukan oleh setiap orang. Apabila separuh masa kedua bermula, masing-masing semakin bersemangat kerana peluang untuk menang masih ada.

Rupanya, kita sendiri pun sudah selesai melalui separuh masa pertama Ramadhan. Adakah kalian sedar dengan fakta ini? Allah, cepatnya masa berlalu pergi meninggalkan kita. Bagaimana dengan masa-masa sepanjang Ramadhan yang sudah pergi jauh?

Adakah sekarang kita sudah boleh melepaskan lelah dan berehat sebentar? Sudah semestinya tidak bukan. Sekali-kali tidak ada masa rehat untuk kita bersantai-santai sambil menghirup udara yang segar. Kalau nak rehat juga, silalah rehat dengan bertilawah Al-Quran. Buleh?

Sekarang, masanya untuk kita sama-sama muhasabah dan pandang belakang sekejap untuk menilai sejauh mana 1st half  Ramadhan sebelumnya. Adakah kita sudah berpuas hati atau masih ada lompong yang perlu ditampung. Penilaian itu penting supaya 2nd half Ramadhan nanti lebih bermakna dan lebih terisi dengan perkara yang menyebabkan kita menghayati ruh Ramadhan itu sendiri.

Mungkin boleh dikurangkan masa di laman sosial contohnya. Masa yang ada tu boleh digunakan pada benda yang lebih utama. Kita perlu tahu yang mana satu prioriti dalam hidup. Kita mau, kalau sehari tak baca notification di Al-Quran tu, boleh jadi tak tenang hidup nie. Baru syok.. =)

Kalau kita sendiri masih sama macam dulu, maknanya suasana Ramadhan tu memang tak kita rasa dan hayati. Nak dapat suasana tu, kita sendiri la yang kena hidupkannya supaya kita sedar bahawa bulan puasa ini suatu yang special dalam hidup kita. Kita patut rasa bersyukur diberikan peluang untuk terus hidup di bulan yang penuh keberkatan ini.

Let's make our strategies and do it! =)


Monday, July 15, 2013

Hadapi Ramadhan Dengan Senyuman, Bukan Keletihan


Salam w.b.t.

Suatu malam di asrama lima bintang :

Pakcik : Hangpa puasa kan lanie?
Saya    : Ya pakcik. Sebulan kena puasa.
Pakcik : Bila mula puasa? Lepas pukul lima ka?
Saya    : Haah. Mula lebih kurang lepas lima pagi, sampai la ke malam dalam tujuh suku camtu la.
Pakcik : Tak boleh makan, minum apa-apa langsung ka nak? Air masak ka?
Saya    : Tak boleh pakcik. Langsung tak boleh makan atau minum. Kuch nehi...
Pakcik : Kalau lagu tu la punya crita, memang mati la pakcik nak oi..
Saya    : *senyum..

Begitulah serba sedikit perbualan saya dengan salah seorang pakcik keselamatan (baca : guard) di sini. Beliau agak terkejut dengan ibadah puasa yang sedang kita jalani selama sebulan ini. Baginya, kalau tak boleh makan atau minum langsung, ia suatu masalah besar baginya. "I can die," Itulah reaksi spontan yang diberikannya kepada saya.

Saya cakapkan padanya, sekarang ini kan musim hujan. Jadi, puasanya tidaklah sesukar mana sehingga boleh meletihkan badan apabila sehari suntuk berpuasa. Mungkin ia suatu pertolongan dari Allah supaya hamba-hambaNya boleh melakukan ibadah ini dengan baik.

Bagaimana dengan puasa kita sehingga ke hari ini? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja? Kalau Ramadhan kali ini tiada perubahan yang kita lakukan, alangkah rugi jadinya.

Kita yang sudah pun berpuasa sejak dari kecil semestinya tidak akan menghadapi masalah untuk berpuasa. Sebab apa? Sebab kita sudah dilatih dari awal lagi. Kita sudah ada pengalaman bagaimana untuk kekal cergas sepanjang bulan puasa. Saya pasti kalau pakcik itu pernah cuba berpuasa sejak kecil, pasti dia boleh menghadapinya dengan baik.

Ibadah puasa itu memang ada kebaikan dari segi saintifik. Baik untuk kesihatanlah, untuk awet muda contohnya (sekadar contoh) atau apa-apa saja yang mungkin kita pernah baca untuk memberikan kita kekuatan terus kekal berpuasa sepanjang hari. Namun, ibadah ini bukanlah semata-mata untuk membuktikan kajian tersebut. Ia lebih kepada bagaimana penyerahan diri kita kepada Allah dan ketaatan kita untuk melakukan apa yang Dia suruh.

Kita ini kan hamba semata-mata. Kalau tiada bukti saintifik yang mengatakan kebaikan berpuasa pun, wajib untuk kita patuh arahan yang Allah berikan. Kita sepatutnya melakukan segala amalan itu secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan dariNya.

Semoga kita lebih menghayati ibadah puasa kali ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri. Belum tentu kita mendapat peluang untuk beribadah sakan sepertimana yang kita peroleh pada bulan Ramadhan ini.

Wassalam..

Friday, July 12, 2013

Ramadan Kareem!


Salam w.b.t.

Hari ini merupakan hari kedua puasa bagi kami di Karad, lewat sehari dari tanahair. Puasa kali ini juga insyaAllah merupakan puasa terakhir bagi saya di perantauan. Pengalaman berpuasa tahun lepas masih segar di ingatanku, seolah-olah ia baru saja berlaku semalam. Cewah ayat. hehe

Dan pada ketika ini juga bumi Karad sedang dibasahi oleh hujan yang sangat menguji ketahanan mental seseorang untuk kekal dalam keadaan yang sedar (baca : waras). Berpuasa pada musim hujan adalah suatu medan ujian yang mencabar. Kata orang, musim panas begitu memenatkan mereka yang berpuasa. Tapi kata saya, musim hujan pun tidak kurang hebat dugaannya. Lebih-lebih lagi kalau tiada exam yang akan diambil nanti lalu masa lapang menjadi semakin banyak.

Musim ini juga merupakan musim peperiksaan bagi semua batch di sini. Semoga ibadah puasa membantu mereka untuk menjawab soalan dengan baik. Allah pasti membantu mereka yang bersusah payah demi agamaNya.

Ada satu status facebook yang begitu menarik perhatian saya. Ia ada memberitahu betapa bertambahnya saf solat Subuh di masjid berbanding pada bulan-bulan yang lain. Tambahnya lagi, pasti sekarang ini Israel sedang terketar-ketar lutut dan gementar dengan suasana ini. Bunyinya agak humor apabila itulah realitinya apabila datangnya Ramadan. Masing-masing terus berubah ke arah yang baik secara mendadak. Ia suatu perubahan yang positif. Apa yang lagi positif, perubahan itu dapat dikekalkan pada bulan-bulan yang seterusnya. Barulah osem kan?

Satu lagi status yang ingin saya kongsikan, adalah apabila lagu-lagu raya sudah dimainkan walaupun Ramadan baru saja bermula. Alasan yang diberikan adalah, "Begins with the End in Mind." Amboi jawapan dia. Dia sudah nampak raya dulu dari kita walaupun puasa tak sampai seminggu lagi pun. =)

Akhir kalam, marilah kita jadikan Ramadan kali ini Ramadan yang paling bermakna dan paling kita hargai kedatangannya. Jadikan Ramadan ini yang terbaik dari yang sebelumnya. Jom kita manfaatkan masa yang ada sebaik dan se'mahal' yang mungkin. Kita sungguh bertuah kerana masih lagi berpeluang hidup dan bertemu dengan Ramadan.

Oh ya, satu lagi. Lagi satu.. Tahu tak petang-petang ada cerita apa kat TV3? Haa, apa? Yap, betul3.. Mestilah Jejak Rasul kan. Sambil-sambil tolong mak ayah masak kat dapur tu, jangan lupa tengok ya. Janji tau...( buang tebiat ka apa mamat nie..)

Ok..Selamat beramal dalam bulan yang penuh barakah ini.

Wassalam...

Saturday, July 6, 2013

Harapan Ramadan Seorang Hamba

Salam w.b.t.

Kurang dari seminggu lagi kita akan memasuki sekolah Ramadan. Ianya suatu cita-cita yang diimpikan oleh setiap orang yang bergelar Muslim. Hidup di dalamnya bagaikan suatu nikmat yang sangat besar dan indah.
Suasana Ramadan itu sesuatu yang sangat indah kalau dihayati sebenar-benarnya.

Ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan lebih dari itu. Adab-adab berpuasa juga kenalah dijaga supaya puasa kita itu berkualiti gred A++. Barulah syok dan berbaloi. Kita hendakkan supaya puasa itu mencapai objektif utamanya, iaitu menjadikan kita orang yang bertakwa apabila berakhirnya Ramadan kelak, sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183.

Sepatutnya kita sudah menetapkan apa yang nak dicapai semasa bulan puasa nanti. Apa yang disasarkan itu perlulah dilakukan sedari sekarang, sejak saat dan minit ini juga. Bermulalah sedikit dahulu, supaya kita dapat mengekalkan momentum tersebut sepanjang Ramadan. Perlu adanya peningkatan amal dalam hidup ini kerana ia menjadi kayu ukur apakah kita benar-benar faham mengenai agama ini. Apakah kita benar-benar hendak berubah ke arah yang lebih baik.

Sepanjang Ramadan nanti juga, bolehlah kita perkemaskan dan cantikkan lagi ibadah-ibadah fardhu di samping ibadah sunat. Solat yang khusyuk, solat berjemaah dan pada waktunya, melazimi bacaan Al-Quran beserta maksudnya, berazam untuk menghafaz sekurang-kurangnya satu juzuk Al-Quran antara perkara yang sangat baik untuk dijadikan senarai wajib buat. Mengurangkan aktiviti-aktiviti lagha (melalaikan) juga harus kita jadikan sebagai target semasa berpuasa nanti.

Teringat salah satu petikan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mawi semasa saya melawat SMSTSP pada Ramadan tahun lepas, kata ustaz memetik kata-kata Hassan Al-Basri, 

"Kun Rabbaniyyin, wa laa takun Ramadaniyyin. (Jadilah hamba kepada Allah, jangan jadi hamba kepada Ramadan)"

Apa jua amalan tambahan yang kita buat semasa Ramadan, mudah-mudahan dikekalkan pada 11 bulan yang seterusnya. Kalau tidak, jadilah kita ini Muslim Ramadan semata-mata. Keluar Ramadan, ibadahnya entah ke mana, tak kelihatan langsung. Pernah suatu masa dahulu Ustaz Hasrizal mengeluarkan satu artikel bertajuk Yatim Piatu 11 Bulan. Ingatkan siapalah yang tiada mak dan ayah selama 11 bulan. Rupa-rupanya ia merujuk kepada amalan bersedekah yang banyak dilakukan semasa Ramadan dan berkurangan pada bulan yang lain.

Sekiranya kita diberi peluang untuk menemui Ramadan kali ini, alangkah bertuahnya kita. Masih ada peluang untuk kita menjadikan ibadah kali ini lebih berkualiti dari musim-musim sebelumnya. Kita masih punya masa untuk menampung kekurangan yang ada dan berusaha menjadi manusia yang lebih baik usai Ramadan kali ini.

Harapannya, semoga kita semua, lebih-lebih lagi empunya diri yang menulis artikel ini akan menggunakan kesempatan masa yang ada ini untuk bermuhasabah dan meletakkan azam untuk melakukan suatu perubahan, dan berusaha untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh. 

p/s : Semoga Allah membantu perjuangan Dr. Morsi dan rakan-rakannya di Mesir sana, dan menghancurkan kezaliman yang semakin berleluasa. Marilah kita mendoakan pemimpin yang adil ini supaya beliau diberi kekuatan untuk menegakkan Islam di bumi Mesir.
"Ihzimhum wansurna 'alaihim"

Friday, June 21, 2013

Lintasan Hati Bukan Libasan Mati

Insan itu sering lupa
Ketika dia diberi nikmat yang banyak dari Tuhannya

Nikmat kesihatan yang sementara
Dia tak manfaatkan ke jalan yang Allah redha

Nikmat masa lapang yang ada
Banyak yang disia-siakan macam tu sahaja

Selalu mengeluh hidup yang tak ceria
Tidak berwarna-warni
Tidak berseri-seri

Sungguh tertipu rupanya diriku
Setiap hari lalai yang aku pilih
Dan ia menjauhkan aku dari mengenal Rabb yang Satu
Sedang Dia selalu sahaja bersamaku
Tidak mengira waktu

Tidak lama lagi aku bakal memasuki universiti paling berprestij
Bakal tidak semestinya ia pasti
Harapnya Allah bagi kesempatan lagi kali ini
Aku, dan kita semua sudah boleh menghitung hari
Supaya kita sama-sama berjaya melaluinya

Jadi apa tunggu lagi
Ganjaran besar sedang menanti
Dari sekarang mulalah sikit-sikit
Supaya kita tidak semput di pertengahan jalan nanti

Ini sekadar satu peringatan buat semua
Lebih-lebih lagi untuk diriku ini
Akhir kalam
Moga kita semua dalam redha Ilahi..

Thursday, June 13, 2013

Kita Semua Pelakon yang Berkarisma


Salam w.b.t.

Kehidupan di dunia ini hanya sekadar satu lakonan dan medan ujian bagi setiap insan. Kita semua merupakan pelakon yang sangat berbakat dan bakal diberi ganjaran suatu hari nanti oleh 'Pengarah Besar'. Hari Anugerah Cemerlang itu suatu hari penentuan nasib masing-masing, apakah lakonannya di dunia ini berjaya atau gagal.

Setiap orang ada peranannya tersendiri bagaimana dia harus menjalani kehidupan ini supaya ia selaras dengan apa yang dikehendaki oleh sang Pengarah. Skrip-skrip lakonan sudah pun diberikan sebagai panduan hidup zaman-berzaman. Tinggal lagi, adakah setiap insan itu mahu mengikut segala panduan yang telah diberikan itu.

Sememangnya dunia ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ia punya Pencipta yang Agung yang berkuasa mentadbir alam ini. Setiap apa yang terjadi di dunia ini diketahui oleh sang Pencipta merangkap Pengarah Besar.

Firman Allah s.w.t. :

"Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih, dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu." (Surah Ar-Ra'd : ayat 8)

Pengetahuan Allah sebagai Al-Khaliq melebihi kepandaian yang ada pada Albert Einstein si pencipta teori Relativiti itu dan siapa saja tokoh ilmuan yang paling hebat. Ilmu yang dipelajari sepatutnya menjadikan manusia itu lebih dekat dan mengenali sang Penciptanya.

Jadi, kehidupan yang beragama itu merupakan satu fitrah bagi kita semua. Ia suatu yang diperlukan di kala manusia ingin mencari kebenaran dan menidakkan kebatilan dalam kehidupannya. Agama memberikan panduan kepada penganutnya mengenai bagaimana cara mengenal Pencipta yang Agung ini. Dengan mengenali Pencipta, insyaAllah ia akan membuahkan ketenangan dalam hidup.

Ya, ketenangan setelah mengenal siapa Pencipta dan sifat-sifatNya serta mengamalkan apa yang dituntut oleh agama itu. Hidup beragama membuahkan ketenangan yang tidak dapat digambarkan oleh sesiapa pun. Tiada kata yang mampu diucapkan selain senyuman yang lahir tulus dari hati yang ikhlas.

Ada orang yang tidurnya beralaskan tilam yang empuk dalam bilik yang berdingin hawa, namun dek hati yang tidak tenang maka musnah harapannya untuk mendapatkan tidur yang lena aman. Ada orang yang rumahnya bertingkat-tingkat umpama mahligai, namun sunyi sepi dan tiada keseronokan lantaran tiada roh agama diisi di dalamnya.

Pernah seorang sahabat saya yang berbangsa India, mengatakan betapa dia mendapatkan ketenangan setelah menganut agama Kristian walaupun dia lahir dari keluarga yang beragama Hindu. Setiap agama hatta Islam pernah dipelajarinya, namun ketenangan itu datang setelah dia menganut Kristian. Pernah juga dia mempersoalkan setiap perlakuan yang dilakukan oleh mereka yang beragama ketika beribadat. Semoga suatu hari nanti dia mendapat hidayah kepada Islam.

Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah beroleh ketenangan dalam agama Islam yang kita anuti? Kalau belum, kita harus mencarinya dan terus mencari. Kalau kita tak menjumpai tempat yang tenang, maka carilah Pencipta kepada ketenangan itu.

Sebelum menduduki peperiksaan pun, antara pesanan yang selaaalu kita dengar adalah dapatkan ketenangan sebelum menjawab soalan. Nescaya kita boleh berfikir dengan tenang untuk menjawabnya dengan baik.

Sama-sama kita muhasabah diri ini, sudah di tahap manakah agaknya gred penilaian lakonan kita ini. Adakah sudah memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh sang Pengarah. Selagi hayat masih berbaki, kita masih punya masa untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik supaya apabila kita menemui tuan Pengarah, Dia berpuas hati dengan kualiti lakonan yang kita lakonkan di dunia dahulu.

Tuesday, June 11, 2013

Apa Khabar Tok Wan di Sana?

Salam w.b.t.

Rumahku syurgaku. Kata-kata yang ringkas namun tak mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Setiap keluarga hari ini sudah pasti berdepan dengan cabaran yang sangat besar untuk mendidik anak-anak mereka.
Dengan kemajuan teknologi yang serba canggih, dikhuatiri hubungan antara ahli keluarga sekadar bermesej di henfon atau di MukaBuku saja. Tiada gelak tawa riang bercerita pengalaman masing-masing dalam hidup. 

Kalau ada pun, dan ia mungkin melalui Skype di MukaBuku, ia tetap tak sama secara live di depan mata.
Arghh, rindunya aku suasana sewaktu kecil dulu. Boleh bersalam-salaman dengan arwah tok wan dan tok sambil bersembang dengan mereka. Entah apalah yang pernah aku bualkan dengan mereka. Semua tu sudah pun berlalu.

Kalau mereka masih hidup, ingin aku berkongsi kejayaan yang telah aku dapat sepanjang hidup ini. Kalau mereka masih ada, mahu saja aku tanyakan pengalaman hidup mereka zaman dahulu supaya dapat aku jadikan bekalan menghadapi cabaran hari ini.

Tapi..itu semua sudah pun berlalu...

Aku harap, walaupun aku hidup di zaman yang serba moden ini, aku masih sempat bersalaman dengan anak-anak mereka, mahupun cucu cicit mereka. Aku harapkan hubungan keluarga ini tidak sekadar bermesej di alam maya saja, bahkan ia harus diterjemahkan kepada 'syurga di dunia' yakni melalui pertemuan dan pergaulan untuk merapatkan hubungan itu. Kerana Allah itu bersifat Ar-Rahim, jadi hubungan silaturrahim itu perlulah dipelihara sebaik mungkin.

Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kejayaan yang kita peroleh, hubungan kekeluargaan janganlah kita lupakan. Kerana apa gunanya berLamborghini kalau di rumah tiada seri. Apa gunanya duit berguni-guni kalau di rumah tiada ketenangan yang dicari.

Setinggi-tinggi Gunung Everest telah kutawan, cakap mak ayah jangan dilawan. Nanti hidup tiada keberkatan. Hidup sehari-hari merana dan meroyan.

Maka, marilah kita menjadi hamba yang bersyukur dengan apa saja yang kita ada. Seburuk-buruk keluarga kita, mereka tetap darah daging kita yang harus kita jaga dan beri perhatian. Selagi kita punya datuk, nenek, opah, tok ayah atau apa saja gelarannya, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Sebab kita pun tak boleh menduga, siapa yang bakal menyahut seruan Ilahi terlebih dahulu.


Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...