Thursday, September 26, 2013

Perginya Seorang Bekas Menteri Besar


Salam w.b.t.

Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Kematian itu suatu yang pasti dalam hidup manusia. Kalau sudah tertulis saat kematian seseorang itu, tidak akan dipercepat atau dilewatkan walau sesaat. Hatta sepakar mana pun doktor itu, segempak mana pun seorang bomoh moden itu, pasti dia tidak boleh melawan takdir yang sudah tertulis itu.

Pada hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang pemimpin yang cukup hebat dan disanjungi oleh kawan mahupun lawan, iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak. Bekas Menteri Besar Kedah ini telah pulang ke rahmatullah setelah mengalami komplikasi jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.



Seorang pemimpin yang boleh masuk dengan semua orang berdasarkan apa yang diceritakan oleh orang ramai. Bahkan Allahyarham juga disenangi oleh semua orang disebabkan sifatnya yang boleh bercampur dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik.

Melihatkan beliau, teringat pula diri ini kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden Pas. Sungguh hebat qudwah yang ditunjukkan oleh mereka berdua. Namun hari ini, Allah lebih menyayangi Ustaz Azizan.

Seluruh rakyat negeri Kedah berasa sedih dengan pemergian beliau. Cuaca dikatakan mendung pada siang tadi, seolah-olah alam turut meratapi kehilangan seorang tokoh hebat ini. huhu

..................................................................

Masalah jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Serangan jantung yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ia suatu yang serius.

Sekiranya ada antara ahli keluarga anda yang telah lanjut usianya mengadu sakit dada, sukar untuk bernafas dan mengalami bengkak di bahagian kaki, segeralah membawanya berjumpa doktor kerana ia antara simptom jantung yang bermasalah.

Keadaan di ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak kurang sibuknya apabila ada kemasukan baru (new admission). Keadaan bertambah tegang sebentar tadi apabila tiba-tiba salah seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru (pneumonitis) berhenti bernafas. Dia turut mengalami masalah buah pinggang dan mesin dialisis digunakan untuk mengatasi masalah kegagalan buah pinggang tersebut.


ICU

Seorang doktor senior segera melakukan chest compression namun kadar denyutan nadi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Dan akhirnya setelah pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan. Di luar ICU, kelihatan beberapa orang ahli keluarga menangis dan meratapi kematiannya. Sedih.

Doktor juga manusia biasa. Doktor bukannya Tuhan.

.....................................................................

Bagaimanalah agaknya saat nyawa dicabut. Kata arwah tok saya, ada sekumpulan malaikat yang akan turun dan memegang tangan serta kaki kita saat nyawa ditarik keluar oleh malaikat Izrail. Kalau tidak, melompatlah manusia itu. Wallahua'laam. 

Teringat pula suasana ketika doktor sedang cuba melakukan intubation kepada pesakit yang baru mati itu. Dia meronta-ronta. Kami terpaksa memegang tangan dan kakinya untuk memudahkan prosedur tersebut dilakukan.

Hidup dan mati silih berganti.

Hari ini sebahagian nyawa diambil kembali.

Esok lusa akan ada nyawa baru yang dilahirkan.

Akhir kalam, apa persiapan kita dan saya lebih-lebih lagi untuk menghadapi kematian yang bakal datang menjemput.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan yang Dia redha.

Tuesday, September 24, 2013

Suka Duka Seorang Doktor Muda


Salam w.b.t.

"Seringkali aku terfikir, bagaimanakah masa tuaku nanti apabila melihat pesakit-pesakit yang lanjut usia terlantar dengan pelbagai jenis penyakit yang ada. Atau, sempatkah aku untuk melalui masa tua itu?"
________________________________________

Hari ini merupakan hari di mana saya kembali bertugas di Jabatan Perubatan (Medicine Department). Sebelumnya saya berada di Jabatan Psikiatri selama 15 hari. Sedar tak sedar, tempoh 2 minggu itu begitu cepat berlalu. Dapatlah juga serba sedikit gambaran mengenai common cases di jabatan ini dalam kalangan penduduk India khususnya di Karad ini. Tekanan perasaan dan kemurungan merupakan kes yang banyak dicatatkan di OPD.

Sebelumnya pula, selepas raya, saya bertugas selama 15 hari juga di Jabatan Perubatan. Sememangnya terlalu banyak yang telah saya belajar sepanjang tempoh yang singkat tersebut. Dapat juga belajar beberapa prosedur asas yang wajib dikuasai oleh pengamal perubatan.

Sewaktu hari pertama di jabatan ini, saya ada disoal oleh doktor senior mengenai apa yang saya mahu belajar dari mereka sepanjang posting tersebut. Mungkin disebabkan jawapan yang diberikan kepada soalan itu, seorang senior telah mengajar saya bagaimana mahu memasukkan Foley's catheter kepada seorang pesakit di wad. Excited rasanya ketika itu, sebab kita diberikan peluang untuk melakukan prosedur tersebut.

Ada sesetengah prosedur yang rumit dilakukan oleh doktor senior. Saya cuma menjadi pemerhati bebas, membantu sekadar yang diperlukan. Banyak juga tanggungjawab yang perlu dilakukan di sini.

Salah satu prosedur yang setelah beberapa kali saya cuba namun masih gagal sehingga hari ini, iaitu memasukkan Ryle's tube kepada pesakit bagi mereka yang tidak boleh tolerate makanan secara oral. Rasa kecewa juga apabila pada mulanya macam sudah masuk elok melalui hidung pesakit. Namun, apabila diperiksa dengan stetoskop, ianya negatif.

Rupanya tiub tersebut berlingkaran di dalam mulut pesakit! Alahai..nasib badan..

Terpaksa dikeluarkan balik tiub itu dan perlu dimasukkan semula.

Untuk memasukkannya juga suatu yang menyeksakan buat pesakit apabila mereka batuk lalu menyukarkan prosedur untuk diteruskan. Terpaksa berhenti sekejap, bagi mereka minum air. Apabila mereka mula menelan air tersebut, waktu itulah kita patut masukkan tiub itu kerana vocal cord terbuka bebas pada waktu itu. Faham kan?

Pernah ketika saya cuba memasukkan RT kepada seorang pesakit lelaki yang tua ini, dia terbatuk teruk mungkin disebabkan gag reflex atau tiub itu menyentuh tracheanya secara kasar. Apabila dikeluarkan kembali tiub tersebut, kelihatan darah di sebahagian tiub menandakan adanya luka yang telah dilakukan secara tidak sengaja. Rasa bersalah juga ketika itu sebab seolah-olah menyeksa pesakit itu. Inilah pentingnya hands-on practical kepada kami supaya mortality rate dapat dikurangkan apabila bekerja di tanahair sendiri nanti.

Seorang doktor senior yang lain pula memberitahu, sebelum RT dimasukkan, kita perlu memeriksa sekiranya pesakit mempunyai DNS (deviated nasal septum). Tiub harus dimasukkan ke dalam rongga hidung yang normal supaya tiada kecederaan yang berlaku.

Walaupun masih tidak berjaya melakukannya, seorang senior ada memberi kata-kata semangat dan menyuruh saya terus mencuba. Setiap orang masih ada peluang untuk berjaya. Mungkin usahanya masih belum cukup. Yang penting jangan mudah menyerah kerana setiap kali kita gagal, kita akan belajar sesuatu.

Dan hari ini, diri ini kembali ke jabatan yang telah ditinggalkan buat sementara waktu. Tempoh posting masih berbaki selama sebulan. Masih banyak yang perlu saya belajar dan praktis kerana untuk mendapatkan keyakinan, dan untuk bekerja secara independent suatu hari nanti, ia memerlukan latihan yang berterusan dan konsisten.

Ya, medan kerja di hospital memerlukan mereka-mereka yang rajin dan tidak mudah putus asa. Ia tidak perlukan seorang genius yang malas. Hanya mereka-mereka yang kental sahaja boleh survive dalam salah satu medan amal ini.

Ia sememangnya suatu kerja yang meletihkan, dan mungkin membosankan bagi sesetengah orang. Kerana apabila berada dalam ruang kerja, baharu mereka tahu menjadi seorang pengamal perubatan membawa seribu satu amanah dan tanggungjawab masyarakat. Ia bukanlah suatu kerjaya untuk mencari glamor semata. Ia sangat menguji tahap ketahanan mental seseorang.

Sebab itu ada segelintir sahabat saya yang baharu saja bekerja sebagai houseman turut mengalami masa-masa mereka down, tertekan dan sebagainya. Namun apa yang penting adalah niat asal kenapa kita memilih medik sebagai pilihan utama. Kena muhasabah balik, dan betulkan balik niat awal memilih kerjaya perubatan.

Setakat ini sahaja perkongsian dari saya. Semoga ada 'isi' yang boleh diambil dari entri kali ini.

Wassalam...

Saturday, September 14, 2013

Hidup ini bukan abadi


Salam w.b.t.

Sudah lebih sebulan saya rasanya saya 'mentalakkan' blog ini tanpa sebarang update. Kalaulah blog ini mampu berkata-kata, pasti saya bakal dileteri olehnya bertanyakan ke mana saya menghilang selama ini tanpa sebarang berita. Rasa bersalah pun ada dengan para pelawat blog yang pastinya menantikan sesuatu dari blog-blog yang mereka lawati. Mujhe maaf karta hu...

Walaupun sedang dalam mode praktikal, saya masih berpeluang untuk pulang bercuti di rumah pada sambutan Hari Raya yang lepas. Niat di hati nak studi sikit waktu cuti, tapi rupanya indah khabar dari niat. Kalau namanya cuti, memang susah la nak studi. Cobaan ada di mana-mana.

Sewaktu musim raya yang lalu, banyak kita dengar kes kemalangan jalan raya yang selalu berlaku saban tahun. Paling mengerikan adalah kes bas pelancong yang terhumban ke dalam gaung di Genting Highland. Oh sangat tragis dan menyedihkan apabila mendapat tahu apa yang berlaku ketika itu.

Satu lagi berita yang turut menyedihkan adalah kematian anak Dr. Vida, pengasas produk kecantikan Vida Beauty dalam satu kebakaran di rumahnya. Waktu itu pun cuma tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Syawal. Kalau sudah suratan takdir, memang kita yang lemah ini tidak mampu untuk mengubahnya. Mungkin ini suatu ujian dari Allah kepada beliau. Ujian dan rezeki Allah itu boleh datang secara tiba-tiba tanpa kita sangka.

Kehidupan ini ada silih gantinya. Ada yang meninggal dunia, kemudian ada insan baharu yang dilahirkan ke dunia ini. Kata emak saya, dunia ini sudah ramai sangat orang. Sebab tu Allah ambil sikit dari dunia ini. Itulah hukum alam, yang hidup ini tidak akan kekal lama di dunia.

Setakat itu saja perkongsian kali ini.
Till we meet again..

Wassalam...



Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...