Saturday, June 29, 2013

Manusia Berjubah Putih 4


Salam w.b.t.

"Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.

Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti.."


..........................................................................................................................................................

"Kita akan ke Mawargiri malam nie." Kata amir kepada kami semasa sedang mengemas barang yang dibawa sepanjang perjalanan itu. Mawargiri merupakan salah satu kawasan yang terletak berdekatan, kurang lebih dalam 10-15 minit perjalanan seingat saya. Perjalanan waktu malam itu agak thrill juga, ditambah pula dengan kesejukan malam yang menemani kami. Travel malam dengan motosikal sememangnya satu pengalaman yang best bagi sesetengah orang. 

Sampai di Mawargiri, kami pun menunaikan solat Maghrib di situ dan menyiapkan diri selepasnya sebelum makan malam bermula. Setiap masjid di sini ada menyediakan peralatan memasak seperti periuk dan gas. Jadi jemaah selalunya akan memasak sendiri di masjid dan tak perlu beli makanan dari kedai luar. Cuma mungkin perlu beli barang-barang basah untuk masak saja.

Malam itu setelah Isyak, masing-masing merehatkan diri lebih awal supaya esoknya kami ada bekal tenaga yang cukup untuk bergerak lagi ke destinasi terakhir, iaitu tempat diadakan Ijtimak tersebut.

**************************************************************************************
Hari berganti hari. Subuh pun menjelma. Setelah siap menjamah sarapan atau 'menyorok', kami mula berkemas sekali lagi untuk berangkat ke Wagiri pula. Ia terletak agak jauh dari Mawargiri walaupun bunyinya seakan serupa.

Perjalanan ke Wagiri diteruskan sebelum tengahari disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan pastinya memenatkan dan mengeluarkan peluh jantan yang sudah lama tersimpan. Kalau lewat bertolak, bimbang pula kami akan terlepas aktiviti yang barangkali sudah pun dijadualkan di situ.

Wagiri, akhirnya berjaya juga kami jejak buminya dan ia pertama kali bagi saya berada di situ. Pada mulanya ingatkan ia sebuah kawasan yang kurang penduduk disebabkan kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman. Namun di situ berdirinya sebuah madrasah pengajian dan sebuah masjid melambangkan wujudnya aktiviti agama yang akan melahirkan ilmuan-ilmuan Islam suatu hari nanti. InsyaAllah.

Ketibaan kami disambut oleh pihak penganjur yang sudah menunggu kehadiran para peserta program. Beberapa khemah sudah pun didirikan. Kami mula bergerak ke khemah penempatan yang disediakan. Untuk pengetahuan, penempatan para peserta adalah di dalam satu khemah yang besar di mana semuanya 'berlangitkan' bumbung yang sama. Ia sama keadaannya semasa di Padang 'Arafah sewaktu musim haji atau umrah. Semuanya dilayan serupa dan setaraf, tiada siapa yang dilebihkan.

Kebanyakan masa diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh para ilmuan dan pengetua madrasah yang mantap dan hebat pengisiannya. Semua hadirin mendengar kuliah dengan penuh minat dan khusyuk. Bagi saya yang masih bertatih untuk memahami bahasa Urdu, agak susah juga la. Namun ada juga beberapa perkataan dan point penting yang dapat saya tangkap sikit-sikit. Secara tak langsung dapatlah belajar bahasa tempatan. Dapat sikit lagi baik daripada tak dapat langsung kan.

Makanan bagi peserta disediakan juga, dan kami harus mendapatkan kupon-kupon makanan yang dijual. Murah-murah harganya. Makanannya pula sedap-sedap belaka. Inilah salah satu keistimewaan mereka di mana makanan yang dimasak berkawah-kawah itu ternyata suatu yang harus dirasai oleh sesiapa yang berkunjung ke sini. Ada satu kumpulan yang ditugaskan memasak dan mengendalikan makanan. Kalau tak cukup, akan ada yang tambahkan nasi atau lauk pada kita. Macam kenduri kahwin la waktu tu.




Siang dan malam diisi dengan kuliah agama berkisarkan persoalan keimanan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk berdakwah. Kadang-kadang ada juga diselitkan kisah dan pengalaman yang mencuit hati kami semua. Mereka yang menjadi penyampai pada perhimpunan itu begitu hebat ketika menyampaikan nasihat-nasihat agama. Nampak benar betapa banyak pengalaman yang mereka ada.

Program selama dua hari satu malam itu padat dengan perkongsian dan pertemuan dengan peserta yang datang dari pelbagai tempat. Masing-masing pasti ada cerita setiap kali berjumpa satu sama lain. Ada antara mereka yang tidak punya masa untuk bertemu semasa bekerja dan ijtimak ini memberi peluang kepada mereka mengeratkan hubungan silaturrahim yang sudah terbina.

******************************************************************************

Sabtu petang, pada tarikh yang saya sudah tak ingat, selepas Asar, tamatlah program Ijtimak tersebut. Salam perpisahan kami ucapkan kepada penganjur dan semua yang terlibat sepanjang program. Perjalanan diteruskan kembali ke Karad, kerana masih ada tugas yang menanti di sana. Semoga perjumpaan kali ini memberi semangat kepada kami semua untuk terus menyambung perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat. InsyaAllah..

p/s : Ini merupakan edisi terakhir siri kembara saya di bumi Al-Hind. (Macamlah selalu sangat travel sampai nak bersiri-siri kan..) Ini pun merupakan ringkasan sebenarnya. Ada lagi detail yang terpaksa di'cantas' untuk mengelakkan ia terlalu panjang sampai ke negeri China..hehe

Peace to all!

Sunday, June 23, 2013

Sekecil-Kecil Bebola Mata, Sehebat-hebat Yang Mencipta

Salam w.b.t.

Segala Puji bagi Allah yang telah memberikan kita peluang untuk terus bernafas di bumi-Nya sehingga ke hari ini. Nikmat kesihatan yang Dia kurniakan itu tersangatlah berharga. Namun betapa ramai yang mensia-siakan nikmat itu ke jalan yang tidak sepatutnya.

Kita ini bukanlah bersifat maksum seperti layaknya para Nabi itu. Walaupun banyak dosa yang telah kita lakukan, Allah itu Maha Pengampun dan sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hambaNya yang ingin berubah. Allah itu boleh saja menghukum kita on the spot apabila kita melakukan maksiat. Namun Dia yang bersifat Ar-Rahim tahu bahawa suatu hari nanti kita pasti akan mencari-Nya juga apabila kita dirundung pelbagai masalah duniawi. Allah itu Maha Penyayang. Terkadang aku juga lalai dari mengingati-Nya.

Aku dan kita semua sedang menikmatinya
Salah satu nikmat yang tersangat berharga, yang sering disalahgunakan oleh kita, adalah nikmat melihat. Penglihatan ini pula terbahagi kepada 2 iaitu penglihatan menggunakan organ mata dan penglihatan menggunakan 'mata hati'. Kali ini saya ingin berkongsi sesuatu mengenai penglihatan menggunakan mata fizikal yang kita semua ada. Jenis penglihatan kedua itu tidak dimiliki oleh semua orang dan ia hanya ada pada orang yang layak memilikinya sahaja.

Sepasang mata yang kita ada ini tidak ternilai harganya. Ia dapat merakamkan pelbagai peristiwa dan pemandangan yang pasti menimbulkan rasa kagum dalam diri kita. Setiap apa yang kita lihat, baik ketika terbenamnya matahari di ufuk langit membiru, gunung-ganang yang kukuh berdiri mahupun burung-burung yang pelbagai warna berterbangan dengan bebasnya, semuanya kembali kepada siapa yang menciptakannya. Who is The Creator?


Alam menjadi bukti ada Pencipta yang Agung




Evolusi kamera pada hari ini membolehkan gambar yang berkualiti tinggi ditangkap oleh mereka yang berminat dalam bidang fotografi. Melihatkan gambar-gambar yang awesome itu pun sudah memukau jiwa, apatah lagi melihatnya secara 'live'. Walaupun gambar yang ada di album itu lawa-lawa, melihatnya sendiri secara berdepan (face2face) itu lagilah nikmat cakap lu, kerana kita melihatnya dengan mata kepala kita sendiri bak kata orang..

Pediatrik itu ada kisahnya
Pengalaman kerja di NICU suatu masa dulu masih lagi terbayang di fikiran saya. Walaupun suasana kerjanya kadang-kadang tension, kadang-kadang boring, itu semua seakan terubat apabila melihat wajah si kecil yang baru dilahirkan di dunia ini. Wajah si kecil yang 'blur' dan 'innocent' itu menjadi penawar segala duka lalu ia mencetuskan senyuman di bibir.


Mana boleh tengok saja. Rugi kot kalau tak 'snap'

Tiba-tiba saya terfikirkan sesuatu. Andainya ada satu gajet yang boleh mengambil gambar mereka tanpa menggunakan henset, itu adalah sesuatu yang kool bagi saya. Masihkah anda ingat cerita Mission Impossible : Ghost Protocol? Terdapat satu babak di mana ada satu alat yang diletakkan di mata dan boleh scan apa yang dilihat melalui kerlipan mata, seterusnya ia boleh diprint terus dan disimpan sebagai dokumen. Alangkah bestnya kalau ada alat macam tu.. Stail beb! hehe

Alahai dia. Hebatnya ciptaan Allah. Tiada tandingan.
Semoga menjadi seorang yang berguna kelak.

Maka tak perlulah saya keluarkan henset untuk mengambil gambar, cukup dengan kerlipan mata dan ia diprint terus di dalam bilik. Siap colour lagi tu. Entah-entah dapat sekali pakej senyuman balas dari si kecil itu pula.. :-)


Hebat lagi ciptaan Allah
Sehebat mana pun teknologi yang ada, apa yang Allah cipta itu sudah cukup sempurna. Macam yang saya katakan tadi, perasaan semasa kita tengok sesuatu yang indah itu secara 'live' adalah lagi bermakna dan berkesan pada hati ini. Sebabnya, nikmat melihat itu tiada bandingan dengan wang ringgit. Mata yang diikat cuma sekejap pun sudah terasa susah dan peritnya hidup ini. Macam itulah kesusahan hidup mereka yang cacat penglihatan. Kita yang masih boleh melihat, gunakanlah nikmat ini untuk menghayati segala ciptaan Allah.

Akhir kalam, Allah ada berfirman dalam Surah Ar-Rahman berulang kali, "Nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang kamu dustakan.". Sekian banyak nikmat yang kita dapat, janganlah ia menjauhkan kita dari jalan yang telah Allah arahkan kita untuk mengikutinya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita sepanjang bulan Syaaban ini.

p/s : Sudah Nisfu Syaaban rupanya..tinggal lagi separuh bulan sebelum masuk kolej universiti..
p/ss : Bagi sesiapa yang ingin copy artikel ini atau copy gambar kat atas, silakan. Namun silalah jangan lupa untuk meletakkan link rujukan blog ini. Terima kasih.. ^_^

Friday, June 21, 2013

Lintasan Hati Bukan Libasan Mati

Insan itu sering lupa
Ketika dia diberi nikmat yang banyak dari Tuhannya

Nikmat kesihatan yang sementara
Dia tak manfaatkan ke jalan yang Allah redha

Nikmat masa lapang yang ada
Banyak yang disia-siakan macam tu sahaja

Selalu mengeluh hidup yang tak ceria
Tidak berwarna-warni
Tidak berseri-seri

Sungguh tertipu rupanya diriku
Setiap hari lalai yang aku pilih
Dan ia menjauhkan aku dari mengenal Rabb yang Satu
Sedang Dia selalu sahaja bersamaku
Tidak mengira waktu

Tidak lama lagi aku bakal memasuki universiti paling berprestij
Bakal tidak semestinya ia pasti
Harapnya Allah bagi kesempatan lagi kali ini
Aku, dan kita semua sudah boleh menghitung hari
Supaya kita sama-sama berjaya melaluinya

Jadi apa tunggu lagi
Ganjaran besar sedang menanti
Dari sekarang mulalah sikit-sikit
Supaya kita tidak semput di pertengahan jalan nanti

Ini sekadar satu peringatan buat semua
Lebih-lebih lagi untuk diriku ini
Akhir kalam
Moga kita semua dalam redha Ilahi..

Thursday, June 13, 2013

Kita Semua Pelakon yang Berkarisma


Salam w.b.t.

Kehidupan di dunia ini hanya sekadar satu lakonan dan medan ujian bagi setiap insan. Kita semua merupakan pelakon yang sangat berbakat dan bakal diberi ganjaran suatu hari nanti oleh 'Pengarah Besar'. Hari Anugerah Cemerlang itu suatu hari penentuan nasib masing-masing, apakah lakonannya di dunia ini berjaya atau gagal.

Setiap orang ada peranannya tersendiri bagaimana dia harus menjalani kehidupan ini supaya ia selaras dengan apa yang dikehendaki oleh sang Pengarah. Skrip-skrip lakonan sudah pun diberikan sebagai panduan hidup zaman-berzaman. Tinggal lagi, adakah setiap insan itu mahu mengikut segala panduan yang telah diberikan itu.

Sememangnya dunia ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ia punya Pencipta yang Agung yang berkuasa mentadbir alam ini. Setiap apa yang terjadi di dunia ini diketahui oleh sang Pencipta merangkap Pengarah Besar.

Firman Allah s.w.t. :

"Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih, dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu." (Surah Ar-Ra'd : ayat 8)

Pengetahuan Allah sebagai Al-Khaliq melebihi kepandaian yang ada pada Albert Einstein si pencipta teori Relativiti itu dan siapa saja tokoh ilmuan yang paling hebat. Ilmu yang dipelajari sepatutnya menjadikan manusia itu lebih dekat dan mengenali sang Penciptanya.

Jadi, kehidupan yang beragama itu merupakan satu fitrah bagi kita semua. Ia suatu yang diperlukan di kala manusia ingin mencari kebenaran dan menidakkan kebatilan dalam kehidupannya. Agama memberikan panduan kepada penganutnya mengenai bagaimana cara mengenal Pencipta yang Agung ini. Dengan mengenali Pencipta, insyaAllah ia akan membuahkan ketenangan dalam hidup.

Ya, ketenangan setelah mengenal siapa Pencipta dan sifat-sifatNya serta mengamalkan apa yang dituntut oleh agama itu. Hidup beragama membuahkan ketenangan yang tidak dapat digambarkan oleh sesiapa pun. Tiada kata yang mampu diucapkan selain senyuman yang lahir tulus dari hati yang ikhlas.

Ada orang yang tidurnya beralaskan tilam yang empuk dalam bilik yang berdingin hawa, namun dek hati yang tidak tenang maka musnah harapannya untuk mendapatkan tidur yang lena aman. Ada orang yang rumahnya bertingkat-tingkat umpama mahligai, namun sunyi sepi dan tiada keseronokan lantaran tiada roh agama diisi di dalamnya.

Pernah seorang sahabat saya yang berbangsa India, mengatakan betapa dia mendapatkan ketenangan setelah menganut agama Kristian walaupun dia lahir dari keluarga yang beragama Hindu. Setiap agama hatta Islam pernah dipelajarinya, namun ketenangan itu datang setelah dia menganut Kristian. Pernah juga dia mempersoalkan setiap perlakuan yang dilakukan oleh mereka yang beragama ketika beribadat. Semoga suatu hari nanti dia mendapat hidayah kepada Islam.

Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah beroleh ketenangan dalam agama Islam yang kita anuti? Kalau belum, kita harus mencarinya dan terus mencari. Kalau kita tak menjumpai tempat yang tenang, maka carilah Pencipta kepada ketenangan itu.

Sebelum menduduki peperiksaan pun, antara pesanan yang selaaalu kita dengar adalah dapatkan ketenangan sebelum menjawab soalan. Nescaya kita boleh berfikir dengan tenang untuk menjawabnya dengan baik.

Sama-sama kita muhasabah diri ini, sudah di tahap manakah agaknya gred penilaian lakonan kita ini. Adakah sudah memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh sang Pengarah. Selagi hayat masih berbaki, kita masih punya masa untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik supaya apabila kita menemui tuan Pengarah, Dia berpuas hati dengan kualiti lakonan yang kita lakonkan di dunia dahulu.

Tuesday, June 11, 2013

Apa Khabar Tok Wan di Sana?

Salam w.b.t.

Rumahku syurgaku. Kata-kata yang ringkas namun tak mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Setiap keluarga hari ini sudah pasti berdepan dengan cabaran yang sangat besar untuk mendidik anak-anak mereka.
Dengan kemajuan teknologi yang serba canggih, dikhuatiri hubungan antara ahli keluarga sekadar bermesej di henfon atau di MukaBuku saja. Tiada gelak tawa riang bercerita pengalaman masing-masing dalam hidup. 

Kalau ada pun, dan ia mungkin melalui Skype di MukaBuku, ia tetap tak sama secara live di depan mata.
Arghh, rindunya aku suasana sewaktu kecil dulu. Boleh bersalam-salaman dengan arwah tok wan dan tok sambil bersembang dengan mereka. Entah apalah yang pernah aku bualkan dengan mereka. Semua tu sudah pun berlalu.

Kalau mereka masih hidup, ingin aku berkongsi kejayaan yang telah aku dapat sepanjang hidup ini. Kalau mereka masih ada, mahu saja aku tanyakan pengalaman hidup mereka zaman dahulu supaya dapat aku jadikan bekalan menghadapi cabaran hari ini.

Tapi..itu semua sudah pun berlalu...

Aku harap, walaupun aku hidup di zaman yang serba moden ini, aku masih sempat bersalaman dengan anak-anak mereka, mahupun cucu cicit mereka. Aku harapkan hubungan keluarga ini tidak sekadar bermesej di alam maya saja, bahkan ia harus diterjemahkan kepada 'syurga di dunia' yakni melalui pertemuan dan pergaulan untuk merapatkan hubungan itu. Kerana Allah itu bersifat Ar-Rahim, jadi hubungan silaturrahim itu perlulah dipelihara sebaik mungkin.

Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kejayaan yang kita peroleh, hubungan kekeluargaan janganlah kita lupakan. Kerana apa gunanya berLamborghini kalau di rumah tiada seri. Apa gunanya duit berguni-guni kalau di rumah tiada ketenangan yang dicari.

Setinggi-tinggi Gunung Everest telah kutawan, cakap mak ayah jangan dilawan. Nanti hidup tiada keberkatan. Hidup sehari-hari merana dan meroyan.

Maka, marilah kita menjadi hamba yang bersyukur dengan apa saja yang kita ada. Seburuk-buruk keluarga kita, mereka tetap darah daging kita yang harus kita jaga dan beri perhatian. Selagi kita punya datuk, nenek, opah, tok ayah atau apa saja gelarannya, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Sebab kita pun tak boleh menduga, siapa yang bakal menyahut seruan Ilahi terlebih dahulu.


Sunday, June 2, 2013

Cabaran Seorang Pekerja


Salam w.b.t.

Apabila kita meningkat dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul. Peningkatan umur tahun demi tahun sepatutnya menjadikan kita insan yang matang dan dapat membuat keputusan yang bijak dan rasional. Tahun demi tahun, zaman berganti zaman. Cabaran yang mendatang juga semakin berbeza dan pelbagai.

Usai meninggalkan alam persekolahan, kita mula masuk ke alam universiti. Bermacam jenis manusia yang boleh kita jumpa dan kenali. Di sini satu lagi cabaran yang menanti, iaitu dengan siapa kita menjalinkan hubungan persahabatan. Kalau silap pilih kawan, susah jadinya kelak. Ada yang di zaman sekolahnya hebat, namun hanyut di alam universiti yang sentiasa menguji iman seseorang itu.

Apabila kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, kita mula menjadi seorang mahasiswa atau mahasiswi yang lebih berdikari berbanding semasa kita berada di asrama di zaman persekolahan dahulu. Kehidupan kita ketika ini, kita sendiri yang harus rancang. Tiada siapa yang akan memberi arahan apa yang patut kita buat dan bagaimana. Ia terserah bagaimana kita menghargai setiap minit dan waktu yang berlalu dalam hidup ini.

Pernah suatu masa, semasa zaman sekolah dulu, seorang sahabat saya ada mengeluarkan suatu kenyataan bagaimana seorang siswazah keluaran sebuah universiti yang terkemuka akhirnya menjadi seorang tenaga pengajar di sekolah rendah sahaja. Mungkin pada pendapatnya ia suatu yang tidak sesuai dengan kelayakan saudara tersebut dan dia harus bekerja di tempat yang selayaknya.

Namun apabila saya sendiri berada di alam universiti dan hampir menamatkannya tidak lama lagi, saya belajar sesuatu mengenai alam pekerjaan usai pertemuan di dalam program-program yang ada.

Negara kita mempunyai lambakan siswazah yang menamatkan pengajian mereka setiap tahun. Zaman ini menunjukkan persaingan yang sangat hebat antara semua bangsa, Melayu, Cina mahupun India. Trend sesebuah syarikat atau majikan pula adalah mahukan mereka yang benar-benar layak untuk bekerja dan memegang suatu jawatan. Sudah tentu mereka akan mengambil kumpulan yang terbaik untuk bekerja. Dan semestinya mereka tidak memerlukan ramai orang, kerana hanya sebilangan kecil yang terpilih diambil bekerja, menyebabkan ramai yang masih mencari-cari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Salah satu lagi sebabnya, adalah keikhlasan dan prinsip 'rezeki tu Allah yang bagi' menyebabkan mereka sanggup bekerja di mana-mana sahaja tanpa meminta sesuatu (baca:demand) supaya sesuai dengan kelayakan mereka. Ini juga mungkin sebab yang kukuh kenapa perkara tersebut berlaku.

Golongan ini seharusnya mendapat penghormatan yang tinggi daripada masyarakat kerana mereka tidak memilih kerjaya yang ada. Mungkin mereka pernah mendapat tawaran bekerja yang lumayan tetapi atas sebab-sebab yang mungkin boleh mengehadkan mereka mengamalkan kehidupan sebagai seorang Muslim, ianya tidak diterima. Apa yang penting, keberkatan dan kerja yang dilakukan itu menjadi sumber rezeki yang halal.

Pernah seorang sahabat menceritakan kepada saya, dia ada mendapat tawaran bekerja yang menjanjikan gaji yang sangat lumayan. Tetapi, dia harus bekerja untuk tempoh berbulan-bulan, dan ia bukan di daratan.

"Macam mana hang nak hidup kalau selama kat sana hang takkan jumpa masjid langsung.."

Lebih kurang itulah komennya selepas dia memberitahu peluang pekerjaan yang terhidang di depannya.

Sungguh besar cabaran yang datang, dan sehebat itulah pengorbanan yang harus dilakukan. Kalaulah seseorang itu hanya mengejar kesenangan dunia, sudah tentu peluang yang ada dia akan sapu habis sampai licin. Sebaliknya, kalau dia tidak terlalu mengejar wang ringgit, mungkin tawaran itu akan dipertimbangkan semasak-masaknya.

Bukanlah kita tidak boleh menjadi orang yang senang. Bukanlah saya hendak menidakkan kita menolak semua peluang yang ada.

Cuma, kalau peluang yang ada itu tidak menjadikan kita seorang manusia yang lalai dari mengingati akhirat, maka boleh saja kita ambil peluang itu. Yang menjadi masalah, takut suatu masa nanti, kita sudah mula lupa untuk meluangkan masa mengingati Pencipta seluruh alam ini disebabkan bebanan kerja yang ada.

Selagi mana kita sentiasa memperuntukkan masa untuk melakukan ibadah, insyaAllah Dia akan memudahkan segala urusan kerja kita. Dia akan membantu kita tanpa kita sangka, dan Dia akan mengadakan bagi kita jalan keluar dari segala masalah yang ada seperti maksud ayat seribu dinar. Kuncinya, bertakwa kepada Allah s.w.t.

Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kita, ingatlah ada yang lebih tinggi dan lebih berkuasa. Kalau Allah ingin tarik segala kelebihan yang kita punya, bila-bila masa sahaja Dia boleh melakukannya. Jadi, selama kita belajar dan bekerja, berapa kerap kita ingat akan Allah dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah kita dapat. Sama-samalah kita renungkan dan buat penilaian sendiri.

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...