Friday, May 31, 2013

Menjelang Tibanya Penghulu Segala Hari


Salam w.b.t.

Apabila tibanya Jumaat, diri ini sentiasa berasa seolah-olah seminggu yang berlalu tiada makna. Sepertinya baru saja melalui Jumaat yang lepas, datang pula hari yang baru yang bakal habis beberapa jam saja lagi.

Tempoh masa 7 hari itu boleh dikatakan lama jugak. Banyak benda yang berfaedah yang boleh dilakukan sepanjang seminggu itu.

Tetapi, andai karat-karat Jahiliah masih berbaki dalam diri, alangkah ruginya masa yang ada itu dibazirkan sewenang-wenangnya.

Sepatutnya masa yang berkualiti harus diluangkan dengan cara menggunakannya semaksima yang mungkin ke arah kebaikan.

Baca dan tadabbur ayat-ayat Allah.

Habiskan bacaan buku-buku yang membina dan mendidik jiwa.

Melakukan ibadah-ibadah sunat di samping ibadah fardhu.

Dan banyak lagi benda yang lebih utama dan perlu ada dalam hidup seorang Muslim dan Mukmin.

Semoga Allah memanjangkan umur kita untuk bertemu Jumaat depan, dan mudah-mudahan kita penuhkan ruang waktu yang ada dengan perkara yang lebih berguna buat diri kita.




Wednesday, May 15, 2013

Semanis Kurma


Salam w.b.t.

Setiap orang ada minat atau kesukaan masing-masing dalam hidup mereka. Minat tersebut boleh jadi sudah ada sejak kecil lagi dan boleh jadi ia mula dipupuk sejak seseorang itu berada di alam remaja.

Apabila seseorang itu ada minat dan kecenderungan terhadap sesuatu, dia akan melakukannya secara suka dan rela tanpa ada paksaan oleh orang lain. Dia akan melakukannya dengan ikhlas dan berterusan serta serius sehingga tugas tersebut selesai dengan jayanya. Inilah salah satu faktor yang memberi motivasi kepada kita, iaitu minat yang hidup mekar dalam diri.

Kalau kita bercakap pasal minat itu kepada orang lain, sudah tentu kawan yang mendengar itu akan terlopong sambil menggeleng-geleng kepala melihatkan kesungguhan kita bercerita. Ya, kalau bercerita pasal minat, kita pasti akan menjelaskan kepada orang lain sebaik dan sejelas yang mungkin dengan riak yang penuh energi (baca:bertenaga nuklear).

Haa..kenapa jadi macam tu agaknya?

Sebabnya, kita sudah pun merasakan kemanisan iman, eh silap. Kita sudah merasakan nikmatnya apabila kita melakukan apa yang kita minat dan suka. Nikmat dan minat, hampir serupa dan ada hubungkait antara satu sama lain. Oleh sebab nikmatnya kita menjamu selera di Restoran Ayam Terpenyek, kita mahu orang lain turut merasa kesedapan makanan yang ada di situ. Kita mula menceritakan kepada yang lain, apa menu yang wajib dibeli di situ sambil mereka mendengar dengan penuh khusyuk dan penuh rasa tidak sabar untuk menjamahnya suatu hari nanti.

Begitulah yang sepatutnya kita rasakan apabila menjadi seorang yang beragama Islam dan berstatus Muslim. Kita sepatutnya merasakan kemanisan dan keseronokan menjadi seorang Muslim dan menyampaikannya kepada orang lain. Sudah semestinya, prioriti harus diberikan kepada mereka yang seagama dengan kita terlebih dahulu.

Betapa ramai mereka yang di luar sana lahir dalam keluarga yang sudah beragama Islam, mempunyai nama Islam yang indah-indah sebagai identiti namun dirinya masih penuh dengan nilai-nilai Jahiliyyah. Ini tidak sepatutnya berlaku, kerana identiti harus selari dengan amalan dalam kehidupan kita. Identiti harus seiring dengan akhlak Islami.

Persoalannya, sudahkah kita merasakan kehebatan, kenikmatan sebagai seorang Muslim dan Mukmin? Adakah kita mahu orang lain turut merasakan perasaan sedemikian?

Baru-baru ini movie Iron Man terbaru sudah pun keluar di panggung wayang. Semuanya begitu teruja untuk pergi menontonnya secara berjemaah di mana-mana sahaja yang ada menawarkan perkhidmatan skrin jalur lebar dengan sistem suara yang mantap. Apabila selesai cerita, semuanya berpuas hati dan teruja buat kedua kalinya dengan jalan cerita yang begitu menarik dan penuh dengan unexpected events.

Semuanya bercerita mengenai movie itu. Rancak dan penuh girang sambil melakonkan sedikit babak yang ada. Mereka-mereka yang masih belum menontonnya mula berasa tidak senang duduk dan mula merancang bilakah agaknya dapat diluangkan masa untuk melihat Lelaki Besi tersebut.

Jadi sahabat-sahabat yang dimuliakan, marilah kita sama-sama berusaha mencari keseronokan dan kehebatan yang ada pada agama kita supaya kita juga lebih bersemangat untuk menceritakannya kepada orang lain. Walaupun ia hanya sepotong ayat, kalau kita faham betul-betul maksud yang hendak disampaikan, tidak mustahil akan ada yang mungkin terkesan dengan penyampaian kita itu.

Wallahua'laam...

Selamat beramal! =)

Sunday, May 5, 2013

Hidayah Itu Tiada Nilainya di Sempoa

Salam w.b.t.

Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam kalendar tahun 2013 Masihi. Hari di mana rakyat Malaysia akan menentukan siapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan kelak.

Dan sekarang, meniti detik-detik pilihan raya, pasti ramai yang sudah pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi.

Setiap calon yang bertanding mula mempamerkan pelbagai strategi untuk meraih undi rakyat. Salah satu caranya adalah dengan menunjukkan kebaikan calon yang bertanding untuk menarik hati para pengundi memilih mereka sebagai pemimpin.

Tak salah hendak jadi baik. Ia sangat dianjurkan oleh semua agama di dunia ini.

Tapi, nak jadi baik ni, janganlah ia baik yang bermusim semata-mata. Bila ada sebab yang tertentu saja, barulah mula hendak jadi sebaik malaikat. Persoalan kebaikan yang bermusim nie bukanlah hanya terhad kepada politik bahkan meliputi segala aspek hidup kita.

Seseorang pelajar itu perlu menjaga adab dengan guru-gurunya. Keberkatan ilmu itu sangat penting. Kalau cikgu pun tak hormat, macam mana ilmu nak berkat. Apabila ilmu berkat InsyaAllah jalan kejayaan akan dipermudahkan.

Semuanya bermula dari diri sendiri. Menjadi seorang yang sukakan kebaikan bagi saya bersifat individualistik. Bukanlah bermaksud pentingkan diri, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memandu diri sendiri ke arah jalan yang selamat dan bermanfaat.

Suasana ketika zaman sekolah dan zaman universiti berbeza tiga ratus enam puluh darjah tahu? Ada orang zaman sekolahnya cukup menonjol, namun dia hanyut di universiti.

Sebabnya? Dia tak berjaya mengekalkan nilai-nilai yang pernah dia ada suatu masa dulu. Dia tewas dengan cubaan dunia.

Untuk berubah ke jalan yang selamat, jalan yang lurus itu banyak dugaan dan cabaran. Namun menjadi manusia yang berakal dan beramal dengan ilmu yang ada itu tidak mustahil. Ia mungkin, kalau kita menghadirkan rasa insaf dan mahu berubah.

Hidayah itu milik Allah. Kalau Dia nak berikan kepada hamba-Nya, bila-bila masa Dia boleh bagi. Sekali kita mendapat petunjuk-Nya, genggamlah ia erat-erat. Jangan pernah sekali lepaskan ia.

Makanya, jangan tunggu bulan Ramadan saja baru nak mula bertadarus Al-Quran. Kena buat dari sekarang la. Tak lama lagi kita akan sambut Ramadan. Jadi bolehlah mula buat azam dari sekarang perubahan apa yang kita mahukan.

Ramadan yang bakal kunjung tiba, tiada siapa yang tahu adakah dia masih hidup untuk beramal di dalamnya. Masa yang kita ada sekarang itulah kepunyaan kita.

Memetik kata nasihat Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam bukunya La Tahzan, Hari Ini Adalah Milik Anda, esok belum tentu lagi milik kita.

Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia! :-)

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...