Sunday, May 29, 2011

Promorfosis

Salam..

Hijrah, dari sifat yang buruk kepada sifat yang baik.

Dari baik kepada sifat yang lebih baik.

Metamorfosis diri, dari diri sebelum dan sekarang yang kurang matang kepada yang lebih matang.

Mengenali dan memahami tujuan hidup. Bukan hanya nak berseronok, tetapi untuk mencari 'nilai' kehidupan supaya hidup ini tidak disia-siakan.

Berada dalam kalangan manusia yang faham tujuan hidup dan berusaha merealisasikannya benar-benar menenangkan jiwa.

Berada bersama mereka membuatkan diri ini dirasakan terlalu kerdil. Masih banyak yang perlu kau belajar.

Itulah erti kehidupan. Sentiasa berusaha membaiki diri agar bermanfaat kepada orang lain.

Wednesday, May 25, 2011

Ashab-e-Kahf 2


Kisah Ashabul Kahfi yang masyhur itu telah mengajar kita betapa pentingnya akidah dalam kehidupan beragama. Kalau akidahnya sudah mantap datanglah ujian macam mana pun dia boleh hadapi dengan baik. Sebab itulah langkah pertama Rasulullah berdakwah adalah dengan cara menanamkan akidah dalam diri para sahabat supaya agama yang dianuti itu ada asasnya. Bukan hanya diikut membuta tuli sahaja tetapi disebabkan keimanan yang wujud dalam diri.

Kali ini saya ingin berkongsi satu lagi ayat Al-Quran dalam Surah Al-Kahfi yang bagi saya menarik disebabkan keangkeran yang tersirat. Selain ayat-ayat berkenaan neraka yang diharapkan mampu memberi peringatan akan balasan dari Allah, banyak lagi ayat yang mempunyai maksud yang serupa yang berupa amaran keras dari-Nya untuk sama-sama kita fahami dengan hati.

Firman-Nya dalam ayat 18 :

"Dan engkau menyangka mereka sedar padahal mereka tidur dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka."

Kalau berminat tengok cerita, ada satu filem berkenaan Ashabul Kahfi ini, tajuknya Ashab-e-Kahf versi Arab rasanya tetapi sudah dialih bahasa ke dalam bahasa Urdu. Sambil tengok boleh la belajar bahasa lain juga. Bahasa Urdu punya lenggok bahasa yang menarik kalau dengar dengan teliti. =)

Ada satu babak, di mana Maharaja Dikyanus telah pun menjumpai tempat persembunyian 7 sahabat dalam gua tersebut. Maharaja menyuruh tenteranya masuk ke dalam gua untuk memberkas sahabat bertujuh namun usaha mereka ibarat mencurah air garam ke dalam Laut Mati di Jordan. Semuanya gagal. Lalu sang raja yang ego pun cuba masuk ke dalam gua tersebut setelah tenteranya gagal.

Berada dalam gua, barulah raja tahu kail yang digunakannya hanyalah seinci. Timbul perasaan takut dan gerun apabila melihat kumpulan pemuda yang sedang sujud di dalamnya. Bukannya ada gergasi atau jin yang menghalang. Sebaik melihat jasad yang kelihatannya sedang tidur, raja berasa terpukul sehingga ke lapisan bumi yang paling bawah. Perasaan takut yang wujud menghantui dirinya sehingga tiada daya untuk bertindak. Raja terkesima dan terus melarikan diri disebabkan kegerunannya pada Ashabul Kahfi itu. Kenapa raja dan tenteranya tewas begitu saja ? Hanya Allah saja yang tahu kerana Dia yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-hamba-Nya.

Kalaulah kita sendiri yang berada di dalam gua dan melihat sendiri 7 sahabat yang sedang tidur, boleh jadi kita pun akan merasakan kegerunan yang sama. Mungkin juga. Disebabkan kuasa Allah itu sangatlah hebat, manusia yang lemah ini tak mampu untuk bersaing. Tiada siapa pun yang setara dengan-Nya.

Mungkin itulah sebabnya Nabi Musa A.S. pengsan ketika Allah S.W.T. cuba menunjukkan zat-Nya kepada baginda di sebuah gunung.

Dan sebab itu jugalah sebuah gunung yang kukuh itu boleh berpecah dan hancur andai Al-Quran diturunkan kepadanya, disebabkan perasaan takut kepada Allah. Bagaimana beratnya kalamullah yang satu ini sehingga gunung pun boleh hancur. Kalau hati manusia tidak mampu lembut dengan ayat-ayat Allah, ternyata dia lebih keras dari gunung tersebut agaknya.


Sekeras-keras Gunung Everest, lagi keras hati aku !

Surah Al-Kahfi merupakan salah satu surah yang terdapat di dalamnya banyak kisah yang menarik untuk dihayati dan dihadam sebaik mungkin. Mungkin melalui penceritaan, kita akan lebih mudah menghayati surah tersebut di samping memudahkan kita menghafaznya. Bak kata seorang ustaz, kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran semuanya kisah benar belaka. Kisah benar dalam TV itu pun belum tentu dapat dibuktikan kesahihannya.

Jadi, marilah kita merajinkan diri untuk bertilawah Al-Quran dan mentadabbur ayat-ayatnya serta fahami dengan hati dan bukannya dengan akal semata.

Tuesday, May 24, 2011

Betulkan arah kiblatmu


Istiwa A’zam – Kedudukan Matahari Tepat di atas Ka’bah
By Shahmuzir

Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu atau sunnat. Jadi ummat ISLAM mesti memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Ka’bah.

Alhamdulillah, setiap tahun ada 2 waktu yang telah ALLAH subhanahu wata’ala tentukan kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Ka’bah. Fenomena ini dipanggil Istiwa A’zam (Istiwa Utama).


Arah Qiblat boleh disemak dengan tepat ketika Istiwa A'zam

Alhamdulillah, dengan ketentuan ALLAH ‘Azza wa Jalla ini, membolehkan ummat ISLAM di seluruh muka bumi sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menyemak arah qiblat dengan mudah dan tepat. SubhanALLAH…

Bilakah Istiwa A’zam berlaku?

Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:

28 MEI setiap tahun, tepat pukul 5.16 petang, dan 16 JULAI setiap tahun, tepat pukul 5.28 petang.

    Ihsan Falak Online

  • Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak qiblat dengan tepat?


Sebelum

1. Pastikan jam yang selalu dibuat rujukan oleh tuan/puan mengikuti waktu piawai yang tepat. Untuk menentukan ketepatan waktu, tuan/puan boleh memeriksanya dengan SIRIM atau boleh juga merujuk kepada waktu yang terpapar di televisyen atau radio. Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang betul. Justeru, betulkan jam tuan/puan mengikut waktu piawai yang betul.

2. Cari objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen.

3. Pacakkan objek tersebut secara menegak (bersudut 90°) di atas permukaan yang rata.

4. Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut jelas boleh dilihat dengan terang dan jelas.

5. Dan pastikan juga tuan/puan boleh melihat matahari dari kedudukan tempat tuan/puan pacakkan objek lurus tersebut dan tidak terlindung.

6. Tunggu dengan sabar waktu yang disebutkan di atas.


Ketika peristiwa ini berlaku:

1. Perhatikan bayang-bayang yang terhasil dari objek lurus yang dipacakkan tersebut.

2. Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu. (Rujuk gambar di atas)

3. Tandakan arah qiblat.


Selepas

1. Yakinlah bahawa itu merupakan arah qiblat yang tepat.

2. Bersyukurlah kepada ALLAH subhanahu wata’ala yang telah memberikan peluang untuk tuan/puan memeriksa arah qiblat melalui kaedah ini.

3. Hadapkanlah tubuh tuan/puan ke arah qiblat tersebut dengan penuh khusyuk ketika solat fardhu dan sunnat.

4. Mudah-mudahan perkongsian ini bisa memberikan manfaat buat tuan/puan yang mahu mengambil manfaat. Sebarkan, insyaALLAH…

Tuan/puan juga boleh mengambil manfaat dari website Falak Online berkenaan hal di atas atau mendownload PDF file berikut: [KLIK SINI].

WAllahu Ta’ala A’lam.

Shahmuzir Nordzahi

SUMBER 1

SUMBER 2

*************************************************************************************************************************************

Kalau sebelum ini ada kedengaran cerita katanya kejadian gempa bumi di Jepun telah menyebabkan arah kiblat solat telah berubah sedikit. Lepas tu timbul pula cerita piring Astro kalau diperhatikan sebenarnya menghadap ke arah kiblat.

Namun peristiwa Istiwa A'zam ini datang sebagai solusi kepada masalah kiblat. Kalau arah kiblatnya sudah betul maka diharapkan kita lebih yakin dan khusyuk ketika bersolat. Salah satu bukti bahawa Allah sangat ambil berat pada hamba-hambaNya dengan memberi satu panduan dalam beribadah walaupun manusia seringkali lalai dari mengingatiNya.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 :
"..........Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)."

Soal peralihan kiblat sudah wujud sejak dahulu lagi, di mana umat Islam diperintahkan untuk mengubah arah kiblat ke arah Mekah yang mana sebelumnya mereka menghadap ke arah Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Ada yang ikut, ada juga yang bantah.

Semoga solat akan menjadi lebih sempurna dengan arah kiblat yang betul tanpa sebarang keraguan.

Wednesday, May 18, 2011

Bumi bukan sekadar sfera, bahkan lebih dari itu



The iron-cored Earth behaves like a great magnet, generating a huge magnetic field around the planet that protects it from blasts and harmful radiation from the sun.

The recently released NASA visualization above shows this field, called the magnetosphere, as it might look from space.

This view is conceptual, but based on real science observations that have been made since the beginning of the Space Age. The orange and blue lines depict the opposite north and south polarity of Earth's field lines.

The field lines of the magnetosphere are not actually visible to humans, but they can be detected by sensors that count atomic particles — charged protons and electrons moving in the space around Earth.


SubhanaLlah...

The magnetosphere bulges on one side and tapers off on the other because it is pushed in on the side facing the sun by the solar wind and stretched out in the Earth's shadow. The solar wind is a stream of high-speed particles flowing out from the sun and carrying the signature of its own magnetic field.

Like the ozone layer, the magnetosphere is important to life on Earth because it protects us from most of the harmful radiation and hot plasma from the sun, deflecting it into space.

The interaction of solar flares and other emissions from the sun with the magnetic field can disrupt radio transmissions and damage satellites in a phenomenon known as space weather. They can also produce beautiful auroras.

Source

************************************************************************************************************************

Sekecil-kecil bumi, lagi kecil manusia pada pandangan Allah. Dari gambaran di atas tu pun kita boleh fikir sendiri, agak-agak di mana aku berada sekarang di bumi pada gambar di atas tu. Macam negligible kan ? hu3... Tapi Allah sudah berjanji, mereka yang punya iman dan takwa yang lebih dipandang dan diangkat martabat-Nya, bukanlah paras rupa mahupun harta benda. Sesungguhnya, yang paling baik ialah mereka yang bertakwa.

Ibarat melalui jalan yang penuh dengan duri. Pasti kita akan berhati-hati ketika melalui jalan itu supaya kaki tidak tercedera atau luka. Maka itulah dia takwa. Sama-sama kita usaha untuk menjadi hamba yang bertakwa. (",)

Monday, May 16, 2011

Pekena satu mesti nak lagi...


Sudah lama rasanya nak tulis sebab ada sahabat yang bertanyakan saya berkenaannya. Jadi kali nie saya nak cerita sikit sesuatu yang ada kaitan dengan makanan, dan ianya memang sejenis makanan pun.

Santan Pulut Daun Pandan. Itulah dia nama makanan yang saya nak ceritakan kali nie. Unik bukan namanya ? Saya yakin anda pasti tertanya-tanya dan ingin tahu dengan lebih lanjut lagi. Santan Pulut Daun Pandan seindah namanya begitu memukau sesiapa yang mengenal erti sebenar di sebalik nama yang diberi. aisey...

Ok..ok..saya teruskan lagi.

Santan Pulut Daun Pandan nie boleh juga kita panggil ia sebagai SPDP. Itu nama pendeknya. SPDP ini mempunyai keunikannya tersendiri di samping namanya yang berstatus nama khas. Dan ianya antara makanan petang yang enak di Karad..(apa ? kat karad ?)

apa ? kat Karad ? bior benor nie..

Ya. Betul la. Santan Pulut Daun Pandan boleh didapati di Karad. Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakannya juga senang didapati dan murah. Bahan tadilah sebenarnya yang memberikan kekuatan kepada keenakan Santan Pulut Daun Pandan. Di sinilah letaknya satu lagi keunikan makanan ini.

Kalau anda fikir santan, pulut dan daun pandan diperlukan, ternyata anda silap percaturan. Tak perlu pun. Sebab itulah ianya mudah didapati di sini lantaran para penjualnya tidak perlu susah-susah mencari daun pandan. Logik la kan. Bak kata pepatah, 'Don't judge a book by its author.' Jadi janganlah kita mudah terpengaruh dengan agenda yang dimainkan oleh nama atau pangkat atau apa saja.

Jom kita tengok dulu macam mana rupanya Santan Pulut Daun Pandan ini. Barulah dapat sedikit gambaran macam mana la rupanya.



nampak tak kuahnya ?

Macam yang kelihatan, bahan yang diperlukan ialah keropok rangup sebagai acuan untuk menempatkan isi-isi di dalamnya. Selepas itu, kentang putar yang pedas dimasukkan ke dalam acuan itu. Kemudian sejenis manisan dan cili yang dikisar pula dicampurkan ke dalamnya. Serbuk jintan dan serbuk cili pula ditabur di atasnya. Maruku halus kemudiannya ditabur sama rata. Selepas itu dimasukkan pula santan (eh, perlu santan jugak la..), bawang besar yang dipotong kecil dan akhir sekali ditabur daun ketumbar sebagai pelengkap kepada hidangan.

Bagaimana ? Berkhasiat bukan. Bahan-bahan yang digunakan kebanyakannya daripada kategori sayuran. Penyediaannya juga tidak memerlukan sebarang bentuk aktiviti menggoreng. Ianya ringkas dan cepat. Walaupun ringkas tapi ternyata berbaloi untuk menghabiskan sepinggan Santan Pulut Daun Pandan tersebut.

Kalau teringin maka kenalah jejakkan kaki di sini dan rasa sendiri. Nak buat sendiri di rumah pun boleh sebab senang saja nak dapatkan bahan-bahannya. Yang penting kita berani mencuba dan merasa. Sebab kalau tak cuba sendiri sampai bila-bila pun takkan tahu potensi diri. Kan3.

Selesai sudah perkongsian kali ini mengenai Santan Pulut Daun Pandan. Semoga bertambah lagi pengetahuan tentang makanan tempatan di sini. Makan makan juga. Ibadah jangan ditinggalkan. Perlu ingat, apa niat kita makan. Makan dengan niat tambah tenaga untuk beribadah, maka dapatlah kita pahala. Jadilah perbuatan makan itu suatu ibadah. Lagi chantek kalau makan ikut sunnah Nabi. Kenyang dapat, pahala ikut sunnah pun dapat. Peluang ada di hadapan kita. Cuma tinggal kita nak rebut atau tak saja.

Semoga segala yang kita lakukan itu mendapat ganjaran di sisi Allah s.w.t.

p/s : Nama penuh SPDP ialah Shev Puri Dhai Puri. Ia merupakan sejenis snek petang yang murah dan berpatutan. Mendapat sambutan yang agak menggalakkan dalam kalangan pelajar. peace (^_^)

Sunday, May 15, 2011

Asy-Syifaa' Bilaa Dawaa'


Perubatan tradisional atau berubat kampung merupakan salah satu ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit selain perubatan moden. Sesetengah orang lebih suka berubat secara tradisional tanpa menggunakan ubat-ubatan (baca : dadah) yang berlambakan di pasaran ibarat cendawan tumbuh selepas hujan gayanya. Mereka berpendapat penggunaan ubatan tersebut boleh mendatangkan kesan sampingan pada tubuh badan. Jadi ramai yang lebih suka mengamalkan pengambilan herba-herba bersifat semulajadi yang dikatakan tidak berbahaya dan tiada kesan sampingan.

Bidang perubatan nampaknya semakin berkembang, dengan kewujudan pusat perubatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai kaedah rawatan. Selain pusat rawatan Darus Syifa' yang dipelopori oleh Dato' Dr. Harun Din, orang ramai turut berpeluang mendapatkan rawatan alternatif tersebut di Syifa Al-Hidayah di mana Asyraf Muslim merupakan salah seorang pengamal perubatan Islam di situ.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa tidak semua kaedah perubatan itu bergantung kepada pengambilan ubat dan pembedahan semata-mata. Kaedah rawatan menggunakan Al-Quran sudah pun diamalkan oleh baginda Rasul sejak dahulu lagi. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga hubungan dengan Allah selaku Penyembuh yang sebenarnya. Boleh jadi setiap penyakit yang berlaku itu disebabkan oleh masalah hati yang sentiasa dicemari dengan sifat-sifat mazmumah sehingga dizahirkan oleh tubuh badan yang lemah.

Menyentuh mengenai kaedah perubatan yang pelbagai, kita harus pandai membuat pilihan. Jadilah pengguna bijak. Kita juga boleh mencontohi kaedah perubatan yang telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. yang ternyata mengandungi hikmah dengan izin Allah. Siapa lagi yang patut kita contohi selain tokoh yang hebat ini.

InsyaAllah, saya akan berkongsi dengan anda kaedah perubatan yang Nabi gunakan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Apakah petua atau rahsia yang baginda amalkan dan hikmah yang terkandung melalui kaedah tersebut. Kita sedia maklum, baginda Rasul bukan sahaja seorang ahli politik yang hebat bahkan juga ahli dalam bidang perubatan. Sedangkan dalam hal makanan pun baginda ada berpesan supaya berhenti sebelum kenyang yang merupakan antara tips untuk kekal sihat.

Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tunggu. Semoga kita dapat berkongsi ilmu dan mengamalkan apa yang baginda tinggalkan sebagai khazanah yang berharga buat kita umat akhir zaman...(",)

Ashab-e-Kahf 1


Tercatat sudah dalam sejarah
7 pemuda yang beriman
melarikan diri ke dalam gua
demi menyelamatkan iman

Kisah Ashabul Kahfi yang terkenal dengan keteguhan iman para pemudanya sehingga Allah merakamkan kisahnya dalam Al-Quran. Kita sedia maklum bagaimana pemuda-pemuda Al-Kahfi itu begitu teguh dan berani mempertahankan akidah mereka terhadap Tuhan yang Satu (monotheism) dan bukannya berpaksikan banyak Tuhan (polytheism).

Pemerintahan pada masa itu adalah di bawah Maharaja Duklityanoos(Dikyanus) yang sangat kejam dan tidak bertimbang rasa. Menantunya merupakan salah seorang daripada 7 pemuda yang beriman tersebut. Timbul perasaan sangsi dalam dirinya berkenaan Tuhan yang banyak itu, apakah ia benar-benar wujud seterusnya beliau mengakui kewujudan Tuhan yang Esa, Tuhan langit dan bumi. Tiada sebarang penyesalan atau tindakan untuk menarik diri dari kepercayaan yang satu itu.

Walaupun masyarakat pada ketika itu begitu setia pada sang raja, namun para pemuda itu tidak gentar untuk menyatakan pendirian mereka yang sudah nyata mengundang kemurkaan raja. Mereka tunduk dan patuh serta berserah diri kepada Tuhan yang Satu sekalipun mengetahui hukuman yang bakal diterima dan tohmahan dari masyarakat yang mengatakan mereka telah sesat dan wajib bertaubat.

Ketika mereka berhadapan raja yang sombong itu, Allah telah mengukuhkan hati mereka sepertimana yang diceritakan dalam Surah Al-Kahfi, ayat 14 :

"dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri (menghadap raja yang zalim dan sombong itu) lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Bayangkan bagaimana reaksi raja dengan tindakan pemuda-pemuda tersebut. Sudah mesti beliau berasa tercabar. Maruahnya jatuh menyembah bumi. Egolah sangat, sekarang baru dia tahu siapa yang lagi tinggi egonya. Tambahan pula menantunya turut sama menjalankan penentangan terhadap penyembahan Tuhan yang banyak itu yang sudah dilakukan generasi demi generasi. Satu tamparan hebat pada sang raja dari golongan pemuda.

Itu pemuda pada zaman dahulu. Zaman di mana Al-Quran belum pun diturunkan. Zaman sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Lihatlah bagaimana teguhnya mereka mempertahankan keimanan walaupun diancam dengan hukuman mati. Lebih baik mati daripada hidup di dunia yang penuh dengan kemaksiatan kerana kematian dalam beriman itu adalah tindakan yang sangat mulia.

Bagaimana pula dengan pemuda zaman sekarang ? Rasa-rasanya sama adakah kita menyamai mereka pemuda Al-Kahfi itu. Kita sudah diberikan Rasul sebagai contoh ikutan dan kitab Al-Quran sebagai panduan bagaimana hendak menjadi hamba yang Tuhan redha. 2 nikmat yang sangat besar namun sayangnya tak semua dari kita yang memanfaatkannya dengan baik.

Kenapa golongan pemuda yang menjadi peranan penting dalam kisah tersebut ? Andai golongan tua yang menjadi watak utama, adakah anda rasa penentangan mereka berjaya. Bolehkah mereka menjatuhkan ego raja yang zalim itu ? Impaknya tidaklah begitu besar dan mungkin mereka akan kembali kepada agama asal.

Bertitik tolak dari kisah yang terkenal ini (dan harapnya ramai yang tahu), saya harap kita semua para pemuda pemudi bangkit dan sedar tugas utama kita di dunia ini. Generasi mudalah yang merupakan agen perubahan dan tulang belakang untuk menyebarluaskan agama yang mulia ini. Sementara tubuh masih kuat dan bertenaga, apa salahnya kita menyumbang sesuatu yang berguna untuk orang lain. Boleh jadi usaha kita kecil namun di sisi Allah siapa yang tahu.

Marilah kita mencontohi pemuda Al-Kahfi agar kisah mereka menjadi satu inspirasi kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun kisah mereka sudah berlaku beribu-ribu tahun dahulu (mungkin lebih lama lagi), semangat mereka masih segar sampai ke hari ini dan harus kita abadikan dalam segala kegiatan yang kita lakukan supaya kita boleh mengulangi sejarah kegemilangan umat terdahulu yang sentiasa mendapat keberkatan dan bantuan dari Allah s.w.t.



Tuesday, May 10, 2011

Jom tengok angin sepoi-sepoi bahasa



Naik angin, makan angin, buang angin.

Ketiga-tiganya mempunyai persamaan yang ketara. Kalau dalam bentuk set, kita boleh katakan ada kesatuan set antara ketiga-tiga entiti di atas. (ingat lagi matematik moden @ math mod..??) hehe

Ok lah. Biar saya yang bagi jawapannya sebelum a
nda membuat tekaan yang salah. Kalau nak tahu, ketiga-tiganya ada menggunakan perkataan angin. (laa...yang tu ja ka...ingat apa la tadi..buat saspen ja hang nie..)

Sabar2..jangan naik angin pulak ya..ini baru mukaddimah..(",)

Angin, salah satu bukti kekuasaan dan kehebatan Allah. Zahirnya tak dapat dilihat oleh manusia namun dapat dirasakan kehadirannya. Kalau hendak difikirkan logik akal, memang takkan tercapai bagaimana sesuatu yang tak berwarna, tak dapat dilihat oleh mata kasar itu dapat dibuktikan kewujudannya. Sememangnya akal manusia itu sangat terbatas dan tak mampu memikirkan sesuatu yang di luar logik semata.

Setiap ciptaan Tuhan itu mempunyai maksud yang tertentu. Kalau penciptaan angin itu sendiri dianggap ajaib, kita harus memikirkan siapakah pencipta kepada angin itu sendiri. Kalau ada ciptaan, semestinya ada penciptanya. Kalau yang dicipta itu hebat, maka sang pencipta itu mestilah lagi hebat dan agung. Tiada siapa pun yang mampu menandingi kehebatan sang pencipta. Mampukah manusia mencipta angin, tanpa bantuan
kipas angin ?

Ada satu kisah yang menceritakan perihal seorang hamba Allah ini bertanyakan mengenai kewujudan Tuhan. Lalu dia pun ditampar seterusnya ditanyakan di manakah sakit itu ? Dia mengatakan di pipinya padahal itu merupakan tempat sakit, bukan sakit itu sendiri. Nah, susah nampaknya untuk menerangkan sesuatu yang tak dapat dilihat melainkan kita sendiri yang merasainya.


Angin bila besar menjadi taufan.


Kewujudan angin mungkin boleh disamakan dengan kewujudan Allah. Namun perlu diambil perhatian, salah satu sifat bagi Allah ialah bersalahan dengan yang baharu, yakni sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk. Cuma dalam entri kali ini, untuk memudahkan pemahaman maka saya menggunakan contoh ini.

Angin, seperti yang disebutkan pada awalnya merupakan ciptaan yang tidak dapat dilihat dek mata kasar, tapi ia wujud. Buktinya pokok-pokok itu kelihatan meliuk-lentuk ditiup angin seolah-olah cuba berbicara dengan kita. Semacam ada sesuatu hendak disampaikan. Bagi mereka yang merasakan kewujudan angin, mereka pasti mengiyakan bahawa angin itu wujud. Kerana apa ? Kerana mereka sudah merasakan kesejukan yang dibawa oleh angin.

Begitu jugalah bagaimana kita mengakui kewujudan Allah selaku pencipta yang agung. Jisim-Nya memang tak dapat dilihat. Kalau difikirkan logik, sesuatu yang tidak dapat dilihat itu maknanya tiada wujud ia. Namun wujudnya Allah itu bukanlah ditentukan melalui pertimbangan akal sebaliknya melalui pertimbangan iman kita. Imanlah yang membenarkan keberadaan Allah sebagai Al-Khaliq. Perlunya kita untuk merasakan kewujudan Allah melalui ciptaanNya yang sangat banyak di dunia ini. Dan angin salah satu contohnya.

Maha Suci Tuhan yang menciptakan sesuatu itu tanpa sia-sia sebaliknya satu pengajaran bagi mereka yang berfikir.

Wallahua'laam..

p/s : Cikgu Shamsul yang pernah mengajar matematik dan bahasa melayu semasa sekolah rendah pernah bertanyakan kami, "Cuba tunjuk tengok macam mana yang dikatakan angin sepoi-sepoi bahasa ?". Satu kelas terdiam. No idea. Nak kata suasana itu tidak patut digunakan dalam karangan. Sekarang tak pasti adakah sudah boleh digunakan.peace...

Saturday, May 7, 2011

Menilai Diri

Salam..

Entri pertama bagi bulan ini setelah sekian lama tidak mencoret di blog ini. Pada waktu ini saya masih dalam bas, dalam perjalanan pulang ke Karad setelah 3 malam 'bercuti' di Davangere. Cuti yang penuh dengan pengisian rohani untuk menyedarkan saya yang masih 'tidur lena' ini supaya bangkit untuk membaiki diri sendiri ke arah yang diredhai Allah.

Sememangnya pengorbanan itu sesuatu yang perlu untuk mendapat apa jua yang kita inginkan. Kalau nak cemerlang dalam 'exam' misalnya, kenalah korban masa untuk 'study' sebaik mungkin. Duit pun kena keluar juga untuk membeli buku. Tipulah kalau ada orang tu berjaya tanpa perlu dia membaca buku.

Kita sanggup berkorban masa untuk 'study' walau sesusah mana pun ia. Kita yakin usaha itu seiring dengan kejayaan dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Apabila kejayaan datang macam yang dinginkan, segala penat lelah sebelum itu seolah-olah terus hilang begitu saja. Ibaratnya keperitan seorang ibu ketika melahirkan anaknya. Segala kesakitan dan kesusahan terus dilupakan apabila melihat bayi yang dikandung selamat dilahirkan. Hanya mereka yang berkorban saja tahu nilai pengorbanan yang dilakukan itu.

Begitu jugalah ertinya ketika kita berusaha mengislah diri ini. Nak jadi baik kenalah ada pengorbanan dalam hidup. Korban masa, wang ringgit, tilam yang empuk dan bilik yang berdingin hawa contohnya.

Segala kemudahan yang kita dapat itu merupakan satu ujian dari Tuhan. Sangkanya Tuhan sayang dengan kita padahal nikmat yang melimpah ruah itulah yang seringkali menjauhkan kita dariNya.

Setiap pengorbanan itu akan menjadi sesuatu yang bermakna dan ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat mahal. Susah untuk diceritakan dan takkan sama dengan apa yang kita baca sehari-hari.

Kita sudah lama tidak makan durian. Setiap hari kita menyimpan duit dengan azam untuk membeli buah durian. Terkadang terpaksa kurangkan perbelanjaan harian untuk memastikan simpanan mencukupi. Bila duit dah cukup, kita pun pergi membeli buah durian tersebut dengan riangnya. Setelah dikopek kulitnya, ulas-ulas buah itu dimakan satu demi satu. Isinya yang lembut dan rasanya yang sedap itu telah 'menghilangkan' kesusahan kita sebelum ini yang terpaksa berjimat dalam berbelanja. Itulah mahalnya pengorbanan dan pengalaman yang kita dapat.

Akhir kalam, bukan senang nak senang. Perlunya kita bersusah payah dahulu untuk mendapat sesuatu yang istimewa dan berkekalan. Dari situlah kita dapat merasa dan menilai begitu bermaknanya hidup di dunia ini.

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...