Tuesday, December 31, 2013

How To Boost Your Brain to Einstein's?

Salam w.b.t.

Salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan otak kita adalah dengan belajar perkataan-perkataan baru setiap hari. Satu perkataan sehari, dan tahu cara penggunaannya yang betul.

Bahasa rasmi kita sendiri pun tak semua perkataan yang kita tahu apa maksudnya dan bagaimana cara penggunaannya yang betul. Sungguh, Allah Maha Kuasa, betapa di dunia ini ada 1001 macam bahasa walaupun lidahnya serupa bagi setiap orang.

Belajarlah bahasa asing untuk tingkatkan memori otak. Setiap perkataan yang baru kita belajar, pasti otak akan sentiasa bekerja, lebih banyak synapse yang berlaku, lebih cekap kita berfikir.

Apabila dari muda lagi kita sentiasa menggunakan otak, insyaAllah kita tidak akan menghadapi masalah 'dementia' atau masalah lupa di usia emas nanti.

Jadi, bermulalah dari sekarang!

Monday, December 30, 2013

Angin Merah


Salam w.b.t.

"BUZZZzzz..."

Hensetku bergetar menandakan ada mesej baru masuk. Lalu aku pun keluarkan henset dari poket dan membaca mesej yang dihantar oleh adikku.

"Nak tanya nie..tiba2 badan abah sebelah kanan semua krem x leh gerak..cakap pun x boleh..pasaipa hah??

Sebaik saja aku baca mesej itu, satu saja diagnosis yang mula bermain-main dalam fikiran. Stroke, atau orang kita panggil 'angin ahmar'.

Abah memang mempunyai tekanan darah yang sangat tinggi sebelumnya dan bergantung kepada ubat hospital untuk menstabilkan tekanan darahnya. Mungkin disebabkan ubat yang tidak diambil mengikut masa, maka berlakulah komplikasi stroke tersebut. Tekanan darah melampau yang tidak dikawal memang menjadi sebab kepada berlakunya stroke attack.

Beliau juga mempunyai simptom sebelah badan yang tidak boleh digerakkan. Ini juga merupakan salah satu ciri serangan angin ahmar.

Aku terus menasihatkan mereka supaya membawa abah melakukan pemeriksaan kesihatannya itu. Aku kira, pemeriksaan ketika berlakunya apa jua penyakit yang datang mengejut (acute) lebih afdhal dilakukan tanpa sebarang penangguhan kerana simptom ketika itu lebih reliable. Dan diagnosis sudah pasti akan lebih tepat berdasarkan simptom yang ada.

Setelah pemeriksaan dilakukan, memang benarlah ia merupakan serangan angin ahmar yang sering berlaku kepada mereka yang berada dalam usia emas.

Doktor menasihatkan abah dimasukkan ke wad untuk beberapa hari supaya pemantauan boleh dilakukan oleh pakar. Aku yakin dengan keputusan itu kerana abah sememangnya perlukan rehat yang cukup. Perlu ada suasana yang tenang untuk membantu penyembuhan dirinya itu.

Hari ini, kesihatan abah sudah semakin baik. Tangan dan kakinya sudah boleh digerakkan semula. Namun, beliau masih tidak cukup kuat untuk berjalan sendiri dan perlu dipimpin oleh orang lain. Setiap hari, fisioterapi perlu dilakukan untuk mengembalikan fungsi otot kaki dan tangan seperti sediakala.

Syukur alhamdulillah..

Aku hanya mampu mendoakannya dari jauh sahaja. Mahu sahaja aku pulang ke tanahair, namun masih ada lagi tugas di sini yang belum selesai. Ada lagi jiwa-jiwa yang terlantar di sini yang memerlukan khidmat aku. Semoga aku dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan penuh komitmen terhadap pesakitku.

Pun begitu, aku tetap bersyukur sebab aku punya adik yang setia menjaga abah di rumah. Terbit juga rasa cemburu di hati kerana mereka dapat peluang untuk berbakti kepada orang tua, sesuatu yang wajib ada dalam rutin hidup seorang anak.

Aku juga punya sanak saudara yang tidak jemu meringankan beban keluargaku di sana. Sahabat handai abah pun ada datang melawat juga, baik yang jauh mahu pun yang dekat. Terima kasih aku ucapkan kepada kalian. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.

Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi yang ingin pergi berperang bersama Baginda. Permintaannya ditolak memandangkan dia masih punya ibu dan ayah yang lebih utama untuk dijaga. Ini membuktikan betapa tanggungjawab menjaga mak ayah itu lebih tinggi prioritinya.

Kata Kak Fynn, tengok wajah kita di cermin pasti akan ingatkan kita pasal mak ayah
Kata aku, tengok saja steto nie pasti akan ingatkan aku pasal asal-usulku.. hehe
 

Mungkin medan amalku adalah kepada ibu-ibu atau bapa-bapa di sini. Jadi aku juga perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka sebagaimana aku inginkan layanan yang terbaik buat ibu dan abahku daripada orang lain.

Akhir kalam, kepada yang masih ada ibu dan ayah, kepada yang masih boleh menatap wajah mereka secara live, layanlah mereka sebaik yang mungkin. Hidup kita ini tidak lama sebenarnya dan sentiasa akan ada kejutan. Jadi buatlah persiapan kerana hidup ini bukan sekadar untuk berseronok melainkan ia tempat untuk kita diuji dengan bermacam ujian. Dunia ini medan ujian, keputusannya akan diketahui suatu masa nanti.

Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Wassalam...

Saturday, December 28, 2013

Rumahku, Bilik bersalinku...


Salam w.b.t.

Saya pernah memberitahu sebelum ini bahawa saya akan berkongsi cerita-cerita suka duka dunia medik di Aku & Stetoskop sahaja. Namun, sejak akhir-akhir ini, banyak pula isu yang timbul yang saya kira saya cukup sedih dan marah apabila membaca mengenainya. Entah kenapa, pada zaman yang serba moden ini, masih ada segelintir daripada masyarakat yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat daripada golongan yang lebih ahli dalam bidang itu.

Maka, saya kira perlu untuk saya kongsikan pendapat saya di sini mengenai isu yang dibangkitkan tersebut supaya masyarakat dapat membuat pilihan yang lebih bijak pada masa akan datang.


Ibarat kain putih yang membaluti tubuh mereka di saat mereka lahir ke dunia.


Apa yang akan saya kongsikan sedikit sebanyak telah pun dihuraikan secara panjang lebar oleh doktor-doktor yang sedang bekerja sebagai HO di tanahair. Banyak kisah pengalaman mereka yang saudara/saudari boleh baca dan ambil iktibar daripada kisah tersebut.

1. Isu doktor lelaki di bilik bersalin.

Salah satu isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan bakal ibu di negara tercinta. Saya tidak kata semua bakal ibu, cuma sebahagian dari mereka. Oh, isu vaksin itu pun cuma sebahagian dari masyarakat juga, bukan semua ibu bapa yang menentangnya. Takut pula disalah tafsir kemudian hari.

Kebetulan saya sedang dalam posting di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology/OBG). Maka saya rasa terpanggil untuk turut berkongsi sesuatu di sini mengenai isu 'haramnya' doktor lelaki di bilik bersalin.

Setiap doktor, baik lelaki mahu pun perempuan harus menguasai semua disiplin ilmu yang ada dalam bidang perubatan, termasuklah bidang yang berkaitan wanita. Tiada alasan yang boleh diberi. Sekurang-kurangnya, setiap doktor perlu ada kemahiran untuk assist kelahiran bayi. Dan semasa assist tu, mestilah kita akan dapat tengok macam mana doktor senior sambut bayi tu. Dari situ pun kita dah boleh belajar sesuatu mengenai kelahiran bayi secara normal.

"Maaflah, den tak pernah pun sambut baby.."

"Macam mana ghupa crowning tu ek?.."

Habis caca merba satu bilik bersalin tu bila doktor lelaki yang bakal menamatkan zaman HOnya pun tak tahu macam mana nak manage pesakit di bilik bersalin. Ada sebahagiannya yang request nak doktor perempuan saja la sewaktu bersalin, tapi aurat di wad pula yang tak dijaga. Apa ceritanya nie?

Kalau nak request doktor perempuan juga, simpanlah duit cukup-cukup pastu pergilah bersalin di hospital swasta ka. InsyaAllah boleh dapat. Kalau di hospital kerajaan tu, kenalah banyakkan berdoa minta Allah bagi doktor yang terbaik semasa bersalin tu.

Boleh baca di sini untuk kes-kes kecemasan semasa bersalin.


2. Isu bersalin di rumah. (Natural birth, AMANI birth, lotus birth)

Ini pun satu lagi isu yang buat saya panas hati dan sedih. Tambahan pula, minggu lepas berlaku satu kes kematian ibu yang melahirkan anaknya di rumah tanpa pengawasan doktor yang berpengalaman. Cuma pemantau (doula) yang menjadi peneman saat melahirkan anak tersebut. Berlaku komplikasi, akhirnya ibu pergi meninggalkan anaknya untuk menghadap Ilahi..huhu..

Si doula boleh pula kata setiap kematian itu sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Ini qada' dan qadar. Ini memang statement untuk melepaskan diri. Padahal kita ada dua pilihan, pilihan yang baik (yakni memelihara nyawa) untuk kita ikut dan pilihan yang buruk untuk dijauhi. Memang saya marah dengan kenyataan si pemantau yang nampak sangat nak lepaskan dirinya dari segala tanggungjawab. Haish...

Tempat yang paling selamat untuk bersalin, semestinya di hospital/klinik. Sebab apa? Kemudahan ubat, alat-alatan yang di hospital tanahair, saya kira sudah serba cukup. Doktor yang bertugas pula pasti mempunyai ilnu yang cukup, paediatrician yang standby untuk handle bayi yang dilahirkan, atau resuscitate bayi yang bermasalah. Semuanya sudah ada. InsyaAllah, ibu dapat melahirkan anak tanpa sebarang komplikasi.

Kalau tak reti bersyukur jugak, datanglah ke sini. Mai tengok macam mana keadaan wad dan bilik bersalin di sini, tempat saya sedang bertugas ini. Pastinya kalian akan rasa bersyukur dengan hospital di tempat kita. 

Namun, ada sebahagian daripadanya yang memilih kaedah bersalin di rumah sahaja. Ada antaranya yang sudah berpengalaman melahirkan anak di rumah. Jadi, mereka rasa di rumah lagi selesa. Kot la. Tak payah ke hospital pun tak apa. Kat rumah sebelum nie ok ja.

Saya pun tak tahu la macam mana nak hadapi golongan macam nie sebab saya belum lagi bekerja di tanahair. Setakat yang saya tahu, di sini kalau kita suruh pesakit admit di wad, mereka tidak akan membantah.

Pernah suatu masa dahulu, semasa practical exam untuk subjek Paediatrik (Kanak-kanak), saya ditakdirkan Allah mendapat kes Cerebral Palsy. Ini berkaitan sistem saraf (Nervous System) yang mana tiada siapa pun mahu mengambil risiko untuk membentangkan kes tersebut, namun Allah telah pilih saya akhirnya untuk kes itu.

Daripada history pesakit, rupanya dia dilahirkan di rumah dan dibantu oleh bidan sahaja. Semasa kecil, berlaku jangkitan pada dirinya sehingga menyebabkan kecacatan otak yang kekal. Seingat saya juga, ibunya sudah meninggal dunia ketika itu (tahun lepas) dan ibu saudaranya yang menjaganya di wad. Sedih pula dengan kisah hidup pesakit itu. Entah bagaimana nasibnya ketika ini.

Untuk info lebih lanjut tentang hukum home birth, boleh rujuk di sini.

Panjang pulak coretan kali nie. Itulah serba sedikit apa yang saya rasa tentang isu yang melibatkan para doktor di OBG Department. Semoga segala pencerahan oleh doktor-doktor yang pakar tersebut boleh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengubah persepsi mereka terhadap isu bersalin ini.

Kita kena sedar, betapa tabahnya pakar OBG wanita yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka demi menyelamatkan nyawa ibu yang segender dengan mereka serta nyawa bayi dalam kandungan. Nak handle pesakit sama gender nie, terkadang boleh jadi emosi jugak tau sebab mereka faham apa perasaan pesakit itu, keperitan dan kesakitan ketika melahirkan anak.

Itulah dia pengorbanan para doktor di bilik bersalin di Hospital, baik kerajaan mahu pun swasta. Jangan kita ego, dan tidak menghargai jasa mereka itu.

Sekian sahaja buat kali ini.

Saya memohon maaf andai ada terkasar bahasa kepada sesiapa yang berkenaan. Tiada niat untuk menyindir siapa-siapa, cuma untuk meluahkan apa yang terbuku di hati setelah sekian lama. Saya cuma manusia biasa, yang masih sedikit ilmunya, yang masih bertatih untuk menyambut bayi, yang masih perlu banyak belajar lagi. Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.. (",)

Wassalam....

Thursday, December 19, 2013

Seorang Ibu Yang Tabah


Salam w.b.t.

Katanya pada zaman sekarang, ramai yang memilih untuk melakukan pembedahan Caesarean ( Caesarean section/ C-sec/CS) semasa hendak bersalin. Ibu saudara saya turut mengatakan benda yang sama juga. Kerana apa? Sebab ibu atau bakal ibu tersebut tidak tahan dengan kesakitan ketika melahirkan anaknya itu. Lalu, mereka lebih rela memilih alternatif pembedahan untuk mengelakkan rasa sakit ketika bersalin.

Bersalin memang suatu yang sangat menyakitkan. Saya yang sedari awal berada di Labour Room sebelum bayi keluar pun kesian tengok para ibu yang terpaksa mengerah tenaga untuk meneran (bear down/push) semasa proses kelahiran itu.

Namun percayalah wahai ibu-ibu sekalian, terutamanya yang Muslim, betapa banyak pahala yang ibu-ibu dapat disebabkan ketabahan dan kesabaran ibu semasa bersalin. Lelaki belum tentu dapat menahan kesakitan yang sama.

Memanglah bersalin melalui pembedahan tu tak la sakit mana pun. Namun, komplikasi selepas pembedahan lebih banyak berbanding bersalin secara normal. Luka yang perlu dijaga juga kecil dan cepat sembuh kalau kebersihan diri dijaga sebaik mungkin.

Apa-apa pun, pilihan di tangan masing-masing. Buatlah pilihan yang bijak. Buat ibu yang memilih kelahiran secara normal, anda sememangnya seorang yang sangat kuat dan gagah kerana, pain threshold anda sangatlah tinggi (kata seorang rakan saya di fb) hehe


Monday, December 16, 2013

Ujian seorang doktor

Salam w.b.t.

Seseorang doktor itu pasti akan selalu menasihatkan pesakitnya supaya menjaga cara pemakanan yang betul, kena selalu bersenam, ambil ubat pada masanya dan lain-lain lagi.

Namun, doktor itu juga kadang-kadang tidak melakukan apa yang dinasihatkan kepada pesakitnya. Sedangkan doktor harus menjadi role model kepada pesakitnya.

Disebabkan kesibukan bekerja, dan masa bekerja seminggu ditambah kepada 75 jam, makin lewatlah waktu makan malamnya. Huhu

Doktor juga selalu kena bagi motivasi kepada saudara pesakitnya yang bimbangkan kesihatan ahli keluarga mereka.

"Banyakkan bersabar. Doalah pada Allah. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja..."

Ahli keluarga mendengar dengan penuh harapan supaya pesakit kembali sembuh seperti biasa.

Tengok-tengok, esoknya pesakit tersebut sudah pun meninggal dunia. Sehebat-hebat doktor pun tak boleh lawan qada' dan qadar.

Namun, bila si doktor pula diuji apabila ahli keluarganya sakit dan dimasukkan ke wad, fahamlah dia bagaimana perasaan pesakit yang pernah dinasihatinya sebelum ini. Dia pula yang kena belajar ilmu sabar dan tabah untuk menghadapi ujian hidup ini.

Asyik nasihat orang saja, sekali kena pada diri sendiri, mulanya rasa berat. Tapi lama kelamaan kita pasti akan dapat semangat balik.

Kesihatan itu, bila-bila masa Allah boleh ambil sekejap. Kalau kena uji, memang kena sabar banyak-banyak.

Manusia itu kan sifatnya sementara, cuma Allah yang Maha Kekal...

Wednesday, December 11, 2013

Setelah 2 Minggu

Salam w.b.t.

Mulai esok, suasana di hostel akan bertambah sunyi dan sepi. Junior-junior yang sudah habis final exam akan pulang bercuti esok hari. Semuanya mengukir senyuman di bibir, tanda tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah air.

Musim exam merupakan musim yang penuh dengan stress. Tambahan pula kalau seseorang itu di tahun akhir. Setiap subjek yang diambil berat-berat belaka, baik berat dari segi ilmunya mahu pun berat fizikal buku yang tebal amat.

Pasca exam, segala tekanan hilang, terbang ibarat debu-debu yang ditiup angin. Suatu beban yang berat seakan sudah terlepas dari tanggungan. Wajah mula mempamerkan keceriaan dan kelegaan yang tak terkata. Aras endorphin dalam badan mula meningkat naik disusuli penurunan adrenaline mahu pun noradrenaline, saudara kembarnya.

Baru-baru ini timbul pula isu hanya doktor perempuan di bilik bersalin yang mendapat banyak respons dari ramai orang.

Kebetulan pula, saya sedang berposting Obstetrik & Ginekologi selama 2 bulan. Posting terakhir program internship.

6 minggu berbaki, banyak yang telah saya belajar dan ia suatu yang penting untuk setiap doktor tahu bagaimana untuk mengendalikan pesakit yang mengandung.

Lain kali la saya ulas sedikit mengenai isu ini. Saya kira sudah banyak blog atau artikel yang membincangkan isu ini dengan lebih terperinci.

Salah satunya di blog ini.

Till then.

Wassalam...

Friday, November 29, 2013

Bacalah dengan Nama TuhanMu

Salam w.b.t.

Saat yang dinanti-nanti bakal tiba juga. Penantian itu bakal berakhir tidak lama lagi.

Kini, cuma tinggal 2 bulan saja lagi untuk saya menamatkan program internship di KIMS Karad. Setahun merupakan suatu jangka masa yang panjang dan lama. Apabila dalam tempoh tersebut sudah tidak perlu lagi berhadapan dengan musim exam yang penuh dengan stress, atau pun tiada lagi debaran sebelum ke wad untuk practical exam, ia sesuatu yang boleh dianggap sebagai bonus atau reward dalam hidup seorang pelajar perubatan.

Ia sesuatu yang harus dinikmati setelah berhempas pulas dengan final exam pada tahun sebelumnya.

Namun, apabila masa lapang itu terlalu banyak, terkadang ia disalahgunakan oleh ramai daripada kita. Mulalah mencari apa saja hiburan yang ada untuk mengisi kekosongan hidup yang ada. Kekerapan untuk membuka buku mula menurun. Yang selalu dibuka hanyalah MukaBuku. huhu (terasa pulak si penulis..)

Masa lapang yang banyak itu seringkali menipu manusia yang leka dengan keselesaan yang ada. Ini suatu fakta yang perlu kita ambil tahu dan fikir bagaimana untuk mengisi hari-hari mendatang sebaik yang mungkin.

Dalam tempoh hampir sepuluh bulan ini, banyak sebenarnya benda yang telah saya belajar, baik daripada senior atau pun dari pembacaan sendiri. Ada juga antaranya yang diperoleh daripada pengalaman sendiri melakukan prosedur-prosedur asas yang mudah. Semua itu memberikan 1001 pengalaman untuk dibawa dan diaplikasikan pada masa hadapan.

Sehingga ke hari ini, saya sering tertanya-tanya, adakah saya telah memanfaatkan masa yang ada untuk belajar sebanyak yang mungkin? Adakah saya boleh memberikan nasihat yang betul kepada mereka yang menghidap kencing manis? Bersediakah saya kalau ada antara ahli keluarga yang bertanyakan itu dan ini sedangkan pada pendapat saya, diri ini seolah-olah perlu lebih banyak belajar lagi?

Saya sering terfikir, adakah diri ini sudah boleh bekerja sendiri dan mampu memberikan khidmat terbaik selepas ini, selepas menghabiskan internship di sini.

Menjadi seorang doktor interns itu memang sesuatu yang diimpikan oleh setiap pelajar perubatan. Segala penat lelah selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil.

Namun, ia bukan sekadar gembira dan bangga sambil menayangkan stetoskop yang tergantung di leher.

Ia lebih kepada responsibiliti yang bakal ditanggung. Tanggungjawab semakin besar.

Maka, tidak boleh tidak, subjek yang lepas harus diulangkaji juga supaya kita tahu apa yang perlu diterangkan kepada pesakit.


( Suasana di ICU suatu masa dulu..)

Apabila selesai kerja pada hari itu, saya akan meneliti balik rough note yang dicatat dan berazam untuk membaca topik-topik tersebut di bilik. Kalau masih bertenaga, dapatlah study sikit namun selalunya saya pasti keletihan dan cuma mahu berehat saja di bilik.

Maka senarai topik yang harus dibaca pun bertambah-tambah. Adoi...

Bukan setakat ilmu medik saja yang perlu ada, bahan bacaan lain juga perlu dihabiskan juga. Banyak lagi buku dan novel (oppss...) yang perlu dihabiskan pembacaannya. Harap-harap sempat la sebelum tahun depan.

Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, peranan buku yang boleh kita pegang secara fizikal ini semakin berkurangan, sebab kita sudah ada buku maya (ebook). Ia lebih mudah dan tidak berat untuk memikulnya. Tetapi, semudah-mudah ia dimasukkan ke dalam gajet, seringan-ringan itu juga ia dibaca sampai habis. Ini memang betul-betul, bukan cobaaann..

Seorang kawan ada berpesan, ebook memang la nampak best, tapi nak habiskan sebuah ebook pun belum tentu akan habis. Ia tidak wujud dalam bentuk yang hakiki, yang boleh kita usap dan tatap sepuas-puasnya. Memang akan ada juga perasaan tidak rajin untuk buka ebook. Sebab apa? Bila buka saja henset, buka saja ipad, buzzzzz....mesej whatsapp masuk bertubi-tubi. Hendak pilih ikon ebook, terpilih ikon game atau apps yang lagi best dan menghiburkan. Jadi, ebooknya?

Renung-renungkanlah...

Kalau ada antara pembaca yang berjaya menghabiskan pembacaan ebook yang didownload, syabas dan tahniah! Anda masih memanfaatkan gajet yang dibeli dengan memanfaatkan masa lapang yang ada.

Perintah membaca ada disebut dalam Al-Quran pada salah satu surah dalam Juz 'Amma. Ia memberi kita suatu idea bahawa aktiviti membaca itu suatu yang osem dan bukanlah lame semata-mata.

Ia suatu suruhan untuk memberitahu umat manusia betapa menuntut ilmu itu suatu perkara yang sangat penting. Manusia yang berilmu itu sudah pasti dapat membawa kemajuan pada dirinya dan berupaya memberi manfaat kepada masyarakat. =)

p/s : Inilah jadinya kalau lama sekali baru nak update...huhu...



Saturday, November 23, 2013

Meneladani hidup seorang Ammar

Salam w.b.t.

كيف حالكم ؟

Semoga kita dikurniakan kesihatan yang baik untuk kita gunakan ia ke jalan yang Allah redha.

Saya pasti kita semua tahu perihal saudara seagama kita iaitu saudara Ahmad Ammar Ahmad Azam yang telah dijemput Ilahi pada awal bulan ini. Arwah meninggal dunia ketika mana kita sedang menyambut awal Muharram, sesuatu yang pasti ada sebab kenapa ia berlaku.

Perancangan Tuhan itu pasti ada hikmahnya...

Arwah, satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya merupakan seorang anak yang taat kepada ibu bapanya di samping begitu cintakan sejarah Islam terutamanya sejarah Turki Uthmaniyyah. Disebabkan minat yang mendalam terhadap sejarah Islam serta bercita-cita menjadi sejarawan Muslim, arwah telah berkelana ke bumi Turki untuk mendalami ilmu tersebut.

Bermula tahun ini, arwah telah pun merancang untuk mengembara di bumi Turki dan mencari nilai sejarah yang ada di sana. Ini semua diteladani daripada Imam Syafie yang telah merantau ke pelbagai tempat untuk menuntut ilmu.

Arwah juga aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Itulah serba sedikit latar perjalanan hidup seorang Ahmad Ammar. Kalian boleh tengok sendiri vidéo mengenai perjalanan hidupnya dengan lebih lanjut  di YouTube.

Nah, bagaimana pula dengan kita? Apakah yang telah kita sumbangkan kepada orang lain? Apakah sumbangan kita terhadap Islam sehingga hari ini?

Kita patut sedar yang mubaligh-mubaligh Kristian di luar sana begitu giat menyebarkan fahaman mereka. Jadi kita sebagai seorang Islam harus sedar dan turut sama mempromosikan keindahan Islam kepada orang lain.

Setiap orang mesti suka kalau diajak pergi berjalan ke mana-mana. Orang putih kata travel, orang Arab pula sebut safar atau jaulah. Ya, itu perkara wajib dalam kalendar tahunan kita.

Dan apabila kata hendak travel, mestilah nak berseronok dan release tension. Itulah sebab utama kita keluar berjalan makan angin. Selalunya ia suatu aktiviti yang penuh dengan gelak ketawa dan tidak lupa jua penuh dengan makanan yang sedap-sedap.

Adakah ia suatu yang osem? Ya semestinya. Tambah-tambah kalau berkerjaya sebagai seorang doktor.

Ada nilaikah kalau keluar semata-mata untuk berseronok?

Ia tidak salah, namun janganlah kita berlebih-lebihan sampai lalai dari ingat kepada Allah. Seperti kes arwah Ammar, beliau mengembara ke banyak tempat untuk mengambil ibrah (pengajaran) yang ada di situ. Beliau travel bertujuan untuk menambah pengalaman hidup serta ilmu yang hanya diperoleh melalui kesusahan merantau sahaja.

Jadi, kita pun perlu menjadikan sesuatu perjalanan itu bukan sahaja ada hilai tawa, malah turut diisi dengan muhasabah diri serta sesuatu yang boleh mendekatkan kita kepada Pencipta.

Contohnya tengok awan di langit, lalu terus berfikir betapa agungnya kuasa Tuhan menjadikan segala sesuatu.

Selagi kita boleh menghirup udara yang segar tanpa sebarang bayaran, marilah kita bersama tetapkan azam untuk menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Caranya, dengan menjadi Muslim dan Mukmin yang sempurna dan bukannya Muslim yang pasif.

Kita harus segera bertindak dan keluar dari zon selesa.

InsyaAllah, dengan niat yang baik, Allah pasti permudahkan dan lancarkan urusan kita.

Wallahua'lam..

Wednesday, November 20, 2013

Cuti budak sekolah

Salam w.b.t.

Musim cuti sekolah akhir tahun dah pun bermula. Begitu cepatnya masa berlalu dan kita sudah menghampiri fasa terakhir tahun 2013.

Sungguh tak terasa hari demi hari yang berlalu. 24 jam yang Allah berikan seolah-olah tak cukup pula.

Setiap orang punya masa yang sama dalam sehari. Dua puluh empat jam. Tak lebih tak juga kurang. Ia bergantung kepada kita bagaimana kita menggunakan masa yang ada.

Orang yang bijak terkadang boleh menggandakan jumlah masa yang ada. Mereka yang kerugian pasti mahukan masa tambahan dek sikap diri sendiri yang suka membuang masa sesuka hati.

Salah satu wasiat Hassan Al-Banna ada mengatakan bahawa tanggungjawab itu melebihi masa yang ada.

Kita kena bekerja untuk agama ini. Kita perlu menyampaikan dakwah kepada orang lain walaupun kita punya keyakinan hanyalah sekadar sepotong ayat. Itu lebih baik daripada tidak berusaha langsung.

Nasihat-nasihat itu lebih kepada perubahan diri sendiri ke arah yang lebih baik. Sebab lidah yang memberi pedoman itu lebih dekat dengan telinga si pemberi nasihat.

Oh ya, keputusan UPSR sudah pun keluar pada Khamis lepas. Syukur alhamdulillah kerana adik lelaki bongsu saya mendapat 4A 1B. Satu pencapaian yang baik baginya. Saya cukup berbangga dengannya kerana dia berjaya mendapat keputusan yang elok dan merupakan pengakhiran yang baik dalam keluarga kami. =)

Semua ini kembali pada Allah yang Maha Kuasa. Segala Puji hanya bagi Allah.

Pun begitu, perjalanannya masih panjang sepanjang 2 kali ukur lilit bumi..haha.. Semoga adik lebih bersemangat untuk menghadapi ujian masa depan yang pastinya lebih mencabar.

Sekian sahaja perkongsian dari saya kali ini. Kita jumpa lagi lain kali..

Wassalam..

Saturday, October 26, 2013

Life and death....

Salam w.b.t.

Saya baru saja memulakan surgery posting beberapa hari yang lepas. Rasa excited juga sebab surgery merupakan salah satu bidang kepakaran yang saya minat. Mungkin saya akan menyambung kepakaran dalam bidang ini suatu hari nanti. InsyaAllah..Tetapi, kita hanya mampu merancang.

Ada orang yang suka dengan kerja-kerja di OT (operation theatre), maka bidang pembedahan menjadi pilihan mereka. Ada sesetengahnya yang lebih suka dengan kerja office hours kerana lebih banyak masa dengan keluarga contohnya. Itu semua terletak pada keinginan dan kemahuan masing-masing. Apa yang sangat penting adalah kepuasan (satisfaction) melakukan perkara yang kita suka tersebut sehingga banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.



Bertugas di jabatan pembedahan sememangnya menuntut seseorang itu melakukan pelbagai jenis kerja yang nampak remeh tetapi jika ia dilakukan kena pada caranya, ia akan membuahkan hasil positif. Seremeh-remeh kerja tersebut termasuklah menukar dressing pesakit setiap hari, membuang tisu-tisu mati (slough) dan menjaga kebersihan pesakit yang terlantar dengan pelbagai jenis penyakit kronik.

Dressing yang betul sangat-sangat penting dan diperlukan supaya luka atau ulcer yang ada sembuh dalam masa yang singkat. Ini nampak kecil tapi kesannya sangat besar kepada setiap pesakit.

Selain musim sejuk di sini, kami sedang menghadapi satu lagi musim iaitu musim exam yang akan habis Isnin depan.Apabila saya lihat keadaan junior-junior yang sedang exam, terkenang balik diri ini beberapa tahun yang lepas. Begitu tension dan peritnya hidup tika tibanya musim exam. Hanya Allah saja yang boleh tolong waktu tu. Rindunya zaman-zaman itu..huhu

Ada yang sudah pun habis exam. Maka berlumba-lumbalah mereka keluar dari bumi Karad ke segenap penjuru India untuk berjumpa sahabat-handai. Ada yang keluar untuk bersuka-ria melepaskan tekanan barang 2,3 hari. Post-exam period should be spent wisely before the real final exam which is much more intense soon.

Apabila dah masuk zaman internship nie, memang la syok sebab dah tak ada exam. Tetapi, study tu tetap kena buat juga sebab doktor-doktor senior nie pasti akan bertanyakan soalan kepada kita. Hatta semasa surgery di OT, mereka akan pegang sesuatu organ dan bertanya, "What is this? " Maka fikiran akan cuba mengingat kembali (recalling like what those englishman say) saki-baki ilmu anatomi yang masih berbekas dalam ingatan.

Nak jadi surgeon, anatomi mau mantap beb!

Akhir kalam, semoga hari-hari yang bakal saya lalui nanti bakal menambahkan minat saya dalam bidang surgery. Pernah suatu hari sahabat saya dari Gujerat, a bright student, berkata kepada saya yang kerjaya sebagai surgeon ini tiap-tiap hari akan menghadap benda yang kotor. Nanah, darah, luka yang mesti ada dalam kehidupan seorang surgeon. Dia lebih suka bidang yang kecil tapi praktikal seperti bahagian mata (ophthalmology) atau ENT (ear, nose, throat).

Apa-apa bidang pun, perlu ada passion barulah kita akan enjoy dengan kerja tersebut. Setuju?

p/s : Got one sad news.1 of the juniors in Mangalore just passed away due to pneumonia. May he rests in peace. Life and death is a norm in this life.


Friday, October 25, 2013

Bagai bantal yang disorong-sorong

"Salah satu kepuasan dalam hidup adalah apabila dapat rehatkan diri di bilik setelah seharian bekerja..." =)
- akmalrahman, hamba Allah..

Saturday, October 19, 2013

Suatu hari di hari raya


Salam w.b.t.

Alhamdulillah selesai sudah satu bab yang tak kurang pentingnya dalam kamus hidup saya. Ia merupakan hari yang istimewa dan meletihkan namun banyak yang saya belajar di samping kepuasan yang saya dapat sepanjang hari itu.

Ia banyak mengajar erti kesabaran dan bertolak ansur sesama manusia. Ramai orang yang hadir pada waktu tersebut untuk menyaksikan event penting pada hari itu.

Apakah dia bab penting tu?? Jeng3..

Apa lagi, sembelih binatang korban la yang saya maksudkan tu. Bukan benda lain ya..hehe

Semalam merupakan hari terakhir binatang korban disembelih di Karad nie. Ramai juga yang datang untuk menyaksikan acara kemuncak tersebut.

Ini sebahagian gambar yang sempat saya ambil sebagai kenang-kenangan. Ya lah, tinggal beberapa bulan lagi di sini..huhu..tahun depan beraya di tanahair la pula.


Dalam perjalanan ke Eidghah, tempat solat sunat Hari Raya di satu kawasan lapang.


Sempat lagi berfoto-fotoan tu..


Rider di jalanan sepi..


Suasana perumahan di tempat sembelihan.

 Kali ini juga saya berpeluang melakukan sembelihan yang dilakukan di tempat tertutup di sini. Sekurang-kurangnya dapat juga pengalaman menyembelih binatang yang boleh saya kongsikan pada orang lain nanti.

Selalu tengok orang buat macam senang. Rupanya memang mudah pun. Pisau akan diasah setajam mungkin supaya proses sembelihan dapat dijalankan dengan pantas. Maka binatang korban pun kurang terseksa.

Cuba bayangkan kalau pisaunya tumpul. Sangat kejam oooo....



Adik nie namanya Ahmad. Comel kan? =)


Bukan senang sebenarnya hendak tumbangkan kerbau atau lembu sebelum disembelih. Perlukan kudrat yang banyak. Di sini, cuma 2 orang diperlukan untuk menumbangkan binatang-binatang tersebut seterusnya kaki mereka diikat untuk memudahkan proses sembelihan.





Daging yang sedang dipotong di tempat tertutup tersebut.

Setelah siap dilapah, daging-daging mula diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kami juga turut mengambil sedikit bahagian daging untuk dimasak di asrama. Banyak juga jumlah yang diberikan kepada kami. Sampai penuh peti sejuk dibuatnya..hehe





Inilah hasilnya. Daging korban yang akan diagih-agihkan kepada orang lain.


Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah s.w.t. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya yang mana begitu banyak nama Baginda disebut di dalam Al-Quran.

Wassalam...



Wednesday, October 16, 2013

Eid Mubarak : A story of sacrifice


Salam w.b.t.

Tomorrow will be the celebration of Bakri Eid or Hari Raya Aidiladha in India, one day after the celebration in Malaysia. This is the 6th time I celebrate the festival here in this foreign land. As I've been here for almost 5 years already, I think this land is no more foreign or alien to me. This part of world where I stay right now is like a hometown to me.

The people of this place, the culture of those people and the different environment here are something that give a lot of sweet memories for me. Eventhough sometimes I do miss my homeland, my friends here are like my own family. The local people here are like my parents and my relatives although we are from different background. The different race and religion doesn't mean that we cannot develop the bond with each other. Those are only external factor while what matters most is the value that is nurtured within that person.

During my medical posting before this, there was this one female patient in her 50s who came with paralysis of the right side of her body due to subarachnoid hemorrhage (SAH). That problem of SAH arose from chronic severe hypertension as the precipitating factor.

One of her son, a mechanical engineer happened to know English a bit, and we talked for a while. I knew that he is a good son based on the information that I extracted from him. He said that, his monthly income is just sufficient for his family. He could get more salary if he works overseas but, he resists considering of her mother's condition and nobody is going to take care of her.

A big amount of money sometimes doesn't guarantee a happy life. This is what he feels, and it is such a good thought. Really an astounding thought.

Every son and daughter should have this kind of attitude. I really really hope that I can still spend quality time with my family when I am working in the future.

He even invite me to his house anytime I'm free.

"There is one culture of Indian people. When you met someone and talked with them, you already make a relationship with them. So you have to come to their house and have a cup of chay (tea) at least.."

What a nice gesture he has. I promise that I'll come to his house one day.

And last time I heard from him, his mother got dysentery upon returning home. huhu. If the condition worsen, they have to come back to the hospital and get the proper treatment.

Every patient has their own story. And we should know that one day maybe we will become that patient, and by that time only do we realise how important is a good health to us.

As long as we are healthy, let's do our best in everything that we are doing.

And the above line marks the end of this posting for this time.



EID MUBARAK to all my fellow Muslims wherever you are!

Wassalam...

p/s : Congratulations to all my friends in Bangalore who passed their final year MBBS. May Allah eases their upcoming duty in Malaysia to serve the ummah. InsyaAllah... (",)

Sunday, October 6, 2013

Kisah Seorang Pencari Rezeki


Salam w.b.t.

Apabila kita bangun daripada tidur dan masih boleh bernafas dengan baik, maka sentiasalah ingat bahawa itu merupakan rahmat dari Allah. Sentiasalah bersyukur dengan berdoa kepada-Nya, dan memuji-Nya yang telah menghidupkan kita setelah kita dimatikan buat sementara.

Kalau Dia mahu, boleh saja kita diambil nyawa terus semasa sedang tidur. Betapa ramai yang sudah dipanggil untuk menghadap-Nya semasa sedang lena diulit mimpi. Kalau Allah berkehendak, apa-apa pun boleh berlaku tanpa sebarang halangan.

"Kun Fa Yakun"

Andai kita masih bernafas dengan baik, ketahuilah bahawa itu merupakan salah satu nikmat paling besar yang pernah kita dapat. Ia sesuatu yang tiada gantinya, walaupun kita katakan dunia perubatan ada menyediakan mechanical ventilator, namun ia tidaklah serupa dan sesempurna ciptaan Allah yang asal.

Ada orang yang hidupnya memerlukan bantuan oksigen untuk hidup. Dia memerlukannya untuk tempoh masa yang tertentu disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

Alangkah beruntungnya kita yang masih boleh bernafas dengan baik. Kita ini sebenarnya sudah punya banyak nikmat daripada Allah. Namun kadang-kadang tu, kita masih lagi lupa untuk bersyukur kepada-Nya.

Pernah suatu hari di dalam wad, ketika round petang dengan senior, terdapat seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 30an, sedang menerima rawatan akibat masalah pernafasan yang dihadapinya. Dia bernafas menggunakan bantuan oksigen melalui nasal prong disebabkan adanya crepitation pada kedua-dua bahagian peparu. Dan pada ketika itu, bunyinya agak jelas apabila kami melakukan auscultation kepadanya.

Doktor senior memaklumkan kepada saya bahawa pesakit ingin memohon DAMA (discharge against medical advice), keluar dari wad walaupun dia sepatutnya tidak boleh berbuat demikian akibat masalah kesihatan yang tidak memuaskan. Dia tidak mahu tinggal di wad kerana dia satu-satunya sumber rezeki (breadwinner) dalam keluarganya.

Ayahnya kudung tangan sebelah kanan, ibunya pula kudung kedua-dua belah tangan. Suaminya sudah meninggal dunia dan mereka tidak dikurniakan anak. Sedih saya dengar kisah hidup keluarga mereka. Ayahnya datang ke arah kami ketika round petang, sambil cuba memberi senyuman dan mengharapkan kebenaran kami mungkin, untuk membenarkan anaknya pulang ke rumah.

"We should feel pity for this patient. She is the only breadwinner in her family." Kata senior kepada saya.

Dia kemudiannya mengarahkan wanita tersebut untuk datang check-up pada setiap minggu sambil memberi kata-kata semangat kepadanya.

Keesokan harinya, dia sudah tiada di katil. Dia sudah keluar. Semoga dia datang ke hospital untuk routine check-up seperti yang diarahkan oleh doktor tersebut.

Muhasabah diri sekejap setelah balik ke bilik. Sungguh beruntung rupanya hidup saya, hidup kita semua. Sudah banyak nikmat yang kita dapat, namun adakah kita sudah betul-betul mensyukuri nikmat tersebut.

Sebelum tidur, pejam mata, muhasabah diri sendiri.

Apa lagi yang kita nakkan dalam hidup ini?

p/s : crepitation - salah satu bunyi yang tak normal pada peparu.

Tuesday, October 1, 2013

Monolog


"Akmal, now you can go back. Get a good rest. Tomorrow I'll be shifted to Casualty. Inform me when you have finished medicine posting. We'll celebrate.. " kata seorang senior kepadaku.

Tiba-tiba diri ini berasa sebak.

"Ok.." aku membalas sambil senyum sekadar yang mampu.

Terus aku halakan pandangan ke arah case paper pesakit di hadapan sambil membaca nota yang dicatatkan di situ.

Sedih kerana senior unitku ini akan bertukar ke unit baru iaitu casualty selama sebulan. Begitu cepat masa berlalu.

Banyak juga yang aku belajar daripadanya, walaupun cuma seminggu lebih bekerja dengannya. Tetapi apabila beliau akan bertukar unit, rasa hiba la jugak sebab pernah bekerja sekali di bawah unit yang sama.

Bak kata seorang kawanku, PG datang dan pergi. Pasti akan ada yang menjadi pengganti.

Hidup perlu diteruskan, kerja perlu jalan. Bertemu dan berpisah itu adat.

Bagaimanalah rasanya apabila orang yang paling kita sayang akan pergi meninggalkan kita suatu hari nanti. Atau pun kita dulu yang kan dijemput pergi.

Thursday, September 26, 2013

Perginya Seorang Bekas Menteri Besar


Salam w.b.t.

Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Kematian itu suatu yang pasti dalam hidup manusia. Kalau sudah tertulis saat kematian seseorang itu, tidak akan dipercepat atau dilewatkan walau sesaat. Hatta sepakar mana pun doktor itu, segempak mana pun seorang bomoh moden itu, pasti dia tidak boleh melawan takdir yang sudah tertulis itu.

Pada hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang pemimpin yang cukup hebat dan disanjungi oleh kawan mahupun lawan, iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak. Bekas Menteri Besar Kedah ini telah pulang ke rahmatullah setelah mengalami komplikasi jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.



Seorang pemimpin yang boleh masuk dengan semua orang berdasarkan apa yang diceritakan oleh orang ramai. Bahkan Allahyarham juga disenangi oleh semua orang disebabkan sifatnya yang boleh bercampur dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik.

Melihatkan beliau, teringat pula diri ini kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden Pas. Sungguh hebat qudwah yang ditunjukkan oleh mereka berdua. Namun hari ini, Allah lebih menyayangi Ustaz Azizan.

Seluruh rakyat negeri Kedah berasa sedih dengan pemergian beliau. Cuaca dikatakan mendung pada siang tadi, seolah-olah alam turut meratapi kehilangan seorang tokoh hebat ini. huhu

..................................................................

Masalah jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Serangan jantung yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ia suatu yang serius.

Sekiranya ada antara ahli keluarga anda yang telah lanjut usianya mengadu sakit dada, sukar untuk bernafas dan mengalami bengkak di bahagian kaki, segeralah membawanya berjumpa doktor kerana ia antara simptom jantung yang bermasalah.

Keadaan di ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak kurang sibuknya apabila ada kemasukan baru (new admission). Keadaan bertambah tegang sebentar tadi apabila tiba-tiba salah seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru (pneumonitis) berhenti bernafas. Dia turut mengalami masalah buah pinggang dan mesin dialisis digunakan untuk mengatasi masalah kegagalan buah pinggang tersebut.


ICU

Seorang doktor senior segera melakukan chest compression namun kadar denyutan nadi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Dan akhirnya setelah pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan. Di luar ICU, kelihatan beberapa orang ahli keluarga menangis dan meratapi kematiannya. Sedih.

Doktor juga manusia biasa. Doktor bukannya Tuhan.

.....................................................................

Bagaimanalah agaknya saat nyawa dicabut. Kata arwah tok saya, ada sekumpulan malaikat yang akan turun dan memegang tangan serta kaki kita saat nyawa ditarik keluar oleh malaikat Izrail. Kalau tidak, melompatlah manusia itu. Wallahua'laam. 

Teringat pula suasana ketika doktor sedang cuba melakukan intubation kepada pesakit yang baru mati itu. Dia meronta-ronta. Kami terpaksa memegang tangan dan kakinya untuk memudahkan prosedur tersebut dilakukan.

Hidup dan mati silih berganti.

Hari ini sebahagian nyawa diambil kembali.

Esok lusa akan ada nyawa baru yang dilahirkan.

Akhir kalam, apa persiapan kita dan saya lebih-lebih lagi untuk menghadapi kematian yang bakal datang menjemput.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan yang Dia redha.

Tuesday, September 24, 2013

Suka Duka Seorang Doktor Muda


Salam w.b.t.

"Seringkali aku terfikir, bagaimanakah masa tuaku nanti apabila melihat pesakit-pesakit yang lanjut usia terlantar dengan pelbagai jenis penyakit yang ada. Atau, sempatkah aku untuk melalui masa tua itu?"
________________________________________

Hari ini merupakan hari di mana saya kembali bertugas di Jabatan Perubatan (Medicine Department). Sebelumnya saya berada di Jabatan Psikiatri selama 15 hari. Sedar tak sedar, tempoh 2 minggu itu begitu cepat berlalu. Dapatlah juga serba sedikit gambaran mengenai common cases di jabatan ini dalam kalangan penduduk India khususnya di Karad ini. Tekanan perasaan dan kemurungan merupakan kes yang banyak dicatatkan di OPD.

Sebelumnya pula, selepas raya, saya bertugas selama 15 hari juga di Jabatan Perubatan. Sememangnya terlalu banyak yang telah saya belajar sepanjang tempoh yang singkat tersebut. Dapat juga belajar beberapa prosedur asas yang wajib dikuasai oleh pengamal perubatan.

Sewaktu hari pertama di jabatan ini, saya ada disoal oleh doktor senior mengenai apa yang saya mahu belajar dari mereka sepanjang posting tersebut. Mungkin disebabkan jawapan yang diberikan kepada soalan itu, seorang senior telah mengajar saya bagaimana mahu memasukkan Foley's catheter kepada seorang pesakit di wad. Excited rasanya ketika itu, sebab kita diberikan peluang untuk melakukan prosedur tersebut.

Ada sesetengah prosedur yang rumit dilakukan oleh doktor senior. Saya cuma menjadi pemerhati bebas, membantu sekadar yang diperlukan. Banyak juga tanggungjawab yang perlu dilakukan di sini.

Salah satu prosedur yang setelah beberapa kali saya cuba namun masih gagal sehingga hari ini, iaitu memasukkan Ryle's tube kepada pesakit bagi mereka yang tidak boleh tolerate makanan secara oral. Rasa kecewa juga apabila pada mulanya macam sudah masuk elok melalui hidung pesakit. Namun, apabila diperiksa dengan stetoskop, ianya negatif.

Rupanya tiub tersebut berlingkaran di dalam mulut pesakit! Alahai..nasib badan..

Terpaksa dikeluarkan balik tiub itu dan perlu dimasukkan semula.

Untuk memasukkannya juga suatu yang menyeksakan buat pesakit apabila mereka batuk lalu menyukarkan prosedur untuk diteruskan. Terpaksa berhenti sekejap, bagi mereka minum air. Apabila mereka mula menelan air tersebut, waktu itulah kita patut masukkan tiub itu kerana vocal cord terbuka bebas pada waktu itu. Faham kan?

Pernah ketika saya cuba memasukkan RT kepada seorang pesakit lelaki yang tua ini, dia terbatuk teruk mungkin disebabkan gag reflex atau tiub itu menyentuh tracheanya secara kasar. Apabila dikeluarkan kembali tiub tersebut, kelihatan darah di sebahagian tiub menandakan adanya luka yang telah dilakukan secara tidak sengaja. Rasa bersalah juga ketika itu sebab seolah-olah menyeksa pesakit itu. Inilah pentingnya hands-on practical kepada kami supaya mortality rate dapat dikurangkan apabila bekerja di tanahair sendiri nanti.

Seorang doktor senior yang lain pula memberitahu, sebelum RT dimasukkan, kita perlu memeriksa sekiranya pesakit mempunyai DNS (deviated nasal septum). Tiub harus dimasukkan ke dalam rongga hidung yang normal supaya tiada kecederaan yang berlaku.

Walaupun masih tidak berjaya melakukannya, seorang senior ada memberi kata-kata semangat dan menyuruh saya terus mencuba. Setiap orang masih ada peluang untuk berjaya. Mungkin usahanya masih belum cukup. Yang penting jangan mudah menyerah kerana setiap kali kita gagal, kita akan belajar sesuatu.

Dan hari ini, diri ini kembali ke jabatan yang telah ditinggalkan buat sementara waktu. Tempoh posting masih berbaki selama sebulan. Masih banyak yang perlu saya belajar dan praktis kerana untuk mendapatkan keyakinan, dan untuk bekerja secara independent suatu hari nanti, ia memerlukan latihan yang berterusan dan konsisten.

Ya, medan kerja di hospital memerlukan mereka-mereka yang rajin dan tidak mudah putus asa. Ia tidak perlukan seorang genius yang malas. Hanya mereka-mereka yang kental sahaja boleh survive dalam salah satu medan amal ini.

Ia sememangnya suatu kerja yang meletihkan, dan mungkin membosankan bagi sesetengah orang. Kerana apabila berada dalam ruang kerja, baharu mereka tahu menjadi seorang pengamal perubatan membawa seribu satu amanah dan tanggungjawab masyarakat. Ia bukanlah suatu kerjaya untuk mencari glamor semata. Ia sangat menguji tahap ketahanan mental seseorang.

Sebab itu ada segelintir sahabat saya yang baharu saja bekerja sebagai houseman turut mengalami masa-masa mereka down, tertekan dan sebagainya. Namun apa yang penting adalah niat asal kenapa kita memilih medik sebagai pilihan utama. Kena muhasabah balik, dan betulkan balik niat awal memilih kerjaya perubatan.

Setakat ini sahaja perkongsian dari saya. Semoga ada 'isi' yang boleh diambil dari entri kali ini.

Wassalam...

Saturday, September 14, 2013

Hidup ini bukan abadi


Salam w.b.t.

Sudah lebih sebulan saya rasanya saya 'mentalakkan' blog ini tanpa sebarang update. Kalaulah blog ini mampu berkata-kata, pasti saya bakal dileteri olehnya bertanyakan ke mana saya menghilang selama ini tanpa sebarang berita. Rasa bersalah pun ada dengan para pelawat blog yang pastinya menantikan sesuatu dari blog-blog yang mereka lawati. Mujhe maaf karta hu...

Walaupun sedang dalam mode praktikal, saya masih berpeluang untuk pulang bercuti di rumah pada sambutan Hari Raya yang lepas. Niat di hati nak studi sikit waktu cuti, tapi rupanya indah khabar dari niat. Kalau namanya cuti, memang susah la nak studi. Cobaan ada di mana-mana.

Sewaktu musim raya yang lalu, banyak kita dengar kes kemalangan jalan raya yang selalu berlaku saban tahun. Paling mengerikan adalah kes bas pelancong yang terhumban ke dalam gaung di Genting Highland. Oh sangat tragis dan menyedihkan apabila mendapat tahu apa yang berlaku ketika itu.

Satu lagi berita yang turut menyedihkan adalah kematian anak Dr. Vida, pengasas produk kecantikan Vida Beauty dalam satu kebakaran di rumahnya. Waktu itu pun cuma tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Syawal. Kalau sudah suratan takdir, memang kita yang lemah ini tidak mampu untuk mengubahnya. Mungkin ini suatu ujian dari Allah kepada beliau. Ujian dan rezeki Allah itu boleh datang secara tiba-tiba tanpa kita sangka.

Kehidupan ini ada silih gantinya. Ada yang meninggal dunia, kemudian ada insan baharu yang dilahirkan ke dunia ini. Kata emak saya, dunia ini sudah ramai sangat orang. Sebab tu Allah ambil sikit dari dunia ini. Itulah hukum alam, yang hidup ini tidak akan kekal lama di dunia.

Setakat itu saja perkongsian kali ini.
Till we meet again..

Wassalam...



Sunday, August 11, 2013

Salam Syawal

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua..
Eid Mubarak ho..
Semoga semua amalan kita diterima oleh Allah S.W.T.

P/s : sudah masuk hari raya kelima nampaknya..cepat betul masa..huhu

Thursday, July 25, 2013

2nd Half : Macam Mana Nak Skor Balik...


Salam w.b.t.

Kalau dalam permainan bola sepak, apabila wisel penamat separuh masa pertama ditiup, para pemain akan berhenti bermain dan berehat setelah puas menendang dan mengejar bola yang satu. Waktu rehat itu akan digunakan oleh mereka untuk merancang strategi yang lebih mantop untuk menebus kubu mahupun tembok besar pihak lawan supaya mereka dapat menjaringkan gol lalu meraih kemenangan.

Si jurulatih akan menilai kembali prestasi anak buahnya, apa yang patut dilakukan oleh setiap orang. Apabila separuh masa kedua bermula, masing-masing semakin bersemangat kerana peluang untuk menang masih ada.

Rupanya, kita sendiri pun sudah selesai melalui separuh masa pertama Ramadhan. Adakah kalian sedar dengan fakta ini? Allah, cepatnya masa berlalu pergi meninggalkan kita. Bagaimana dengan masa-masa sepanjang Ramadhan yang sudah pergi jauh?

Adakah sekarang kita sudah boleh melepaskan lelah dan berehat sebentar? Sudah semestinya tidak bukan. Sekali-kali tidak ada masa rehat untuk kita bersantai-santai sambil menghirup udara yang segar. Kalau nak rehat juga, silalah rehat dengan bertilawah Al-Quran. Buleh?

Sekarang, masanya untuk kita sama-sama muhasabah dan pandang belakang sekejap untuk menilai sejauh mana 1st half  Ramadhan sebelumnya. Adakah kita sudah berpuas hati atau masih ada lompong yang perlu ditampung. Penilaian itu penting supaya 2nd half Ramadhan nanti lebih bermakna dan lebih terisi dengan perkara yang menyebabkan kita menghayati ruh Ramadhan itu sendiri.

Mungkin boleh dikurangkan masa di laman sosial contohnya. Masa yang ada tu boleh digunakan pada benda yang lebih utama. Kita perlu tahu yang mana satu prioriti dalam hidup. Kita mau, kalau sehari tak baca notification di Al-Quran tu, boleh jadi tak tenang hidup nie. Baru syok.. =)

Kalau kita sendiri masih sama macam dulu, maknanya suasana Ramadhan tu memang tak kita rasa dan hayati. Nak dapat suasana tu, kita sendiri la yang kena hidupkannya supaya kita sedar bahawa bulan puasa ini suatu yang special dalam hidup kita. Kita patut rasa bersyukur diberikan peluang untuk terus hidup di bulan yang penuh keberkatan ini.

Let's make our strategies and do it! =)


Monday, July 15, 2013

Hadapi Ramadhan Dengan Senyuman, Bukan Keletihan


Salam w.b.t.

Suatu malam di asrama lima bintang :

Pakcik : Hangpa puasa kan lanie?
Saya    : Ya pakcik. Sebulan kena puasa.
Pakcik : Bila mula puasa? Lepas pukul lima ka?
Saya    : Haah. Mula lebih kurang lepas lima pagi, sampai la ke malam dalam tujuh suku camtu la.
Pakcik : Tak boleh makan, minum apa-apa langsung ka nak? Air masak ka?
Saya    : Tak boleh pakcik. Langsung tak boleh makan atau minum. Kuch nehi...
Pakcik : Kalau lagu tu la punya crita, memang mati la pakcik nak oi..
Saya    : *senyum..

Begitulah serba sedikit perbualan saya dengan salah seorang pakcik keselamatan (baca : guard) di sini. Beliau agak terkejut dengan ibadah puasa yang sedang kita jalani selama sebulan ini. Baginya, kalau tak boleh makan atau minum langsung, ia suatu masalah besar baginya. "I can die," Itulah reaksi spontan yang diberikannya kepada saya.

Saya cakapkan padanya, sekarang ini kan musim hujan. Jadi, puasanya tidaklah sesukar mana sehingga boleh meletihkan badan apabila sehari suntuk berpuasa. Mungkin ia suatu pertolongan dari Allah supaya hamba-hambaNya boleh melakukan ibadah ini dengan baik.

Bagaimana dengan puasa kita sehingga ke hari ini? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja? Kalau Ramadhan kali ini tiada perubahan yang kita lakukan, alangkah rugi jadinya.

Kita yang sudah pun berpuasa sejak dari kecil semestinya tidak akan menghadapi masalah untuk berpuasa. Sebab apa? Sebab kita sudah dilatih dari awal lagi. Kita sudah ada pengalaman bagaimana untuk kekal cergas sepanjang bulan puasa. Saya pasti kalau pakcik itu pernah cuba berpuasa sejak kecil, pasti dia boleh menghadapinya dengan baik.

Ibadah puasa itu memang ada kebaikan dari segi saintifik. Baik untuk kesihatanlah, untuk awet muda contohnya (sekadar contoh) atau apa-apa saja yang mungkin kita pernah baca untuk memberikan kita kekuatan terus kekal berpuasa sepanjang hari. Namun, ibadah ini bukanlah semata-mata untuk membuktikan kajian tersebut. Ia lebih kepada bagaimana penyerahan diri kita kepada Allah dan ketaatan kita untuk melakukan apa yang Dia suruh.

Kita ini kan hamba semata-mata. Kalau tiada bukti saintifik yang mengatakan kebaikan berpuasa pun, wajib untuk kita patuh arahan yang Allah berikan. Kita sepatutnya melakukan segala amalan itu secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan dariNya.

Semoga kita lebih menghayati ibadah puasa kali ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri. Belum tentu kita mendapat peluang untuk beribadah sakan sepertimana yang kita peroleh pada bulan Ramadhan ini.

Wassalam..

Friday, July 12, 2013

Ramadan Kareem!


Salam w.b.t.

Hari ini merupakan hari kedua puasa bagi kami di Karad, lewat sehari dari tanahair. Puasa kali ini juga insyaAllah merupakan puasa terakhir bagi saya di perantauan. Pengalaman berpuasa tahun lepas masih segar di ingatanku, seolah-olah ia baru saja berlaku semalam. Cewah ayat. hehe

Dan pada ketika ini juga bumi Karad sedang dibasahi oleh hujan yang sangat menguji ketahanan mental seseorang untuk kekal dalam keadaan yang sedar (baca : waras). Berpuasa pada musim hujan adalah suatu medan ujian yang mencabar. Kata orang, musim panas begitu memenatkan mereka yang berpuasa. Tapi kata saya, musim hujan pun tidak kurang hebat dugaannya. Lebih-lebih lagi kalau tiada exam yang akan diambil nanti lalu masa lapang menjadi semakin banyak.

Musim ini juga merupakan musim peperiksaan bagi semua batch di sini. Semoga ibadah puasa membantu mereka untuk menjawab soalan dengan baik. Allah pasti membantu mereka yang bersusah payah demi agamaNya.

Ada satu status facebook yang begitu menarik perhatian saya. Ia ada memberitahu betapa bertambahnya saf solat Subuh di masjid berbanding pada bulan-bulan yang lain. Tambahnya lagi, pasti sekarang ini Israel sedang terketar-ketar lutut dan gementar dengan suasana ini. Bunyinya agak humor apabila itulah realitinya apabila datangnya Ramadan. Masing-masing terus berubah ke arah yang baik secara mendadak. Ia suatu perubahan yang positif. Apa yang lagi positif, perubahan itu dapat dikekalkan pada bulan-bulan yang seterusnya. Barulah osem kan?

Satu lagi status yang ingin saya kongsikan, adalah apabila lagu-lagu raya sudah dimainkan walaupun Ramadan baru saja bermula. Alasan yang diberikan adalah, "Begins with the End in Mind." Amboi jawapan dia. Dia sudah nampak raya dulu dari kita walaupun puasa tak sampai seminggu lagi pun. =)

Akhir kalam, marilah kita jadikan Ramadan kali ini Ramadan yang paling bermakna dan paling kita hargai kedatangannya. Jadikan Ramadan ini yang terbaik dari yang sebelumnya. Jom kita manfaatkan masa yang ada sebaik dan se'mahal' yang mungkin. Kita sungguh bertuah kerana masih lagi berpeluang hidup dan bertemu dengan Ramadan.

Oh ya, satu lagi. Lagi satu.. Tahu tak petang-petang ada cerita apa kat TV3? Haa, apa? Yap, betul3.. Mestilah Jejak Rasul kan. Sambil-sambil tolong mak ayah masak kat dapur tu, jangan lupa tengok ya. Janji tau...( buang tebiat ka apa mamat nie..)

Ok..Selamat beramal dalam bulan yang penuh barakah ini.

Wassalam...

Saturday, July 6, 2013

Harapan Ramadan Seorang Hamba

Salam w.b.t.

Kurang dari seminggu lagi kita akan memasuki sekolah Ramadan. Ianya suatu cita-cita yang diimpikan oleh setiap orang yang bergelar Muslim. Hidup di dalamnya bagaikan suatu nikmat yang sangat besar dan indah.
Suasana Ramadan itu sesuatu yang sangat indah kalau dihayati sebenar-benarnya.

Ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan lebih dari itu. Adab-adab berpuasa juga kenalah dijaga supaya puasa kita itu berkualiti gred A++. Barulah syok dan berbaloi. Kita hendakkan supaya puasa itu mencapai objektif utamanya, iaitu menjadikan kita orang yang bertakwa apabila berakhirnya Ramadan kelak, sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183.

Sepatutnya kita sudah menetapkan apa yang nak dicapai semasa bulan puasa nanti. Apa yang disasarkan itu perlulah dilakukan sedari sekarang, sejak saat dan minit ini juga. Bermulalah sedikit dahulu, supaya kita dapat mengekalkan momentum tersebut sepanjang Ramadan. Perlu adanya peningkatan amal dalam hidup ini kerana ia menjadi kayu ukur apakah kita benar-benar faham mengenai agama ini. Apakah kita benar-benar hendak berubah ke arah yang lebih baik.

Sepanjang Ramadan nanti juga, bolehlah kita perkemaskan dan cantikkan lagi ibadah-ibadah fardhu di samping ibadah sunat. Solat yang khusyuk, solat berjemaah dan pada waktunya, melazimi bacaan Al-Quran beserta maksudnya, berazam untuk menghafaz sekurang-kurangnya satu juzuk Al-Quran antara perkara yang sangat baik untuk dijadikan senarai wajib buat. Mengurangkan aktiviti-aktiviti lagha (melalaikan) juga harus kita jadikan sebagai target semasa berpuasa nanti.

Teringat salah satu petikan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mawi semasa saya melawat SMSTSP pada Ramadan tahun lepas, kata ustaz memetik kata-kata Hassan Al-Basri, 

"Kun Rabbaniyyin, wa laa takun Ramadaniyyin. (Jadilah hamba kepada Allah, jangan jadi hamba kepada Ramadan)"

Apa jua amalan tambahan yang kita buat semasa Ramadan, mudah-mudahan dikekalkan pada 11 bulan yang seterusnya. Kalau tidak, jadilah kita ini Muslim Ramadan semata-mata. Keluar Ramadan, ibadahnya entah ke mana, tak kelihatan langsung. Pernah suatu masa dahulu Ustaz Hasrizal mengeluarkan satu artikel bertajuk Yatim Piatu 11 Bulan. Ingatkan siapalah yang tiada mak dan ayah selama 11 bulan. Rupa-rupanya ia merujuk kepada amalan bersedekah yang banyak dilakukan semasa Ramadan dan berkurangan pada bulan yang lain.

Sekiranya kita diberi peluang untuk menemui Ramadan kali ini, alangkah bertuahnya kita. Masih ada peluang untuk kita menjadikan ibadah kali ini lebih berkualiti dari musim-musim sebelumnya. Kita masih punya masa untuk menampung kekurangan yang ada dan berusaha menjadi manusia yang lebih baik usai Ramadan kali ini.

Harapannya, semoga kita semua, lebih-lebih lagi empunya diri yang menulis artikel ini akan menggunakan kesempatan masa yang ada ini untuk bermuhasabah dan meletakkan azam untuk melakukan suatu perubahan, dan berusaha untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh. 

p/s : Semoga Allah membantu perjuangan Dr. Morsi dan rakan-rakannya di Mesir sana, dan menghancurkan kezaliman yang semakin berleluasa. Marilah kita mendoakan pemimpin yang adil ini supaya beliau diberi kekuatan untuk menegakkan Islam di bumi Mesir.
"Ihzimhum wansurna 'alaihim"

Wednesday, July 3, 2013

Selamat Bertugas Wahai Pendidik


Salam w.b.t.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya golongan pendidik muda kita telah mendapat jawapan di bumi mana mereka akan mencurahkan bakti kepada anak-anak muda hari ini. Ke mana destinasi mereka akhirnya terjawab jua. Semestinya ia satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, tambahan pula kalau dihantar ke tempat-tempat yang tidak pernah didengari dan diketahui kewujudannya.

Dan ketika ini, semua pendidik muda itu sudah pun berada di penempatan masing-masing di mana mereka akan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di situ. Ada yang masih ditempatkan di semenanjung dan ia mungkin rezeki bagi mereka. Kebanyakan dari mereka ditempatkan di Sarawak dan Sabah, pun satu rezeki juga tu. Dapatlah mereka melihat bagaimana keadaan hidup dan budaya masyarakat di sana yang pastinya mempunyai seribu satu macam ragam dan kerenah yang berbeza dari masyarakat semenanjung.

Barulah namanya perantau sejati. Dapat juga merasakan pengalaman fly ke tempat yang jauh. Pengalaman berada di tempat orang itu suatu yang sangat mahal tahu. Bukan semua orang yang dapat, dan tidak semua orang yang sanggup berjauhan daripada keluarga.

Melihat status kawan-kawan saya yang akan bekerja di Malaysia Timur sahaja menunjukkan betapa mereka teruja untuk berada dalam suasana yang baru itu. Entah apa yang akan dihadapi, semua itu bakal mematangkan hidup mereka dan menceriakan hari-hari yang bakal dilalui.

Semoga pengorbanan mereka untuk mendidik anak bangsa di sana dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Semoga masa yang dikorbankan oleh mereka berjam-jam lamanya untuk sampai ke sekolah dibalas oleh-Mu dengan mudahnya anak-anak di sana mendapat ilmu yang bakal diberikan oleh pendidik-pendidik muda itu. Moga usaha yang kecil itu mendapat balasan kebaikan dari Allah.

InsyaAllah... =)

p/s : Semoga mereka diberikan kesihatan yang baik, dan ketabahan untuk mendidik anak-anak muda.
--> C. Rabani, C. Aiman Isswady, C. Aiman, C. Wan Shuhaina, C. Afifah, C. Syafika, C. Mustaqim, C. Aizat, C. Asyraf, C. Azuliana, C. Liana, C. Norliyana, C. Farah, C. Syaza dan semua cikgu yang bakal memulakan tugasnya.

Saturday, June 29, 2013

Manusia Berjubah Putih 4


Salam w.b.t.

"Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.

Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti.."


..........................................................................................................................................................

"Kita akan ke Mawargiri malam nie." Kata amir kepada kami semasa sedang mengemas barang yang dibawa sepanjang perjalanan itu. Mawargiri merupakan salah satu kawasan yang terletak berdekatan, kurang lebih dalam 10-15 minit perjalanan seingat saya. Perjalanan waktu malam itu agak thrill juga, ditambah pula dengan kesejukan malam yang menemani kami. Travel malam dengan motosikal sememangnya satu pengalaman yang best bagi sesetengah orang. 

Sampai di Mawargiri, kami pun menunaikan solat Maghrib di situ dan menyiapkan diri selepasnya sebelum makan malam bermula. Setiap masjid di sini ada menyediakan peralatan memasak seperti periuk dan gas. Jadi jemaah selalunya akan memasak sendiri di masjid dan tak perlu beli makanan dari kedai luar. Cuma mungkin perlu beli barang-barang basah untuk masak saja.

Malam itu setelah Isyak, masing-masing merehatkan diri lebih awal supaya esoknya kami ada bekal tenaga yang cukup untuk bergerak lagi ke destinasi terakhir, iaitu tempat diadakan Ijtimak tersebut.

**************************************************************************************
Hari berganti hari. Subuh pun menjelma. Setelah siap menjamah sarapan atau 'menyorok', kami mula berkemas sekali lagi untuk berangkat ke Wagiri pula. Ia terletak agak jauh dari Mawargiri walaupun bunyinya seakan serupa.

Perjalanan ke Wagiri diteruskan sebelum tengahari disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan pastinya memenatkan dan mengeluarkan peluh jantan yang sudah lama tersimpan. Kalau lewat bertolak, bimbang pula kami akan terlepas aktiviti yang barangkali sudah pun dijadualkan di situ.

Wagiri, akhirnya berjaya juga kami jejak buminya dan ia pertama kali bagi saya berada di situ. Pada mulanya ingatkan ia sebuah kawasan yang kurang penduduk disebabkan kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman. Namun di situ berdirinya sebuah madrasah pengajian dan sebuah masjid melambangkan wujudnya aktiviti agama yang akan melahirkan ilmuan-ilmuan Islam suatu hari nanti. InsyaAllah.

Ketibaan kami disambut oleh pihak penganjur yang sudah menunggu kehadiran para peserta program. Beberapa khemah sudah pun didirikan. Kami mula bergerak ke khemah penempatan yang disediakan. Untuk pengetahuan, penempatan para peserta adalah di dalam satu khemah yang besar di mana semuanya 'berlangitkan' bumbung yang sama. Ia sama keadaannya semasa di Padang 'Arafah sewaktu musim haji atau umrah. Semuanya dilayan serupa dan setaraf, tiada siapa yang dilebihkan.

Kebanyakan masa diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh para ilmuan dan pengetua madrasah yang mantap dan hebat pengisiannya. Semua hadirin mendengar kuliah dengan penuh minat dan khusyuk. Bagi saya yang masih bertatih untuk memahami bahasa Urdu, agak susah juga la. Namun ada juga beberapa perkataan dan point penting yang dapat saya tangkap sikit-sikit. Secara tak langsung dapatlah belajar bahasa tempatan. Dapat sikit lagi baik daripada tak dapat langsung kan.

Makanan bagi peserta disediakan juga, dan kami harus mendapatkan kupon-kupon makanan yang dijual. Murah-murah harganya. Makanannya pula sedap-sedap belaka. Inilah salah satu keistimewaan mereka di mana makanan yang dimasak berkawah-kawah itu ternyata suatu yang harus dirasai oleh sesiapa yang berkunjung ke sini. Ada satu kumpulan yang ditugaskan memasak dan mengendalikan makanan. Kalau tak cukup, akan ada yang tambahkan nasi atau lauk pada kita. Macam kenduri kahwin la waktu tu.




Siang dan malam diisi dengan kuliah agama berkisarkan persoalan keimanan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk berdakwah. Kadang-kadang ada juga diselitkan kisah dan pengalaman yang mencuit hati kami semua. Mereka yang menjadi penyampai pada perhimpunan itu begitu hebat ketika menyampaikan nasihat-nasihat agama. Nampak benar betapa banyak pengalaman yang mereka ada.

Program selama dua hari satu malam itu padat dengan perkongsian dan pertemuan dengan peserta yang datang dari pelbagai tempat. Masing-masing pasti ada cerita setiap kali berjumpa satu sama lain. Ada antara mereka yang tidak punya masa untuk bertemu semasa bekerja dan ijtimak ini memberi peluang kepada mereka mengeratkan hubungan silaturrahim yang sudah terbina.

******************************************************************************

Sabtu petang, pada tarikh yang saya sudah tak ingat, selepas Asar, tamatlah program Ijtimak tersebut. Salam perpisahan kami ucapkan kepada penganjur dan semua yang terlibat sepanjang program. Perjalanan diteruskan kembali ke Karad, kerana masih ada tugas yang menanti di sana. Semoga perjumpaan kali ini memberi semangat kepada kami semua untuk terus menyambung perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat. InsyaAllah..

p/s : Ini merupakan edisi terakhir siri kembara saya di bumi Al-Hind. (Macamlah selalu sangat travel sampai nak bersiri-siri kan..) Ini pun merupakan ringkasan sebenarnya. Ada lagi detail yang terpaksa di'cantas' untuk mengelakkan ia terlalu panjang sampai ke negeri China..hehe

Peace to all!

Sunday, June 23, 2013

Sekecil-Kecil Bebola Mata, Sehebat-hebat Yang Mencipta

Salam w.b.t.

Segala Puji bagi Allah yang telah memberikan kita peluang untuk terus bernafas di bumi-Nya sehingga ke hari ini. Nikmat kesihatan yang Dia kurniakan itu tersangatlah berharga. Namun betapa ramai yang mensia-siakan nikmat itu ke jalan yang tidak sepatutnya.

Kita ini bukanlah bersifat maksum seperti layaknya para Nabi itu. Walaupun banyak dosa yang telah kita lakukan, Allah itu Maha Pengampun dan sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hambaNya yang ingin berubah. Allah itu boleh saja menghukum kita on the spot apabila kita melakukan maksiat. Namun Dia yang bersifat Ar-Rahim tahu bahawa suatu hari nanti kita pasti akan mencari-Nya juga apabila kita dirundung pelbagai masalah duniawi. Allah itu Maha Penyayang. Terkadang aku juga lalai dari mengingati-Nya.

Aku dan kita semua sedang menikmatinya
Salah satu nikmat yang tersangat berharga, yang sering disalahgunakan oleh kita, adalah nikmat melihat. Penglihatan ini pula terbahagi kepada 2 iaitu penglihatan menggunakan organ mata dan penglihatan menggunakan 'mata hati'. Kali ini saya ingin berkongsi sesuatu mengenai penglihatan menggunakan mata fizikal yang kita semua ada. Jenis penglihatan kedua itu tidak dimiliki oleh semua orang dan ia hanya ada pada orang yang layak memilikinya sahaja.

Sepasang mata yang kita ada ini tidak ternilai harganya. Ia dapat merakamkan pelbagai peristiwa dan pemandangan yang pasti menimbulkan rasa kagum dalam diri kita. Setiap apa yang kita lihat, baik ketika terbenamnya matahari di ufuk langit membiru, gunung-ganang yang kukuh berdiri mahupun burung-burung yang pelbagai warna berterbangan dengan bebasnya, semuanya kembali kepada siapa yang menciptakannya. Who is The Creator?


Alam menjadi bukti ada Pencipta yang Agung




Evolusi kamera pada hari ini membolehkan gambar yang berkualiti tinggi ditangkap oleh mereka yang berminat dalam bidang fotografi. Melihatkan gambar-gambar yang awesome itu pun sudah memukau jiwa, apatah lagi melihatnya secara 'live'. Walaupun gambar yang ada di album itu lawa-lawa, melihatnya sendiri secara berdepan (face2face) itu lagilah nikmat cakap lu, kerana kita melihatnya dengan mata kepala kita sendiri bak kata orang..

Pediatrik itu ada kisahnya
Pengalaman kerja di NICU suatu masa dulu masih lagi terbayang di fikiran saya. Walaupun suasana kerjanya kadang-kadang tension, kadang-kadang boring, itu semua seakan terubat apabila melihat wajah si kecil yang baru dilahirkan di dunia ini. Wajah si kecil yang 'blur' dan 'innocent' itu menjadi penawar segala duka lalu ia mencetuskan senyuman di bibir.


Mana boleh tengok saja. Rugi kot kalau tak 'snap'

Tiba-tiba saya terfikirkan sesuatu. Andainya ada satu gajet yang boleh mengambil gambar mereka tanpa menggunakan henset, itu adalah sesuatu yang kool bagi saya. Masihkah anda ingat cerita Mission Impossible : Ghost Protocol? Terdapat satu babak di mana ada satu alat yang diletakkan di mata dan boleh scan apa yang dilihat melalui kerlipan mata, seterusnya ia boleh diprint terus dan disimpan sebagai dokumen. Alangkah bestnya kalau ada alat macam tu.. Stail beb! hehe

Alahai dia. Hebatnya ciptaan Allah. Tiada tandingan.
Semoga menjadi seorang yang berguna kelak.

Maka tak perlulah saya keluarkan henset untuk mengambil gambar, cukup dengan kerlipan mata dan ia diprint terus di dalam bilik. Siap colour lagi tu. Entah-entah dapat sekali pakej senyuman balas dari si kecil itu pula.. :-)


Hebat lagi ciptaan Allah
Sehebat mana pun teknologi yang ada, apa yang Allah cipta itu sudah cukup sempurna. Macam yang saya katakan tadi, perasaan semasa kita tengok sesuatu yang indah itu secara 'live' adalah lagi bermakna dan berkesan pada hati ini. Sebabnya, nikmat melihat itu tiada bandingan dengan wang ringgit. Mata yang diikat cuma sekejap pun sudah terasa susah dan peritnya hidup ini. Macam itulah kesusahan hidup mereka yang cacat penglihatan. Kita yang masih boleh melihat, gunakanlah nikmat ini untuk menghayati segala ciptaan Allah.

Akhir kalam, Allah ada berfirman dalam Surah Ar-Rahman berulang kali, "Nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang kamu dustakan.". Sekian banyak nikmat yang kita dapat, janganlah ia menjauhkan kita dari jalan yang telah Allah arahkan kita untuk mengikutinya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita sepanjang bulan Syaaban ini.

p/s : Sudah Nisfu Syaaban rupanya..tinggal lagi separuh bulan sebelum masuk kolej universiti..
p/ss : Bagi sesiapa yang ingin copy artikel ini atau copy gambar kat atas, silakan. Namun silalah jangan lupa untuk meletakkan link rujukan blog ini. Terima kasih.. ^_^

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...