Monday, February 27, 2012

Harapan Al-Faruq


Salam w.b.t.

Seringkali diri ini bertanya, sepanjang hidup selama berpuluh tahun, apakah sumbangan yang telah diberikan sebagai bukti menjadi hamba Allah, menjadi pengikut Rasulullah. Apakah peningkatan yang telah berlaku dalam diri, ke arah yang lebih baik atau sebaliknya.

Apakah orang di sekeliling pun turut berubah ke arah mengamalkan Islam dalam erti kata yang sebenar di mana iman dan amal menjadi tunjang dalam segala kegiatan harian.

Harapan al-Faruq

Saidina Umar al-Khattab, khalifah ke-2 Khulafa' ar-Rasyidin merupakan seorang yang tahu apakah yang betul-betul berharga dalam dunia ini. Pernah suatu ketika Saidina Umar berada dalam sebuah bilik bersama para sahabat dan bertanyakan apa yang dihajati oleh mereka.

"Taman-nau..mintalah apa yang kamu inginkan.."

Kata seorang sahabat, "Aku harap Allah memberikan emas kepadaku supaya dapat aku gunakan ia untuk berjuang di jalan-Nya."

Seorang sahabat lain pula berkata, "Aku ingin Allah menganugerahkan permata kepadaku supaya aku boleh memanfaatkannya di jalan yang Dia redhai."

Setelah itu, sahabat bertanya kepada Khalifah Umar, apa yang dia inginkan.

Kata Saidina Umar,

"Aku tidak mahu emas atau permata seperti yang kalian idamkan itu. Aku cuma mahukan orang-orang seperti Abu Ubaydah al-Jarrah (sebahagian riwayat mengatakan Abu Ubaydah dan Mu'adz bin Jabal) supaya dapat aku hantar mereka ke mana-mana sahaja untuk berjuang di jalan-Nya..."

Lihatlah, bagaimana pemikiran seorang pemimpin pada masa itu. Walaupun harta sesuatu yang mesti ada untuk berdakwah, namun keperluan untuk mempunyai insan-insan yang sanggup berjuang menyebarkan Islam atas dasar keimanan dan kehambaan kepada Allah melebihi keperluan material. Sumber manusia itu sesuatu yang lebih penting daripada sumber kebendaan. Harta sentiasa ada dan boleh dicari ganti, tetapi manusia yang hatinya sentiasa terpaut kalamullah dan sentiasa merindui Rasulullah itu jarang-jarang ada dan susah dicari ganti.

Kita sepatutnya mencontohi tokoh-tokoh di atas dalam usaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Pembinaan insan yang berakhlak dengan akhlak Islam, bergaul dengan cara yang dianjurkan merupakan satu daya penarik untuk mengajak masyarakat mengamalkan Islam secara syumul. Mungkin apabila komuniti Muslim itu 'menjadi' sesuai dengan acuan agamanya, tidak mustahil masyarakat agama lain pun akan terbuka hati mereka untuk mengucapkan kalimah syahadah dan menjadi sebahagian dari komuniti Muslim.

Ia memerlukan usaha yang berterusan dan keinginan yang kuat untuk berubah dan menjadi seseorang yang berguna dalam masyarakat. Alangkah indahnya kalau di mana pun kita pergi, kita mampu menyumbang sesuatu kepada orang lain supaya manfaat itu boleh dikongsi demi kebaikan bersama.

Thursday, February 23, 2012

Teh Tarik 2


Salam w.b.t.

Sebelum ini ada saya ceritakan mengenai negara MG yang popular dengan teh panasnya yang boleh dikatakan popular di kebanyakan tempat. Semanis-manis teh susunya, lagi manis kurma dalam rancangan Semanis Kurma oleh Ustazah Siti Norbahyah. Eh, apa yang saya melalut nie. Maaf maaf.

Walaupun teh di sini sedap untuk dinikmati begitu saja, pengambilannya perlulah dikawal supaya tiada masalah ketagihan yang melampau. Kalau selalu minum pula, risiko kencing manis tu tetap ada.

Saya juga ada sebut yang teh ini boleh dapat bila-bila masa saja dan di mana-mana jua. Kalau rasa nak minum tu, singgah saja mana-mana kedai makan nescaya boleh merasa secawan teh yang panas.

Salah satu budaya masyarakat setempat adalah menghidangkan teh kepada tetamu yang bertandang ke rumah mereka. Pernah suatu masa dahulu saya menyertai kumpulan tabligh dalam aktiviti mereka selama beberapa hari. Apabila tiba waktu makan di rumah salah seorang penduduk di sini, tidak sah rasanya kalau tiada teh panas bersama hidangan utama. Boleh kata macam menu wajib juga la.

Mereka sangat meraikan tetamu yang berkunjung di mana mereka akan melayan sebaik mungkin. Setelah melabuhkan punggung di lantai, pasti akan ditanya, "Chay? Chay? Ok?" Setelah dapat respons positif dengan hanya menganggukkan kepala, selang beberapa minit sampailah seteko teh panas yang masih berasap-asap.

Itu budaya mereka yang saya kira cukup baik dalam memuliakan tetamu.

Kalau di tempat kita pula, selain teh, ada juga kopi dan nescafe. Banyak pilihan. Kalau di sini cuma teh yang selalunya dihidangkan. Kopi pun ada juga tapi tidaklah kerap sangat.

Di Iran pun ada juga budaya minum teh ini. Dalam satu movie tu, ada satu babak di masjid yang mana disediakan teh-teh 'O' kepada mereka yang datang ke masjid. Gula pula diasingkan dalam satu bekas khas dan perlu dimasukkan sendiri oleh sesiapa yang ingin meminumnya (DIY).

Bercerita pasal teh saja ada pelbagai kisah di sebaliknya. Lain tempat lain ceritanya.

Cuma satu yang perlu kita amalkan. Bersyukur dengan nikmat-Nya yang sangat banyak. Allah bagi manis pada air teh itu sebab nak kita bersyukur dengan nikmat lidah yang boleh merasa. Kalau tidak ada lidah, mana mungkin nak rasa manisnya teh itu.

Bersyukur dengan lidah juga dengan bertasbih kepada-Nya. Jangan asyik bersembang perkara-perkara duniawi saja.

Jadi, marilah sama-sama kita latih diri untuk bersyukur kerana Allah ada berfirman dalam Al-Quran, kalau kita bersyukur nescaya Dia akan tambahkan nikmat kepada kita tanpa disangka-sangka.

Tuesday, February 21, 2012

Scholars Quote 1


"This dunya is like a shadow. If you try to catch it, you will never be able to do so. If you turn your back towards it, it has no choice but to follow you."

- Ibn Qayyim Al-Jawziyyah -

Teh Tarik 1


Salam w.b.t.

Waktu petang merupakan masa yang agak susah untuk study subjek yang perlukan pembacaan, terutamanya sejarah. Saya rasa anda tau sebabnya kenapa. Kalau yang study kat kolej, mesti akan ada secawan kopi atau nescafe atau apa saja sebagai peneman di kala ketensenan waktu study.

Bagi yang tinggal kat asrama, selalunya makcik @ pakcik dewan makan akan sediakan minum petang atau dalam bahasa mat salehnya, TEA. Biasanya budak-budak asrama nie dapat merasa setakat teh 'O' saja. Kalau order di kedai mungkin bole dapat teh tarik yang special siap dengan buih seinci setengah lagi.

Suatu masa dahulu teh tarik pernah melalui masa-masa duka apabila ia dikatakan sebagai punca kepada terjadinya kanser. Para peminat tegar teh tarik seakan tersentak dengan berita tersebut (termasuk saya). Namun episod duka teh tarik telah berlalu dan kini ia kembali menjadi pilihan masyarakat. Perlu diingatkan, tabiat suka minum teh tarik ini kena kawal sebab risiko untuk mendapat kencing manis tetap ada.

Kalau di sini, di Karad ini, Tea tidak merujuk kepada minum petang sahaja bahkan ia tiada had masa. Bila-bila masa dan di mana saja pasti akan ditemukan teh panas. Kalau anda inginkan secawan teh, anda kena cakap, "Chay chahiye..." Chay merujuk kepada teh dalam bahasa Hindi.

Teh di sini sememangnya agak sedap berbanding di tempat kita. Mereka menggunakan susu lembu asli untuk membuatnya berbanding penggunaan susu tin di tempat kita. Semestinya susu itu perlu dipasteur terlebih dahulu untuk mengelakkan keracunan. Oleh sebab sumbernya asli, rasanya sedap juga dan tidak terlalu manis. Paling penting ia lebih selamat untuk diminum.

Susu-susu lembu di sini dijual dalam bentuk pek-pek plastik kecil. Ia boleh digunakan terus setelah dibeli. Ada juga yang dijual dalam kotak dan ditambah pengawet di dalamnya.

Bilangan lembu yang banyak memungkinkan bekalan susu lembu asli sentiasa ada. Memang ada beza dari segi rasa antara teh yang dibancuh dengan susu dalam tin dan teh yang dibuat dengan susu lembu asli.

Itulah salah satu keunikan yang ada di sini. Teh atau chay sudah begitu sinonim dengan bumi India ini. Pergi mana-mana pun tak sah kalau tak ada chay. Kalau berpeluang datang ke sini, jangan lupa cuba segelas chay mereka. Pasti anda akan teringat sampai bila-bila. (",)

Saturday, February 18, 2012

Sakit Yang Tidak Boleh Dilihat


Salam w.b.t.

Lumrah dunia hari ini, apabila seseorang itu beroleh kesenangan atau apa jua kejayaan pasti akan ada yang tidak puas hati dan inginkan nikmat itu ditarik balik daripadanya. Jiwa sentiasa gelisah dengan kesenangan orang lain. Tidak dinafikan ada juga segelintirnya yang boleh menerima segala kebaikan atau kelebihan yang ada pada orang lain.

Bagi golongan yang tidak puas hati ini, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan seseorang itu walau dengan apa cara sekalipun. Mereka ingin 'musuh' tersebut dihilangkan segala macam kesenangan hidup yang ada. Padahal yang empunya diri bukanlah hidup melarat pun. Namun dek bisikan syaitan, rasional akal untuk berbaik sangka diabaikan terus.

Surah Al-Falaq ayat 4 dan 5 ada menyebutkan perkara ini :

"Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya."

2 ayat di atas ada kaitan antara satu sama lain. Ia menggambarkan perlindungan seorang hamba kepada Allah dari kejahatan makhluk yang boleh datang dalam pelbagai bentuk. Apakah yang cuba disampaikan dari maksud simpulan dan ikatan tersebut?

Apa lagi kalau bukan ilmu sihir. Ya, sihir yang didatangkan oleh insan yang berhasad dengki sesama manusia. Apabila akidahnya lemah, ia akan menggunakan cara yang terkutuk ini untuk menyakiti manusia yang dibencinya walaupun ianya dilarang keras oleh agama.

Sihir ini ada bermacam-macam jenis. Salah satu yang popular dalam masyarakat kita ialah santau. Santau merupakan salah satu bentuk sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan serta bahan-bahan seperti miang buluh dan ulat bulu. Santau angin merupakan santau kelas pertama (1st class) dan kesannya cukup menyeksakan.

Alkisah
Pernah semasa berada dalam bas, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di utara tanahair, ditakdirkan tempat duduk saya di belakang seorang mak cik ini yang kelihatannya sebaya emak saya. Semasa menunggu bas memulakan kembali perjalanan setelah berhenti di R&R, saya pun berborak-borak sekejap dengan mak cik tersebut dan mengetahui bahawa dia telah pun mempunyai cucu. Sembang punya sembang, barulah saya perasan yang mak cik ini salah seorang mangsa santau berdasarkan ceritanya.

"Kadang-kadang bila makcik makan nasi tu, tiba-tiba rasa macam ada kaca keluar dari gusi. Habis berdarah mulut makcik nie..."

Itulah antara luahan hati makcik tersebut semasa berada dalam bas. Diceritakannya kepada saya satu persatu dengan wajah yang sudah lama terseksa sampaikan saya yang mendengarnya pun berasa kasihan dengan nasibnya. Pada masa yang sama rasa gerun juga. Yalah, selalunya dengar dari mulut orang lain tapi setelah dengar dari mangsanya sendiri, agak terkejut juga. Seram pula.

Kalau difikirkan logik akal, macam tak tercapai akalmu. Sebabnya, macam tak boleh diterima akal kaca keluar dari mulut. Miang buluh keluar dari tapak kaki tetapi itulah realitinya yang dihadapi mangsa santau. Mereka tahu sebab mereka yang merasakannya. Benda-benda mistik ini, kena percaya juga walaupun tak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan perantaraan jin dan syaitan yang terhijab dari pandangan manusia.

Perubatan Islam
Ingin saya kongsikan salah satu kaedah perubatan Islam yang boleh diamalkan untuk mengubati santau. Perubatan Islam ini, adalah satu cara berubat yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk mengubati pesakit.

*Sila rujuk surah Al-Furqan, ayat 23 :

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا (٢٣)
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

InsyaAllah, kalau tuan/puan/sahabat/adik-adik amalkan ayat ini, kita doakan supaya Allah jadikan santau itu tawar serta-merta sebagai debu yang berterbangan. Apabila amal ayat ini, pertama sekali niatkan untuk dapat keredhaan dari Allah s.w.t. Kedua niatkan untuk mengubati penyakit santau tersebut.

Mudah-mudahan, mereka yang terkena santau itu akan sembuh apabila mengamalkan ayat ini. Dan yang paling penting, mereka yang terkena gangguan sihir ini kena kuatkan semangat. Jangan manjakan diri. Hubungan dengan Allah perlu dijaga dan yakinlah, Allah itu sentiasa ada bersama kita. Yakinlah dengan kuasa Allah, kesembuhan itu sentiasa ada.


*Dikongsikan oleh Ustaz Sharhan Shafie, salah seorang pengamal perubatan Islam.



Dunia Ana Yang Punya La....


Salam w.b.t.

"Dunia dan akhirat itu ibarat dua wanita yang dimadukan. Apabila engkau senang dengan salah satu daripadanya, akan marahlah yang lagi satu."

- Saidina Ali bin Abi Talib -



Kejar dunia, belum tentu dapat akhirat. Kalau kejar akhirat, insyaAllah dunia pun akan dapat juga.

Seorang Muslim yang berpangkat profesor, kalau baca Al-Quran pun masih merangkak lagi, apalah gunanya.

Seorang Muslim yang skor straight A dalam PMR, tapi bacaannya masih di takuk Iqra' 2, sia-sia.

Tapi,

Seorang peniaga pasar malam yang sentiasa istiqamah solat jemaahnya, alangkah beruntungnya dia.

Seorang pekebun yang sentiasa berusaha mendalami ilmu agama, alangkah tenang hidupnya meskipun kehidupannya sederhana.

Wednesday, February 15, 2012

Muda Tua Sama Sahaja


Salam w.b.t.

Saya yakin dan tersangat yakin bahawa setiap Muslim tahu akan fakta di bawah ini. Setiap dari kita harus tahu bahawa fakta ini sama sekali tidak boleh dipertikaikan walaupun dibicarakan di mahkamah agung atau mahkamah tinggi.

1. Hidup di dunia ini ibarat lakonan semata-mata, hanya sementara dan tiada yang kekal abadi.
2. Kita tidak tahu di bumi manakah, bilakah maut akan datang menjemput kita.

Rasanya cukup dengan 2 fakta di atas yang wajib diketahui setiap yang bergelar Muslim.

Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasakan kematian. Namun sudahkah kita menyiapkan diri untuk menghadapinya andai masa kita sudah tiba.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Orang yang paling bijak ialah mereka yang sentiasa ingat akan mati dan membuat persiapan untuk menghadapi kematian itu.

Dan satu hal lagi, kematian tidak mengira umur seseorang. Muda atau tua, kalau ajal sudah sampai maka tidak boleh dilewatkan atau dicepatkan walau sesaat.

Rasa terpanggil untuk membuat post ini adalah disebabkan satu mesej yang baharu saya terima dari adik di Malaysia.

Kata adik, ada seorang sahabatnya (lelaki) yang baru berusia 13 tahun telah meninggal dunia setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta. Dikatakan bahawa ia berlaku ketika arwah dalam perjalanan ke sekolah pada waktu pagi apabila sebuah kereta memintas dan melanggar arwah yang berbasikal di sebelah kiri jalan. Arwah dan basikalnya telah diseret sepanjang jalan sebelum disedari oleh pemandu tersebut.

Allah..sedih dan sebak rasanya..tambahan pula arwah merupakan anak sulung dalam keluarga. Begitu mudah nyawanya diambil. Tiada siapa yang menyangka.

Semoga arwah adik itu diberikan ganjaran pahala mati syahid kerana dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Sungguh beruntung dirinya itu.

Itulah, tidak kira muda ka..tua ka..kecil ka..besar ka..sihat ka..badan ketul-ketul ka..kalau dah nama ajal yang datang, tak boleh nak tangguh dah.

Jadi, setiap apa pun yang kita buat di atas muka bumi ini, kita kena ingat yang suatu hari nanti kita akan masuk ke dalam bumi jugak. Kita berseronok di atas bumi, tapi dalam bumi belum tentu lagi ada keseronokan yang serupa. Beringatlah kita terutamanya saya sendiri dan sama-samalah buat persiapan yang sepatutnya.

Wassalam..

p/s : sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah adik itu dan kepada arwah ayah salah seorang lecturer agama saya yang telah pulang ke rahmatullah kira-kira seminggu lebih yang lepas. Al-Fatihah...


Bukan Pro-Kerajaan Mahu Pun Pro-Pembangkang


Dalam dunia belajar, kena jadi seorang yang proaktif bukannya propasif.

Proaktif?? Bendalah apa tu ha??

Proaktif tu maksudnya, buat sesuatu sebelum disuruh cikgu @ pensyarah. Orang tak suruh buat lagi, kita dah start buat.

Contohnya, cikgu suruh baca bab 1 kitab sejarah. Mereka yang proaktif akan ambil inisiatif sendiri untuk baca 4 ke 5 bab tanpa perlu tunggu arahan dari cikgu. Silap-silap habis satu buku dibacanya dari kulit ke kulit. Bila cikgu ajar bab 2 dan seterusnya, mereka lebih cepat ingat sebab dah pernah baca sebelum tu.

Macam mana? Menarik tak idea nie?

Masa tu ada sebenarnya, cuma kenalah pandai organize baik-baik.

Selamat mencuba!

Friday, February 10, 2012

MohabbaT


Salam w.b.t.

Pyar...(Cinta)

Kya hai..? (Apa itu cinta?)

Kyu hai..? (Kenapa bercinta?)

Kahaa hai..? (Di mana nak bercinta?)

Kalau pernah tengok movie Dil To Pagal Hai (kalau tak salah), babak awal cerita ada memaparkan persoalan-persoalan di atas.

Adakah kita pernah bercinta? Semestinya pernah. Bercinta dengan ibu ayah dalam erti kata menyayangi dan menghormati mereka sebagai insan yang membesarkan kita.

Mencintai Rasul dengan cara mengamalkan segala sunnah dan ajaran Baginda.

Cinta sesama insan pula? Hmmm....

Apa kata kita dengar dahulu bagaimana pengalaman cinta seorang ustaz ini. Lepas itu sama-sama nilai, berani tak agaknya nak buat apa yang pernah ustaz ini lakukan. Kalau sanggup buat, ternyata cinta itu bukanlah palsu semata-mata. (",)



p/s : rasa-rasanya, pernah tengok tak ustaz nie?

Amba Trip 2




Salam w.b.t.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."




Siap ada kek lagi tu...





Toppers... (",)







On the way to Dargah..


Kali ini akan saya jelaskan secara ringkas mengenai Dargah yang telah dijanjikan sebelum ini. Mungkin ada yang pernah dengar dari orang lain atau pernah datang sendiri melawat kawasan Dargah.

Dargah merupakan kawasan makam orang-orang alim yang pernah tinggal di sesuatu kawasan. Biasanya ia akan dihiasi sebaik mungkin dan dijaga oleh penduduk setempat. Ia dianggap sebagai tempat yang mulia dan keramat oleh sesetengah orang.

Disebabkan status Dargah tersebut, ia menjadi tempat tumpuan masyarakat Muslim termasuklah komuniti Hindu yang mempunyai hajat-hajat tertentu. Mereka akan masuk ke dalam kawasan Dargah sambil membawa bunga-bunga ala-ala pengeras untuk diserahkan kepada wakil yang menjaga Dargah. Kemudian masing-masing akan berniat mengenai perkara yang mereka hajati dengan harapan, berkat kehebatan orang alim tersebut hajat atau impian mereka akan dimakbulkan Tuhan.

Konsepnya seolah-olah bertawassul dengan roh orang-orang alim dari pandangan Islam.


Namun, melihatkan betapa kurang rigidnya masyarakat Muslim terhadap kawasan perkuburan yang patut dijaga dan dihormati, saya kira amalan mereka agak menyimpang dari cara atau kaedah yang dibenarkan agama.

Namun saya yang masih kekurangan ilmu ini tidak berani untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai perbuatan mereka. Cukup hanya melihat dan mentafsir untuk pemahaman sendiri dan menjadi iktibar kepada diri.

Itulah serba sedikit perihal Dargah yang merupakan salah satu tarikan yang ada di sini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah ditanyakan pada yang lebih arif kerana boleh jadi penerangan saya itu ada kekurangan dan cacat celanya. Tapi jangan pula ditanya pada rancangan Tanyalah Ustaz ya..hehe

Semoga perkongsian ini membuka minda kita bahawa dunia ini ada 1001 jenis manusia dengan 1001 ragam dan sifatnya.

Kamu sangka kamu dah cukup hebat sedangkan di luar sana ramai lagi yang cukup hebat dan mantap.







Thursday, February 9, 2012

Amba Trip 1


Salam w.b.t.

Dalam penciptaan langit dan bumi itu ada tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. bagi orang-orang yang berfikir. Mereka yang selalu berfikir pasti menemui penyelesaian kepada segala permasalahan yang mereka hadapi.

Lihatlah bagaimana kejayaan manusia-manusia hebat zaman dahulu seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Thomas Alva Edison dan ramai lagi yang sentiasa berfikir dan mengkaji apa sahaja yang mereka ingin ketahui.

Melihat bukit-bukau, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan yang pelbagai warna dan bentuk merupakan salah satu cara membuka minda kita betapa Allah Maha Bijaksana dan kreatif dalam segala ciptaan-Nya.

Pada kesempatan hujung minggu yang lalu, saya dan sahabat satu batch (B Batch) telah berkesempatan mengadakan lawatan (atau trip kata mat saleh) ke salah satu resort yang terletak kira-kira 60km dari tempat kami. Kami juga sempat melawat kawasan empangan yang terdapat di situ dan seterusnya meneruskan perjalanan melawat kawasan 'dargah' yang terletak di kawasan bukit.
















Nampak tak macam ada laluan ke atas?

Kita zoom sikit.

Inilah laluan bertangga yang kami kena ikut untuk sampai ke Dargah di atas sana.


Nak tahu apa tu Dargah?

InsyaAllah akan saya ceritakan kemudian, apakah dia Dargah yang orang sebut-sebut tu.

Sehingga berjumpa lagi.

Wassalam.


Monday, February 6, 2012

Rindu Sebatang Pohon Kurma


Salam w.b.t.

Pernah diceritakan bagaimana sifat cinta kepada Nabi bukan sahaja ditunjukkan oleh para sahabat Baginda bahkan sebatang pohon kurma juga ternyata mencintai dan merindui akan Rasulullah s.a.w.

Terdapat sebatang pohon kurma yang telah mati dan dijadikan sebagai tiang masjid. Suatu ketika pada hari Jumaat, sementara menunggu jemaah memenuhi masjid Rasulullah s.a.w. akan berpaut pada pohon kurma tersebut dan menyampaikan khutbah. Apabila jemaah semakin ramai, Baginda bergerak ke mimbar masjid supaya dirinya dapat dilihat oleh jemaah ketika berkhutbah.

Ketika sedang berkhutbah, tiba-tiba kedengaran suara tangisan seperti tangisan anak kecil yang kehilangan ibunya. Para sahabat menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari-cari dari manakah datangnya tangisan itu. Rupa-rupanya tangisan tersebut datang dari sebatang pohon kurma yang Rasulullah s.a.w. pernah berpaut padanya sebelum itu.

Semakin lama bunyi tangisan semakin kuat. Makin meninggi suara tangisan itu.

Allah... Begitu rindunya pohon kurma itu kepada Nabi walaupun hanya berpisah sekadar 8 langkah dari pohon kurma tersebut ke mimbar masjid. Hanya 8 langkah perpisahan dan bukannya perpisahan yang melangkau jauhnya masa dan tempat. Sungguh tinggi kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w. walaupun ia tumbuh-tumbuhan semata.

Kemudian, Rasulullah menghentikan khutbahnya dan turun dari mimbar dan menuju ke arah pohon kurma itu. Baginda mengusap-usap pohon itu sepertimana perbuatan seorang ibu kepada anaknya ketika menangis.

Lama-kelamaan...suara tangisan mula perlahan sedikit demi sedikit, sehingga ia lenyap.

Betapa mulianya akhlak Rasulullah s.a.w. sehingga pohon kurma itu pun kasih dan sayang kepada Baginda dan tidak mahu berpisah dengannya.

Sungguh, terasa kerdil diri ini membaca kisah yang begitu meruntun jiwa. Betapa tingginya rasa cinta dan rindu salah satu makhluk ciptaan Allah terhadap Rasulullah s.a.w.

Kita, manusia yang punya akal dan perasaan pula bagaimana?

*Petikan kuliah Habib Ali al-Jufri..


Sunday, February 5, 2012

Mengingati Manusia Agung



Salam w.b.t.

Alhamdulillah sekali lagi Allah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan salah satu peristiwa besar dalam kalendar Islam, iaitu peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun di sana wujud beberapa perselisihan pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran Baginda, kita sebagai umat Islam harus bersatu dan berusaha memahami kenapa Nabi diutuskan ke dunia ini.

Kita sebagai umat akhir zaman harus sedar, perjuangan Nabi tidak hanya terhenti pada zaman dahulu sebaliknya umat hari ini perlu berusaha menghayati dan mengamalkan ajaran Islam serta menyebarkannya kepada orang lain.

Jadi, mari kita cuba kenal dan kaji bagaimanakah peribadi yang hebat ini dari segi jasad dan ruhnya (jasadan wa ruhiyyan). Apabila kita sudah kenal, maka barulah kita boleh terbitkan rasa cinta kepada Baginda sebagaimana cinta dan setianya para sahabat kepada Nabi. Hendak cinta dan kasih kepada manusia agung yang tidak pernah ditemui ini memerlukan kesungguhan dan keinginan yang tinggi, seolah-olah ingin berjumpa dengan Baginda secara berhadapan. Andai perasaan itu sudah ada, alangkah indahnya hidup ini, alangkah amannya dunia ini dengan perasaan kasih sayang.


Khatimul Anbiyaa'. (Sumber)

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. itu diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan. Tiada manusia lain yang diciptakan Allah seindah penciptaan Nabi s.a.w. Alangkah hebatnya susuk tubuh yang mulia ini.

Secara zahirnya, mata Nabi kita besar dan luas sesuai dengan wajahnya. Matanya bercelak secara tabi'i. Terciptanya Nabi itu wangi, menyenangkan sesiapa sahaja yang berdamping dengan Baginda.

Mata hitamnya memang hitam. Manakala mata putih tidak putih macam kertas, ada sedikit bercampur dengan kemerahan. Gigi Baginda pula jarang di hadapan.

Secara jasadnya, apabila orang melihat Nabi mereka akan merasa takjub dan kagum. Ia suatu perasaan yang susah untuk ditafsirkan. Melihat Baginda berjalan sahaja sudah mengundang rasa kagum yang teramat. Subhanallah.

Ketika berjalan, kaki hadapannya memijak tanah dengan kemas seolah-olah sedang menuruni bukit. Kaki belakangnya pula diangkat kemas. Nabi berjalan cukup kemas dan pada masa yang sama, laju sepertinya bumi dilipat untuk Nabi.

Memang fitrahnya Nabi berjalan cepat, sampaikan para sahabat yang sedang berjalan bersama Baginda terpaksa berjalan seperti berlari-lari anak. Nabi juga akan menyuruh sahabat berjalan di hadapan Baginda.

Itulah sedikit sebanyak perkara mengenai Nabi kita secara jasad.

Hebat kan jasad Baginda. Sebab apa hebat jasadnya? Jasad yang hebat itu, kerana rohnya yang juga hebat. Roh dan jasad saling berkait antara satu sama lain. Kuat roh, kuatlah jasadnya.

Ketika Nabi berbicara, ia sangat menarik perhatian. Semua orang akan menumpukan perhatian kepada percakapan Nabi. Semuanya mendengar dengan teliti bait-bait percakapan Baginda.

Ketika Nabi melihat sesuatu yang takjub, Baginda akan membalik-balikkan tangannya.

Perumpamaan ketika Nabi berkhutbah dan berbicara, seolah-olah Baginda sedang mengetuai bala tentera di medan perang. Cukup bersemangat dan bersungguh. Tinggi suaranya ketika berbicara dengan penuh semangat.

Diriwayatkan dari Jabir ibni Abdillah :

Nabi Muhammad s.a.w. apabila berkhutbah, merah kedua matanya.

Kalau bercakap tentang hari kiamat, Nabi akan bersemangat sekali untuk mengingatkan bahawa akhirat itulah yang kekal abadi.

Tidak terbanding rasanya kita dengan peribadi yang bernama Muhammad bin Abdullah ini. Jauh. Sangat jauh.

Sebab itulah sangat wajar kita menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan. Segala sunnah Baginda kita amalkan dalam kehidupan. Itulah bukti cinta kita kepada Baginda walaupun sudah lama Nabi tinggalkan kita.

Salah satu cara yang paling mudah tanda kita ingat kepada Nabi, adalah dengan sentiasa berselawat kepada Baginda. Mudah bukan?

Kata hendakkan syafaat Nabi. Jadi kenalah banyak-banyak ingat kepada Baginda supaya Nabi sentiasa hidup dalam diri kita.

Saya menasihati kita semua lebih-lebih lagi saya sendiri, marilah kita pakat-pakat banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. mulai hari ini sehingga hari kita menghembuskan nafas yang terakhir.

'Allahumma Sholli 'alaa Muhammad, Wa 'alaa Aalihii wa Shohbihii Wasallaam...'

*Petikan kuliah Ustaz Zainul Asri Haji Ramli,
Kuliah Hadis
Masjid Al-Bukhari, Pantai Johor...

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...