Saturday, June 30, 2012

Ar-Rais Al-Jadid

Salam w.b.t.

Kemenangan calon Ikhwanul Muslimin (IM), Dr. Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir yang diumumkan pada 24 Jun 2012 yang lalu merupakan satu berita yang cukup menggembirakan buat dunia amnya dan buat penduduk Mesir khususnya. Setelah hampir setahun revolusi yang berlaku di sana, keputusan pilihanraya Presiden baru-baru ini memberi petanda baik akan pemulihan negara dari pelbagai aspek selepas ini.

Rakyat Mesir sudah boleh menarik nafas lega dengan kemenangan Dr. Morsi kerana beliau sememangnya layak dan berkebolehan untuk membawa perubahan dan keamanan kepada rakyatnya. Saya percaya sokongan yang padu masih diberikan kepada Ikhwanul Muslimin walaupun mereka ditentang oleh golongan yang tidak mahu melihat kebangkitan Islam di bumi piramid tersebut.



Majoriti masyarakat di luar sana begitu yakin bahawa Dr. Morsi dapat mentadbir negara dengan adil lebih-lebih lagi beliau seorang hafiz Al-Quran. Keluarganya juga turut menghafaz Al-Quran dan ini merupakan nilai tambah kepada pelantikannya sebagai presiden. Semoga roh Islam terus mekar dalam dirinya dan menteri-menteri di bawahnya ketika memerintah negara kelak.

Melihatkan situasi politik yang semakin stabil, berhajat juga hendak ke sana suatu hari nanti. Abah mengatakan bahawa beliau pernah menjejakkan kaki di Dataran Tahrir ketika menuntut di sana dahulu. Melalui cerita sahabat-sahabat yang pernah berkelana ke Mesir, perasaan untuk merasa sendiri bagaimana kehidupan di sana membuak-buak bagaikan air dalam cerek yang sudah lama mendidih. Sungguh bersemangat dan tidak sabar rasanya.

Beruntung buat mereka yang berpeluang belajar di sana kerana di bumi Anbia itu, mereka sentiasa berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah yang dikaitkan dengan Nabi-Nabi terdahulu. Tengok Sungai Nil, teringat kisah Saidina Umar dan Nil yang pernah kering suatu ketika dahulu.

Seorang junior yang beragama Hindu turut bimbang dengan keadaan politik Mesir yang tidak stabil kerana katanya, Mesir itu ibarat pusat kepada ilmu Islam sedunia. Apabila sebut Mesir, orang pasti akan terbayang pengajian Islamnya. Begitu juga apabila sebut Vatican City, maka orang tahu itu pusat Kristian yang sangat penting.

Diharapkan Dr. Morsi dan ahli kabinetnya yang baru dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab seterusnya menjadi contoh kepada Presiden negara lain. Beliau bukan sahaja membawa imej keluarganya dan Ikhwanul Muslimin bahkan imej Islam turut diwakili olehnya.

Mari kita sama-sama mendoakan kesejahteraan beliau dalam mentadbir Mesir pasca revolusi. Semoga bumi Anbia kembali damai dengan pemerintahan yang baru ini.

p/s : Sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin yang adil...

Friday, June 29, 2012

Buka Buku La Weh...

Salam w.b.t.

Pernah dengar lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif? Ia antara lagu yang popular suatu ketika dahulu dan mungkin sekarang ia masih menjadi lagu kesukaan remaja hatta retua.

Lagu tersebut menceritakan perkenalan antara pemuda dan pemudi di alam maya yang semuanya dirasakan manis-manis belaka. Saya tidak mahu bercerita lebih panjang mengenai lagu itu kerana saya yakin sudah ramai yang arif apa maksud yang cuba disampaikan oleh bait-bait liriknya.

Kali ini ingin saya kongsikan pula satu lagu yang tidak kurang gahnya untuk dinikmati sebagai salah satu alternatif kepada lagu cinta mukabuku. Lagu ini juga sesuai untuk semua peringkat umur terutamanya kepada para remaja di luar sana.

Semoga media massa yang wujud dapat dimanfaatkan kepada sesuatu yang berfaedah bagi masyarakat.

video


Wednesday, June 27, 2012

Guru Yang Dikasihi


Salam w.b.t.

Salah seorang 'ulama yang saya suka untuk mengikuti kuliahnya ialah Ustaz Zainul Asri Bin Hj. Romli. Beliau merupakan Mudir Darul Hadis Alor Setar yang begitu gigih memberikan pemahaman mengenai hadis-hadis Rasulullah s.a.w. melalui kuliah dan ceramah serta berusaha menghidupkan kembali sunnah yang Baginda tinggalkan kepada kita umatnya.

Tutur katanya yang lembut dan berhikmah saat berbicara, menarik minat sesiapa sahaja untuk mendengar kuliahnya serta menghadam segala isi yang cuba disampaikan. Terkadang diselitkan dengan situasi yang berunsur jenaka, yang mungkin pelik bagi masyarakat kita kerana ia tidak pernah dilakukan namun sah dari segi syarak.

Beliau sudah saya anggap seperti guru saya, walaupun saya bukan anak muridnya yang formal. Namun cukuplah segala ilmu yang dicurahkan sama ada melalui kuliah yang dihadiri oleh saya atau yang dimuat turun daripada internet menjadi bukti beliau salah seorang pendidik dalam kehidupan saya.

Kali ini ingin saya kongsikan salah satu kuliah Ustaz Zainul Asri mengenai perwatakan Nabi kita dalam kehidupan seharian Baginda.

Apa yang Nabi suka pakai? Bagaimana perlakuan Baginda bersama para sahabat ketika berurusan dengan mereka sehingga menjadi teladan kepada masyarakat ketika itu.

Memandangkan internet yang super slow, maka saya cuma letakkan link di sini supaya kita sama-sama dapat menghayati kesempurnaan akhlak cerminan Al-Quran yang ditunjukkan oleh Baginda.


Alangkah indahnya jika kita juga mencontohi segala yang Baginda ajarkan kepada kita kerana di sana ada hikmah dan ganjaran yang menanti sesiapa yang memelihara sunnah-sunnah tersebut.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Friday, June 22, 2012

Muhasabah dan muhasabah


Kata seorang ulama, mencuci hati itu perlu dilakukan sepanjang masa dan perlu berterusan. Ia bukannya seperti mencuci pakaian yang kotor, yang jika dilakukan pada waktu pagi, ia tidak diulang pada waktu petang dan begitu sebaliknya.

'Hati' yang bersih akan menzahirkan perbuatan yang baik dan dipandang mulia. Hati itu ibarat raja, manakala anggota badan umpama hulubalang istana yang setia menurut perintah sang raja.

Terkadang diri ini juga pernah hanyut dalam keseronokan duniawi yang sementara. Melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya ada dalam diari hidup seorang Muslim yang beriman dengan Hari Pembalasan.

Mengaku Allah Maha Melihat, namun terus-terusan bergelumang dalam maksiat yang menjanjikan keseronokan yang palsu semata-mata.

Menyalahgunakan nikmat pancaindera yang Dia berikan secara percuma. Mata masih melihat perkara-perkara yang haram dilihat, telinga masih mendengar sesuatu yang melalaikan, lidah petah mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati manusia lainnya.

Mungkinkah hati ini sudah terlalu pekat dengan dosa? Sehingga ia berubah warna, dan menjadi hijab kepada memori jangka masa panjang (long-term memory).

Ahh, di manakah silapnya?

Semoga aku masih sempat bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kerana esok belum tentu aku akan dapat menghirup nikmat udara di dunia ini seperti yang sedang dinikmati hari ini.

Wahai yang membolak-balikkan hati, tunjukkan 'hati' yang satu ini kebenaran yang hakiki untuk menggapai keredhaan sebagai hamba-Mu...

p/s : aku sekarang, jadilah seperti aku yang dahulu...

Tuesday, June 5, 2012

Di Sebalik Kekuatan Bangsa


Salam w.b.t.

Apabila kita sebut mengenai jiwa, apakah yang terbayang dalam fikiran ketika ini?

Jiwa, sesuatu yang abstrak dan subjektif. Ia bukanlah sesuatu yang dapat dilihat secara fizikal dan tidak mempunyai bentuk tertentu. Ia bukanlah bulat mahupun lonjong, merah atau hitam, panjang atau pendek.

Ia merupakan suatu entiti yang berkait rapat dengan roh atau spiritual seseorang itu. Manusia atau sesuatu yang bernyawa mempunyai jiwa. Sebab itu mereka yang tidak terkawal jiwanya digelar pesakit jiwa. Mungkinkah haiwan yang berkelakuan aneh sebelum terjadinya bencana alam itu pun menepati ciri-ciri sakit jiwa?

Mereka yang bercita-cita tinggi dan bersemangat kental, dikatakan orang yang berjiwa besar. Datanglah apa jua cabaran atau kesusahan, semuanya dapat dilalui dengan baik.

Bercakap mengenai jiwa atau roh, Rasulullah s.a.w. sendiri ada bersabda mengenai sedikitnya pengetahuan Baginda mengenai roh apabila ditanya oleh sahabat. Roh dan segala yang berkaitan dengannnya merupakan urusan Allah yang Maha Mengetahui.

Jiwa dengan manusia ini saling berkait antara satu sama lain. Kalau tidak masakan ada kata-kata yang berbunyi "Bahasa Jiwa Bangsa". Sesuatu bangsa yang wujud di bumi ini, jiwa ataupun essence bangsa itu adalah bahasa pertuturan sehari-hari yang berbeza satu dengan yang lain. Survival sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui penggunaan bahasa yang masih kekal dipraktikkan.

Bahasa percakapan dan penulisan seharusnya digunakan dengan betul. Kalau kita sendiri yang tidak menjaga nilai dan kualiti bahasa, bimbang suatu hari nanti bahasa itu akan terkubur begitu sahaja. Sekurang-kurangnya, kita harus cuba menggunakan bahasa dengan betul kerana apa yang dicakapkan melambangkan peribadi bangsa itu sendiri.

Kalau percakapannya sentiasa bercampur baur dengan bermacam jenis bahasa, boleh jadi maklumat itu sukar untuk difahami lalu mengakibatkan penafsiran yang salah.

Sama juga ketika kita menulis sesuatu artikel atau karangan untuk menjadi tatapan umum. Kalau sekadar hendak menghantar mesej ringkas (SMS) kepada orang lain, mungkin perkataan yang diringkaskan itu tidak menjadi masalah kerana ruang menulis yang terhad.

Namun, kalaulah hendak update status facebook atau menghantar e-mail pun masih beringkas-ringkas, nampak sangat sikap kemalasan dan kurang prihatinnya kita kepada bahasa dan bangsa kita sendiri. Sedikit-sedikit itu mungkin boleh ditoleransi lagi, tetapi kalau semua perkataan hendak diringkaskan, susah juga jadinya untuk orang faham apa yang hendak disampaikan.

Saya sendiri pun terkadang ada juga menggunakan perkataan yang diringkaskan. Sebaiknya kita cubalah sedar dan ambil perhatian yang serius dengan perkara ini.

Sebelum mengakhiri perkongsian kali ini, mari kita teliti dan perhatikan beberapa contoh kesalahan penggunaan bahasa (dalam bahasa Inggeris) supaya kita lebih sensitif dan tahu apa yang patut dan tidak patut dilakukan kelak.

Apa yang baik itu kita ambil dan amalkan, yang buruk kita jadikan sempadan sebagai peringatan dalam kehidupan.







                                                                               Sumber

Monday, June 4, 2012

3 Cawan Teh Tarik


Salam w.b.t.

Pendidikan merupakan salah satu bidang yang sangat penting kepada sesebuah negara. Kemajuan sesebuah negara itu bukanlah terbatas kepada soal pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya pembinaan insan yang berjiwa kental dan berpengetahuan luas juga harus dititikberatkan.

Apalah gunanya segala kemudahan yang ada andai manusia tidak memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin. Segala kemudahan itu akan dihargai dan berkekalan sekiranya manusia yakni kita berilmu dan mempraktikkan ilmu yang kita pelajari sepanjang hidup ini.

Dalam Al-Quran sendiri Allah ada mengungkapkan suatu pernyataan mengenai mereka yang berilmu. Dia menyoal :

"Adakah sama antara mereka yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui?"

Sungguh, wujud jurang yang besar dan nyata antara dua kumpulan manusia itu. Kita tergolong dalam golongan yang mana?

Guru, Secekal Hatimu
Insan yang mendidik dan memberi pengajaran kepada kita, itulah guru..cikgu..ustaz..ustazah..mu'allim..teacher..lao she..lehrer..sir..dan sebagainya yang banyak berjasa kepada kita sedari kita menuntut di tadika lagi..

Tanpa mereka, tidak mungkin kita kenal A, B, C, 1, 2, 3. Tanpa ketabahan dan kesabaran mereka, tidak mungkin kita berjaya menulis esei di blog-blog yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tanpa kegarangan mereka, tidak mungkin juga kita boleh mengingat segala past tense, present tense mahupun future tense beserta tense-ionnya perasaan ketika mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan.

Berkat doa mereka dan ibu ayah, kita dapat melalui saat-saat genting seorang pelajar dengan baik dan tenang. Boleh kata, guru seolah-olah ibu ayah kedua bagi kita.

Hendak Seribu Daya
Rasa kagum dan tersentuh ketika membaca sebuah buku bertajuk 3 Cups of Tea hasil karya Greg Mortenson dan David Oliver Relin. Ia menceritakan liku-liku perjuangan seorang pendaki gunung iaitu Dr. Greg Mortenson dalam usahanya memperjuangkan pendidikan kepada golongan perempuan di Pakistan dan Afghanistan dan mengurangkan jurang kemiskinan yang menjadi masalah utama penduduknya.


Dalam usahanya yang murni itu, Dr. Greg berdepan dengan pelbagai cabaran yang hampir melemahkan semangatnya untuk berbakti kepada penduduk di kawasan pergunungan Himalaya tersebut. Namun berkat ketabahan dan kecekalannya, satu demi satu sekolah yang dirancang berjaya dibina dan dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kehidupan masyarakat di situ.

Melalui pendidikan, kehidupan masyarakat menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Sungguh kagum diri ini melihatkan usaha yang dilakukan oleh Dr. Greg terhadap masyarakat yang berlainan agama dan bangsa darinya. Semoga suatu hari nanti, beliau diberikan hidayah oleh Allah kepada Islam kerana usahanya itu telah membuka jalan kepada orang lain untuk terus menuntut ilmu sesuai dengan ayat pertama dari Surah Al-'Alaq yang menyeru manusia supaya "Membaca".

Tradisi Ilmu Melalui Pembacaan
Kegiatan membaca rakyat di negara kita masih rendah berbading negara-negara lain. Tidak dinafikan ada saja golongan ulat buku, tetapi jumlahnya masih kecil dari golongan remaja sendiri. Baru-baru ini, Pesta Buku Antarabangsa telah berlangsung di PWTC. Diharapkan minat membaca dapat dicetus kembali dalam kalangan remaja terutamanya.

Walaupun kini sumber ilmu boleh didapati melalui internet atau e-buku, peranan buku yang boleh disentuh dan dicium itu jangan sekali-kali dinafikan peranannya yang boleh menggoncang hati dan perasaan saat membacanya. (",)

Saturday, June 2, 2012

Guaneee Agaknya Nasib Si Mubarak...


Salam w.b.t.

Setelah melalui pembicaraan di mahkamah, akhirnya Hosni Mubarak telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Keputusan mahkamah tersebut mendapat reaksi yang kurang menyenangkan oleh rakyat Mesir yang berpendapat hukuman tersebut tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan oleh bekas pemimpin itu.

Berbanding kekejamannya membunuh para penentang rejim pemerintahannya, hukuman tersebut dilihat tidak mencukupi bagi menjadi penawar kepada ahli keluarga yang terkorban pasca revolusi yang berlaku untuk menumbangkan rejim diktator yang berkuasa hampir 30 tahun itu.

Hakim yang diamanhkan untuk mengadili kes tersebut sudah pasti menggalas tugas yang berat dan mencabar. Nasib dan masa depan Mesir sedikit sebanyak terletak di tangannya juga. Hakim mestilah bersikap dengan bijak (hakim) dan tidak berpihak kepada mana-mana anasir luar.

Pada mulanya keputusan mahkamah disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat Mesir. Namun selepas itu penduduknya marah dan berang dengan keputusan itu, di mana mereka mula berkumpul di Dataran Tahrir (Tahrir Square) seperti yang dilaporkan oleh saluran Al-Jazeera English sebentar tadi.

Apa-apa pun, kita semua mendoakan supaya masa depan Mesir lebih cerah selepas ini. Semoga situasi politik dan ekonominya menjadi lebih stabil melalui perjuangan rakyatnya beserta kiriman doa dari kita semua. Bumi Mesir itu, bumi para Anbia yang mulia. Bumi yang menyimpan sejarah perjuangan para Nabi yang tidak ternilai bagi umat Islam.

p/s : Mengenang kembali salah satu program Jejak Rasul bertajuk 'Mesir Bumi Anbia'..teringin rasanya hendak ke sana suatu hari nanti..insyaAllah..
p/ss : Ketika Hosni Mubarak ditahan dalam penjara, seorang akhi ada menceritakan bagaimana ucapan ketika sambutan Ramadan di Mesir turut terkena tempiasnya.
Kata penduduk Mesir, "Ramadan Kareem..laa Ramadan Mubarak..Mubarak fi Sijn.." (Ramadan Yang Dimuliakan..bukan Ramadan Mubarak sebab Mubarak dalam penjara..)

PTPTN vs Pendidikan Percuma


Salam w.b.t.

Menyaksikan debat antara Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin baru-baru ini sesuatu yang mengkagumkan buat diri ini. Segala hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua orang pendebat cukup membuka minda kita betapa masalah pendidikan tinggi negara sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Membincangkan isu pemansuhan PTPTN dan halatuju pendidikan tinggi negara, saya kira semestinya kita mendapat banyak maklumat mengenai tujuan PTPTN diwujudkan dan sejauh mana ia membantu golongan pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) mahupun Institut Pengajian Tinggi Swasta(IPTS). Melalui debat tersebut juga dapat kita tahu, berapa banyak dana yang diperuntukkan kepada sistem pendidikan negara kita sendiri.

Sedikit sebanyak ia membuka mata dan minda kita terutamanya golongan bumiputera yang mendapat bantuan tersebut. Kalau tidak kerana bantuan tersebut, mungkin peluang untuk menyambung pelajaran sedikit terbantut.

Terdapat juga negara yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sejak dari tadika sehingga ke peringkat Ph.D. Antaranya Finland, negara pengeluar Nokia. Inilah yang dijanjikan oleh PKR sekiranya mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan kelak.

YB Khairy pula menjelaskan walaupun terdapat pelajar yang enggan membayar balik pinjaman PTPTN, ia hanyalah dalam peratusan yang kecil. Pegawai yang bertugas memberikan tempoh-tempoh tertentu kepada pelajar setelah menamatkan pengajian mereka dan tiada paksaan mengenai jumlah yang ingin dibayar. Sedikit pun tidak mengapa asalkan akaun pembayaran tersebut diaktifkan. Begitulah katanya.

Bagi pendapat peribadi saya, debat tersebut suatu langkah yang bijak dan memberi pencerahan kepada saya mengenai sistem pendidikan negara kita dan bagaimana dana-dana negara diuruskan oleh kerajaan. Susah sebenarnya hendak menguruskan sejumlah wang yang banyak ini.

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh saudara Rafizi, memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.

"Kita merupakan negara yang mempunyai infrastruktur kelas pertama, namun rakyatnya masih bermentaliti kelas ketiga."

Ada benarnya kenyataan tersebut. Buktinya? Sama-samalah kita fikirkan ya.

Bagi mereka yang masih belum melihat video debat tersebut terutamanya golongan siswa siswi, saya sarankan anda luangkan sedikit masa menontonnya dan memikirkan segala yang dibincangkan dalam program itu. Barulah kita boleh menilai sendiri bagaimanakah tahap pendidikan negara kita.






Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...