Saturday, May 13, 2017

Jururawat, oncall & postcall


Salam w.b.t.

Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor dan pesakit memberikan rawatan yang sebaiknya. Jasa mereka tidak kurang hebatnya dalam memberikan khidmat kepada pesakit.

Merekalah yang akan menyiapkan katil bagi pesakit yang baru masuk ke wad. Mereka juga akan mengemas katil pesakit setiap pagi. Sekiranya pesakit membuang air besar, mereka jugalah yang akan membersihkan pesakit yang tidak berkemampuan atau yang tiada penjaga.

Tanpa mereka, mungkin saya tidak akan pandai menjahit luka episiotomy dengan baik. Mereka sabar dalam memberikan tunjuk ajar, walaupun kadang-kadang ada juga masa di mana mereka stress dengan pesakit.

Tugas jururawat sedikit sebanyak meringankan beban doktor yang bekerja oncall (atas panggilan). Saya kira, anda pasti dapat bayangkan bagaimana sibuknya ketika oncall, kerana ketika itu bilangan doktor yang bekerja berkurangan sebaliknya, bebanan kerja meningkat.

Banyak pesakit yang harus diperiksa di wad, di samping perlu juga melakukan rondaan di wad-wad jabatan lain yang merujuk kepada jabatan kita sendiri. Pada ketika itu, segalanya harus dipersiapkan, lebih-lebih lagi mental perlu kuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Setelah habis oncall, doktor yang bertugas sudah boleh berehat dan pulang ke rumah. Ia dipanggil sebagai postcall period, di mana pelbagai kemungkinan juga boleh berlaku kepadanya.

Sewaktu postcall inilah, para petugas kesihatan lebih terdedah kepada bahaya di jalan sekiranya tidak mendapatkan rehat yang cukup. Banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan doktor disebabkan kurangnya rehat setelah penat bekerja.

Tak usah lihat jauh, saya sendiri pun pernah juga terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu postcall. Ketika itu, saya berada di posting jabatan Perubatan (Medical) dan ditugaskan untuk menjaga wad 1st class.

Mungkin disebabkan saya balik lewat hari itu, ditambah dengan stress setelah habis kerja serta tidur yang kurang, saya tidak dapat memberikan tumpuan semasa memandu. Mujurlah tiada kemalangan jiwa, namun kereta yang dipandu pula yang menjadi mangsanya.

Buat petugas kesihatan yang postcall, silalah dapatkan rehat yang secukupnya dahulu sebelum pulang ke rumah. Tidur di hospital untuk seketika waktu. Kalau ada ahli keluarga yang datang ambil, tidak mengapa kalau hendak terus balik rumah. Namun, kalau kalian hendak memandu sendiri, jangan dipaksa diri untuk terus balik. Badan kita juga punya hak untuk berehat.

Beringatlah sebelum kena.

Sekian, wassalam...

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...