Sunday, November 7, 2010

Langit Semakin Kelam

Bajet 2011 telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri kita. Salah satu perancangan yang nak dilaksanakan adalah pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat. Ianya membabitkan kos RM5 bilion dan dijadualkan siap pada tahun 2020.

Satu lagi bangunan yang bakal menjadi mercu tanda bagi Malaysia selain Menara Berkembar Petronas. Boleh juga kita katakan ia sebagai bangunan pencakar langit yang bakal membawa imej baru negara kepada pelancong luar. Mungkin juga.

Tiba-tiba aku teringat kata-kata Maulana 'Imran Hosein dalam salah satu syarahannya, ketika First International Islamic Retreat,

"One of the Signs of The Last Hours is, when you'll find people competing in the construction of tall and large building. You'll be blinded by those construction, you'll not recognize it. "

Kita sedia maklum akan tanda-tanda akhir zaman yang kian banyak dalam kehidupan ini. Salah satunya, pembinaan bangunan pencakar langit. Masing-masing berlumba untuk membangunkan bangunan yang tinggi dan tersergam indah semata-mata untuk menunjukkan kemajuan negara. Yang kaya akan semakin kaya dengan perancangan untuk menggunakan hartanya ke jalan yang tidak sepatutnya.

Kata beliau lagi,

"They measure progress on the basis of height, not based on the character, integrity or faith or beauty of personality."

Kemajuan itu diukur dengan sifat fizikal semata. Bukannya ia dilihat berdasarkan keimanan dan kecantikan budi pekerti. Padahal, sifat lahiriah itu tak semestinya mencerminkan kehebatan seseorang melainkan akhlak yang terpuji harus diambil sebagai sandaran.

Bukannya aku membangkang projek mega tersebut. Namun, pada pandangan peribadiku, peruntukan yang banyak itu lagi berfaedah kalau ia digunakan untuk membiayai keluarga-keluarga miskin yang semakin bertambah dek keadaan ekonomi yang tidak menentu. Salurkan ia kepada mereka yang lebih berhak untuk menerimanya. Itulah salah satu cara pengurusan wang yang berkesan demi amanah yang dipertanggungjawabkan.

Kalau nak harapkan wang zakat, kenapa timbul persoalan lebihan wang zakat ? Adakah ianya telah diagihkan secara adil dan saksama ? Kalau betul ia sudah dibahagikan, kenapa masih ada yang hidup merempat ?

Sifat amanah mesti kita tanamkan dalam diri. Apabila ada rasa amanah, baru kita berasa lebih bertanggungjawab. Kita akan manfaatkan segala apa yang kita ada untuk kebaikan orang lain. Boleh jadi wang yang kita ada, sebahagiannya adalah milik orang lain. Tak bolehlah kita gunakan amanah itu sewenang-wenangnya.

Mungkin mereka punya alasan tersendiri untuk membina bangunan tersebut. Mungkin ia banyak bawa keuntungan kepada negara apabila ia siap nanti. Apa yang lagi penting, prioriti kita terhadap sesuatu tindakan yang kita nak buat. Yang mana patut dilakukan, dan yang mana mesti dielakkan agar kita tak menyesal di kemudian hari.

p/s : Macam mana pula dengan amanah belajar ? Aku takut amanah menuntut ilmu yang aku sedang pikul ini tak dijalankan dengan baik. Semoga aku dapat jaga amanah ini dengan baik. Bukan aku seorang bahkan mereka yang masih bergelar pelajar mesti sedar amanah ini suatu yang harus dimanfaatkan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...