Wednesday, May 15, 2013

Semanis Kurma


Salam w.b.t.

Setiap orang ada minat atau kesukaan masing-masing dalam hidup mereka. Minat tersebut boleh jadi sudah ada sejak kecil lagi dan boleh jadi ia mula dipupuk sejak seseorang itu berada di alam remaja.

Apabila seseorang itu ada minat dan kecenderungan terhadap sesuatu, dia akan melakukannya secara suka dan rela tanpa ada paksaan oleh orang lain. Dia akan melakukannya dengan ikhlas dan berterusan serta serius sehingga tugas tersebut selesai dengan jayanya. Inilah salah satu faktor yang memberi motivasi kepada kita, iaitu minat yang hidup mekar dalam diri.

Kalau kita bercakap pasal minat itu kepada orang lain, sudah tentu kawan yang mendengar itu akan terlopong sambil menggeleng-geleng kepala melihatkan kesungguhan kita bercerita. Ya, kalau bercerita pasal minat, kita pasti akan menjelaskan kepada orang lain sebaik dan sejelas yang mungkin dengan riak yang penuh energi (baca:bertenaga nuklear).

Haa..kenapa jadi macam tu agaknya?

Sebabnya, kita sudah pun merasakan kemanisan iman, eh silap. Kita sudah merasakan nikmatnya apabila kita melakukan apa yang kita minat dan suka. Nikmat dan minat, hampir serupa dan ada hubungkait antara satu sama lain. Oleh sebab nikmatnya kita menjamu selera di Restoran Ayam Terpenyek, kita mahu orang lain turut merasa kesedapan makanan yang ada di situ. Kita mula menceritakan kepada yang lain, apa menu yang wajib dibeli di situ sambil mereka mendengar dengan penuh khusyuk dan penuh rasa tidak sabar untuk menjamahnya suatu hari nanti.

Begitulah yang sepatutnya kita rasakan apabila menjadi seorang yang beragama Islam dan berstatus Muslim. Kita sepatutnya merasakan kemanisan dan keseronokan menjadi seorang Muslim dan menyampaikannya kepada orang lain. Sudah semestinya, prioriti harus diberikan kepada mereka yang seagama dengan kita terlebih dahulu.

Betapa ramai mereka yang di luar sana lahir dalam keluarga yang sudah beragama Islam, mempunyai nama Islam yang indah-indah sebagai identiti namun dirinya masih penuh dengan nilai-nilai Jahiliyyah. Ini tidak sepatutnya berlaku, kerana identiti harus selari dengan amalan dalam kehidupan kita. Identiti harus seiring dengan akhlak Islami.

Persoalannya, sudahkah kita merasakan kehebatan, kenikmatan sebagai seorang Muslim dan Mukmin? Adakah kita mahu orang lain turut merasakan perasaan sedemikian?

Baru-baru ini movie Iron Man terbaru sudah pun keluar di panggung wayang. Semuanya begitu teruja untuk pergi menontonnya secara berjemaah di mana-mana sahaja yang ada menawarkan perkhidmatan skrin jalur lebar dengan sistem suara yang mantap. Apabila selesai cerita, semuanya berpuas hati dan teruja buat kedua kalinya dengan jalan cerita yang begitu menarik dan penuh dengan unexpected events.

Semuanya bercerita mengenai movie itu. Rancak dan penuh girang sambil melakonkan sedikit babak yang ada. Mereka-mereka yang masih belum menontonnya mula berasa tidak senang duduk dan mula merancang bilakah agaknya dapat diluangkan masa untuk melihat Lelaki Besi tersebut.

Jadi sahabat-sahabat yang dimuliakan, marilah kita sama-sama berusaha mencari keseronokan dan kehebatan yang ada pada agama kita supaya kita juga lebih bersemangat untuk menceritakannya kepada orang lain. Walaupun ia hanya sepotong ayat, kalau kita faham betul-betul maksud yang hendak disampaikan, tidak mustahil akan ada yang mungkin terkesan dengan penyampaian kita itu.

Wallahua'laam...

Selamat beramal! =)

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...