Salam w.b.t.
Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam kalendar tahun 2013 Masihi. Hari di mana rakyat Malaysia akan menentukan siapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan kelak.
Dan sekarang, meniti detik-detik pilihan raya, pasti ramai yang sudah pulang ke tempat masing-masing untuk mengundi.
Setiap calon yang bertanding mula mempamerkan pelbagai strategi untuk meraih undi rakyat. Salah satu caranya adalah dengan menunjukkan kebaikan calon yang bertanding untuk menarik hati para pengundi memilih mereka sebagai pemimpin.
Tak salah hendak jadi baik. Ia sangat dianjurkan oleh semua agama di dunia ini.
Tapi, nak jadi baik ni, janganlah ia baik yang bermusim semata-mata. Bila ada sebab yang tertentu saja, barulah mula hendak jadi sebaik malaikat. Persoalan kebaikan yang bermusim nie bukanlah hanya terhad kepada politik bahkan meliputi segala aspek hidup kita.
Seseorang pelajar itu perlu menjaga adab dengan guru-gurunya. Keberkatan ilmu itu sangat penting. Kalau cikgu pun tak hormat, macam mana ilmu nak berkat. Apabila ilmu berkat InsyaAllah jalan kejayaan akan dipermudahkan.
Semuanya bermula dari diri sendiri. Menjadi seorang yang sukakan kebaikan bagi saya bersifat individualistik. Bukanlah bermaksud pentingkan diri, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memandu diri sendiri ke arah jalan yang selamat dan bermanfaat.
Suasana ketika zaman sekolah dan zaman universiti berbeza tiga ratus enam puluh darjah tahu? Ada orang zaman sekolahnya cukup menonjol, namun dia hanyut di universiti.
Sebabnya? Dia tak berjaya mengekalkan nilai-nilai yang pernah dia ada suatu masa dulu. Dia tewas dengan cubaan dunia.
Untuk berubah ke jalan yang selamat, jalan yang lurus itu banyak dugaan dan cabaran. Namun menjadi manusia yang berakal dan beramal dengan ilmu yang ada itu tidak mustahil. Ia mungkin, kalau kita menghadirkan rasa insaf dan mahu berubah.
Hidayah itu milik Allah. Kalau Dia nak berikan kepada hamba-Nya, bila-bila masa Dia boleh bagi. Sekali kita mendapat petunjuk-Nya, genggamlah ia erat-erat. Jangan pernah sekali lepaskan ia.
Makanya, jangan tunggu bulan Ramadan saja baru nak mula bertadarus Al-Quran. Kena buat dari sekarang la. Tak lama lagi kita akan sambut Ramadan. Jadi bolehlah mula buat azam dari sekarang perubahan apa yang kita mahukan.
Ramadan yang bakal kunjung tiba, tiada siapa yang tahu adakah dia masih hidup untuk beramal di dalamnya. Masa yang kita ada sekarang itulah kepunyaan kita.
Memetik kata nasihat Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam bukunya La Tahzan, Hari Ini Adalah Milik Anda, esok belum tentu lagi milik kita.
Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia! :-)
No comments:
Post a Comment