Sunday, September 6, 2009

Fasa 2

Kita sudah pun memasuki fasa 2 Ramadan. Fasa yang dikenali sebagai 'maghfirah', yakni keampunan. Jadi, mohonlah keampunan kepada Allah S.W.T. akan dosa-dosa yang telah kita lalukan. Mintalah kepada Dia dengan penuh keinsafan, sepenuh hati agar kita beroleh keampunan yang diinginkan.

Pada masa sama, muhasabahlah diri kita berkenaan 10 Ramadan pertama yang telah dilalui. Apakah kita berpuas hati dengan amalan-amalan sepanjang masa tersebut ? Adakah kita memanfaatkan sebaiknya fasa 1 yang telah jauh meninggalkan kita itu ? Adakah ada peningkatan dalam segala aspek hidup kita ?

Kita seharusnya sudah mengatur strategi sekarang. Mana yang kurang, kita tambah. Mana yang tak sempurna, kita perbaiki dan perelokkan. Masih ada masa. Namun, kita harus punya kesedaran yang tinggi. Kesedaran untuk berubah.

Kalau dulu, kita jarang buat solat sunat. Solat fardhu yang 5 saja yang diberi jaga. Itupun banyak cabaran bagi sesetengah orang. Pada bulan ini, buatlah perubahan, lakukan solat sunat sekerap yang boleh. Kalau tidak selalu, pastikan sehari sekali dan berterusan. Kalau dulu Al-Quran pun jarang-jarang kita baca. Kali ini, cubalah luangkan masa sedikit untuk membaca kitab Allah tersebut. Sebaiknya, tiap-tiap waktu solat kita baca. Itu lagi baik. Andaikata dulu hanya satu muka sehari, kita sudah pun baca 5 muka sehari kalau dibaca tiap-tiap waktu. Luangkanlah masa walau sedikit, tetapi ISTIQAMAH.

Inilah kata kunci penting dalam ibadat kita seharian. Jika kita beristiqamah dalam beribadat, kita pasti akan terbiasa dan melakukannya setiap hari. Andai amalan sunat kita lakukan walau sekejap tapi berterusan, itulah yang sebaik-baiknya untuk kita amalkan. Amalan yang walau sedikit, tapi sentiasa diulang-ulang itu lebih disukai oleh Allah S.W.T. daripada yang banyak tapi ibarat 'hangat-hangat tahi ayam'. Dalam Surah Hud ayat 112, Allah S.W.T. telah berfirman, ' Maka tetaplah kamu pada jalan kebenaran, sebagaimana yang diperintahkan padamu.'

Jadi, marilah kita ambil kesempatan yang masih ada, untuk menggandakan amalan sunat yang kita terlepas pandang. Amalan fardhu tetap harus kita jaga. Itu wajib. Kalau puasa tapi tak solat tak berguna juga. Amalan sunat ini umpama pelengkap kepada amalan fardhu. Ibarat makan nasi. Nasi putih diibaratkan amalan fardhu. Lauk-pauk pula amalan sunat, yang menambah keenakan nasi putih tersebut. Jadi, kalau malas buat yang sunat, asyik dengan yang fardhu, makan nasi putih saja. Tiada ayam masak merah, ikan 'sweet sour', sambal petai dan sebagainya. Bagaimana ? Pilihan di tangan kita sendiri. Fikirlah sebaiknya. Mungkin ini Ramadan kita yang terakhir. Siapa tahu ? Tiada jaminan kita akan bertemu Ramadan akan datang. Ingat, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit. Sementara punya upaya dan masa, lakukanlah dengan ikhlas dan berterusan...

No comments:

Post a Comment

Jururawat, oncall & postcall

Salam w.b.t. Selamat Hari Jururawat saya ucapkan buat semua akak-akak yang telah banyak berkorban masa dan tenaga menolong doktor da...