Wednesday, July 7, 2010

Sedekah Tanpa Wang

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu dia berkata : Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda : Setiap anggota tubuh manusia dapat melakukan sedekah, setiap hari dimana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkendaraan lalu engkau bantu dia untuk naik kendaraannya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju shalat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi : “Setiap yang baik itu sedekah.”

Sudah jelas terdapat banyak cara yang kita boleh lakukan untuk bersedekah. Sedekah bukannya dikira berdasarkan nilai wang semata-mata, bahkan skopnya lebih luas.

Setiap kata-kata yang baik dikira sedekah.

Setiap langkah menuju solat itu sedekah.

Hatta senyuman itu juga diambil kira sebagai sedekah.

Nah, terbuka luas jalan untuk kita melakukan sedekah.

Pendek kata, segala amalan kebaikan yang kita buat, ganjaran pahalanya sangat besar.

Ketika solat, kebanyakan orang akan memakai songkok atau kopiah. Ada segelintir yang tak memakainya. Pemakaian songkok atau kopiah pun dikira sebagai perkara ma'ruf jika dilakukan. Terkadang kita selalu memandang remeh akan hal ini. Solat tanpa kopiah atau songkok pun dikira sah. Namun, lagilah cantik kalau kita sempurnakan zahir kita dengan amalan ma'ruf ini agar kita mendapat ganjaran sedekah yang dijanjikan.

Selain itu, mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut. Ini juga dikira sebagai yang ma'ruf. Nampak memang sangat mudah. Mulakan kaki kanan dahulu ketika memakai kasut. Apabila nak menanggalkan kasut pula, keluarkan kaki kiri dahulu. Sebabnya ? Supaya kaki kanan berada lagi lama di dalam kasut berbanding kaki kiri. Ini sebagai satu bentuk penghormatan kepada kaki kanan. Persoalannya, pernahkah kita fikirkan ini semua dan melakukannya ?

Bahkan masuk ke masjid dengan kaki kanan dahulu disertai doa masuk masjid, juga antara adab yang harus menjadi amalan yang boleh menambah sedekah kita.

Kalau difikir-fikirkan, segala aktiviti harian dalam hidup ini, semuanya dikira sebagai sedekah sekiranya kena cara dan aturannya. Seremeh-remeh kita memakai kasut itu pun ada caranya yang boleh memberikan pahala kepada kita. Sangat praktikal Islam, yang menjadi cara hidup kita ini.

Boleh jadi, sekecil-kecil amalan yang kita buat, dipandang tinggi oleh Allah. Kita fikir benda tu nampaknya kecil dan remeh. Tapi di sisi Allah, siapa yang tahu. Kita pun tak dapat menilai amalan manakah yang kita buat, yang diterima oleh Allah.

Jadi, janganlah kita memandang mudah pada segala bentuk amalan yang baik itu.

Kerana setiap yang baik itu, dianggap satu bentuk sedekah yang ternyata sangat menguntungkan kita jika diamalkan.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...