Salam w.b.t.
Salah satu sifat orang yang bertakwa ialah percaya akan kewujudan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak dapat difikirkan oleh akal yang terbatas.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 3 :
"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka."
Orang yang ada takwa dan iman itu percaya bahawa syurga itu ada. Neraka itu benar. Ada malaikat yang bertugas mencatat amal masing-masing. Mereka yakin sepenuhnya dengan segala janji yang Allah nyatakan dalam Al-Quran. Segala yang dikhabarkan itu tidak akan dipersoalkan kerana bukti sudah nyata di depan mata. Adakah kita punya perasaan seperti itu ?
Terkadang kita sendiri tahu bahawa di akhirat nanti pembalasan Allah itu sesuatu yang pasti. Tapi kenapa masih bermalas-malasan dalam beribadah? Kenapa maksiat itu susah benor untuk ditinggalkan? Macam mana nak kekal istiqamah dalam beribadah?
Percayalah, umur kita di dunia ini terlalu singkat dan tidak diketahui sampai bila kita akan terus bernafas lagi. Siapa yang boleh menjanjikan kehidupannya esok, lusa, bulan depan atau tahun depan.
Semalam, saya ada menerima satu berita sedih mengenai seorang sahabat yang kembali menemui Rabbnya setelah 2 minggu koma di hospital. Sahabat itu, Hatim baru saja saya kenal setelah 2 kali berjumpa semasa riadah dan program semasa balik bercuti awal tahun ini. Apa yang dapat saya katakan, arwah seorang yang bersemangat dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan sentiasa menghadiri program-program yang diadakan walaupun sibuk dengan kuliahnya.
Tak sangka rupanya pertemuan itu adalah pertemuan yang terakhir. Ternyata Allah lebih sayangkan arwah dan sudah merancang sebegitu. Walaupun manusia berusaha sekuat mana pun, kalau sudah dikatakan Kun (Jadilah!) ,Fayakun (Maka terus terjadi) yang akan mengiringinya ibarat salah satu lirik nasyid kumpulan Mawaddah,
"Jadilah..dan terus terjadi..tiada siapa dapat menghalang.."
Sekuat mana pun orang itu, sehebat mana pun ilmunya pasti tidak terlawan dengan kekuasaan-Nya. Tiada
Mungkin satu muhasabah buat diri yang semakin alpa dan leka. Bagaimana apa yang Tuhan rancang untuk kita, tiada siapa pun yang tahu. Rezekinya, ajalnya, di bumi mana dia akan mati. Sangat dangkal pengetahuan kita.
Di kesempatan ini, saya ingin menyeru kita terutamanya diri sendiri untuk kembali merenung dan menilai sendiri apa yang telah kita lakukan selama kita hidup di dunia dengan nikmat yang melimpah ruah. Badan yang sihat, negara yang aman, tiada kedengaran bunyi bom dan tembak-menembak. Tiada sekatan untuk beribadah dan menzahirkan agama. Semakin bertambah iman atau sebaliknya?
Kalau masih tiada perubahan, kenalah buat sesuatu sebelum hayat yang dikandung badan itu ditarik balik oleh Tuhan yang Maha Berkuasa supaya apabila bertemu dengan-Nya di akhirat nanti kita punya jawapan untuk soalan "Apa yang telah engkau buat sepanjang hidup di dunia dahulu."
p/s : nak tahu lebih lanjut tentang arwah hatim boleh baca di sini...