Salam w.b.t.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :
"Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat."
Sepotong hadis yang ringkas dan popular sebagai dalil untuk
melakukan dakwah kepada orang lain. Ia menunjukkan betapa tugas dakwah itu
sesuatu yang penting bagi kita semua tak kira apa taraf akademik, warna kulit
atau apa juga jurang perbezaan. Semua orang ada peranannya masing-masing.
Skil
untuk berdakwah itu harus dipelajari dan diasah dengan betul supaya maklumat
yang kita nak bagi tu sampai kepada orang lain. Jadi, kenalah turun padang juga
untuk latih kemahiran tersebut.
Street Dakwah merupakan salah satu aktiviti yang boleh
mengasah kemahiran untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Bunyinya pun
dakwah jalanan, makanya ia bukanlah terhad di kawasan masjid, sekolah atau
surau semata bahkan ia lebih syumul dan liberal (liberal dalam erti kata tiada
had tempat).
Alhamdulillah, diri yang kerdil ini berpeluang juga untuk
menyertainya pada sambutan Maulidur Rasul minggu lepas. Kita dah biasa
berdakwah pada rakan seagama. Jadi target kali nie adalah untuk memberitahu
kepada non-Muslim siapakah yang dikatakan Nabi Muhammad s.a.w. itu. Bagaimana
caranya untuk memberi dakwah kepada mereka mengenai Nabi kita, cukup sekadar
mereka tahu figur hebat ini. Bunyinya agak mencabar sebab kita kena gunakan
bahasa yang mereka boleh faham sewaktu bercerita. Kita mengharapkan mereka
dapat sedikit maklumat mengenai kenapakah hari tersebut merupakan cuti umum
satu Malaysia, dan barulah kita sampaikan serba sedikit sebab musababnya.
Komunikasi merupakan salah satu cara untuk menyampaikan
dakwah. Kalau yang pandai bercakap tu, gunakanlah kebolehan anda untuk
menyampaikan sesuatu kepada orang di sekeliling anda. Setiap orang ada
kelebihan masing-masing.
Sebelum program bermula, kami berkumpul terlebih dahulu di
Pasaraya Giant Alor Setar, bersebelahan Masjid Al-Bukhary pada paginya dalam
pukul 9 untuk sesi taklimat ringkas. Taklimat pagi itu bertujuan untuk
memberikan sedikit panduan bagaimana caranya untuk mendekati golongan bukan Muslim
sebelum kita memulakan dakwah kepada mereka.
Ada cara dan adab-adabnya untuk menarik minat mereka
mendengar apa yang kita mahu cakapkan. Bukan main terjah saja tak tentu fasal.
Bak kata orang, kena ada seni untuk menarik dan bukannya menolak.
Setelah taklimat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan
kecil dan setiap kumpulan diberikan bahan-bahan souvenir untuk dihadiahkan
kepada mereka yang bertuah. Setiap kumpulan ditugaskan di tempat-tempat yang
berbeza di sekitar Alor Setar.
Penulis bersama cikgu Bukhari a.k.a. ketua kumpulan..
Setibanya kami di tempat praktikal, kami mula menunggu
siapakah yang bakal menjadi mangsa. Penantian yang sungguh menguji kesabaran
kerana perniagaan baru saja hendak bermula. Jadi masing-masing kelihatan sibuk untuk
memulakan perniagaan mereka.
Setelah bersiar-siar di sekeliling pasaraya, kami mula
menunggu dan melihat sesiapa saja yang dirasakan sesuai untuk ditemuramah buat
seketika. Setelah meminta izin, kami mula bertanyakan sebab hari itu sebagai
cuti umum lalu member sedikit penerangan mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w.
dan tujuan Baginda dilahirkan di dunia ini. Baginda bukan saja prihatin dengan
masyarakat Muslim, masyarakat bukan Muslim juga sentiasa diingati Baginda
kerana Baginda diutuskan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.
Setelah selesai aktiviti, kami berkumpul semula di Pasaraya
Giant sebelum bersurai. Kami bertukar-tukar cerita dengan kumpulan yang lain mengenai
pengalaman masing-masing ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.
Bagi saya, ada antara mereka (non-Muslim) yang tahu mengenai
peristiwa Maulid Nabi ini. Ini menunjukkan bahawa mereka juga concern dengan
setiap agama yang diamalkan di Malaysia. Mudah-mudahan suatu hari nanti mereka
mendapat sinar hidayah dari Allah s.w.t. InsyaAllah.
Setelah mendengar ucapan ringkas dari pihak penganjur, kami
pun bersurai. Kami dinasihatkan untuk meneruskan kerja-kerja dakwah kerana ia
merupakan satu tugas yang mulia untuk menyebarkan keindahan agama Islam ini.
Kami juga diberi kata-kata perangsang semoga usaha yang dilakukan ini mendapat
balasan yang setimpal dari Allah s.w.t.
Akhir kalam, manusia itu ibarat logam. Masing-masing ada
peranan tersendiri dalam agama. Masing-masing ada kelebihan. Tinggal lagi,
bagaimana nak asah kelebihan itu untuk dimanfaatkan di jalan Allah s.w.t.
p/s : Jumpa ramai ikhwah yang sangat berkaliber dalam dakwah...