Wednesday, January 9, 2013

5 Ugama


Salam w.b.t.

Segala Puji bagi Allah yang telah memberi kita peluang untuk terus bernafas setiap hari di dunia ini. Setiap kali kita bangun tidur, jangan dilupakan perasaan syukur kepada Allah yang telah menghidupkan kita kembali setelah kita 'dimatikan' buat seketika. Siapa tahu tidur kita itu merupakan tidur yang terakhir. Peluang untuk terus diberi nyawa ini menunjukkan bahawa Allah masih membuka tawaran kepada hamba-hambaNya untuk bertaubat.

Sewaktu menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, suasananya begitu tenang sekali sebab akhirnya dapat juga kembali ke tanahair. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai pagi itu, menjadikan suasana lebih dramatik.

Sedang menunggu keluarga datang, datang seorang wanita berbangsa Cina dalam lingkungan umur 40-an bertanyakan adakah boleh untuk dia menumpang kereta balik ke rumahnya. Saya tiada masalah dengannya sebab apa salahnya menolong sesama manusia, mungkin ini salah satu cara untuk mempraktikkan sifat bertoleransi tidak mengira agama seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Dia pun memulakan bicaranya setelah duduk di sebelah saya. Katanya :

"Kalau saya cakap dengan lu pun, takut lu marah.. Saya jumpa itu Tuhan oo..."

Itulah buah bicara yang dikatakannya kepada saya. Sedikit terkejut, saya mula menumpukan perhatian dan mendengar segala yang cuba disampaikannya. Bukan apa, jarang saya berjumpa dengan manusia yang begitu teruja dengan agama yang diamalkan dalam kehidupan untuk diceritakan kepada orang lain.

Menurutnya, dia baru saja pulang dari Bangalore, India di mana ia dibanjiri oleh masyarakat yang datang dari seluruh dunia untuk melakukan pilgrimage (semacam dengan ibadah haji/umrah oleh Muslim). Ada yang beragama Hindu, ada yang Kristian malahan ada juga yang beragama Islam turut menyertai aktiviti di sana. Sewaktu berada di Indialah, dia mendakwa berjumpa dengan Tuhan dalam bentuk cahaya putih yang turun dari langit.

Dia juga ada menceritakan pelbagai lagi kisah ajaib yang pernah berlaku kepadanya sehingga menguatkan lagi pegangannya bahawa ada satu kuasa yang agung iaitu Maha Kuasa (Allah). Ceritanya penuh semangat dan keterujaan, mungkin setelah dia mengalami pelbagai pengalaman aneh sebelum ini.

Semasa dalam perjalanan untuk memasuki kereta, saya bertanyakan kepadanya, apa agama yang dianutinya. Dia menjawab, "Kita 5 ugama punya olang..." Rupanya, mereka tidak mengamalkan satu-satu agama secara khusus, sebaliknya mengakui kebenaran 5 agama yang berbeza. Apa yang penting bagiinya, setiap orang harus melakukan kerja-kerja amal dalam hidup mereka. Ia tidak harus dibatasi oleh perbezaan warna kulit, bangsa mahupun agama.

Sewaktu dalam kereta, dia masih rancak bercerita itu dan ini. Dia sangat kagum dengan Sai Baba yang kononnya ada bermacam-macam kelebihan dan keajaiban. Dia juga ada mononton rancangan Tanyalah Ustaz yang ditayangkan di TV9 dan tahu mengenai Nabi Muhammad S.A.W., syurga dan neraka. Pendek kata, dia seorang yang ada pengetahuan tentang agama Islam.

Terkesima juga saya dibuatnya.

Dia juga mengatakan yang dunia ini hanya mainan. Dunia perlu dilepaskan saat kita hendak berangkat keluar dari dunia. Kerja-kerja amal yang kita lakukan itu sangat baik dan perlu menjadi amalan kita.

Mungkin ada sebab kenapa Allah mempertemukan saya dengannya. Saya kira mungkin ada antara kita yang pernah mengalami situasi yang serupa. Ramai orang bukan Muslim yang sudah lama mengkaji agama Islam. Mereka tahu hukum-hakam Islam dan segala yang berkaitan dengannya. Terkadang, ilmu mereka melebihi apa yang kita tahu.

Tapi,

Kalau tiada hidayah dari Allah, ilmu itu setakat ilmu sahaja, tiada amalan dan penghayatan. Tiada amal yang dapat memanfaatkan ilmu yang ada. Ibarat pohon yang tidak berbuah.

Apabila dia mengatakan dia percaya dengan kebenaran 5 agama, saya pun tidak tahu macam mana mereka boleh ada pendirian sebegitu.

Semoga suatu hari nanti, dia diberikan petunjuk oleh Allah untuk menerima kebenaran agama Islam sahaja sebagai agama yang diredhai Allah...

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...