Salam w.b.t.
"Seringkali aku terfikir, bagaimanakah masa tuaku nanti apabila melihat pesakit-pesakit yang lanjut usia terlantar dengan pelbagai jenis penyakit yang ada. Atau, sempatkah aku untuk melalui masa tua itu?"
________________________________________
Hari ini merupakan hari di mana saya kembali bertugas di Jabatan Perubatan (Medicine Department). Sebelumnya saya berada di Jabatan Psikiatri selama 15 hari. Sedar tak sedar, tempoh 2 minggu itu begitu cepat berlalu. Dapatlah juga serba sedikit gambaran mengenai common cases di jabatan ini dalam kalangan penduduk India khususnya di Karad ini. Tekanan perasaan dan kemurungan merupakan kes yang banyak dicatatkan di OPD.
Sebelumnya pula, selepas raya, saya bertugas selama 15 hari juga di Jabatan Perubatan. Sememangnya terlalu banyak yang telah saya belajar sepanjang tempoh yang singkat tersebut. Dapat juga belajar beberapa prosedur asas yang wajib dikuasai oleh pengamal perubatan.
Sewaktu hari pertama di jabatan ini, saya ada disoal oleh doktor senior mengenai apa yang saya mahu belajar dari mereka sepanjang posting tersebut. Mungkin disebabkan jawapan yang diberikan kepada soalan itu, seorang senior telah mengajar saya bagaimana mahu memasukkan Foley's catheter kepada seorang pesakit di wad. Excited rasanya ketika itu, sebab kita diberikan peluang untuk melakukan prosedur tersebut.
Ada sesetengah prosedur yang rumit dilakukan oleh doktor senior. Saya cuma menjadi pemerhati bebas, membantu sekadar yang diperlukan. Banyak juga tanggungjawab yang perlu dilakukan di sini.
Salah satu prosedur yang setelah beberapa kali saya cuba namun masih gagal sehingga hari ini, iaitu memasukkan Ryle's tube kepada pesakit bagi mereka yang tidak boleh tolerate makanan secara oral. Rasa kecewa juga apabila pada mulanya macam sudah masuk elok melalui hidung pesakit. Namun, apabila diperiksa dengan stetoskop, ianya negatif.
Rupanya tiub tersebut berlingkaran di dalam mulut pesakit! Alahai..nasib badan..
Terpaksa dikeluarkan balik tiub itu dan perlu dimasukkan semula.
Untuk memasukkannya juga suatu yang menyeksakan buat pesakit apabila mereka batuk lalu menyukarkan prosedur untuk diteruskan. Terpaksa berhenti sekejap, bagi mereka minum air. Apabila mereka mula menelan air tersebut, waktu itulah kita patut masukkan tiub itu kerana vocal cord terbuka bebas pada waktu itu. Faham kan?
Pernah ketika saya cuba memasukkan RT kepada seorang pesakit lelaki yang tua ini, dia terbatuk teruk mungkin disebabkan gag reflex atau tiub itu menyentuh tracheanya secara kasar. Apabila dikeluarkan kembali tiub tersebut, kelihatan darah di sebahagian tiub menandakan adanya luka yang telah dilakukan secara tidak sengaja. Rasa bersalah juga ketika itu sebab seolah-olah menyeksa pesakit itu. Inilah pentingnya hands-on practical kepada kami supaya mortality rate dapat dikurangkan apabila bekerja di tanahair sendiri nanti.
Seorang doktor senior yang lain pula memberitahu, sebelum RT dimasukkan, kita perlu memeriksa sekiranya pesakit mempunyai DNS (deviated nasal septum). Tiub harus dimasukkan ke dalam rongga hidung yang normal supaya tiada kecederaan yang berlaku.
Walaupun masih tidak berjaya melakukannya, seorang senior ada memberi kata-kata semangat dan menyuruh saya terus mencuba. Setiap orang masih ada peluang untuk berjaya. Mungkin usahanya masih belum cukup. Yang penting jangan mudah menyerah kerana setiap kali kita gagal, kita akan belajar sesuatu.
Dan hari ini, diri ini kembali ke jabatan yang telah ditinggalkan buat sementara waktu. Tempoh posting masih berbaki selama sebulan. Masih banyak yang perlu saya belajar dan praktis kerana untuk mendapatkan keyakinan, dan untuk bekerja secara independent suatu hari nanti, ia memerlukan latihan yang berterusan dan konsisten.
Ya, medan kerja di hospital memerlukan mereka-mereka yang rajin dan tidak mudah putus asa. Ia tidak perlukan seorang genius yang malas. Hanya mereka-mereka yang kental sahaja boleh survive dalam salah satu medan amal ini.
Ia sememangnya suatu kerja yang meletihkan, dan mungkin membosankan bagi sesetengah orang. Kerana apabila berada dalam ruang kerja, baharu mereka tahu menjadi seorang pengamal perubatan membawa seribu satu amanah dan tanggungjawab masyarakat. Ia bukanlah suatu kerjaya untuk mencari glamor semata. Ia sangat menguji tahap ketahanan mental seseorang.
Sebab itu ada segelintir sahabat saya yang baharu saja bekerja sebagai houseman turut mengalami masa-masa mereka down, tertekan dan sebagainya. Namun apa yang penting adalah niat asal kenapa kita memilih medik sebagai pilihan utama. Kena muhasabah balik, dan betulkan balik niat awal memilih kerjaya perubatan.
Setakat ini sahaja perkongsian dari saya. Semoga ada 'isi' yang boleh diambil dari entri kali ini.
Wassalam...
No comments:
Post a Comment