Salam w.b.t.
Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Kematian itu suatu yang pasti dalam hidup manusia. Kalau sudah tertulis saat kematian seseorang itu, tidak akan dipercepat atau dilewatkan walau sesaat. Hatta sepakar mana pun doktor itu, segempak mana pun seorang bomoh moden itu, pasti dia tidak boleh melawan takdir yang sudah tertulis itu.
Pada hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang pemimpin yang cukup hebat dan disanjungi oleh kawan mahupun lawan, iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak. Bekas Menteri Besar Kedah ini telah pulang ke rahmatullah setelah mengalami komplikasi jantung di Hospital Sultanah Bahiyah.
Seorang pemimpin yang boleh masuk dengan semua orang berdasarkan apa yang diceritakan oleh orang ramai. Bahkan Allahyarham juga disenangi oleh semua orang disebabkan sifatnya yang boleh bercampur dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang politik.
Melihatkan beliau, teringat pula diri ini kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden Pas. Sungguh hebat qudwah yang ditunjukkan oleh mereka berdua. Namun hari ini, Allah lebih menyayangi Ustaz Azizan.
Seluruh rakyat negeri Kedah berasa sedih dengan pemergian beliau. Cuaca dikatakan mendung pada siang tadi, seolah-olah alam turut meratapi kehilangan seorang tokoh hebat ini. huhu
..................................................................
Masalah jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Serangan jantung yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ia suatu yang serius.
Sekiranya ada antara ahli keluarga anda yang telah lanjut usianya mengadu sakit dada, sukar untuk bernafas dan mengalami bengkak di bahagian kaki, segeralah membawanya berjumpa doktor kerana ia antara simptom jantung yang bermasalah.
Keadaan di ICU (Unit Rawatan Rapi) juga tidak kurang sibuknya apabila ada kemasukan baru (new admission). Keadaan bertambah tegang sebentar tadi apabila tiba-tiba salah seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru (pneumonitis) berhenti bernafas. Dia turut mengalami masalah buah pinggang dan mesin dialisis digunakan untuk mengatasi masalah kegagalan buah pinggang tersebut.
ICU
Seorang doktor senior segera melakukan chest compression namun kadar denyutan nadi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Dan akhirnya setelah pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan. Di luar ICU, kelihatan beberapa orang ahli keluarga menangis dan meratapi kematiannya. Sedih.
Doktor juga manusia biasa. Doktor bukannya Tuhan.
.....................................................................
Bagaimanalah agaknya saat nyawa dicabut. Kata arwah tok saya, ada sekumpulan malaikat yang akan turun dan memegang tangan serta kaki kita saat nyawa ditarik keluar oleh malaikat Izrail. Kalau tidak, melompatlah manusia itu. Wallahua'laam.
Teringat pula suasana ketika doktor sedang cuba melakukan intubation kepada pesakit yang baru mati itu. Dia meronta-ronta. Kami terpaksa memegang tangan dan kakinya untuk memudahkan prosedur tersebut dilakukan.
Hidup dan mati silih berganti.
Hari ini sebahagian nyawa diambil kembali.
Esok lusa akan ada nyawa baru yang dilahirkan.
Akhir kalam, apa persiapan kita dan saya lebih-lebih lagi untuk menghadapi kematian yang bakal datang menjemput.
Al-Fatihah kepada Allahyarham Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan yang Dia redha.
No comments:
Post a Comment