Saturday, May 12, 2012

Sekawan Awan Hitam Mirip Awan Nano


Mode : Hujan turun dengan lebatnya ketika dia sedang khusyuk menggoreng lagu Thank You Allah nyanyian Maher Zain.

Salam w.b.t.

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian ? Semoga semuanya sentiasa berada dalam rahmat Allah tak kira di mana anda berada ketika ini. Kita hidup di dunia ini bukanlah semata-mata untuk berseronok melainkan untuk berusaha mendapatkan keredhaan Allah.

Rasanya sudah lama saya tidak mengupdate mengenai Karad. Mungkin ada yang tertanya-tanya dan ingin tahu cerita dan perkembangan semasa bandar yang terletak sejauh 6 jam dari Mumbai ini.

Alhamdulillah setelah lebih 4 tahun berada di sini, bandar Karad mula mendapat perhatian dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia di sini. Rata-ratanya mula sedar dan tahu bagaimana keadaan bandar ini sehinggakan tetamu yang berkunjung tidak putus-putus. Walaupun jarak perjalanan yang jauh, namun atas dasar keimanan dan ukhwah sesama kami, ianya bukanlah satu alasan untuk mengatakan tidak kepada pengembaraan yang semestinya memerlukan pengorbanan dan ketabahan tersebut.

Sekarang ini, Karad sedang mengalami musim panas yang melampau (baca : ekstrem). April sudah mula menunjukkan peningkatan suhu yang drastik dan ianya maksimum pada Mei. Sungguh menguji diri yang lemah ini.

Kalau ke kelas atau posting, mesti akan ada rakan-rakan yang membawa bekal air kosong sebagai teman bagi menghilangkan dahaga. Sebotol air dikongsi oleh beberapa orang. Sungguh berharga nilai air ketika itu.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata. Kusangkakan panas sepanjang Mei, rupanya hujan di pertengahan.

Sejak akhir-akhir ini, 2-3 hari kebelakangan, hujan mula turun membasahi bumi yang kering kontang. Alhamdulillah. Itulah, kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Tiada Daya dan Kekuatan melainkan hanya dengan Kekuatan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Petang tadi hujan turun dengan lebatnya memberi nikmat kepada hamba-hambaNya yang mendiami bumi Allah ini.

"Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Dia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya). - Surah An-Nahl : 65.

Tidak kiralah panas atau sejuk, kedua-duanya ada hikmah. Dan kedua-duanya juga tidak terlepas dari cakap-cakap manusia yang agak kurang sedap didengar.

Teringat pula salah satu bait lirik lagu Hujan oleh Sudirman : Hujan yang turun bagaikan mutiara menunjukkan betapa mahalnya harga setitis air hujan yang turun itu.

Selain perubahan cuaca, Karad juga pernah menerima gegaran gempa bumi yang cuma berskala rendah pada skala Richter. Ketika sedang membuat tugasan pada pagi Sabtu itu, tiba-tiba kedengaran bunyi bising seperti bunyi bulldozer dan sejurus itu dinding bilik bergoyang ke atas dan ke bawah. Itulah pengalaman pertama berhadapan dengan kejadian gempa bumi. Entahlah bagaimana rasanya mereka yang berada di Jepun yang sentiasa mengalami gegaran setiap masa.

Itulah serba sedikit coretan mengenai keadaan semasa di salah satu kawasan dalam negeri Maharashtra. Semoga ianya dapat menjadi iktibar kepada semua. Ujian yang mendatang itu sebenarnya merupakan teguran dari Tuhan supaya manusia sentiasa beringat dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini.

p/s : berhenti menggoreng setelah hujan turun dan suasana bertukar menjadi agak nyaman.

2 comments:

  1. Alhamdulillah... indahnya nikmat Tuhan.

    ReplyDelete
  2. "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" kerap diulang dalam Surah Al-Rahman, memberi gambaran betapa nikmat dari Tuhan itu cukup banyak, tetapi sedikit sekali yang mensyukuri nikmat itu...

    ReplyDelete

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...