Salam w.b.t.
Sewaktu kita masih kecil, mereka begitu gembira dan sabar melayan
kerenah kita yang kadangkala begitu susah untuk dikawal. Sedari bangun tidur,
tangisan kita yang nyaring dan tinggi pitch itulah yang setiap waktu dan setiap
masa harus mereka dengar dan hadapi dengan penuh kasih sayang.
Bunyi tangisan itu bukanlah sesuatu yang menjemukan buat mereka
bahkan mereka sentiasa berusaha untuk memuaskan hati kita yang menangis kerana
kelaparan atau ketika dalam kesedihan. Naluri mereka yang sentiasa betul dalam
menunaikan segala kemahuan kita, di mana kepentingan kita didahulukan daripada
kepentingan mereka.
Sewaktu kita bersedih, mereka setia menemani kita, menenangkan
jiwa-jiwa yang rapuh dengan cubaan dan ujian dunia ini. Mereka sentiasa memberi
semangat kepada kita untuk terus maju ke hadapan menghadapi segala ujian dengan
tabah.
Itulah dia insan yang bergelar ibu dan ayah, mak dan ayah, papa
dan mama, pak dan mak, ibu ayah dan pelbagai lagi gelaran yang kita berikan
kepada insan istimewa dalam hidup ini.
Kalau mereka sanggup bersusah payah dan bersengkang mata untuk
menjaga kita dengan baik, kita sepatutnya membalas pengorbanan mereka setimpal
dengan apa yang telah mereka lakukan sewaktu kita masih belum tahu menulis dan
membaca lagi.
Memberi layanan yang sebaiknya kepada ibu ayah adalah sesuatu yang
mulia. Kita hendak mereka berbangga dan senang hati dengan kehadiran kita di
sisi mereka. Maka kita perlu fikir bagaimana caranya untuk sentiasa
menggembirakan hati mereka walau di mana pun kita berada, jauh atau dekat.
Banyak ayat Al-Quran yang menyebut perihal menjaga hubungan baik
dengan ibu bapa, menunjukkan betapa memuliakan ibu bapa adalah suatu amalan
yang sangat disukai oleh Allah.
"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat
perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu
menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum
kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin....." - Surah Al-Baqarah, ayat 83.
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa..." - Surah Al-Isra', ayat 23.
Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu dan ayahnya melebihi
seruan untuk berperang di jalan Allah. Pernah satu ketika Rasulullah menyuruh
seorang lelaki yang ingin pergi berperang supaya menjaga ibu dan ayahnya yang
masih hidup terlebih dahulu. Walaupun berperang itu sesuatu yang hebat dan gah
dalam pandangan manusia, namun berbakti kepada ibu ayah ternyata lebih besar
ganjarannya.
Banyak cara yang boleh dilakukan supaya ibu ayah sentiasa
tersenyum dengan kehadiran kita di samping mereka. Setiap orang ada usahanya
masing-masing bagaimana hendak menambat hati ibu dan ayah sebagaimana mereka
menambat hati pasangan masing-masing. Eh, ke situ pula.
Kita sebagai anak-anak perlu kreatif dan sensitif dengan apa
sahaja yang berlaku kepada mereka. Setiap kejayaan mahu pun kesedihan perlulah
dikongsi dan diraikan bersama. Paling penting, bertolak ansur dan berlapang dada
dengan mereka kerana setiap pandangan mereka sangat berharga untuk dijadikan
panduan hidup.
Mereka yang lebih dahulu makan garam daripada kita, bukan bermakna
mereka yang mula-mula tahu betapa masinnya garam itu atau mereka sukakan garam.
Garam itu simbolik kepada ujian hidup, di mana dari dulu sampai sekarang garam
itu tetap sama masinnya, ujian dan cabaran hidup itu tetap tidak berubah dan
pernah mereka lalui suatu masa dulu.
Kita golongan muda sendiri sedar betapa pemuda pemudi hari ini
sebahagiannya lebih mementingkan keseronokan yang sementara berbanding
nilai-nilai kehidupan yang sepatutnya diambil pengajaran daripadanya. Setiap
tindakan itu kadang-kadang tidak dirasionalkan pelaksanaannya sehingga
memberikan kesan buruk.
Nah, di sinilah wujudnya hubungkait antara peranan seorang anak
dan keprihatinan ibu dan ayah terhadap anaknya. Apabila kita mengasihi dan
menjaga hubungan baik dengan ibu ayah, Allah akan memudahkan urusan kita di
dunia ini. Ibu dan ayah akan berasa diri mereka dihargai dan memberikan
perhatian yang sewajarnya kepada kita walaupun kita sudah menginjak dewasa.
Kata orang, dah besar panjang. Apabila kita sendiri berasa dipedulikan oleh
ahli keluarga, maka kemungkinan untuk menyertai kumpulan-kumpulan luar bermotor
tayar satu atau bertatu tidak akan terjadi.
Semuanya bermula dari rumah. Rumah yang cuma berdindingkan papan,
beratapkan rumbia, tidak mustahil akan lahirnya seorang Ibnu Sina atau seorang
Muhammad Al-Fateh sekiranya setiap ahlinya mempunyai ikatan kekeluargaan yang
kukuh.
Teringat salah satu kata-kata : Rumahku Syurgaku. Kita mahu rumah
yang kita tinggal bersama ibu dan ayah itu seperti syurga, selesa dan tenang di
dalamnya. Jadi, penghuninya kenalah menghidupkan suasana syurga yang
diidam-idamkan itu dengan melakukan amal kebaikan. Salah satu daripadanya,
berbuat baik dan taat kepada ibu dan ayah selagi mereka tidak menyekutukan
Allah. (",)
p/s : Berdoa juga salah satu cara berbuat baik kepada ibu dan
ayah. Jangan dilupakan mereka dalam setiap doa kita ya...
No comments:
Post a Comment