Salam w.b.t.
Terasa cemburu yang amat apabila melihat gambar-gambar konvo seantero Malaya kala ini. Musim berkonvo rupanya. Hampir setiap universiti mengadakan pesta konvo pada bulan yang sama.
Segala jerih payah menuntut ilmu akhirnya disimpulkan dalam satu majlis gilang-gemilang untuk menerima segulung ijazah sebagai bukti tamatnya pengajian. Perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Speechless.
Apabila nama disebut mengikut giliran, seorang demi seorang naik ke pentas. Langkah demi langkah diatur dengan sopan supaya diri tidak tersadung lalu mencacatkan perjalanan majlis. Ada sesetengahnya pula yang naik ke pentas dengan gaya yang pelbagai, sungguh mencuit hati. Berkonvo cuma sekali, mungkin itu yang difikirkan.
Tahniah diucapkan buat sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang baru selesai dan akan berkonvo, kerana anda berjaya menamatkan pembelajaran dan merangkul gelaran 'Graduan'. Cabaran ketika bergelar 'Mahasiswa' telah berjaya dihadapi dengan penuh sabar. Memang banyak cubaan ketika berstatus mahasiswa sehingga ada segelintir yang berhenti separuh jalan dek sikap mudah berputus asa dengan cabaran sepanjang perjalanan tersebut.
Kembali membelek gambar-gambar lama sewaktu mula-mula bergelar mahasiswa dahulu. Cepatnya masa berlalu, rindu pula suasana zaman itu.
Secara tidak langsung, diri ini akan termotivasi untuk terus mengutip mutiara ilmu yang ada, kerana ilmu Allah itu sangat luas. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk menghabiskan saki-baki perjalanan hidup sebagai mahasiswa.
No comments:
Post a Comment