Salam w.b.t.
"Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.
Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti.."
..........................................................................................................................................................
"Kita akan ke Mawargiri malam nie." Kata amir kepada kami semasa sedang mengemas barang yang dibawa sepanjang perjalanan itu. Mawargiri merupakan salah satu kawasan yang terletak berdekatan, kurang lebih dalam 10-15 minit perjalanan seingat saya. Perjalanan waktu malam itu agak thrill juga, ditambah pula dengan kesejukan malam yang menemani kami. Travel malam dengan motosikal sememangnya satu pengalaman yang best bagi sesetengah orang.
Sampai di Mawargiri, kami pun menunaikan solat Maghrib di situ dan menyiapkan diri selepasnya sebelum makan malam bermula. Setiap masjid di sini ada menyediakan peralatan memasak seperti periuk dan gas. Jadi jemaah selalunya akan memasak sendiri di masjid dan tak perlu beli makanan dari kedai luar. Cuma mungkin perlu beli barang-barang basah untuk masak saja.
Malam itu setelah Isyak, masing-masing merehatkan diri lebih awal supaya esoknya kami ada bekal tenaga yang cukup untuk bergerak lagi ke destinasi terakhir, iaitu tempat diadakan Ijtimak tersebut.
**************************************************************************************
Hari berganti hari. Subuh pun menjelma. Setelah siap menjamah sarapan atau 'menyorok', kami mula berkemas sekali lagi untuk berangkat ke Wagiri pula. Ia terletak agak jauh dari Mawargiri walaupun bunyinya seakan serupa.
Perjalanan ke Wagiri diteruskan sebelum tengahari disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan pastinya memenatkan dan mengeluarkan peluh jantan yang sudah lama tersimpan. Kalau lewat bertolak, bimbang pula kami akan terlepas aktiviti yang barangkali sudah pun dijadualkan di situ.
Wagiri, akhirnya berjaya juga kami jejak buminya dan ia pertama kali bagi saya berada di situ. Pada mulanya ingatkan ia sebuah kawasan yang kurang penduduk disebabkan kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman. Namun di situ berdirinya sebuah madrasah pengajian dan sebuah masjid melambangkan wujudnya aktiviti agama yang akan melahirkan ilmuan-ilmuan Islam suatu hari nanti. InsyaAllah.
Ketibaan kami disambut oleh pihak penganjur yang sudah menunggu kehadiran para peserta program. Beberapa khemah sudah pun didirikan. Kami mula bergerak ke khemah penempatan yang disediakan. Untuk pengetahuan, penempatan para peserta adalah di dalam satu khemah yang besar di mana semuanya 'berlangitkan' bumbung yang sama. Ia sama keadaannya semasa di Padang 'Arafah sewaktu musim haji atau umrah. Semuanya dilayan serupa dan setaraf, tiada siapa yang dilebihkan.
Kebanyakan masa diisi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh para ilmuan dan pengetua madrasah yang mantap dan hebat pengisiannya. Semua hadirin mendengar kuliah dengan penuh minat dan khusyuk. Bagi saya yang masih bertatih untuk memahami bahasa Urdu, agak susah juga la. Namun ada juga beberapa perkataan dan point penting yang dapat saya tangkap sikit-sikit. Secara tak langsung dapatlah belajar bahasa tempatan. Dapat sikit lagi baik daripada tak dapat langsung kan.
Makanan bagi peserta disediakan juga, dan kami harus mendapatkan kupon-kupon makanan yang dijual. Murah-murah harganya. Makanannya pula sedap-sedap belaka. Inilah salah satu keistimewaan mereka di mana makanan yang dimasak berkawah-kawah itu ternyata suatu yang harus dirasai oleh sesiapa yang berkunjung ke sini. Ada satu kumpulan yang ditugaskan memasak dan mengendalikan makanan. Kalau tak cukup, akan ada yang tambahkan nasi atau lauk pada kita. Macam kenduri kahwin la waktu tu.
Siang dan malam diisi dengan kuliah agama berkisarkan persoalan keimanan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk berdakwah. Kadang-kadang ada juga diselitkan kisah dan pengalaman yang mencuit hati kami semua. Mereka yang menjadi penyampai pada perhimpunan itu begitu hebat ketika menyampaikan nasihat-nasihat agama. Nampak benar betapa banyak pengalaman yang mereka ada.
Program selama dua hari satu malam itu padat dengan perkongsian dan pertemuan dengan peserta yang datang dari pelbagai tempat. Masing-masing pasti ada cerita setiap kali berjumpa satu sama lain. Ada antara mereka yang tidak punya masa untuk bertemu semasa bekerja dan ijtimak ini memberi peluang kepada mereka mengeratkan hubungan silaturrahim yang sudah terbina.
******************************************************************************
Sabtu petang, pada tarikh yang saya sudah tak ingat, selepas Asar, tamatlah program Ijtimak tersebut. Salam perpisahan kami ucapkan kepada penganjur dan semua yang terlibat sepanjang program. Perjalanan diteruskan kembali ke Karad, kerana masih ada tugas yang menanti di sana. Semoga perjumpaan kali ini memberi semangat kepada kami semua untuk terus menyambung perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat. InsyaAllah..
p/s : Ini merupakan edisi terakhir siri kembara saya di bumi Al-Hind. (Macamlah selalu sangat travel sampai nak bersiri-siri kan..) Ini pun merupakan ringkasan sebenarnya. Ada lagi detail yang terpaksa di'cantas' untuk mengelakkan ia terlalu panjang sampai ke negeri China..hehe
Peace to all!