Salam w.b.t.
Apabila kita meningkat dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul. Peningkatan umur tahun demi tahun sepatutnya menjadikan kita insan yang matang dan dapat membuat keputusan yang bijak dan rasional. Tahun demi tahun, zaman berganti zaman. Cabaran yang mendatang juga semakin berbeza dan pelbagai.
Usai meninggalkan alam persekolahan, kita mula masuk ke alam universiti. Bermacam jenis manusia yang boleh kita jumpa dan kenali. Di sini satu lagi cabaran yang menanti, iaitu dengan siapa kita menjalinkan hubungan persahabatan. Kalau silap pilih kawan, susah jadinya kelak. Ada yang di zaman sekolahnya hebat, namun hanyut di alam universiti yang sentiasa menguji iman seseorang itu.
Apabila kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, kita mula menjadi seorang mahasiswa atau mahasiswi yang lebih berdikari berbanding semasa kita berada di asrama di zaman persekolahan dahulu. Kehidupan kita ketika ini, kita sendiri yang harus rancang. Tiada siapa yang akan memberi arahan apa yang patut kita buat dan bagaimana. Ia terserah bagaimana kita menghargai setiap minit dan waktu yang berlalu dalam hidup ini.
Pernah suatu masa, semasa zaman sekolah dulu, seorang sahabat saya ada mengeluarkan suatu kenyataan bagaimana seorang siswazah keluaran sebuah universiti yang terkemuka akhirnya menjadi seorang tenaga pengajar di sekolah rendah sahaja. Mungkin pada pendapatnya ia suatu yang tidak sesuai dengan kelayakan saudara tersebut dan dia harus bekerja di tempat yang selayaknya.
Namun apabila saya sendiri berada di alam universiti dan hampir menamatkannya tidak lama lagi, saya belajar sesuatu mengenai alam pekerjaan usai pertemuan di dalam program-program yang ada.
Negara kita mempunyai lambakan siswazah yang menamatkan pengajian mereka setiap tahun. Zaman ini menunjukkan persaingan yang sangat hebat antara semua bangsa, Melayu, Cina mahupun India. Trend sesebuah syarikat atau majikan pula adalah mahukan mereka yang benar-benar layak untuk bekerja dan memegang suatu jawatan. Sudah tentu mereka akan mengambil kumpulan yang terbaik untuk bekerja. Dan semestinya mereka tidak memerlukan ramai orang, kerana hanya sebilangan kecil yang terpilih diambil bekerja, menyebabkan ramai yang masih mencari-cari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Salah satu lagi sebabnya, adalah keikhlasan dan prinsip 'rezeki tu Allah yang bagi' menyebabkan mereka sanggup bekerja di mana-mana sahaja tanpa meminta sesuatu (baca:demand) supaya sesuai dengan kelayakan mereka. Ini juga mungkin sebab yang kukuh kenapa perkara tersebut berlaku.
Golongan ini seharusnya mendapat penghormatan yang tinggi daripada masyarakat kerana mereka tidak memilih kerjaya yang ada. Mungkin mereka pernah mendapat tawaran bekerja yang lumayan tetapi atas sebab-sebab yang mungkin boleh mengehadkan mereka mengamalkan kehidupan sebagai seorang Muslim, ianya tidak diterima. Apa yang penting, keberkatan dan kerja yang dilakukan itu menjadi sumber rezeki yang halal.
Pernah seorang sahabat menceritakan kepada saya, dia ada mendapat tawaran bekerja yang menjanjikan gaji yang sangat lumayan. Tetapi, dia harus bekerja untuk tempoh berbulan-bulan, dan ia bukan di daratan.
"Macam mana hang nak hidup kalau selama kat sana hang takkan jumpa masjid langsung.."
Lebih kurang itulah komennya selepas dia memberitahu peluang pekerjaan yang terhidang di depannya.
Sungguh besar cabaran yang datang, dan sehebat itulah pengorbanan yang harus dilakukan. Kalaulah seseorang itu hanya mengejar kesenangan dunia, sudah tentu peluang yang ada dia akan sapu habis sampai licin. Sebaliknya, kalau dia tidak terlalu mengejar wang ringgit, mungkin tawaran itu akan dipertimbangkan semasak-masaknya.
Bukanlah kita tidak boleh menjadi orang yang senang. Bukanlah saya hendak menidakkan kita menolak semua peluang yang ada.
Cuma, kalau peluang yang ada itu tidak menjadikan kita seorang manusia yang lalai dari mengingati akhirat, maka boleh saja kita ambil peluang itu. Yang menjadi masalah, takut suatu masa nanti, kita sudah mula lupa untuk meluangkan masa mengingati Pencipta seluruh alam ini disebabkan bebanan kerja yang ada.
Selagi mana kita sentiasa memperuntukkan masa untuk melakukan ibadah, insyaAllah Dia akan memudahkan segala urusan kerja kita. Dia akan membantu kita tanpa kita sangka, dan Dia akan mengadakan bagi kita jalan keluar dari segala masalah yang ada seperti maksud ayat seribu dinar. Kuncinya, bertakwa kepada Allah s.w.t.
Setinggi mana pun kita berada, sehebat mana pun kita, ingatlah ada yang lebih tinggi dan lebih berkuasa. Kalau Allah ingin tarik segala kelebihan yang kita punya, bila-bila masa sahaja Dia boleh melakukannya. Jadi, selama kita belajar dan bekerja, berapa kerap kita ingat akan Allah dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah kita dapat. Sama-samalah kita renungkan dan buat penilaian sendiri.
No comments:
Post a Comment