Thursday, June 13, 2013

Kita Semua Pelakon yang Berkarisma


Salam w.b.t.

Kehidupan di dunia ini hanya sekadar satu lakonan dan medan ujian bagi setiap insan. Kita semua merupakan pelakon yang sangat berbakat dan bakal diberi ganjaran suatu hari nanti oleh 'Pengarah Besar'. Hari Anugerah Cemerlang itu suatu hari penentuan nasib masing-masing, apakah lakonannya di dunia ini berjaya atau gagal.

Setiap orang ada peranannya tersendiri bagaimana dia harus menjalani kehidupan ini supaya ia selaras dengan apa yang dikehendaki oleh sang Pengarah. Skrip-skrip lakonan sudah pun diberikan sebagai panduan hidup zaman-berzaman. Tinggal lagi, adakah setiap insan itu mahu mengikut segala panduan yang telah diberikan itu.

Sememangnya dunia ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ia punya Pencipta yang Agung yang berkuasa mentadbir alam ini. Setiap apa yang terjadi di dunia ini diketahui oleh sang Pencipta merangkap Pengarah Besar.

Firman Allah s.w.t. :

"Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih, dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu." (Surah Ar-Ra'd : ayat 8)

Pengetahuan Allah sebagai Al-Khaliq melebihi kepandaian yang ada pada Albert Einstein si pencipta teori Relativiti itu dan siapa saja tokoh ilmuan yang paling hebat. Ilmu yang dipelajari sepatutnya menjadikan manusia itu lebih dekat dan mengenali sang Penciptanya.

Jadi, kehidupan yang beragama itu merupakan satu fitrah bagi kita semua. Ia suatu yang diperlukan di kala manusia ingin mencari kebenaran dan menidakkan kebatilan dalam kehidupannya. Agama memberikan panduan kepada penganutnya mengenai bagaimana cara mengenal Pencipta yang Agung ini. Dengan mengenali Pencipta, insyaAllah ia akan membuahkan ketenangan dalam hidup.

Ya, ketenangan setelah mengenal siapa Pencipta dan sifat-sifatNya serta mengamalkan apa yang dituntut oleh agama itu. Hidup beragama membuahkan ketenangan yang tidak dapat digambarkan oleh sesiapa pun. Tiada kata yang mampu diucapkan selain senyuman yang lahir tulus dari hati yang ikhlas.

Ada orang yang tidurnya beralaskan tilam yang empuk dalam bilik yang berdingin hawa, namun dek hati yang tidak tenang maka musnah harapannya untuk mendapatkan tidur yang lena aman. Ada orang yang rumahnya bertingkat-tingkat umpama mahligai, namun sunyi sepi dan tiada keseronokan lantaran tiada roh agama diisi di dalamnya.

Pernah seorang sahabat saya yang berbangsa India, mengatakan betapa dia mendapatkan ketenangan setelah menganut agama Kristian walaupun dia lahir dari keluarga yang beragama Hindu. Setiap agama hatta Islam pernah dipelajarinya, namun ketenangan itu datang setelah dia menganut Kristian. Pernah juga dia mempersoalkan setiap perlakuan yang dilakukan oleh mereka yang beragama ketika beribadat. Semoga suatu hari nanti dia mendapat hidayah kepada Islam.

Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah beroleh ketenangan dalam agama Islam yang kita anuti? Kalau belum, kita harus mencarinya dan terus mencari. Kalau kita tak menjumpai tempat yang tenang, maka carilah Pencipta kepada ketenangan itu.

Sebelum menduduki peperiksaan pun, antara pesanan yang selaaalu kita dengar adalah dapatkan ketenangan sebelum menjawab soalan. Nescaya kita boleh berfikir dengan tenang untuk menjawabnya dengan baik.

Sama-sama kita muhasabah diri ini, sudah di tahap manakah agaknya gred penilaian lakonan kita ini. Adakah sudah memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh sang Pengarah. Selagi hayat masih berbaki, kita masih punya masa untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik supaya apabila kita menemui tuan Pengarah, Dia berpuas hati dengan kualiti lakonan yang kita lakonkan di dunia dahulu.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...