Sunday, October 6, 2013

Kisah Seorang Pencari Rezeki


Salam w.b.t.

Apabila kita bangun daripada tidur dan masih boleh bernafas dengan baik, maka sentiasalah ingat bahawa itu merupakan rahmat dari Allah. Sentiasalah bersyukur dengan berdoa kepada-Nya, dan memuji-Nya yang telah menghidupkan kita setelah kita dimatikan buat sementara.

Kalau Dia mahu, boleh saja kita diambil nyawa terus semasa sedang tidur. Betapa ramai yang sudah dipanggil untuk menghadap-Nya semasa sedang lena diulit mimpi. Kalau Allah berkehendak, apa-apa pun boleh berlaku tanpa sebarang halangan.

"Kun Fa Yakun"

Andai kita masih bernafas dengan baik, ketahuilah bahawa itu merupakan salah satu nikmat paling besar yang pernah kita dapat. Ia sesuatu yang tiada gantinya, walaupun kita katakan dunia perubatan ada menyediakan mechanical ventilator, namun ia tidaklah serupa dan sesempurna ciptaan Allah yang asal.

Ada orang yang hidupnya memerlukan bantuan oksigen untuk hidup. Dia memerlukannya untuk tempoh masa yang tertentu disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

Alangkah beruntungnya kita yang masih boleh bernafas dengan baik. Kita ini sebenarnya sudah punya banyak nikmat daripada Allah. Namun kadang-kadang tu, kita masih lagi lupa untuk bersyukur kepada-Nya.

Pernah suatu hari di dalam wad, ketika round petang dengan senior, terdapat seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 30an, sedang menerima rawatan akibat masalah pernafasan yang dihadapinya. Dia bernafas menggunakan bantuan oksigen melalui nasal prong disebabkan adanya crepitation pada kedua-dua bahagian peparu. Dan pada ketika itu, bunyinya agak jelas apabila kami melakukan auscultation kepadanya.

Doktor senior memaklumkan kepada saya bahawa pesakit ingin memohon DAMA (discharge against medical advice), keluar dari wad walaupun dia sepatutnya tidak boleh berbuat demikian akibat masalah kesihatan yang tidak memuaskan. Dia tidak mahu tinggal di wad kerana dia satu-satunya sumber rezeki (breadwinner) dalam keluarganya.

Ayahnya kudung tangan sebelah kanan, ibunya pula kudung kedua-dua belah tangan. Suaminya sudah meninggal dunia dan mereka tidak dikurniakan anak. Sedih saya dengar kisah hidup keluarga mereka. Ayahnya datang ke arah kami ketika round petang, sambil cuba memberi senyuman dan mengharapkan kebenaran kami mungkin, untuk membenarkan anaknya pulang ke rumah.

"We should feel pity for this patient. She is the only breadwinner in her family." Kata senior kepada saya.

Dia kemudiannya mengarahkan wanita tersebut untuk datang check-up pada setiap minggu sambil memberi kata-kata semangat kepadanya.

Keesokan harinya, dia sudah tiada di katil. Dia sudah keluar. Semoga dia datang ke hospital untuk routine check-up seperti yang diarahkan oleh doktor tersebut.

Muhasabah diri sekejap setelah balik ke bilik. Sungguh beruntung rupanya hidup saya, hidup kita semua. Sudah banyak nikmat yang kita dapat, namun adakah kita sudah betul-betul mensyukuri nikmat tersebut.

Sebelum tidur, pejam mata, muhasabah diri sendiri.

Apa lagi yang kita nakkan dalam hidup ini?

p/s : crepitation - salah satu bunyi yang tak normal pada peparu.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...