Salam w.b.t.
Perubatan Islam merupakan salah satu kaedah perubatan yang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini. Selain mendapatkan rawatan di hospital, kaedah rawatan yang menggunakan ayat suci Al-Quran boleh dijadikan sebagai pelengkap kepada sesuatu rawatan.
Perubatan moden digabungkan dengan amalan ayat Al-Quran,suatu yang cukup berkesan untuk merawat penyakit fizikal serta penyakit rohani.
Kenapa perubatan Islam turut menjadi pilihan oleh orang ramai? Jawapannya, wujud di sana satu kumpulan penyakit yang tidak boleh dikesan melalui peralatan yang canggih di mana ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita.
Salah satu daripadanya adalah santau. Dalam dunia yang serba maju ini, dunia yang dibanjiri dengan telefon pintar serba canggih mahupun ultrabook yang banyak memudahkan urusan seharian, masih ada segolongan insan yang menggunakan taktik halus untuk mengganggu kehidupan orang lain.
Jadi perubatan Islam menjadi pilihan untuk mengelakkan sebarang gangguan yang melebihi kemampuan akal untuk mentafsirkannya.
Pada Sabtu yang lepas, adik saya telah berpeluang menghadiri Seminar Perubatan Islam yang dikendalikan oleh Ustaz Sharhan Shafie, seorang pengamal perubatan Islam. Kalau ikutkan hati, saya juga mahu turut serta dalam program itu. Namun apakan daya, tiada rezeki untuk menyertainya. Mudah-mudahan ada rezeki pada seminar akan datang.
Pada seminar tersebut, Ustaz ada berkongsi mengenai saka dengan para peserta. Apa yang dimaksudkan dengan saka dan kaedah rawatannya. Saka diturunkan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Mereka yang mempunyai saka akan menunjukkan beberapa tanda yang akan saya kongsikan pada coretan akan datang.
Mendengar pengalaman adik mengikuti program itu, membuatkan saya sedikit cemburu kerana peluang untuk bersemuka dengan Ustaz adalah suatu yang cukup bermakna. Tambahan pula, kehadiran peserta yang begitu ramai menunjukkan bahawa masyarakat hari ini sentiasa dahagakan ilmu dalam kesibukan dunia yang mencabar.
Akhir kalam, ayat-ayat suci Al-Quran itu ada penawar yang mujarab untuk setiap penyakit. Baca, fahami maksudnya supaya kita dapat merasa sendiri kemanisan kalamullah yang cukup agung sebagai bukti cinta Allah kepada hamba-hambaNya.
No comments:
Post a Comment