Salam w.b.t.
Pada artikel sebelum ini, ada saya katakan yang kami perlu melakukan suatu tugasan selepas solat Asar. Apa tugasan tu ya? Hmmm... Mesti kalian tertanya-tanya kan.
Pada petangnya selepas Asar, kami ditugaskan untuk melakukan aktiviti Mulaqat. Kalau tak salah saya, ia ada persamaan dengan kalimah Mulaqah yang kita pernah belajar dalam subjek Sejarah. Maksudnya, Pertemuan. Ini merupakan asal-usul perkataan Melaka, di mana ia adalah tempat pertemuan pedagang seantero dunia.
Kami pun mula bergerak untuk mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Patan. Tujuannya cuma satu, untuk memberitahu mereka mengenai program Ijtimak (perhimpunan) yang akan diadakan di satu tempat yang bernama Wagiri. Kalau kalian hendak tahu, Patan merupakan kawasan yang berbukit-bukau dan sangat mencabar perjalanan. Kawasannya yang penuh dengan gaung membuatkan diri ini berasa sedikit gementar dan bersyukur; gementar dek bahayanya perjalanan pada waktu malam dan bersyukur sebab saya diberikan tempat tinggal yang lebih baik kawasan geografinya. Pun begitu, saya turut berharap pada masa depan akan ada kemajuan di kawasan tersebut untuk kemudahan ramai.
Semasa dalam perjalanan, ada juga kami berselisih dengan lori-lori muatan yang besar dan 'menggerunkan'. Maka kami perlu lebih berhati-hati di situ kerana banyak tempat yang harus dikunjungi untuk menyelesaikan misi tersebut.
Ada satu kawasan penduduk tu, perlu lalu kawasan bukit yang sangat curam dan jalannya juga penuh berbatu sampaikan motosikal yang dinaiki hampir-hampir semput untuk mendaki kawasan itu. Setelah berhempas pulas, kami sampai juga di kawasan tersebut. Masyarakatnya bekerja sebagai petani. Ada sebuah surau kecil yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang. Kami pun bertemu dengan penduduknya dan memberitahu program yang bakal diadakan keesokan harinya. Mereka juga sempat menjamu kami dengan teh panas sebelum kami bertolak pulang.
Setelah habis satu destinasi, kami pun bergerak ke destinasi seterusnya. Selagi malam belum melabuhkan tirainya, selagi itulah Mulaqat perlu diteruskan. Dari satu kampung ke kampung yang lain. Inilah yang dikatakan sebagai 'turun padang', tengok sendiri bagaimana kehidupan masyarakat setempat. Mungkin melalui mereka, kita akan belajar sesuatu dalam hidup ini. Betapa sifat bersyukur dengan nikmat yang sedia ada perlu dizahirkan dan diamalkan selalu.
Setelah selesai semuanya dan Maghrib menjelang tiba, kami mula bergerak ke masjid pertama yang kami singgah setibanya di Patan. Kami mula mengemas barang-barang di situ kerana kami akan bergerak ke destinasi yang seterusnya pula.
Mana pula nak pergi tu?? InsyaAllah akan saya ceritakan nanti..
Wassalam..
p/s : Setelah lama menyepi, maka keluar juga akhirnya artikel ini. Ingatkan nak habiskan terus, tapi rupanya banyak lagi nak diceritakan...
p/ss : Al-Fatihah kepada arwah Asy-Syahid Dr. Mohamed Said Ramadan al-Buti dan arwah Dr Muhammad Uthman El-Muhammady...2 tokoh besar, 2 permata agama....