Sunday, March 17, 2013

Kematian Itu Lebih Baik Baginya


Salam w.b.t.

Semalam (Sabtu), salah seorang saudara kita dalam Islam telah pun dijemput menghadap Ilahi.

Akh Muhammad Nur Iman Shafieq, seorang ikhwah yang sangat komited dengan dakwah dan tarbiah, bekas pelajar di salah sebuah universiti di London dalam bidang perguruan, telah terlibat dalam satu kemalangan. Arwah tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar belakang sebuah Alphard yang menukar laluan secara tiba-tiba.

Walaupun saya tidak kenal sangat dengan arwah, tapi melalui update status di wall-wall facebook, saya kira arwah seorang yang sangat baik dan sentiasa bersemangat dalam gerak kerja dakwah. Betapa ramai yang menyuarakan rasa kehilangan dan kesedihan apabila kematian itu lebih baik baginya. Sungguh, saya cemburu dengan arwah melalui cerita-cerita dari sahabatnya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Apabila bayi dilahirkan, hukum untuk bayi itu menangis adalah wajib. Ia bukannya sunat atau harus. Sebaliknya, ibu ayah dan orang di sekeliling akan bergembira dengan kelahiran anak yang dinanti-nantikan itu.

Apabila manusia meninggalkan dunia ini, orang di sekeliling pula yang akan bersedih dan diharapkan kita pula yang akan bergembira saat pertukaran ke alam barzakh suatu hari nanti.

Itulah 2 situasi yang berbeza. Satu, saat kita datang ke dunia. Kedua, saat kita meninggalkan dunia ini.

Kehidupan kita di dunia ini cuma sementara. Betapa masa kita cuma sekejap, tak lama.

Bukanlah nilai hidup ini ditentukan melalui pangkat, harta mahupun aset berjuta. Tetapi hidup itu sangatlah bermakna andai, kita gunakannya dengan melakukan perkara kebajikan dan saling mengenali saudara seagama. Nilai kepada hidup kita itu, salah satu kayu ukurnya adalah berapa ramai saudara seMuslim yang telah kita kenal, jumpa dan berurusan dengan mereka. Semakin ramai sahabat, semakin banyak ukhwah yang terjalin. Semakin kita menghayati maksud sebenar kalimah Ar-Rahman (Yang Maha Penyayang), salah satu Nama-nama Allah yang Mulia.

Inilah salah satu tazkirah yang pernah disampaikan oleh salah seorang akhi ketika saya pulang bercuti suatu masa dulu. Kita hidup di dunia ini, cubalah untuk kenal ramai orang supaya kita boleh belajar dari mereka. Banyak contoh terbaik yang boleh kita ikut dan amalkan.

Manusia mati meninggalkan nama. Selagi hayat dikandung badan, buatlah amal kebaikan sebanyak mungkin. Sebab kita tak tahu bila pula giliran kita untuk dipanggil menghadapNya.

Muda atau tua, baik atau kurang baik, bukanlah indikator kepada kematian yang sudah pasti. Yang paling penting, apa persiapan yang telah kita buat untuk menyambut kedatangan sakaratul maut kelak.

Jom muhasabah...

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...