Salam w.b.t.
Suatu malam di asrama lima bintang :
Pakcik : Hangpa puasa kan lanie?
Saya : Ya pakcik. Sebulan kena puasa.
Pakcik : Bila mula puasa? Lepas pukul lima ka?
Saya : Haah. Mula lebih kurang lepas lima pagi, sampai la ke malam dalam tujuh suku camtu la.
Pakcik : Tak boleh makan, minum apa-apa langsung ka nak? Air masak ka?
Saya : Tak boleh pakcik. Langsung tak boleh makan atau minum. Kuch nehi...
Pakcik : Kalau lagu tu la punya crita, memang mati la pakcik nak oi..
Saya : *senyum..
Begitulah serba sedikit perbualan saya dengan salah seorang pakcik keselamatan (baca : guard) di sini. Beliau agak terkejut dengan ibadah puasa yang sedang kita jalani selama sebulan ini. Baginya, kalau tak boleh makan atau minum langsung, ia suatu masalah besar baginya. "I can die," Itulah reaksi spontan yang diberikannya kepada saya.
Saya cakapkan padanya, sekarang ini kan musim hujan. Jadi, puasanya tidaklah sesukar mana sehingga boleh meletihkan badan apabila sehari suntuk berpuasa. Mungkin ia suatu pertolongan dari Allah supaya hamba-hambaNya boleh melakukan ibadah ini dengan baik.
Bagaimana dengan puasa kita sehingga ke hari ini? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja? Kalau Ramadhan kali ini tiada perubahan yang kita lakukan, alangkah rugi jadinya.
Kita yang sudah pun berpuasa sejak dari kecil semestinya tidak akan menghadapi masalah untuk berpuasa. Sebab apa? Sebab kita sudah dilatih dari awal lagi. Kita sudah ada pengalaman bagaimana untuk kekal cergas sepanjang bulan puasa. Saya pasti kalau pakcik itu pernah cuba berpuasa sejak kecil, pasti dia boleh menghadapinya dengan baik.
Ibadah puasa itu memang ada kebaikan dari segi saintifik. Baik untuk kesihatanlah, untuk awet muda contohnya (sekadar contoh) atau apa-apa saja yang mungkin kita pernah baca untuk memberikan kita kekuatan terus kekal berpuasa sepanjang hari. Namun, ibadah ini bukanlah semata-mata untuk membuktikan kajian tersebut. Ia lebih kepada bagaimana penyerahan diri kita kepada Allah dan ketaatan kita untuk melakukan apa yang Dia suruh.
Kita ini kan hamba semata-mata. Kalau tiada bukti saintifik yang mengatakan kebaikan berpuasa pun, wajib untuk kita patuh arahan yang Allah berikan. Kita sepatutnya melakukan segala amalan itu secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan dariNya.
Semoga kita lebih menghayati ibadah puasa kali ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri. Belum tentu kita mendapat peluang untuk beribadah sakan sepertimana yang kita peroleh pada bulan Ramadhan ini.
Wassalam..
No comments:
Post a Comment