Saturday, July 6, 2013

Harapan Ramadan Seorang Hamba

Salam w.b.t.

Kurang dari seminggu lagi kita akan memasuki sekolah Ramadan. Ianya suatu cita-cita yang diimpikan oleh setiap orang yang bergelar Muslim. Hidup di dalamnya bagaikan suatu nikmat yang sangat besar dan indah.
Suasana Ramadan itu sesuatu yang sangat indah kalau dihayati sebenar-benarnya.

Ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum bahkan lebih dari itu. Adab-adab berpuasa juga kenalah dijaga supaya puasa kita itu berkualiti gred A++. Barulah syok dan berbaloi. Kita hendakkan supaya puasa itu mencapai objektif utamanya, iaitu menjadikan kita orang yang bertakwa apabila berakhirnya Ramadan kelak, sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183.

Sepatutnya kita sudah menetapkan apa yang nak dicapai semasa bulan puasa nanti. Apa yang disasarkan itu perlulah dilakukan sedari sekarang, sejak saat dan minit ini juga. Bermulalah sedikit dahulu, supaya kita dapat mengekalkan momentum tersebut sepanjang Ramadan. Perlu adanya peningkatan amal dalam hidup ini kerana ia menjadi kayu ukur apakah kita benar-benar faham mengenai agama ini. Apakah kita benar-benar hendak berubah ke arah yang lebih baik.

Sepanjang Ramadan nanti juga, bolehlah kita perkemaskan dan cantikkan lagi ibadah-ibadah fardhu di samping ibadah sunat. Solat yang khusyuk, solat berjemaah dan pada waktunya, melazimi bacaan Al-Quran beserta maksudnya, berazam untuk menghafaz sekurang-kurangnya satu juzuk Al-Quran antara perkara yang sangat baik untuk dijadikan senarai wajib buat. Mengurangkan aktiviti-aktiviti lagha (melalaikan) juga harus kita jadikan sebagai target semasa berpuasa nanti.

Teringat salah satu petikan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mawi semasa saya melawat SMSTSP pada Ramadan tahun lepas, kata ustaz memetik kata-kata Hassan Al-Basri, 

"Kun Rabbaniyyin, wa laa takun Ramadaniyyin. (Jadilah hamba kepada Allah, jangan jadi hamba kepada Ramadan)"

Apa jua amalan tambahan yang kita buat semasa Ramadan, mudah-mudahan dikekalkan pada 11 bulan yang seterusnya. Kalau tidak, jadilah kita ini Muslim Ramadan semata-mata. Keluar Ramadan, ibadahnya entah ke mana, tak kelihatan langsung. Pernah suatu masa dahulu Ustaz Hasrizal mengeluarkan satu artikel bertajuk Yatim Piatu 11 Bulan. Ingatkan siapalah yang tiada mak dan ayah selama 11 bulan. Rupa-rupanya ia merujuk kepada amalan bersedekah yang banyak dilakukan semasa Ramadan dan berkurangan pada bulan yang lain.

Sekiranya kita diberi peluang untuk menemui Ramadan kali ini, alangkah bertuahnya kita. Masih ada peluang untuk kita menjadikan ibadah kali ini lebih berkualiti dari musim-musim sebelumnya. Kita masih punya masa untuk menampung kekurangan yang ada dan berusaha menjadi manusia yang lebih baik usai Ramadan kali ini.

Harapannya, semoga kita semua, lebih-lebih lagi empunya diri yang menulis artikel ini akan menggunakan kesempatan masa yang ada ini untuk bermuhasabah dan meletakkan azam untuk melakukan suatu perubahan, dan berusaha untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh. 

p/s : Semoga Allah membantu perjuangan Dr. Morsi dan rakan-rakannya di Mesir sana, dan menghancurkan kezaliman yang semakin berleluasa. Marilah kita mendoakan pemimpin yang adil ini supaya beliau diberi kekuatan untuk menegakkan Islam di bumi Mesir.
"Ihzimhum wansurna 'alaihim"

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...