Tuesday, December 31, 2013

How To Boost Your Brain to Einstein's?

Salam w.b.t.

Salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan otak kita adalah dengan belajar perkataan-perkataan baru setiap hari. Satu perkataan sehari, dan tahu cara penggunaannya yang betul.

Bahasa rasmi kita sendiri pun tak semua perkataan yang kita tahu apa maksudnya dan bagaimana cara penggunaannya yang betul. Sungguh, Allah Maha Kuasa, betapa di dunia ini ada 1001 macam bahasa walaupun lidahnya serupa bagi setiap orang.

Belajarlah bahasa asing untuk tingkatkan memori otak. Setiap perkataan yang baru kita belajar, pasti otak akan sentiasa bekerja, lebih banyak synapse yang berlaku, lebih cekap kita berfikir.

Apabila dari muda lagi kita sentiasa menggunakan otak, insyaAllah kita tidak akan menghadapi masalah 'dementia' atau masalah lupa di usia emas nanti.

Jadi, bermulalah dari sekarang!

Monday, December 30, 2013

Angin Merah


Salam w.b.t.

"BUZZZzzz..."

Hensetku bergetar menandakan ada mesej baru masuk. Lalu aku pun keluarkan henset dari poket dan membaca mesej yang dihantar oleh adikku.

"Nak tanya nie..tiba2 badan abah sebelah kanan semua krem x leh gerak..cakap pun x boleh..pasaipa hah??

Sebaik saja aku baca mesej itu, satu saja diagnosis yang mula bermain-main dalam fikiran. Stroke, atau orang kita panggil 'angin ahmar'.

Abah memang mempunyai tekanan darah yang sangat tinggi sebelumnya dan bergantung kepada ubat hospital untuk menstabilkan tekanan darahnya. Mungkin disebabkan ubat yang tidak diambil mengikut masa, maka berlakulah komplikasi stroke tersebut. Tekanan darah melampau yang tidak dikawal memang menjadi sebab kepada berlakunya stroke attack.

Beliau juga mempunyai simptom sebelah badan yang tidak boleh digerakkan. Ini juga merupakan salah satu ciri serangan angin ahmar.

Aku terus menasihatkan mereka supaya membawa abah melakukan pemeriksaan kesihatannya itu. Aku kira, pemeriksaan ketika berlakunya apa jua penyakit yang datang mengejut (acute) lebih afdhal dilakukan tanpa sebarang penangguhan kerana simptom ketika itu lebih reliable. Dan diagnosis sudah pasti akan lebih tepat berdasarkan simptom yang ada.

Setelah pemeriksaan dilakukan, memang benarlah ia merupakan serangan angin ahmar yang sering berlaku kepada mereka yang berada dalam usia emas.

Doktor menasihatkan abah dimasukkan ke wad untuk beberapa hari supaya pemantauan boleh dilakukan oleh pakar. Aku yakin dengan keputusan itu kerana abah sememangnya perlukan rehat yang cukup. Perlu ada suasana yang tenang untuk membantu penyembuhan dirinya itu.

Hari ini, kesihatan abah sudah semakin baik. Tangan dan kakinya sudah boleh digerakkan semula. Namun, beliau masih tidak cukup kuat untuk berjalan sendiri dan perlu dipimpin oleh orang lain. Setiap hari, fisioterapi perlu dilakukan untuk mengembalikan fungsi otot kaki dan tangan seperti sediakala.

Syukur alhamdulillah..

Aku hanya mampu mendoakannya dari jauh sahaja. Mahu sahaja aku pulang ke tanahair, namun masih ada lagi tugas di sini yang belum selesai. Ada lagi jiwa-jiwa yang terlantar di sini yang memerlukan khidmat aku. Semoga aku dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan penuh komitmen terhadap pesakitku.

Pun begitu, aku tetap bersyukur sebab aku punya adik yang setia menjaga abah di rumah. Terbit juga rasa cemburu di hati kerana mereka dapat peluang untuk berbakti kepada orang tua, sesuatu yang wajib ada dalam rutin hidup seorang anak.

Aku juga punya sanak saudara yang tidak jemu meringankan beban keluargaku di sana. Sahabat handai abah pun ada datang melawat juga, baik yang jauh mahu pun yang dekat. Terima kasih aku ucapkan kepada kalian. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.

Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi yang ingin pergi berperang bersama Baginda. Permintaannya ditolak memandangkan dia masih punya ibu dan ayah yang lebih utama untuk dijaga. Ini membuktikan betapa tanggungjawab menjaga mak ayah itu lebih tinggi prioritinya.

Kata Kak Fynn, tengok wajah kita di cermin pasti akan ingatkan kita pasal mak ayah
Kata aku, tengok saja steto nie pasti akan ingatkan aku pasal asal-usulku.. hehe
 

Mungkin medan amalku adalah kepada ibu-ibu atau bapa-bapa di sini. Jadi aku juga perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka sebagaimana aku inginkan layanan yang terbaik buat ibu dan abahku daripada orang lain.

Akhir kalam, kepada yang masih ada ibu dan ayah, kepada yang masih boleh menatap wajah mereka secara live, layanlah mereka sebaik yang mungkin. Hidup kita ini tidak lama sebenarnya dan sentiasa akan ada kejutan. Jadi buatlah persiapan kerana hidup ini bukan sekadar untuk berseronok melainkan ia tempat untuk kita diuji dengan bermacam ujian. Dunia ini medan ujian, keputusannya akan diketahui suatu masa nanti.

Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Wassalam...

Saturday, December 28, 2013

Rumahku, Bilik bersalinku...


Salam w.b.t.

Saya pernah memberitahu sebelum ini bahawa saya akan berkongsi cerita-cerita suka duka dunia medik di Aku & Stetoskop sahaja. Namun, sejak akhir-akhir ini, banyak pula isu yang timbul yang saya kira saya cukup sedih dan marah apabila membaca mengenainya. Entah kenapa, pada zaman yang serba moden ini, masih ada segelintir daripada masyarakat yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat daripada golongan yang lebih ahli dalam bidang itu.

Maka, saya kira perlu untuk saya kongsikan pendapat saya di sini mengenai isu yang dibangkitkan tersebut supaya masyarakat dapat membuat pilihan yang lebih bijak pada masa akan datang.


Ibarat kain putih yang membaluti tubuh mereka di saat mereka lahir ke dunia.


Apa yang akan saya kongsikan sedikit sebanyak telah pun dihuraikan secara panjang lebar oleh doktor-doktor yang sedang bekerja sebagai HO di tanahair. Banyak kisah pengalaman mereka yang saudara/saudari boleh baca dan ambil iktibar daripada kisah tersebut.

1. Isu doktor lelaki di bilik bersalin.

Salah satu isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan bakal ibu di negara tercinta. Saya tidak kata semua bakal ibu, cuma sebahagian dari mereka. Oh, isu vaksin itu pun cuma sebahagian dari masyarakat juga, bukan semua ibu bapa yang menentangnya. Takut pula disalah tafsir kemudian hari.

Kebetulan saya sedang dalam posting di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology/OBG). Maka saya rasa terpanggil untuk turut berkongsi sesuatu di sini mengenai isu 'haramnya' doktor lelaki di bilik bersalin.

Setiap doktor, baik lelaki mahu pun perempuan harus menguasai semua disiplin ilmu yang ada dalam bidang perubatan, termasuklah bidang yang berkaitan wanita. Tiada alasan yang boleh diberi. Sekurang-kurangnya, setiap doktor perlu ada kemahiran untuk assist kelahiran bayi. Dan semasa assist tu, mestilah kita akan dapat tengok macam mana doktor senior sambut bayi tu. Dari situ pun kita dah boleh belajar sesuatu mengenai kelahiran bayi secara normal.

"Maaflah, den tak pernah pun sambut baby.."

"Macam mana ghupa crowning tu ek?.."

Habis caca merba satu bilik bersalin tu bila doktor lelaki yang bakal menamatkan zaman HOnya pun tak tahu macam mana nak manage pesakit di bilik bersalin. Ada sebahagiannya yang request nak doktor perempuan saja la sewaktu bersalin, tapi aurat di wad pula yang tak dijaga. Apa ceritanya nie?

Kalau nak request doktor perempuan juga, simpanlah duit cukup-cukup pastu pergilah bersalin di hospital swasta ka. InsyaAllah boleh dapat. Kalau di hospital kerajaan tu, kenalah banyakkan berdoa minta Allah bagi doktor yang terbaik semasa bersalin tu.

Boleh baca di sini untuk kes-kes kecemasan semasa bersalin.


2. Isu bersalin di rumah. (Natural birth, AMANI birth, lotus birth)

Ini pun satu lagi isu yang buat saya panas hati dan sedih. Tambahan pula, minggu lepas berlaku satu kes kematian ibu yang melahirkan anaknya di rumah tanpa pengawasan doktor yang berpengalaman. Cuma pemantau (doula) yang menjadi peneman saat melahirkan anak tersebut. Berlaku komplikasi, akhirnya ibu pergi meninggalkan anaknya untuk menghadap Ilahi..huhu..

Si doula boleh pula kata setiap kematian itu sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Ini qada' dan qadar. Ini memang statement untuk melepaskan diri. Padahal kita ada dua pilihan, pilihan yang baik (yakni memelihara nyawa) untuk kita ikut dan pilihan yang buruk untuk dijauhi. Memang saya marah dengan kenyataan si pemantau yang nampak sangat nak lepaskan dirinya dari segala tanggungjawab. Haish...

Tempat yang paling selamat untuk bersalin, semestinya di hospital/klinik. Sebab apa? Kemudahan ubat, alat-alatan yang di hospital tanahair, saya kira sudah serba cukup. Doktor yang bertugas pula pasti mempunyai ilnu yang cukup, paediatrician yang standby untuk handle bayi yang dilahirkan, atau resuscitate bayi yang bermasalah. Semuanya sudah ada. InsyaAllah, ibu dapat melahirkan anak tanpa sebarang komplikasi.

Kalau tak reti bersyukur jugak, datanglah ke sini. Mai tengok macam mana keadaan wad dan bilik bersalin di sini, tempat saya sedang bertugas ini. Pastinya kalian akan rasa bersyukur dengan hospital di tempat kita. 

Namun, ada sebahagian daripadanya yang memilih kaedah bersalin di rumah sahaja. Ada antaranya yang sudah berpengalaman melahirkan anak di rumah. Jadi, mereka rasa di rumah lagi selesa. Kot la. Tak payah ke hospital pun tak apa. Kat rumah sebelum nie ok ja.

Saya pun tak tahu la macam mana nak hadapi golongan macam nie sebab saya belum lagi bekerja di tanahair. Setakat yang saya tahu, di sini kalau kita suruh pesakit admit di wad, mereka tidak akan membantah.

Pernah suatu masa dahulu, semasa practical exam untuk subjek Paediatrik (Kanak-kanak), saya ditakdirkan Allah mendapat kes Cerebral Palsy. Ini berkaitan sistem saraf (Nervous System) yang mana tiada siapa pun mahu mengambil risiko untuk membentangkan kes tersebut, namun Allah telah pilih saya akhirnya untuk kes itu.

Daripada history pesakit, rupanya dia dilahirkan di rumah dan dibantu oleh bidan sahaja. Semasa kecil, berlaku jangkitan pada dirinya sehingga menyebabkan kecacatan otak yang kekal. Seingat saya juga, ibunya sudah meninggal dunia ketika itu (tahun lepas) dan ibu saudaranya yang menjaganya di wad. Sedih pula dengan kisah hidup pesakit itu. Entah bagaimana nasibnya ketika ini.

Untuk info lebih lanjut tentang hukum home birth, boleh rujuk di sini.

Panjang pulak coretan kali nie. Itulah serba sedikit apa yang saya rasa tentang isu yang melibatkan para doktor di OBG Department. Semoga segala pencerahan oleh doktor-doktor yang pakar tersebut boleh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengubah persepsi mereka terhadap isu bersalin ini.

Kita kena sedar, betapa tabahnya pakar OBG wanita yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka demi menyelamatkan nyawa ibu yang segender dengan mereka serta nyawa bayi dalam kandungan. Nak handle pesakit sama gender nie, terkadang boleh jadi emosi jugak tau sebab mereka faham apa perasaan pesakit itu, keperitan dan kesakitan ketika melahirkan anak.

Itulah dia pengorbanan para doktor di bilik bersalin di Hospital, baik kerajaan mahu pun swasta. Jangan kita ego, dan tidak menghargai jasa mereka itu.

Sekian sahaja buat kali ini.

Saya memohon maaf andai ada terkasar bahasa kepada sesiapa yang berkenaan. Tiada niat untuk menyindir siapa-siapa, cuma untuk meluahkan apa yang terbuku di hati setelah sekian lama. Saya cuma manusia biasa, yang masih sedikit ilmunya, yang masih bertatih untuk menyambut bayi, yang masih perlu banyak belajar lagi. Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.. (",)

Wassalam....

Thursday, December 19, 2013

Seorang Ibu Yang Tabah


Salam w.b.t.

Katanya pada zaman sekarang, ramai yang memilih untuk melakukan pembedahan Caesarean ( Caesarean section/ C-sec/CS) semasa hendak bersalin. Ibu saudara saya turut mengatakan benda yang sama juga. Kerana apa? Sebab ibu atau bakal ibu tersebut tidak tahan dengan kesakitan ketika melahirkan anaknya itu. Lalu, mereka lebih rela memilih alternatif pembedahan untuk mengelakkan rasa sakit ketika bersalin.

Bersalin memang suatu yang sangat menyakitkan. Saya yang sedari awal berada di Labour Room sebelum bayi keluar pun kesian tengok para ibu yang terpaksa mengerah tenaga untuk meneran (bear down/push) semasa proses kelahiran itu.

Namun percayalah wahai ibu-ibu sekalian, terutamanya yang Muslim, betapa banyak pahala yang ibu-ibu dapat disebabkan ketabahan dan kesabaran ibu semasa bersalin. Lelaki belum tentu dapat menahan kesakitan yang sama.

Memanglah bersalin melalui pembedahan tu tak la sakit mana pun. Namun, komplikasi selepas pembedahan lebih banyak berbanding bersalin secara normal. Luka yang perlu dijaga juga kecil dan cepat sembuh kalau kebersihan diri dijaga sebaik mungkin.

Apa-apa pun, pilihan di tangan masing-masing. Buatlah pilihan yang bijak. Buat ibu yang memilih kelahiran secara normal, anda sememangnya seorang yang sangat kuat dan gagah kerana, pain threshold anda sangatlah tinggi (kata seorang rakan saya di fb) hehe


Monday, December 16, 2013

Ujian seorang doktor

Salam w.b.t.

Seseorang doktor itu pasti akan selalu menasihatkan pesakitnya supaya menjaga cara pemakanan yang betul, kena selalu bersenam, ambil ubat pada masanya dan lain-lain lagi.

Namun, doktor itu juga kadang-kadang tidak melakukan apa yang dinasihatkan kepada pesakitnya. Sedangkan doktor harus menjadi role model kepada pesakitnya.

Disebabkan kesibukan bekerja, dan masa bekerja seminggu ditambah kepada 75 jam, makin lewatlah waktu makan malamnya. Huhu

Doktor juga selalu kena bagi motivasi kepada saudara pesakitnya yang bimbangkan kesihatan ahli keluarga mereka.

"Banyakkan bersabar. Doalah pada Allah. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja..."

Ahli keluarga mendengar dengan penuh harapan supaya pesakit kembali sembuh seperti biasa.

Tengok-tengok, esoknya pesakit tersebut sudah pun meninggal dunia. Sehebat-hebat doktor pun tak boleh lawan qada' dan qadar.

Namun, bila si doktor pula diuji apabila ahli keluarganya sakit dan dimasukkan ke wad, fahamlah dia bagaimana perasaan pesakit yang pernah dinasihatinya sebelum ini. Dia pula yang kena belajar ilmu sabar dan tabah untuk menghadapi ujian hidup ini.

Asyik nasihat orang saja, sekali kena pada diri sendiri, mulanya rasa berat. Tapi lama kelamaan kita pasti akan dapat semangat balik.

Kesihatan itu, bila-bila masa Allah boleh ambil sekejap. Kalau kena uji, memang kena sabar banyak-banyak.

Manusia itu kan sifatnya sementara, cuma Allah yang Maha Kekal...

Wednesday, December 11, 2013

Setelah 2 Minggu

Salam w.b.t.

Mulai esok, suasana di hostel akan bertambah sunyi dan sepi. Junior-junior yang sudah habis final exam akan pulang bercuti esok hari. Semuanya mengukir senyuman di bibir, tanda tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah air.

Musim exam merupakan musim yang penuh dengan stress. Tambahan pula kalau seseorang itu di tahun akhir. Setiap subjek yang diambil berat-berat belaka, baik berat dari segi ilmunya mahu pun berat fizikal buku yang tebal amat.

Pasca exam, segala tekanan hilang, terbang ibarat debu-debu yang ditiup angin. Suatu beban yang berat seakan sudah terlepas dari tanggungan. Wajah mula mempamerkan keceriaan dan kelegaan yang tak terkata. Aras endorphin dalam badan mula meningkat naik disusuli penurunan adrenaline mahu pun noradrenaline, saudara kembarnya.

Baru-baru ini timbul pula isu hanya doktor perempuan di bilik bersalin yang mendapat banyak respons dari ramai orang.

Kebetulan pula, saya sedang berposting Obstetrik & Ginekologi selama 2 bulan. Posting terakhir program internship.

6 minggu berbaki, banyak yang telah saya belajar dan ia suatu yang penting untuk setiap doktor tahu bagaimana untuk mengendalikan pesakit yang mengandung.

Lain kali la saya ulas sedikit mengenai isu ini. Saya kira sudah banyak blog atau artikel yang membincangkan isu ini dengan lebih terperinci.

Salah satunya di blog ini.

Till then.

Wassalam...

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...