Salam w.b.t.
"BUZZZzzz..."
Hensetku bergetar menandakan ada mesej baru masuk. Lalu aku pun keluarkan henset dari poket dan membaca mesej yang dihantar oleh adikku.
"Nak tanya nie..tiba2 badan abah sebelah kanan semua krem x leh gerak..cakap pun x boleh..pasaipa hah??
Sebaik saja aku baca mesej itu, satu saja diagnosis yang mula bermain-main dalam fikiran. Stroke, atau orang kita panggil 'angin ahmar'.
Abah memang mempunyai tekanan darah yang sangat tinggi sebelumnya dan bergantung kepada ubat hospital untuk menstabilkan tekanan darahnya. Mungkin disebabkan ubat yang tidak diambil mengikut masa, maka berlakulah komplikasi stroke tersebut. Tekanan darah melampau yang tidak dikawal memang menjadi sebab kepada berlakunya stroke attack.
Beliau juga mempunyai simptom sebelah badan yang tidak boleh digerakkan. Ini juga merupakan salah satu ciri serangan angin ahmar.
Aku terus menasihatkan mereka supaya membawa abah melakukan pemeriksaan kesihatannya itu. Aku kira, pemeriksaan ketika berlakunya apa jua penyakit yang datang mengejut (acute) lebih afdhal dilakukan tanpa sebarang penangguhan kerana simptom ketika itu lebih reliable. Dan diagnosis sudah pasti akan lebih tepat berdasarkan simptom yang ada.
Setelah pemeriksaan dilakukan, memang benarlah ia merupakan serangan angin ahmar yang sering berlaku kepada mereka yang berada dalam usia emas.
Doktor menasihatkan abah dimasukkan ke wad untuk beberapa hari supaya pemantauan boleh dilakukan oleh pakar. Aku yakin dengan keputusan itu kerana abah sememangnya perlukan rehat yang cukup. Perlu ada suasana yang tenang untuk membantu penyembuhan dirinya itu.
Hari ini, kesihatan abah sudah semakin baik. Tangan dan kakinya sudah boleh digerakkan semula. Namun, beliau masih tidak cukup kuat untuk berjalan sendiri dan perlu dipimpin oleh orang lain. Setiap hari, fisioterapi perlu dilakukan untuk mengembalikan fungsi otot kaki dan tangan seperti sediakala.
Syukur alhamdulillah..
Aku hanya mampu mendoakannya dari jauh sahaja. Mahu sahaja aku pulang ke tanahair, namun masih ada lagi tugas di sini yang belum selesai. Ada lagi jiwa-jiwa yang terlantar di sini yang memerlukan khidmat aku. Semoga aku dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan penuh komitmen terhadap pesakitku.
Pun begitu, aku tetap bersyukur sebab aku punya adik yang setia menjaga abah di rumah. Terbit juga rasa cemburu di hati kerana mereka dapat peluang untuk berbakti kepada orang tua, sesuatu yang wajib ada dalam rutin hidup seorang anak.
Aku juga punya sanak saudara yang tidak jemu meringankan beban keluargaku di sana. Sahabat handai abah pun ada datang melawat juga, baik yang jauh mahu pun yang dekat. Terima kasih aku ucapkan kepada kalian. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.
Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi yang ingin pergi berperang bersama Baginda. Permintaannya ditolak memandangkan dia masih punya ibu dan ayah yang lebih utama untuk dijaga. Ini membuktikan betapa tanggungjawab menjaga mak ayah itu lebih tinggi prioritinya.
Kata Kak Fynn, tengok wajah kita di cermin pasti akan ingatkan kita pasal mak ayah Kata aku, tengok saja steto nie pasti akan ingatkan aku pasal asal-usulku.. hehe |
Mungkin medan amalku adalah kepada ibu-ibu atau bapa-bapa di sini. Jadi aku juga perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka sebagaimana aku inginkan layanan yang terbaik buat ibu dan abahku daripada orang lain.
Akhir kalam, kepada yang masih ada ibu dan ayah, kepada yang masih boleh menatap wajah mereka secara live, layanlah mereka sebaik yang mungkin. Hidup kita ini tidak lama sebenarnya dan sentiasa akan ada kejutan. Jadi buatlah persiapan kerana hidup ini bukan sekadar untuk berseronok melainkan ia tempat untuk kita diuji dengan bermacam ujian. Dunia ini medan ujian, keputusannya akan diketahui suatu masa nanti.
Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Wassalam...
No comments:
Post a Comment