Salam w.b.t.
Saya pernah memberitahu sebelum ini bahawa saya akan berkongsi cerita-cerita suka duka dunia medik di Aku & Stetoskop sahaja. Namun, sejak akhir-akhir ini, banyak pula isu yang timbul yang saya kira saya cukup sedih dan marah apabila membaca mengenainya. Entah kenapa, pada zaman yang serba moden ini, masih ada segelintir daripada masyarakat yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat daripada golongan yang lebih ahli dalam bidang itu.
Maka, saya kira perlu untuk saya kongsikan pendapat saya di sini mengenai isu yang dibangkitkan tersebut supaya masyarakat dapat membuat pilihan yang lebih bijak pada masa akan datang.
Ibarat kain putih yang membaluti tubuh mereka di saat mereka lahir ke dunia. |
Apa yang akan saya kongsikan sedikit sebanyak telah pun dihuraikan secara panjang lebar oleh doktor-doktor yang sedang bekerja sebagai HO di tanahair. Banyak kisah pengalaman mereka yang saudara/saudari boleh baca dan ambil iktibar daripada kisah tersebut.
1. Isu doktor lelaki di bilik bersalin.
Salah satu isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan bakal ibu di negara tercinta. Saya tidak kata semua bakal ibu, cuma sebahagian dari mereka. Oh, isu vaksin itu pun cuma sebahagian dari masyarakat juga, bukan semua ibu bapa yang menentangnya. Takut pula disalah tafsir kemudian hari.
Kebetulan saya sedang dalam posting di Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology/OBG). Maka saya rasa terpanggil untuk turut berkongsi sesuatu di sini mengenai isu 'haramnya' doktor lelaki di bilik bersalin.
Setiap doktor, baik lelaki mahu pun perempuan harus menguasai semua disiplin ilmu yang ada dalam bidang perubatan, termasuklah bidang yang berkaitan wanita. Tiada alasan yang boleh diberi. Sekurang-kurangnya, setiap doktor perlu ada kemahiran untuk assist kelahiran bayi. Dan semasa assist tu, mestilah kita akan dapat tengok macam mana doktor senior sambut bayi tu. Dari situ pun kita dah boleh belajar sesuatu mengenai kelahiran bayi secara normal.
"Maaflah, den tak pernah pun sambut baby.."
"Macam mana ghupa crowning tu ek?.."
Habis caca merba satu bilik bersalin tu bila doktor lelaki yang bakal menamatkan zaman HOnya pun tak tahu macam mana nak manage pesakit di bilik bersalin. Ada sebahagiannya yang request nak doktor perempuan saja la sewaktu bersalin, tapi aurat di wad pula yang tak dijaga. Apa ceritanya nie?
Kalau nak request doktor perempuan juga, simpanlah duit cukup-cukup pastu pergilah bersalin di hospital swasta ka. InsyaAllah boleh dapat. Kalau di hospital kerajaan tu, kenalah banyakkan berdoa minta Allah bagi doktor yang terbaik semasa bersalin tu.
Boleh baca di sini untuk kes-kes kecemasan semasa bersalin.
2. Isu bersalin di rumah. (Natural birth, AMANI birth, lotus birth)
Ini pun satu lagi isu yang buat saya panas hati dan sedih. Tambahan pula, minggu lepas berlaku satu kes kematian ibu yang melahirkan anaknya di rumah tanpa pengawasan doktor yang berpengalaman. Cuma pemantau (doula) yang menjadi peneman saat melahirkan anak tersebut. Berlaku komplikasi, akhirnya ibu pergi meninggalkan anaknya untuk menghadap Ilahi..huhu..
Si doula boleh pula kata setiap kematian itu sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Ini qada' dan qadar. Ini memang statement untuk melepaskan diri. Padahal kita ada dua pilihan, pilihan yang baik (yakni memelihara nyawa) untuk kita ikut dan pilihan yang buruk untuk dijauhi. Memang saya marah dengan kenyataan si pemantau yang nampak sangat nak lepaskan dirinya dari segala tanggungjawab. Haish...
Tempat yang paling selamat untuk bersalin, semestinya di hospital/klinik. Sebab apa? Kemudahan ubat, alat-alatan yang di hospital tanahair, saya kira sudah serba cukup. Doktor yang bertugas pula pasti mempunyai ilnu yang cukup, paediatrician yang standby untuk handle bayi yang dilahirkan, atau resuscitate bayi yang bermasalah. Semuanya sudah ada. InsyaAllah, ibu dapat melahirkan anak tanpa sebarang komplikasi.
Kalau tak reti bersyukur jugak, datanglah ke sini. Mai tengok macam mana keadaan wad dan bilik bersalin di sini, tempat saya sedang bertugas ini. Pastinya kalian akan rasa bersyukur dengan hospital di tempat kita.
Namun, ada sebahagian daripadanya yang memilih kaedah bersalin di rumah sahaja. Ada antaranya yang sudah berpengalaman melahirkan anak di rumah. Jadi, mereka rasa di rumah lagi selesa. Kot la. Tak payah ke hospital pun tak apa. Kat rumah sebelum nie ok ja.
Saya pun tak tahu la macam mana nak hadapi golongan macam nie sebab saya belum lagi bekerja di tanahair. Setakat yang saya tahu, di sini kalau kita suruh pesakit admit di wad, mereka tidak akan membantah.
Pernah suatu masa dahulu, semasa practical exam untuk subjek Paediatrik (Kanak-kanak), saya ditakdirkan Allah mendapat kes Cerebral Palsy. Ini berkaitan sistem saraf (Nervous System) yang mana tiada siapa pun mahu mengambil risiko untuk membentangkan kes tersebut, namun Allah telah pilih saya akhirnya untuk kes itu.
Daripada history pesakit, rupanya dia dilahirkan di rumah dan dibantu oleh bidan sahaja. Semasa kecil, berlaku jangkitan pada dirinya sehingga menyebabkan kecacatan otak yang kekal. Seingat saya juga, ibunya sudah meninggal dunia ketika itu (tahun lepas) dan ibu saudaranya yang menjaganya di wad. Sedih pula dengan kisah hidup pesakit itu. Entah bagaimana nasibnya ketika ini.
Untuk info lebih lanjut tentang hukum home birth, boleh rujuk di sini.
Panjang pulak coretan kali nie. Itulah serba sedikit apa yang saya rasa tentang isu yang melibatkan para doktor di OBG Department. Semoga segala pencerahan oleh doktor-doktor yang pakar tersebut boleh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengubah persepsi mereka terhadap isu bersalin ini.
Kita kena sedar, betapa tabahnya pakar OBG wanita yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka demi menyelamatkan nyawa ibu yang segender dengan mereka serta nyawa bayi dalam kandungan. Nak handle pesakit sama gender nie, terkadang boleh jadi emosi jugak tau sebab mereka faham apa perasaan pesakit itu, keperitan dan kesakitan ketika melahirkan anak.
Itulah dia pengorbanan para doktor di bilik bersalin di Hospital, baik kerajaan mahu pun swasta. Jangan kita ego, dan tidak menghargai jasa mereka itu.
Sekian sahaja buat kali ini.
Saya memohon maaf andai ada terkasar bahasa kepada sesiapa yang berkenaan. Tiada niat untuk menyindir siapa-siapa, cuma untuk meluahkan apa yang terbuku di hati setelah sekian lama. Saya cuma manusia biasa, yang masih sedikit ilmunya, yang masih bertatih untuk menyambut bayi, yang masih perlu banyak belajar lagi. Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.. (",)
Wassalam....
No comments:
Post a Comment