Saturday, June 5, 2010

Bersabarlah wahai saudaraku

Assalamualaikum..

Sudah lama kita tak bersua. Hampir sebulan lebih saya tak menulis di blog ini. Maklumlah, kepulangan saya ke Malaysia menyebabkan saya jarang-jarang berinternet, jadi tak berkesempatan langsung nak update. Cuti pun dirasakan sangat cepat berlalu.

Sekarang dunia nampaknya sudah semakin kecoh. Tindakan Israel yang menyerang secara melulu menggambarkan sikap sebenar mereka yang pengecut. Mana taknya, konvoi bantuan misi Gaza tersebut hanya terdiri daripada aktivis orang awam. Washington sendiri sudah memberitahu status peserta itu kepada Israel. Namun, segalanya seolah-olah mencurah air ke daun keladi saja. Mereka tetap menyerang konvoi yang bertujuan baik tersebut.

Diberikan pula alasan, kononnya konvoi itu ada membawa barang-barang tajam yang disyaki boleh mengundang bahaya. Tindakan komando Israel menembak kumpulan bantuan itu pula dikatakan sebagai 'tindakan untuk mempertahankan diri'. Logikkah untuk kita menerima alasan-alasan ini ? Sungguh tak masuk dek akal.

Terbaru, dikatakan bahawa hanya sebuah kapal saja yang meneruskan misi bantuan kemanusiaan Gaza iaitu Kapal MV Rachel Corrie dari kumpulan Flotila Pembebasan. Bayangkan, daripada jumlah asal kapal yang menyertai misi ini sebanyak 20 buah, hanya sebuah kapal yang berjaya meneruskan perjalanan. Kita doakan semoga kapal yang sebuah ini berjaya sampai ke Gaza dan meneruskan bantuan yang dijanjikan.

Alhamdulillah, pagi tadi saya dan sahabat-sahabat di sini sempat berusrah dengan Abang Taufik yang berada di Malaysia. Beliau menceritakan pengalamannya menyertai demonstrasi di Kuala Lumpur. Diceritakan betapa ramainya manusia yang hadir, untuk menyatakan rasa tidak puas hati atas tindakan tentera Israel yang menyerang konvoi Lifeline for Gaza tersebut. Kesemuanya datang dari seluruh pelusuk negeri, dari utara, selatan, timur dan barat namun bersatu hati demi membela saudara seagama yang tertindas. Beliau sendiri dapat melihat bagaimana pentingnya kesatuan dan ukhuwah sesama Muslim, yang merupakan tunjang kekuatan sesebuah negara itu.

Ada suara-suara sumbang yang menyoal, "Perlukah dibuat demonstrasi ? Macam tak ada kesan sangat pun." Ya, kalau kita berfikiran pendek, kita pasti menyoal apa relevannya mereka berdemo. Berkumpul ramai-ramai nie, dah selalu sangat orang buat. Tapi, pernahkah kita berada dalam kelompok mereka yang berdemo itu ? Pernahkah kita rasai suasananya, di mana manusia yang tak mengenali antara satu sama lain, berkumpul bersama atas keimanan yang satu ? Kalau belum, hentikanlah segala cakap-cakap yang tak membina itu, dan fikirkan balik apa usaha yang dah kita buat tanda keprihatinan kita.

Kita tidak boleh mengharapkan Israel terus merobohkan Tembok Pemisah selepas kita berdemonstrasi. Demo-demo yang dijalankan hanya salah satu ikhtiar yang diharapkan boleh menyebarluaskan isu Palestin kerap dibincangkan sekarang di mana-mana saja. Mana tahu, balik saja dari demo, pengetahuan kita tentang isu Palestin semakin bertambah, seterusnya boleh kita sampaikan kepada yang lain. Iyalah, ramai orang yang menyertainya dan seribu satu cerita dapat dikongsi bersama. Mungkin semangat kita untuk beramal dengan ilmu yang kita dapat akan semakin bertambah. Inilah perubahan yang kita mahu. Sekurang-kurangnya, kita cuba jadi individu Muslim yang sebenarnya agar negara kita sendiri takkan mudah diganggu gugat.

Mungkin ada antara kita yang bercita-cita untuk turut sama berjuang di Gaza. Persoalannya, sudah lengkapkah persiapan diri kita ? Hanya mereka yang berjiwa kental saja yang layak ke sana. Kalau ibadah harian pun susah nak jaga, lebih baik kita mantapkan diri ini dulu.

Apa usaha kita dalam isu Palestin ini ? Rasa-rasanya kita ada menyumbang tak. Renung-renungkanlah...

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...