Saturday, July 16, 2011

Berlapang-Lapanglah Walaupun Sempit


Sekiranya kita menganggap kita yang paling sibuk dalam dunia ini, Maka ketahuilah bahawa masih ramai lagi insan yang berkali-kali ganda sibuk daripada kita. Kata-kata naqib saya yang masih saya ingat sampai hari ini.

Dalam kehidupan seharian, manusia sentiasa dibebani dengan began kerja dan masalah yang pelbagai. Buka sahaja mata apabila bangun dari tidur, segala macam persoalan akan membelenggu diri ini. Mereka yang tiada masalah dalam hidup boleh diibaratkan sebagai tidak normal barangkali. Sedangkan bayi yang kecil itu pun akan menangis apabila terjaga dari tidurnya yang sangat lena, inikan pula mereka yang sudah keluar dari kategori bayi dan menginjak dewasa.

Kalau yang masih bersekolah hidup mereka dipenuhi dengan kerja rumah yang mesti disiapkan di rumah. Bagi yang sudah ke kolej atau universiti, kertas kerja pula yang menanti di samping beberapa tugasan lain. Yang sudah bekerjaya dan berkeluarga juga ada cabarannya tersendiri.

Walau sesibuk mana pun kita, janganlah ia dijadikan alasan untuk menghalang kita beribadah kepada Allah. Paling tidak rutin yang dilakukan setiap hari hendaklah diteruskan dan lagi bagus kalau ditambah sedikit demi sedikit supaya ada penambahbaikan. Kalau hendakkan markah lebih, kenalah buat lebih. Bukan buat sekadar cukup makan sahaja.

Janganlah kesibukan kita itu menghalang kita untuk bertadarus Al-Quran walaupun beberapa ayat sahaja dalam sehari. Jangan disebabkan banyaknya kita menghafal ilmu-ilmu fardhu kifayah menyebabkan kita lalai untuk menghafaz surah-surah dalam Al-Quran.

Masa itu ibarat pedang, dan ia akan menetak sesiapa yang tidak menggunakannya untuk memotong. Masa itu sememangnya cukup buat kita. Cuma kita yang harus pandai mengagihkan masa supaya istilah 'tiada masa' itu tidak akan punya peluang untuk diucapkan oleh lidah ini.

Ramadan pun semakin menghampiri. Jadi jom kita sama-sama buat persiapan yang cukup untuk menyambut Ramadan supaya kita akan lebih bersemangat dan dapat mengekalkan momentum pada bulan yang diberkati itu nanti.

P/s : Kalau hendakkan stamina yang mantap, kenalah berlatih hari-hari dan berterusan. Barulah tak 'semput'.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...