Salam w.b.t.
Apabila kita mati kelak, salah satu amalan yang dapat memberikan kita pahala berterusan adalah sedekah jariah. Kalimah 'jariah' itu sendiri memberitahu kita akan pahala yang sentiasa 'mengalir' kepada insan yang suka bersedekah.
Pada bulan puasa ini, pahala sedekah dilipat gandakan oleh Allah. Ia sebagai satu dorongan atau perangsang supaya kita sentiasa bersemangat untuk bersedekah.
Nabi ada bersabda yang antara lain menyuruh umatnya bersedekah barang yang paling disayanginya. Barang yang paling dia hargai. Sesuatu yang sangat bernilai dalam hidupnya. Dengarnya macam susah bukan ?
Kalau si A memiliki EyePhone 5 yang paling canggih, agak-agak sanggupkah si A memberi sedekah EyePhone 5 tersebut kepada insan yang memerlukan.
Andai Dr. WBC mempunyai laptop VAIOSS limited edition yang baru baharu saja sampai dari USSR, rasanya mahukah dia memberikannya kepada salah seorang kanak-kanak di Palestin ?
Kita pasti berat hati untuk menyerahkan sesuatu yang sangat bernilai kepada orang lain. Tambah-tambah kalau sesuatu yang kita miliki itu, memerlukan pengorbanan yang besar untuk mendapatkannya.
Namun, terdapat juga sebahagian yang berjaya mengharungi dilema dalam dirinya. Bagi mereka, segala harta itu hanyalah pinjaman semata-mata, bila-bila masa Allah boleh tarik balik. Dan mereka berjaya mengharungi salah satu ujian dalam hidup ini.
Ujian macam mana tu ?
Itulah dia ujian keikhlasan. Ikhlas dalam memberi. Hendak ikhlas bukan sekadar cakap di mulut, bahkan hati pun kena ikhlas juga. Macam dalam cerita 'Kiamat Sudah Dekat', belajar ilmu ikhlas.
Apabila hati ikhlas, nescaya Tuhan akan bagi ganjaran kepada hamba-Nya. Ikhlas perlukan pengorbanan dan ketabahan. Perlu letak kepentingan orang lain atas kepentingan diri sendiri.
Akhir kalam, mari kita muhasabah adakah kita sudah betul-betul ikhlas ketika memberi kepada yang memerlukan. Adakah sedekah itu sekadar ikutan apa yang orang lain buat, atau kita melakukannya berdasarkan suruhan Allah dalam Al-Quranul Karim.
Ilmu ibarat haiwan buruan. Andai kita tak mengikatnya, ia kan terlepas. Kita rugi. Namun, kalau kita bawa tali, kita ikat, ia takkan terlepas. Kita untung. Jadi, dalam menuntut ilmu, sediakan qalam(pena) supaya ilmu itu dapat 'diikat kemas' pada lembaran kertas.
Thursday, August 25, 2011
Friday, August 19, 2011
Buku Cinta Untuk Kekasih Yang Dirindui Dari Jauh
Salam w.b.t.
Bulan Ramadan merupakan bulan yang mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam. Salah satu daripadanya merupakan peristiwa penurunan al-Quran sebagai panduan bagi manusia dalam kehidupan seharian.
Pada zaman Rasulullah s.a.w., al-Quran tidak pernah wujud dalam bentuk kitab seperti yang terdapat pada hari ini sebaliknya merupakan hafalan para sahabat pada masa itu. Tidak hairanlah kehidupan mereka sentiasa berteraskan al-Quran dan mereka sentiasa dalam keredhaan Allah.
Namun, pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar, berlaku proses pengumpulan al-Quran atas nasihat Saidina Umar disebabkan ramai penghafaz dan qari al-Quran yang syahid di medan perang. Maka usaha pembukuan al-Quran dilakukan untuk mengelakkan al-Quran hilang begitu sahaja.
Peristiwa nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) ada disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, untuk menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah."
Inilah dalil mengenai waktu berlakunya penurunan al-Quran yang kita miliki hari ini. Sekurang-kurangnya kita tahu bila dan apa tujuan kita membaca al-Quran tersebut. Kalau tidak, hanya mengikut sahaja apa yang orang lain buat tanpa mengetahui kenapa ia dilakukan.
17 Ramadan setiap tahun merupakan tarikh di mana sambutan nuzul al-Quran diadakan. Pada tarikh itu, terdapat negeri yang memberikan cuti umum untuk menyambut peristiwa yang bersejarah ini. Persoalannya, adakah al-Quran diturunkan pada tarikh 17 Ramadan ? Apakah ada peristiwa lain yang berlaku pada tarikh itu yang tidak diketahui oleh sebilangan dari masyarakat ?
Menyingkapi 17 Ramadan, ia merupakan waktu di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu buat pertama kali di Gua Hira'. Surah al-'Alaq ayat 1-5 adalah wahyu pertama yang disampaikan oleh malaikat Jibril bagi memberitahu Baginda bahawa Allah telah melantik Baginda sebagai rasul-Nya untuk menyampaikan risalah kebenaran. Inilah peristiwa yang berlaku pada 17 Ramadan dan dianggap sebagai nuzul al-Quran. Namun perlu diingat penurunan al-Quran tidak berlaku secara menyeluruh pada tarikh ini kerana ia turun secara berperingkat-peringkat sebelum menjadi lengkap sebagai satu mushaf seperti yang ada pada hari ini.
Nuzul al-Quran yang sebenarnya berlaku pada malam al-Qadr (lailatul qadr), iaitu malam ketetapan. Kalimah al-Qadr itu sendiri merujuk kepada ketetapan Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Lailatul qadr merupakan detik penurunan al-Quran seluruhnya dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Malam inilah yang dirahsiakan oleh Allah sebagai hadiah kepada mereka yang benar-benar mengharapkan ganjaran daripada-Nya.
Dalil mengenai malam al-Qadr ada disebut dalam al-Quran :
1. Surah al-Qadr, ayat 1-5.
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-Qadr (lailatul qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu malaikat dan Ruh (Jibrail) turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar."
2. Surah ad-Dukhan, ayat 1-6.
"Haa Miim. Demi Kitab (Al-Quran) yang jelas, sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam yang diberkati. Sungguh, Kamilah yang memberi peringatan. Pada (malam itu) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan dari sisi Kami. Sungguh, Kamilah yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Hadiah malam al-Qadr menunjukkan betapa kasihnya Allah terhadap hamba-Nya. Betapa banyaknya pahala yang kita dapat sekiranya kita berpeluang mendapatkan malam al-Qadr. Pada malam itu juga Allah mengatur segala urusan hamba-Nya sepanjang tahun seperti persoalan hidup, mati, rezeki, baik buruk kehidupan seseorang itu dan sebagainya. Inilah yang dikatakan sebagai urusan yang penuh hikmah yang hanya diketahui oleh Allah.
Bacalah, tulislah dengan nama Tuhan yang menciptakan segala kejadian di dunia. Sumber
Manakala tarikh 17 Ramadan bukan sahaja merakamkan peristiwa turunnya wahyu yang pertama kepada Baginda Rasulullah bahkan terdapat beberapa lagi peristiwa yang penting dalam kalendar Islam. Antaranya :
1. Kemenangan umat Islam dalam Perang Badar al-Kubra. Ia berlaku pada tahun 2 Hijrah.
2. Syahidnya khalifah terakhir dari 4 Khulafa' ar-Rasyidin, Ali bin Abi Thalib. Ia berlaku pada tahun 40 Hijrah.
3. Umat Islam menetapkan kemenangan ke atas Byzantium dalam Perang Amoria di bawah kepemimpinan Khalifah al-Mu'tashim billah, salah seorang khalifah dari Khilafah Abbasiyah. Berlaku pada tahun 218 Hijrah.
Sedar tidak sedar, Ramadan sudah semakin hampir ke penghujungnya. Cepatnya masa berlalu pergi meninggalkan kita. Marilah bersama-sama menggandakan amalan membaca al-Quran dengan harapan Allah akan memberikan petunjuk kepada kita ke arah sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan dan ke arah mendapat redha-Nya. Semoga kita berusaha untuk mendapatkan malam al-Qadr yang telah dijanjikan pelbagai keistimewaan di dalamnya agar Ramadan ini lebih baik dari bulan-bulan yang sebelumnya. Nasihat ini buat kita semua termasuk saya sendiri yang masih belajar mengislah diri ke arah yang Allah redha.
Semoga amalan kita sepanjang Ramadan ini diterima dan hidup kita diberkati selalu.
Wassalam...
p/s 1: Apabila manusia meninggalkan dunia, yang jauh menjadi dekat.
p/s 2: Andai ada kesalahan fakta, harap dimaklumkan. Manusia tidak pernah sunyi dari kesilapan.
Wednesday, August 17, 2011
Hikam 4 - Rehatkan Diri Dari Tadbir
Salam w.b.t.
Manusia memerlukan antara satu sama lain.
Setiap seorang ada peranannya masing-masing.
Ibarat tubuh badan manusia, untuk melihat memerlukan mata, untuk menghidu memerlukan hidung, untuk mendengar memerlukan telinga.
Setiap organ ada fungsi tersendiri.
* Sila senyapkan playlist di bawah sekali sebelah kanan untuk mendengar kuliah ini.
Sunday, August 14, 2011
Musafir Tumpang Lalu
Salam w.b.t.
Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 30 yang bermaksud :
''Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.''
Berjalan-jalan semasa berpuasa cukup menguji iman. Segala macam dugaan yang ada dan ia datang dari segenap penjuru, kanan kiri depan belakang atas bawah. Datangnya tiada disangka-sangka.
Sungguh ia memerlukan kekuatan yang mencukupi untuk menepis segala dugaan tersebut. Kedai yang bersimbol 'lelaki tua berkaca mata' contohnya, hanya dapat kami tatap dari luar sahaja. Kaki yang membawa diri ini ditahan daripada melangkah masuk ke kedai tersebut sekalipun ada keinginan untuk ke situ.
Itu baru satu. Berjalan-jalan juga merupakan aktiviti yang menemukan kami dengan pelbagai jenis manusia yang beraneka ragam. Ada yang berkulit putih. Ada yang sawa matang. Ada yang berhidung mancung dan bermacam-macam lagi. Kata orang pandangan mata selalu menipu. Maka mata juga perlu dikawal supaya melihat yang perlu sahaja, dan sebolehnya menjauhkan diri daripada yang tidak patut dilihat.
Kalau hendak keluar boleh, tetapi kena ada 'persiapan' terlebih dahulu supaya tujuan asal tidak berubah. Sesungguhnya ujian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk sehinggakan kita tidak menyedarinya dan bertindak menjauhinya.
Wednesday, August 10, 2011
Mamlakah Sulaiman A.S.
Salam w.b.t.
Peranan hati yang bersih mencerminkan keperibadian yang unggul. Insan yang hatinya dekat pada Rabbnya sentiasa merasakan hidupnya tenang sekalipun pelbagai masalah sedang dihadapinya.
Hati yang tulus, hati yang penuh dengan kefahaman tentang sifat-sifat Pencipta menyedarkan insan betapa kerdilnya sebaik-baik makhluk ini.
Menjaga hati bukan sahaja melalui ibadah fardhu atau sekadar zikir-zikir yang dilakukan berulang kali.
Hati itu juga perlu dididik untuk meninggalkan sifat-sifat mazmumah yang sering menjadi barah dan boleh merosakkan jiwa insan. Contohnya, sikap menjaga amanah dan berlaku adil sesama insan.
Apabila hati insan sentiasa mengingati Allah di mana saja, ke mana saja, pasti hidupnya selamat dan dia akan dilindungi dari pengaruh iblis dan syaitan.
Hal ini berlaku pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. Baginda diutuskan untuk memimpin Bani Israil yang sebelumnya pernah dipimpin oleh Nabi Musa A.S. Anakanda kepada Nabi Daud A.S. ini menghadapi tentangan oleh sebahagian dari Bani Israil yang mengamalkan ilmu sihir dan pemujaan syaitan.
Hal ini ada disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 102 di mana Allah menegaskan bahawa Nabi Sulaiman tidak pernah mengamalkan sihir sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian orang Yahudi (Bani Israil) pada masa itu.
Pada masa pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman A.S., Baginda mengingatkan mereka supaya menguatkan semangat dalam diri serta bersatu untuk menentang pengaruh syaitan. Mereka yang tidak teguh imannya akan terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk menjauhkan insan dari agamanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, Baginda menasihatkan mereka supaya berlaku amanah dalam perniagaan, meninggalkan hasad dengki, menjauhi riba dan berlaku adil sesama manusia.
Itulah kunci untuk menewaskan syaitan yang dilaknat Allah. Namun masih terdapat golongan yang mendewakan syaitan dengan mempelajari sihir dan melakukan aktiviti pemujaan syaitan.
Kingdom of Solomon adalah problem solver kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana agaknya situasi pada zaman itu. Macam mana Nabi Sulaiman bertindak untuk memberi peringatan kepada umatnya akan bahaya besar yang bakal tiba. Sesuatu yang menggerunkan bakal bermaharajalela, di mana iman dan jiwa yang teguh sebagai benteng dari segala ancaman.
Apa tunggu-tunggu lagi tu. Boleh la mengelik butang play di bawah untuk melihat trailer movie Kingdom of Solomon, buah tangan dari Iran. Untuk memuaskan hati, bolehlah memuat turun cerita penuh dari laman-laman yang sewaktu dengannya. (",)
Tuesday, August 9, 2011
Pemimpin Berjiwa Seni 1
Salam w.b.t.
Di sebuah bilik gerakan bawah tanah sebuah istana :
"Tuanku, musuh nampaknya sudah memulakan langkah mereka. Beberapa orang kita sudah pun mereka temui secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan kita. Mereka cuba membasuh pemikiran orang-orang kita dengan segala propaganda dan dakyah yang bertujuan memburuk-burukkan tuanku di mata rakyat." lapor pegawai kanan 1, Laksamana Ho Chi Ming.
"Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang tuanku ? Takkan kita hendak berdiam diri sahaja." kata pegawai kanan 2, Laksamana Fong Tai Chi sambil mengetap giginya yang tersusun cantik itu.
Maharaja kelihatan memikirkan sesuatu sambil mengusap-usap janggutnya yang berjuraian dan berkilat itu.
Dengan raut muka yang sedikit pun tiada rasa bimbang, baginda mula bertitah,
"Bawa bertenang wahai pembesar sekalian. Kalian usah bertindak terburu-buru kerana sifat terburu-buru itu langsung tidak membawa keuntungan apa pun. Ia hanya menampakkan sifat amarahmu, menonjolkan kelemahanmu sehingga musuh begitu mudah menyerang dan menewaskan kalian."
Para pembesar mula menumpukan perhatian. Suasana senyap seketika.
"Ingatlah, setiap apa yang kita hendak lakukan perlu adanya perancangan yang teratur. Perlu tersusun setiap gerak langkah kita. Perlu ada rancangan yang teliti supaya usaha kita membuahkan hasil dan memberikan kejayaan yang kita mahukan. Jangan bertindak mengikut hawa nafsu namun buatlah perancangan yang teliti dengan pertimbangan yang rasional."
"Maksud tuanku ? Kita biarkan dahulu mereka bertindak sesuka hati. Begitu ?" tanya Yap Jin Seng, merangkap ketua hulubalang diraja.
"Begini." sambung maharaja. "Membiarkan mereka bertindak dahulu merupakan salah satu perancangan awal beta. Itu tanda mereka berasakan kedudukan mereka hampir tergugat. Maka untuk mengelakkan kekalahan yang teruk, mereka fikir dengan cara itu mereka berhasil melemahkan kesatuan kita. Melemahkan nilai moral kita. Sedangkan usaha mereka itu menggambarkan ketakutan mereka yang sebenarnya."
"Segala pergerakan kita perlu dilakukan secara halus dan penuh muslihat. Kita buatlah seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tidak perlu gelabah." kata maharaja setenang air di laut.
"Apabila tiba masanya, barulah kita lancarkan serangan. Jika kita boleh menyerang, kita hendaklah kelihatan seolah-olah kita tidak berupaya menyerang. Apabila menggunakan sepenuh tenaga kita, lakukan seperti kita pasif di mata mereka. Jika kita berdekatan, buatkan mereka percaya kita berada jauh dari mereka dan apabila kita berjauhan, bertindaklah seolah-olah kita dekat dengan mereka."
Sebahagian hadirin yang ada kelihatan mengangguk-anggukkan kepala. Tidak kurang juga yang mencatat nota ringkas sebagai rujukan pada masa hadapan. Begitu tekun sekali gayanya.
Sambungnya lagi, "Letakkan umpan untuk menarik perhatian mereka. Berpura-pura kita punya kelemahan supaya mereka berasa yakin dapat mengalahkan kita. Jika mereka bersenang-senang, jangan bagi mereka berehat langsung. Jika mereka bersatu, kucar-kacirkan kesatuan mereka. Serang mereka di mana-mana penjuru yang lemah, muncul di tempat yang tidak mereka jangkakan. Apabila punya peluang, hancurkan mereka sehabis-habisnya."
"Patik bersetuju dengan apa yang tuanku katakan itu." Laksamana Fong Tai Chi mula bersuara. Beliau kelihatan kembali tenang. "Kita rancang sebaik-baiknya apa yang hendak dilakukan terlebih dahulu. Kemudian baru kita gempur. Cermat dan teratur dalam bertempur. Pasti musuh akan menggelupur." tambahnya seraya menggenggam penumbuk tangan ke udara. Sungguh puitis kata yang dilontarkan.
Semuanya tersenyum penuh bersemangat. Selepas ini mereka akan melakukan perancangan yang rapi kerana itulah satu-satunya kunci kejayaan yang hakiki.
Kecil-kecil sudah mengaji. (sumber)
Sunday, August 7, 2011
Hikam 3 - Tidak Mampu Melawan Qadar Allah
Salam w.b.t.
Qadar Allah sesuatu yang di luar kawalan manusia.
* Sila senyapkan playlist di bawah sekali sebelah kanan untuk mendengar kuliah ini.
Saturday, August 6, 2011
Petua Mengelakkan Sakit Jantung
'Hati' diibaratkan sebagai raja yang berupaya mengawal seluruh anggota badan manusia. Raja yang baik menjadi tauladan yang baik untuk rakyatnya. |
Melatih diri memiliki jantung sebegini. Prinsip ini bertepatan dengan diri kita manusia selaku makhluk ciptaan-Nya. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab tulisannya, Tibb an-Nabawi (Perubatan Nabi) ada menyebutkan bagaimana hebatnya perubatan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan kaedah menjaga hati itu sebaik yang mungkin. Menurutnya, hati (jantung) menjadi lebih baik apabila ia mempunyai pengetahuan tentang Tuhannya, Penciptanya serta Asma'-Nya, Sifat-sifat dan Suruhan-Nya. Hati itu juga boleh menjadi baik apabila ia cenderung untuk berusaha mendapatkan kasih sayang Allah, melakukan apa yang disukai-Nya dan berusaha untuk menjauhi segala larangan-Nya dan perkara yang menjurus kepada kemurkaan-Nya. Serta hati yang begini. Pasti tubuh badan sentiasa kekal sihat. Apabila jiwa insan dan hatinya kuat secara spiritual, ia boleh menangkis segala macam penyakit, baik penyakit lahiriah atau penyakit yang berkaitan rohani. Hati insan dididik dengan cara mendekatkan diri kepada Allah, mengingati-Nya, menyayangi-Nya, bergantung kepada-Nya dan memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Apabila hati kita dihubungkan dengan Allah, sudah pasti kita akan memiliki hati yang bersih dan suci. Jadi marilah kita berusaha meraih cinta Ilahi pada bulan yang diberkati ini. Sentiasa ingat kepada al-Khaliq walau di mana kita berada. Jika kita sentiasa ingat kepada-Nya sudah pasti Dia akan selalu mengingati dan memelihara kita. Nasihat ini untuk sahabat semua terutama kepada yang menaip entri ini juga. Memetik lirik lagu sebuah nasyid, Jagalah hati... Jangan kau kotori... Kerana setiap penyakit itu puncanya hati yang tidak dijaga, hati yang terabai, hati yang lalai dari mengingati-Nya. Moga kita sentiasa menggilap hati dengan mengingati Allah kerana dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang. "Dalam hati mereka (golongan munafik) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta." (Al-Baqarah : ayat 10) |
Thursday, August 4, 2011
Hikam 2 - Berusaha Atau Bertawakkal ?
Salam w.b.t.
Usaha dan tawakkal dalam merintis kehidupan.
* Sila senyapkan playlist di bawah sekali sebelah kanan untuk mendengar kuliah ini.
Wednesday, August 3, 2011
Legasi Tinggalan Nabi
Salam w.b.t.
Bulan Ramadan sememangnya cukup dinanti-nantikan oleh penggemar makanan serata dunia. Betulkah apa yang saya katakan ini ? Mungkin ada benarnya sebab bulan puasa cukup sinonim dengan Bazar Ramadan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Sebut sahaja Ramadan pasti terbayangkan bazarnya yang menjual pelbagai jenis makanan saujana mata memandang.
Syukurlah di tempat saya ini tiada bazar Ramadan. Maka tiadalah duit yang senang-senang melayang mengikut hawa nafsu yang tidak akan pernah berhenti menyerang insan yang lemah ini. Terkadang teringin juga hendak merasai suasana bazar, melihat seribu satu perangai manusia semasa dalam ujian seharian.
Ada satu lagi sinonim dengan bulan Ramadan.
Apa ? Ya. Bijak. Bijak. Bulan Ramadan juga tidak boleh dipisahkan dengan rancangan Jejak Rasul, sebuah rancangan yang memaparkan sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Sebuah rancangan ilmiah yang bagi saya wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Mesti tengok.
Jejak Rasul, rancangan yang saya minati sepanjang Ramadan, diri ini sentiasa menantikan pengisian terbaru Jejak Rasul yang begitu bermakna untuk dihayati. Siapa yang tidak kenal dengan Haji Zainal Ariffin yang ibarat isi dengan kuku dengan rancangan ini. Suaranya yang menjadi latar penceritaan begitu memukau sesiapa yang mendengarnya bahkan mereka yang pertama kali menontonnya pasti tertanya-tanya milik siapakah suara itu. Ada karismanya yang tersendiri. =)
Walaupun berada jauh dari tanahair, saya usahakan juga untuk mencari siri rancangan ini supaya suasananya seolah-olah saya berada di rumah apabila menontonnya. Sementara menunggu waktu berbuka tu memang terbaik la kalau dapat tengok Jejak Rasul. Sekurang-kurangnya masa kita terisi dengan sesuatu yang berfaedah, sesuatu yang membuka minda kita.
Musim terbaru Ramadan kali ini bertajuk "Legasi Muhammad s.a.w. di Eropah Timur". Krew Jejak Rasul menjelajah ke negara-negara bekas komunis seperti di Moscow, Tatarstan, Dagestan, Chechnya dan Ukraine.
Bagi yang berminat untuk mendownload rancangan ini, boleh ke link ini :
http://www.jiwang.ws/tv-show-malaysia-59/jejak-rasul-2011-update-episod-3-a-130449/
Setakat ini sudah pun 3 episod dan ia akan diupdate setiap hari. Maka bolehlah download di link tersebut.
Semoga kita menjadi umat yang berilmu dengan ilmu-ilmu Islam, sejarah Islam yang cukup membanggakan umat Islam suatu masa dahulu. Kini menjadi tanggungjawab kita untuk membangkitkan semula kegemilangan Deen ini, satu-satunya Deen yang diredhai di sisi Allah.
Monday, August 1, 2011
Ramzan Yang Diberkati
Salam w.b.t.
Syukur alhamdulillah dengan rahmat dan kasih-Nya kita diberikan peluang sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini.
Bulan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada umat manusia.
Kalau di Karad masyarakatnya menyebut Ramadan sebagai Ramzan. Di sini tiada berkumandang lagu-lagu raya atau apa jua jenis muzik untuk menyambut Ramadan. Sekadar berkumandangnya azan di masjid tatkala masuk waktu solat atau diselangi dengan bunyi gendang jalanan atau penyanyi jalanan yang hadir bermusim.
Ramzan ayega !
Ramzan aya !
Ramadan dah nak datang...
Ramadan dah nak datang...
Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat menambah amal ibadah.
Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga ada penambahbaikan dalam ibadah kita sehari-hari.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?
Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...
-
A true story. A lesson. A role model in our life. It never occurred in the imaginations of one of the Algerian mothers that when she contact...
-
Salam w.b.t. Apa khabar semua? Alhamdulillah Allah masih beri peluang untuk terus bernafas sehingga ke hari ini. Buat masa ini, saya s...
-
Salam w.b.t. Alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah walaupun ada ketikanya diri ini futur atau leka dengan ni...