Friday, August 19, 2011

Buku Cinta Untuk Kekasih Yang Dirindui Dari Jauh


Salam w.b.t.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam. Salah satu daripadanya merupakan peristiwa penurunan al-Quran sebagai panduan bagi manusia dalam kehidupan seharian.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., al-Quran tidak pernah wujud dalam bentuk kitab seperti yang terdapat pada hari ini sebaliknya merupakan hafalan para sahabat pada masa itu. Tidak hairanlah kehidupan mereka sentiasa berteraskan al-Quran dan mereka sentiasa dalam keredhaan Allah.

Namun, pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar, berlaku proses pengumpulan al-Quran atas nasihat Saidina Umar disebabkan ramai penghafaz dan qari al-Quran yang syahid di medan perang. Maka usaha pembukuan al-Quran dilakukan untuk mengelakkan al-Quran hilang begitu sahaja.

Peristiwa nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) ada disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 185 :

"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, untuk menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah."

Inilah dalil mengenai waktu berlakunya penurunan al-Quran yang kita miliki hari ini. Sekurang-kurangnya kita tahu bila dan apa tujuan kita membaca al-Quran tersebut. Kalau tidak, hanya mengikut sahaja apa yang orang lain buat tanpa mengetahui kenapa ia dilakukan.

17 Ramadan setiap tahun merupakan tarikh di mana sambutan nuzul al-Quran diadakan. Pada tarikh itu, terdapat negeri yang memberikan cuti umum untuk menyambut peristiwa yang bersejarah ini. Persoalannya, adakah al-Quran diturunkan pada tarikh 17 Ramadan ? Apakah ada peristiwa lain yang berlaku pada tarikh itu yang tidak diketahui oleh sebilangan dari masyarakat ?

Menyingkapi 17 Ramadan, ia merupakan waktu di mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu buat pertama kali di Gua Hira'. Surah al-'Alaq ayat 1-5 adalah wahyu pertama yang disampaikan oleh malaikat Jibril bagi memberitahu Baginda bahawa Allah telah melantik Baginda sebagai rasul-Nya untuk menyampaikan risalah kebenaran. Inilah peristiwa yang berlaku pada 17 Ramadan dan dianggap sebagai nuzul al-Quran. Namun perlu diingat penurunan al-Quran tidak berlaku secara menyeluruh pada tarikh ini kerana ia turun secara berperingkat-peringkat sebelum menjadi lengkap sebagai satu mushaf seperti yang ada pada hari ini.

Nuzul al-Quran yang sebenarnya berlaku pada malam al-Qadr (lailatul qadr), iaitu malam ketetapan. Kalimah al-Qadr itu sendiri merujuk kepada ketetapan Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Lailatul qadr merupakan detik penurunan al-Quran seluruhnya dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Malam inilah yang dirahsiakan oleh Allah sebagai hadiah kepada mereka yang benar-benar mengharapkan ganjaran daripada-Nya.

Dalil mengenai malam al-Qadr ada disebut dalam al-Quran :

1. Surah al-Qadr, ayat 1-5.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-Qadr (lailatul qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu malaikat dan Ruh (Jibrail) turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar."

2. Surah ad-Dukhan, ayat 1-6.

"Haa Miim. Demi Kitab (Al-Quran) yang jelas, sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam yang diberkati. Sungguh, Kamilah yang memberi peringatan. Pada (malam itu) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan dari sisi Kami. Sungguh, Kamilah yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Hadiah malam al-Qadr menunjukkan betapa kasihnya Allah terhadap hamba-Nya. Betapa banyaknya pahala yang kita dapat sekiranya kita berpeluang mendapatkan malam al-Qadr. Pada malam itu juga Allah mengatur segala urusan hamba-Nya sepanjang tahun seperti persoalan hidup, mati, rezeki, baik buruk kehidupan seseorang itu dan sebagainya. Inilah yang dikatakan sebagai urusan yang penuh hikmah yang hanya diketahui oleh Allah.

Bacalah, tulislah dengan nama Tuhan yang menciptakan segala kejadian di dunia. Sumber

Manakala tarikh 17 Ramadan bukan sahaja merakamkan peristiwa turunnya wahyu yang pertama kepada Baginda Rasulullah bahkan terdapat beberapa lagi peristiwa yang penting dalam kalendar Islam. Antaranya :

1. Kemenangan umat Islam dalam Perang Badar al-Kubra. Ia berlaku pada tahun 2 Hijrah.
2. Syahidnya khalifah terakhir dari 4 Khulafa' ar-Rasyidin, Ali bin Abi Thalib. Ia berlaku pada tahun 40 Hijrah.
3. Umat Islam menetapkan kemenangan ke atas Byzantium dalam Perang Amoria di bawah kepemimpinan Khalifah al-Mu'tashim billah, salah seorang khalifah dari Khilafah Abbasiyah. Berlaku pada tahun 218 Hijrah.

Sedar tidak sedar, Ramadan sudah semakin hampir ke penghujungnya. Cepatnya masa berlalu pergi meninggalkan kita. Marilah bersama-sama menggandakan amalan membaca al-Quran dengan harapan Allah akan memberikan petunjuk kepada kita ke arah sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan dan ke arah mendapat redha-Nya. Semoga kita berusaha untuk mendapatkan malam al-Qadr yang telah dijanjikan pelbagai keistimewaan di dalamnya agar Ramadan ini lebih baik dari bulan-bulan yang sebelumnya. Nasihat ini buat kita semua termasuk saya sendiri yang masih belajar mengislah diri ke arah yang Allah redha.


Semoga amalan kita sepanjang Ramadan ini diterima dan hidup kita diberkati selalu.

Wassalam...

p/s 1: Apabila manusia meninggalkan dunia, yang jauh menjadi dekat.
p/s 2: Andai ada kesalahan fakta, harap dimaklumkan. Manusia tidak pernah sunyi dari kesilapan.







1 comment:

  1. da cek tafsir ke?


    haa...sedey...sedar tak sedar da masuk fasa ketiga ramadhan...xlme lg dia akn tinggalkn kte...T.T
    moga segala amalan kte diterima dan ramadhan kali ini dpt mndidik jiwa kte menempuh ujian kehidupan...insyaallah..

    ReplyDelete

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...