Salam w.b.t.
Sejak mula menonton rancangan realiti Masterchef Australia, bersemangat pula rasanya untuk memasak. Juri program tersebut bukan sahaja berjaya menaikkan semangat peserta malahan penonton yang melihatnya di rumah juga turut mendapat motivasi untuk memasak.
Maklumlah sedang menuntut di negara orang, kenalah masak sendiri kalau mengidam makanan di tanahair. Kata orang, hendak seribu daya. Sebenarnya memasak ini memerlukan kemahuan yang tinggi dan semangat untuk terus mencuba sekiranya gagal pada cubaan pertama. Satu lagi, jangan bertangguh. Kalau sudah dirancang perlu diteruskan sebagaimana dalam perancangan.
Memandangkan musim peperiksaan semakin hampir, kekerapan memasak berkurangan dek kekangan masa. Namun, kalau ada kelapangan pasti akan cuba juga menyediakan menu yang mudah dan ringkas.
Faktor harga barang bukan lagi satu bebanan kerana harga sayur di sini, di Karad contohnya, sangat-sangat murah. Ini betul-betul bukan cobaan! Harga yang dibayar seolah-olah tidak setimpal dengan sayur sebeg plastik ditambah dengan kudrat pakcik sayur menimbang berat sayur yang dibeli. Sangat bersyukur...
Barang-barang basah dijual sama ada di kedai kecil atau pun di pasar.