Tuesday, April 20, 2010

Anak yatim itu, kasihanilah...




Cuaca di Karad tersangatlah panas sekarang. Kira-kira 42 darjah Celcius. Bahangnya cukup terasa, hinggakan cepat betul keringnya tekak. Hujannya kadang-kadang. Mungkin ini salah satu ujian dari Tuhan.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah, ayat 83 :

"Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji dari Bani Israel (iaitu) : Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat."

Allah sendiri dah berfirman dalam Al-Quran, supaya kita berbuat baik terhadap ibu ayah, saudara mara dan tak lupa juga golongan anak yatim. Betapa anak yatim itu harus dihormati kerana mereka antara golongan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sedangkan junjungan besar Nabi kita juga seorang yang yatim.
Anak yatim sememangnya perlukan sokongan yang berterusan dari masyarakat. Mereka sudah kehilangan kehangatan kasih sayang ibu bapa yang sepatutnya dimiliki. Mereka masih beruntung andai punya saudara mara. Namun, kalau hidupnya sebatang kara, masyarakatlah tempat mereka bergantung.Kami bertuah kerana telah diberi peluang untuk melawat salah sebuah rumah anak yatim di sini. Lokasinya agak berdekatan dengan universiti kami. Ia terletak agak jauh dari jalan utama.

Apabila sampai di situ, dapat saya lihat kelibat 2 orang adik kecil yang sedang asyik memerhatikan kami dengan penuh tanda tanya. Mereka pasti hairan dengan kedatangan kami. Kami dibawa masuk ke sebuah bilik yang agak luas. Kelihatan juga ramai anak yatim yang turut berada di blik itu. Kami diberi sedikit penerangan berkenaan rumah anak yatim tersebut.
Menurut pengetuanya, rumah anak yatim ini cuma menempatkan kanak-kanak lelaki sahaja, seawal umur 7 tahun. Kanak-kanak perempuan ditempatkan di lokasi yang lain. Di sini, mereka diajar pelbagai kemahiran untuk menguruskan diri masing-masing dalam kehidupan seharian.
Ada seorang adik di sini, yang sudah berada 4 tahun di rumah anak yatim ini. Manakala seorang adik lagi, kedua ibu bapanya telah mati akibat membunuh diri. Sungguh menyedihkan. Dan bermacam lagi sebab kenapa mereka ditempatkan di sini. Namun saya lihat mereka begitu tabah menjalani kehidupan. Walaupun sudah tiada ibu ayah, mereka masih ada rakan-rakan yang senasib untuk berkongsi segala suka dan duka dalam hidup. Semuanya saling memerlukan, dan menjadi pemberi semangat antara satu sama lain.

Semoga senyuman ini sentiasa terukir di bibir.





Walaupun mereka dilanda seribu satu kesusahan hidup, mereka begitu ceria semuanya. Masing-masing sentiasa tersenyum apabila kami berbual dengan mereka. Ada antaranya bergelak ketawa, dan begitu bersemangat menyanyikan lagu kebangsaan mereka, seolah-olah tiada apa yang perlu dibimbangkan. Agak tersentuh juga diri ini. Kata orang, senyuman itu pengubat segalanya. Kalau kita sentiasa berfikiran positif, dunia akan memandang kita dengan positif juga. Jadi, perlunya kita hiasi diri dengan senyuman, supaya terlerai segala masalah.

Bagi kita yang masih punya orang tua, hargailah mereka selagi mereka masih hidup. Kita tak pasti siapa yang bakal dijemput dahulu oleh-Nya. Lihatlah pada anak-anak yatim itu. Mereka dahagakan kasih sayang orang tua yang tiada galang gantinya lagi. Apa yang penting, kita patut bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan untuk kita.

"Bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya." - Surah Al-Baqarah, 172.

No comments:

Post a Comment

Bencana alam, adakah kita ambil pengajaran?

Salam w.b.t. Lama sungguh tak menulis di sini. Dek kekangan masa kononnya, idea yang sentiasa bersarang di minda tak dapat diterjemahkan da...